Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 38

Buktikan bahawa Anda Dapat Dipercayai

Buktikan bahawa Anda Dapat Dipercayai

“Orang yang dapat dipercayai menyimpan rahsia.”​—AMS. 11:13.

LAGU 101 Kita Bersatu, Sehati Sejiwa

PENGENALAN *

1. Apakah ciri-ciri seseorang yang dapat dipercayai?

 SESEORANG yang dapat dipercayai sentiasa bercakap benar dan berusaha menepati janjinya. (Mzm. 15:4) Dia juga boleh diharapkan. Kita mahu saudara saudari kita memandang kita sebagai orang yang dapat dipercayai. Apakah yang dapat kita lakukan supaya mereka mempercayai kita?

2. Bagaimanakah kita membuktikan bahawa kita dapat dipercayai?

2 Kita tidak dapat memaksa orang lain untuk mempercayai kita. Sepertimana usaha diperlukan untuk mendapatkan wang, usaha juga diperlukan untuk mendapatkan kepercayaan orang lain. Namun wang juga boleh hilang dengan mudah. Begitu juga dengan kepercayaan orang lain terhadap kita. Yehuwa sudah membuktikan bahawa Dia dapat dipercayai dengan sepenuhnya. Bible menyatakan, “Segala perbuatan-Nya dapat dipercayai.” (Mzm. 33:4) Yehuwa mahu kita meniru teladan-Nya. (Ef. 5:1) Sekarang, mari kita mengkaji beberapa contoh hamba Yehuwa yang meniru teladan-Nya dan membuktikan bahawa mereka dapat dipercayai. Kita juga akan membincangkan lima sifat yang akan membantu kita menjadi orang yang dapat dipercayai.

BELAJAR DARIPADA HAMBA-HAMBA YEHUWA YANG DAPAT DIPERCAYAI

3-4. Bagaimanakah Nabi Daniel membuktikan bahawa dia dapat dipercayai? Apakah soalan-soalan yang patut kita renungkan?

3 Perhatikan teladan baik Daniel. Walaupun dia ditawan ke Babilon, dia membuktikan bahawa dia dapat dipercayai. Kepercayaan orang lain terhadapnya semakin bertambah semasa Yehuwa membantunya menjelaskan maksud mimpi Raja Nebukadnezar. Pernah sekali, Daniel perlu memberitahu Nebukadnezar bahawa Yehuwa murka terhadapnya. Untuk berbuat demikian, Daniel perlu sangat berani kerana raja itu panas baran! (Dan. 2:12; 4:20-22, 25) Bertahun-tahun kemudian, Daniel membuktikan lagi bahawa dia dapat dipercayai semasa dia mentafsirkan maksud tulisan yang muncul pada dinding istana di Babilon. (Dan. 5:5, 25-29) Kemudian, Raja Darius dari Media dan para pegawainya mendapati bahawa Daniel “memiliki kebijaksanaan dan kebolehan yang luar biasa.” Mereka mengaku bahawa Daniel “seorang yang baik, dapat dipercayai, dan tidak lalai dalam tugasnya.” (Dan. 6:3, 4) Ya, penguasa yang tidak menyembah Yehuwa pun sedar bahawa Daniel dapat dipercayai!

4 Setelah membincangkan teladan Daniel, tanyalah diri, “Apakah reputasi saya di luar sidang? Adakah saya dikenali sebagai seorang yang bertanggungjawab dan dapat dipercayai?” Soalan-soalan ini penting kerana jika kita dikenali sebagai orang yang dapat dipercayai, kita akan membawa pujian kepada Yehuwa.

Nehemia memilih orang yang dapat dipercayai untuk menjalankan tugas yang penting (Lihat perenggan 5)

5. Mengapakah Hanania dikenali sebagai seorang yang dapat dipercayai?

5 Pada tahun 455 SM, selepas Gabenor Nehemia membina semula tembok kota Yerusalem, dia mencari orang yang dapat dipercayai untuk menjaga kota itu. Antara orang yang dipilihnya ialah Hanania, seorang ketua kubu. Bible menyatakan bahawa Hanania ialah seorang “lelaki yang dapat dipercayai, dan dia lebih takut kepada Tuhan berbanding dengan orang lain.” (Neh. 7:2) Oleh sebab Hanania mengasihi Yehuwa dan takut kehilangan perkenan-Nya, dia memandang serius semua tugasan yang diberikan kepadanya. Jika kita memiliki sifat-sifat yang sama, kita juga dapat menjadi orang yang dapat diharapkan dalam khidmat kita kepada Tuhan.

6. Bagaimanakah Tikhikus membuktikan bahawa dia seorang sahabat yang dapat dipercayai?

6 Perhatikan contoh Tikhikus. Semasa Paulus dikurung di rumah, Tikhikus menunjukkan bahawa dia seorang sahabat yang dapat dipercayai. Paulus menggambarkannya sebagai “hamba yang setia kepada Tuan kita.” (Ef. 6:21, 22) Paulus bukan sahaja meminta Tikhikus untuk menghantar surat kepada sidang di Efesus dan Kolose. Dia juga memintanya untuk menggalakkan dan melegakan saudara saudari di situ. Teladan Tikhikus mengingatkan kita tentang saudara-saudara yang menjaga keperluan rohani kita hari ini. Mereka sesungguhnya hamba Yehuwa yang setia dan dapat dipercayai.—Kol. 4:7-9.

7. Bagaimanakah para penatua dan pembantu sidang dalam sidang anda menunjukkan bahawa mereka dapat dipercayai?

7 Hari ini, kita sangat bersyukur kerana mempunyai para penatua dan pembantu sidang yang dapat dipercayai. Seperti Daniel, Hanania, dan Tikhikus, mereka memandang serius tanggungjawab mereka. Jadi kita yakin bahawa semasa kita menghadiri perjumpaan pertengahan minggu, ada orang yang akan mengendalikan bahagian-bahagian perjumpaan. Apabila saudara saudari yang diberi tugasan membuat persiapan dan menyampaikan tugasan mereka, para penatua juga sangat menghargai usaha mereka. Selain itu, semasa kita menjemput pelajar Bible untuk menghadiri perjumpaan hujung minggu, kita yakin bahawa ceramah umum memang akan disampaikan. Tambahan lagi, kita yakin bahawa kita akan menerima bahan bacaan yang diperlukan untuk menginjil. Kita berterima kasih kepada Yehuwa kerana kita mempunyai saudara-saudara yang setia, yang menjaga kita dengan baik. Namun, apakah yang dapat kita masing-masing lakukan untuk membuktikan bahawa kita dapat dipercayai?

JADILAH ORANG YANG DAPAT DIPERCAYAI DENGAN MENYIMPAN RAHSIA

8. Meskipun kita mengambil berat terhadap saudara saudari kita, apakah yang tidak patut kita lakukan? (Amsal 11:13)

8 Kita mengasihi saudara saudari kita dan mengambil berat terhadap mereka. Namun, kita mesti bersikap seimbang dan tidak menyibuk tentang hal peribadi mereka. Sesetengah orang Kristian pada abad pertama suka “mengumpat, campur tangan dalam urusan orang lain, dan bercakap tentang perkara yang tidak seharusnya dikatakan.” (1 Tim. 5:13) Kita tentu tidak ingin menjadi seperti mereka. Tetapi katakan seseorang memberitahu kita hal peribadinya. Sebagai contoh, seorang saudari mungkin memberitahu kita tentang masalah kesihatannya atau cabarannya yang lain, lalu meminta kita untuk merahsiakan hal itu. Jika demikian, kita patut melakukan apa yang dimintanya. * (Baca Amsal 11:13.) Sekarang, mari kita membincangkan beberapa situasi di mana kita perlu menyimpan rahsia.

9. Bagaimanakah setiap ahli keluarga menunjukkan bahawa mereka dapat dipercayai?

9 Dalam keluarga. Setiap ahli keluarga bertanggungjawab untuk merahsiakan maklumat sensitif tentang keluarga mereka. Sebagai contoh, seorang isteri mungkin mempunyai tabiat yang dianggap lucu oleh suaminya. Adakah suaminya akan memberitahu orang lain tentang hal itu dan membuat isterinya berasa malu? Sudah tentu tidak. Dia mencintai isterinya dan tidak mahu menyakitinya. (Ef. 5:33) Ibu bapa perlu ingat bahawa anak-anak remaja mereka mahu dihormati, jadi mereka tidak akan menceritakan kesilapan anak-anak mereka kepada orang lain. (Kol. 3:21) Anak-anak juga perlu belajar untuk tidak memberitahu orang lain maklumat yang mungkin membuat ahli keluarga mereka berasa malu. (Ul. 5:16) Apabila setiap ahli keluarga berusaha untuk merahsiakan hal-hal yang sensitif tentang ahli keluarga mereka, hubungan mereka akan menjadi lebih rapat.

10. Bagaimanakah kita dapat menjadi “sahabat sejati”? (Amsal 17:17)

10 Dalam kalangan sahabat. Dari masa ke masa, kita perlu mencurahkan isi hati kita kepada seorang sahabat yang rapat. Namun hal itu tidak mudah. Kita mungkin tidak biasa memberitahu orang lain tentang perasaan kita yang terpendam, dan kita akan berasa sedih dan kecewa jika kita mendapati bahawa sahabat rapat kita memberitahu orang lain apa yang kita katakan. Sebaliknya, kita sangat menghargai sahabat yang dapat menyimpan rahsia, kerana mereka sememangnya “sahabat sejati.”—Baca Amsal 17:17.

Para penatua tidak memberitahu ahli keluarga mereka maklumat sulit tentang sidang (Lihat perenggan 11) *

11. (a) Bagaimanakah para penatua dan isteri mereka menunjukkan bahawa mereka dapat dipercayai? (b) Apakah yang kita pelajari daripada seorang penatua yang menangani hal sidang yang sulit dan kemudiannya meluangkan masa bersama keluarganya? (Lihat gambar.)

11 Dalam sidang. Para penatua yang dapat menyimpan rahsia adalah seperti “tempat perlindungan daripada angin kencang” bagi saudara saudari mereka. (Yes. 32:2) Kita dapat bercakap kepada mereka tentang apa-apa sahaja kerana kita yakin bahawa mereka tidak akan memberitahu orang lain apa yang kita katakan. Kita juga tidak mendesak mereka untuk memberitahu kita maklumat yang sepatutnya dirahsiakan. Selain itu, kita menghargai isteri para penatua kerana mereka tidak cuba mengorek maklumat yang sulit daripada suami mereka. Sebenarnya, jika isteri seorang penatua tidak diberitahu maklumat sulit tentang saudara saudarinya, hal itu bermanfaat baginya. Isteri seorang penatua berkata, “Saya berterima kasih kerana suami saya tidak memberitahu saya maklumat sulit tentang orang yang dilawatnya semasa kunjungan penggembalaan atau orang yang memerlukan bantuan rohani. Dia bahkan tidak memberitahu saya nama mereka. Maklumat itu hanya akan buat saya risau dan saya tidak mampu buat apa-apa. Jadi, lebih baik saya tidak mengetahuinya. Hasilnya, saya dapat layan semua orang dalam sidang seperti biasa. Saya juga dapat yakin bahawa apabila saya memberitahu suami saya perasaan atau masalah saya, dia tidak akan menceritakannya kepada orang lain.” Sudah tentu kita semua ingin dikenali sebagai orang yang dapat dipercayai. Mari kita membincangkan lima sifat yang dapat membantu kita berbuat demikian.

SIFAT-SIFAT YANG DIPERLUKAN

12. Jika kita ingin orang lain mempercayai kita, mengapakah kita mesti memiliki kasih? Berikan contoh.

12 Kasih ialah sifat yang terpenting untuk menjadi orang yang dapat dipercayai. Yesus berkata bahawa dua hukum yang terpenting ialah mengasihi Yehuwa dan mengasihi orang lain. (Mat. 22:37-39) Kita mengasihi Yehuwa, jadi kita mahu meniru teladan-Nya dan menjadi orang yang dapat dipercayai. Kasih terhadap saudara saudari kita pula akan mendorong kita untuk menyimpan rahsia mereka. Kita tidak akan sekali-kali memberitahu orang lain maklumat yang dapat membahayakan, memalukan, atau menyakiti rakan seiman kita.—Yoh. 15:12.

13. Bagaimanakah kerendahan hati membantu kita menjadi orang yang dapat dipercayai?

13 Kerendahan hati akan membantu kita menjadi orang yang dapat dipercayai. Seorang Kristian yang rendah hati tidak akan cuba menarik perhatian kepada diri sendiri dengan menjadi orang pertama yang menyebarkan sesuatu maklumat. (Flp. 2:3) Dia juga tidak akan membuat dirinya kelihatan penting dengan memberi orang lain tanggapan bahawa dia mengetahui suatu rahsia yang tidak boleh dikongsikan. Kerendahan hati juga akan menghalang kita daripada menyebarkan pandangan kita tentang hal yang tidak dibincangkan dalam Bible atau bahan bacaan Bible.

14. Bagaimanakah daya pertimbangan membantu kita menjadi orang yang dapat dipercayai?

14 Daya pertimbangan, atau pengertian, akan membantu seorang Kristian untuk mengetahui bila “waktu untuk berdiam” dan bila “waktu untuk bercakap.” (Pkh. 3:7) Dalam sesetengah budaya, terdapat ungkapan ini: “Berkata-kata itu perak, berdiam diri itu emas.” Maksudnya dalam situasi tertentu, adalah lebih baik untuk berdiam diri daripada bercakap. Amsal 11:12 menasihati kita, “Orang yang benar-benar berpengertian berdiam diri.” Perhatikan contoh seorang penatua yang sering diminta untuk membantu sidang lain yang menghadapi masalah. Seorang penatua di sidangnya berkata, “Dia selalu berhati-hati supaya tidak mengongsi maklumat yang sensitif tentang sidang lain.” Oleh sebab penatua itu menunjukkan daya pertimbangan, penatua-penatua lain di sidangnya dapat menghormatinya. Mereka percaya bahawa dia tidak akan memberitahu orang lain maklumat sulit tentang sidang mereka.

15. Berikan contoh bagaimana sikap jujur dapat membuat orang lain mempercayai kita.

15 Kejujuran juga dapat membantu orang lain mempercayai kita. Kita mempercayai orang yang jujur kerana kita tahu bahawa mereka akan sentiasa bercakap benar. (Ef. 4:25; Ibr. 13:18) Katakan anda ingin menjadi pengajar yang lebih mahir. Jadi anda meminta seseorang untuk mendengar ceramah anda dan memberitahu anda apa yang perlu anda perbaiki. Siapakah yang akan anda minta: Orang yang hanya memberitahu anda apa yang anda suka dengar, atau orang yang bercakap benar? Jawapannya jelas, bukan? Bible menyatakan, “Teguran yang terus terang lebih baik daripada kasih yang tidak diungkapkan. Teguran yang diberikan oleh sahabat yang setia mungkin menyakitkan.” (Ams. 27:5, 6) Semasa seorang sahabat memberi kita nasihat yang terus terang, kita mungkin sakit hati pada mulanya. Tetapi nasihat itu dapat memberikan manfaat dalam jangka masa yang panjang.

16. Bagaimanakah Amsal 10:19 menekankan pentingnya memiliki kawalan diri?

16 Kawalan diri amat penting untuk mendapatkan kepercayaan orang lain. Sifat ini membantu kita mengawal mulut kita semasa kita digoda untuk membongkar rahsia. (Baca Amsal 10:19.) Kawalan diri kita mungkin diuji semasa kita menggunakan media sosial. Jika kita tidak berhati-hati, kita mungkin membongkar maklumat yang sulit kepada ramai orang. Selepas itu, kita tidak dapat mengawal bagaimana orang lain akan menggunakan maklumat itu atau apa masalah yang mungkin timbul. Kawalan diri juga akan membantu kita berdiam diri semasa para penentang cuba memperdaya kita supaya memberitahu mereka maklumat yang mungkin membahayakan saudara saudari kita. Hal ini mungkin berlaku semasa kita disoal siasat oleh pihak polis di negara yang melarang atau menyekat kerja kita. Dalam situasi sebegini dan situasi yang lain, kita dapat mengikut prinsip ini: “Aku akan berjaga-jaga dan menutup mulutku.” (Mzm. 39:1) Kita ingin menjadi orang yang dapat dipercayai oleh semua orang, tidak kira ahli keluarga, sahabat, atau saudara saudari kita. Untuk berbuat demikian, kita memerlukan kawalan diri.

17. Bagaimanakah kita dapat membantu saudara saudari dalam sidang untuk lebih mempercayai satu sama lain?

17 Kita sangat bersyukur kerana Yehuwa telah memberi kita persaudaraan sedunia yang pengasih dan dapat dipercayai. Kita semua mempunyai tanggungjawab untuk membina kepercayaan saudara saudari terhadap kita. Hal ini memerlukan usaha yang berterusan. Jadi marilah kita semua berusaha untuk menunjukkan kasih, kerendahan hati, daya pertimbangan, kejujuran, dan kawalan diri. Dengan demikian, kita dapat membantu saudara saudari dalam sidang kita untuk lebih mempercayai satu sama lain. Semoga kita meniru teladan Tuhan Yehuwa dan terus menunjukkan bahawa kita dapat dipercayai!

LAGU 123 Tunduk kepada Aturan Teokratik dengan Setia

^ Jika kita mahu orang lain mempercayai kita, kita mesti membuktikan terlebih dahulu bahawa kita dapat dipercayai. Dalam rencana ini, kita akan mengkaji mengapa penting untuk mempercayai satu sama lain dan sifat-sifat yang dapat membantu kita menjadi orang yang dapat dipercayai.

^ Jika kita mendapat tahu bahawa seseorang di sidang telah melakukan dosa yang serius, kita patut menggesanya untuk meminta bantuan para penatua. Jika dia tidak berbuat demikian, kesetiaan kita kepada Yehuwa dan sidang akan mendorong kita untuk melaporkan perbuatannya kepada para penatua.

^ KETERANGAN GAMBAR: Seorang penatua menangani hal sidang yang melibatkan maklumat sulit. Dia tidak mengongsi maklumat itu dengan ahli keluarganya.