Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Apakah yang dimaksudkan oleh Rasul Paulus apabila dia berkata bahawa dia seperti “seorang bayi yang tidak cukup bulan”? (1 Korintus 15:8)

Di 1 Korintus 15:8, Paulus berkata, “Akhir sekali dia juga menampakkan diri kepadaku, yang seperti seorang bayi yang tidak cukup bulan.” Dalam ayat ini, Paulus sedang menggambarkan apa yang berlaku semasa Yesus menampakkan diri kepadanya. Namun, apakah maksud ungkapan “seperti seorang bayi yang tidak cukup bulan”? Dahulu, bahan bacaan kita menjelaskan bahawa Paulus seolah-olah diberi peluang untuk dilahirkan, atau dibangkitkan, sebagai makhluk roh. Tetapi hal itu hanya berlaku ratusan tahun kemudian. Maka, selepas mengkaji ayat ini dengan teliti, nampaknya penjelasan kita perlu diubah.

Sebenarnya, ungkapan “seperti seorang bayi yang tidak cukup bulan” mungkin mempunyai beberapa maksud. Perhatikan tiga penjelasan berikut:

Pengalaman Paulus menjadi orang Kristian berlaku secara tiba-tiba dan mengejutkan. Selalunya, bayi yang tidak cukup bulan lahir secara tiba-tiba. Semasa Saulus (kemudiannya dikenali sebagai Paulus) membuat perjalanan ke Damsyik untuk menganiaya orang Kristian di sana, dia tidak menjangka bahawa dia akan mendapat penglihatan tentang Yesus yang telah dibangkitkan. Semasa Paulus menjadi orang Kristian, peristiwa itu bukan sahaja mengejutkannya, tetapi juga orang Kristian di Damsyik. Selain itu, pengalamannya begitu mengejutkan sehingga dia menjadi buta buat sementara.—Kis. 9:1-9, 17-19.

Dia seolah-olah menjadi orang Kristian “pada masa yang salah.” Dalam bahasa Yunani asal, ungkapan “seorang bayi yang tidak cukup bulan” juga boleh diterjemahkan sebagai “bayi yang lahir pada masa yang salah.” Dalam The Jerusalem Bible, ayat ini berbunyi, “Saya seolah-olah lahir semasa tiada orang menjangkakannya.” Semasa Paulus menjadi orang Kristian, Yesus sudah berada di syurga. Orang yang disebutkan oleh Paulus dalam ayat-ayat sebelumnya pernah melihat Yesus di bumi selepas dia dibangkitkan, tetapi Paulus tidak pernah. (1 Kor. 15:4-8) Jadi semasa Paulus melihat Yesus, hal itu seolah-olah berlaku “pada masa yang salah.”

Paulus bersikap rendah hati semasa menggambarkan dirinya. Menurut sesetengah cendekiawan, ungkapan yang digunakan oleh Paulus boleh digunakan untuk merendahkan diri. Jika itulah tujuan Paulus, dia sedang mengaku bahawa dia tidak layak untuk menerima penglihatan itu. Dalam ayat-ayat seterusnya, dia berkata, “Dalam kalangan para rasul, akulah yang paling tidak penting. Aku tidak layak dipanggil rasul, kerana aku pernah menganiaya sidang Tuhan. Tetapi aku dapat melakukan tugas yang diberikan kepadaku kerana kebaikan hati Tuhan yang unggul.”—1 Kor. 15:9, 10.

Kesimpulannya, Paulus mungkin menggunakan ungkapan “bayi yang tidak cukup bulan” untuk menggambarkan bagaimana Yesus menampakkan diri kepadanya secara tiba-tiba dan mengejutkan, bagaimana dia seolah-olah menjadi orang Kristian pada masa yang salah, atau bagaimana dia tidak layak untuk menerima penglihatan yang begitu menakjubkan. Tidak kira apa sebabnya, pengalaman ini sangat dekat di hati Paulus kerana membuatnya yakin sepenuhnya bahawa Yesus sudah dibangkitkan. Oleh itu, dia sering menyebut tentang pengalaman ini semasa menginjil tentang pembangkitan Yesus.—Kis. 22:6-11; 26:13-18.