Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Siapakah yang akan dibangkitkan di bumi, dan apakah yang akan berlaku selepas mereka dibangkitkan?

Perhatikan jawapan Bible.

Kisah 24:15 memberitahu kita bahawa “Tuhan akan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik.” Orang yang baik ialah orang yang melakukan kehendak Tuhan sebelum mereka mati, dan nama mereka ditulis dalam kitab kehidupan. (Mal. 3:16) Orang yang tidak baik pula merangkumi orang yang tidak berpeluang untuk mengenali Yehuwa sebelum mereka mati. Jadi nama mereka tidak ditulis dalam kitab kehidupan.

Yohanes 5:28, 29 menyebut tentang dua kumpulan manusia yang disebut di Kisah 24:15. Dalam ayat itu, Yesus berkata, “Orang yang berbuat baik akan bangkit dan meraih kehidupan kekal, tetapi orang yang berbuat jahat akan bangkit dan dihakimi.” Orang yang baik berbuat baik sebelum mereka mati. Jadi mereka akan bangkit dan meraih kehidupan kekal kerana nama mereka masih tertulis dalam kitab kehidupan. Orang yang tidak baik pula berbuat jahat sebelum mereka mati, jadi mereka akan bangkit dan dihakimi. Nama mereka belum lagi ditulis dalam kitab kehidupan. Maka mereka perlu dihakimi, atau menjalani tempoh percubaan. Dalam tempoh masa itu, mereka akan berpeluang untuk mengenali Yehuwa supaya nama mereka dapat ditulis dalam kitab kehidupan.

Wahyu 20:12, 13 menjelaskan bahawa semua orang yang dibangkitkan perlu mematuhi apa “yang tertulis dalam kitab-kitab itu,” iaitu hukum baharu yang diberikan oleh Tuhan di dunia baharu nanti. Mereka yang tidak patuh akan dimusnahkan.—Yes. 65:20.

Daniel 12:2 menubuatkan bahawa antara orang yang dibangkitkan, “ada yang akan menikmati kehidupan kekal, dan ada pula yang akan dimalukan dan dibenci buat selama-lamanya.” Ayat ini menggambarkan kesudahan semua orang yang dibangkitkan. Pada akhir Pemerintahan Seribu Tahun Kristus, ada antara mereka yang akan mendapat kehidupan kekal, manakala yang lain pula akan “dibenci [atau, dimusnahkan] buat selama-lamanya.”—Why. 20:15; 21:3, 4.

Fikirkan perumpamaan ini: Dua kumpulan orang yang dibangkitkan boleh disamakan dengan orang asing yang ingin tinggal di negara lain. Orang baik adalah seperti orang asing yang diberi pas pekerja atau pas residen. Mereka diberi lebih banyak hak dan kebebasan. Orang yang tidak baik pula adalah seperti orang asing yang diberi pas sementara atau pas pelawat. Mereka perlu memenuhi syarat-syarat tertentu supaya dibenarkan terus tinggal di negara itu. Begitu juga, selepas dibangkitkan, orang yang tidak baik perlu mematuhi hukum Yehuwa dan membuktikan bahawa mereka ialah orang yang baik. Dengan itu, mereka boleh terus tinggal di bumi firdaus. Selain itu, tidak kira apa jenis pas yang mereka terima semasa mereka memasuki sesebuah negara, akhirnya sesetengah orang asing akan mendapat kewarganegaraan, manakala yang lain akan diusir. Kesudahan mereka akan ditentukan berdasarkan kelakuan dan sikap mereka di negara itu. Begitu juga, kesudahan bagi semua orang yang dibangkitkan akan ditentukan berdasarkan kesetiaan dan kelakuan mereka semasa di dunia baharu.

Yehuwa bukan sahaja Tuhan yang berbelas kasihan, tetapi juga Tuhan yang adil dan saksama. (Ul. 32:4; Mzm. 33:5) Dia akan menunjukkan kasih-Nya dengan membangkitkan orang yang baik dan orang yang tidak baik. Namun pada masa yang sama, Dia akan berpegang pada standard moral-Nya yang tinggi. Jadi hanya orang yang mengasihi-Nya dan hidup menurut standard-Nya akan dibenarkan untuk terus hidup di dunia baharu.