Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 47

Jangan Izinkan Apa-Apa untuk Memisahkan Anda daripada Yehuwa

Jangan Izinkan Apa-Apa untuk Memisahkan Anda daripada Yehuwa

“Aku tetap percaya kepada-Mu, ya Yehuwa.”​—MZM. 31:14.

LAGU 122 Berteguhlah, Jangan Goyah!

PENGENALAN a

1. Bagaimanakah kita tahu bahawa Yehuwa mahu menghampiri kita?

 YEHUWA mahu kita menghampiri-Nya. (Yak. 4:8) Dia mahu menjadi Tuhan kita, Bapa kita, dan Kawan kita. Dia menjawab doa kita dan membantu kita semasa kita menghadapi cabaran. Dia juga menggunakan organisasi-Nya untuk mengajar dan melindungi kita. Namun, apakah yang harus kita lakukan untuk menghampiri Yehuwa?

2. Bagaimanakah kita dapat menghampiri Yehuwa?

2 Kita dapat menghampiri Yehuwa dengan berdoa dan dengan membaca serta merenungkan Firman-Nya. Apabila kita berbuat demikian, kita akan semakin mengasihi dan menghargai-Nya, dan kita terdorong untuk mentaati dan memuji-Nya. (Why. 4:11) Apabila kita semakin mengenali Yehuwa, kita akan semakin mempercayai-Nya dan organisasi yang digunakan-Nya untuk membantu kita.

3. Bagaimanakah Syaitan cuba memisahkan kita daripada Yehuwa? Apakah yang kita perlukan supaya tidak meninggalkan Yehuwa dan organisasi-Nya? (Mazmur 31:13, 14)

3 Syaitan cuba memisahkan kita daripada Yehuwa, terutamanya semasa kita menghadapi cabaran. Syaitan cuba untuk menghakis kepercayaan kita terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya secara beransur-ansur. Tetapi kita dapat melawan taktiknya. Jika iman kita kuat dan kepercayaan kita terhadap Yehuwa teguh, kita tidak akan meninggalkan Yehuwa dan organisasi-Nya.​—Baca Mazmur 31:13, 14.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan tiga cabaran yang mungkin timbul dari luar sidang. Bagaimanakah cabaran-cabaran ini dapat merosakkan kepercayaan kita kepada Yehuwa dan organisasi-Nya? Apakah yang perlu kita lakukan supaya Syaitan tidak berjaya memisahkan kita daripada Yehuwa?

SEMASA KITA MENGHADAPI KESUSAHAN

5. Bagaimanakah kesusahan yang kita hadapi dapat merosakkan kepercayaan kita terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya?

5 Ada kalanya, kita menghadapi kesusahan seperti tentangan daripada keluarga atau kehilangan kerja. Bagaimanakah kesusahan sebegini dapat memisahkan kita daripada Yehuwa dan merosakkan kepercayaan kita terhadap organisasi-Nya? Apabila masalah kita berlanjutan, kita mungkin hilang harapan dan patah semangat. Syaitan ingin menggunakan kesempatan ini untuk membuat kita meragui kasih Yehuwa terhadap kita. Dia mahu kita berfikir bahawa masalah kita disebabkan oleh Yehuwa dan organisasi-Nya. Hal yang sama pernah terjadi kepada orang Israel di Mesir. Pada mulanya, mereka percaya bahawa Yehuwa melantik Musa dan Harun untuk menyelamatkan mereka. (Kel. 4:29-31) Tetapi semasa Firaun membuat hidup mereka bertambah susah, mereka menyalahkan Musa dan Harun. Mereka berkata, “Kamu telah menyebabkan Firaun dan pegawai-pegawainya membenci kami. Kamu telah memberi mereka pedang untuk membunuh kami.” (Kel. 5:19-21) Jika masalah anda berlanjutan, bagaimanakah anda dapat terus mempercayai Yehuwa dan organisasi-Nya?

6. Bagaimanakah teladan Nabi Habakuk mengajar kita cara untuk menghadapi kesusahan? (Habakuk 3:17-19)

6 Curahkanlah isi hati anda kepada Yehuwa menerusi doa, dan mintalah bantuan-Nya. Nabi Habakuk pernah menghadapi begitu banyak kesusahan sehingga dia tertanya-tanya jika Yehuwa mengambil berat tentangnya. Jadi, dia mencurahkan isi hatinya kepada Yehuwa menerusi doa. Dia berkata, “Ya Yehuwa, berapa lama lagi aku harus berseru meminta tolong? Bilakah Engkau akan mendengarkan seruanku? . . . Mengapakah Engkau membenarkan penindasan terjadi?” (Hab. 1:2, 3) Yehuwa telah menjawab doa Habakuk yang ikhlas. (Hab. 2:2, 3) Selepas merenungkan bagaimana Yehuwa pernah menyelamatkan umat-Nya, Habakuk mendapat semula sukacitanya. Dia yakin bahawa Yehuwa mengambil berat tentangnya dan akan membantunya menghadapi apa sahaja cubaan. (Baca Habakuk 3:17-19.) Apakah pengajarannya bagi kita? Semasa menghadapi kesusahan, berdoalah kepada Yehuwa, beritahu-Nya perasaan anda, dan mintalah bantuan-Nya. Selain itu, renungkan bagaimana Yehuwa pernah membantu anda supaya anda lebih yakin terhadap-Nya. Apabila anda merasai bantuan Yehuwa, iman anda terhadap-Nya pun akan bertambah kuat.

7. Apakah yang cuba dilakukan oleh saudara-mara Shirley? Apakah yang membantunya untuk terus mempercayai Yehuwa?

7 Kekalkan rutin rohani anda. Perhatikan bagaimana rutin rohani yang baik telah membantu Shirley, seorang saudari dari Papua New Guinea, semasa dia menghadapi kesusahan. b Keluarga Shirley miskin, dan ada kalanya mereka tidak cukup makanan. Salah seorang saudara-mara Shirley cuba merosakkan kepercayaannya terhadap Yehuwa. Dia berkata, “Kamu kata kuasa suci Tuhan membantu kamu, tapi mana ada? Keluarga kamu masih miskin. Buang masa sahaja kamu pergi menginjil.” Shirley mengaku, “Saya mula tertanya-tanya, ‘Adakah Tuhan mengambil berat terhadap kami?’ Jadi saya segera berdoa kepada Yehuwa dan memberitahu-Nya segala isi hati saya. Saya tidak berhenti membaca Bible dan bahan bacaan kita. Saya juga terus menginjil dan menghadiri perjumpaan.” Tidak lama kemudian, Shirley sedar bahawa Yehuwa memang menjaga keluarganya. Keluarganya tidak kelaparan, dan mereka hidup bahagia. Shirley berkata, “Saya rasa Yehuwa telah menjawab doa-doa saya.” (1 Tim. 6:6-8) Jika anda mengekalkan rutin rohani anda, kesusahan atau keraguan tidak dapat memisahkan anda daripada Yehuwa.

SEMASA SAUDARA TERLANTIK DIANIAYA

8. Apakah yang mungkin berlaku kepada para saudara yang terlantik dalam organisasi Yehuwa?

8 Musuh kita sering menggunakan media atau rangkaian sosial untuk menyebarkan dusta atau maklumat palsu tentang saudara-saudara yang terlantik. (Mzm. 31:13) Sesetengah saudara telah ditangkap dan dituduh melakukan jenayah. Hal yang sama pernah berlaku pada abad pertama semasa Rasul Paulus difitnah dan ditangkap. Apakah reaksi orang Kristian pada masa itu?

9. Apakah reaksi sesetengah orang Kristian semasa Paulus dipenjarakan?

9 Semasa Paulus dipenjarakan di Roma, sesetengah orang Kristian tidak lagi menyokongnya. (2 Tim. 1:8, 15) Mengapa? Adakah mereka berasa malu kerana Paulus dianggap sebagai penjenayah? Atau adakah mereka takut mereka juga akan dianiaya? (2 Tim. 2:8, 9) Kita tidak tahu sebabnya. Namun Paulus pasti berasa sangat sedih kerana dia telah menghadapi banyak kesusahan dan bahkan mempertaruhkan nyawanya demi mereka. (Kis. 20:18-21; 2 Kor. 1:8) Semoga kita tidak menjadi seperti mereka yang meninggalkan Paulus semasa dia memerlukan bantuan. Apakah yang harus kita ingat semasa saudara-saudara yang terlantik dianiaya?

10. Apakah yang harus kita ingat semasa saudara-saudara yang terlantik dianiaya?

10 Ingatlah sebabnya kita dianiaya dan siapa puncanya. Dua Timotius 3:12 menyatakan, “Semua orang yang mahu mengabdikan diri kepada Tuhan dan hidup bersatu dengan Kristus Yesus juga akan dianiaya.” Jadi kita tidak berasa hairan apabila para saudara yang terlantik menjadi sasaran serangan Syaitan. Syaitan ingin mematahkan integriti mereka dan membuat kita berasa takut.—1 Ptr. 5:8.

Walaupun Paulus dipenjarakan, Onesiforus menyokongnya dengan berani. Hari ini, saudara saudari kita menyokong rakan seiman yang dipenjarakan, seperti yang ditunjukkan dalam lakonan semula ini (Lihat perenggan 11-12)

11. Apakah yang dapat kita pelajari daripada teladan Onesiforus? (2 Timotius 1:16-18)

11 Teruslah menyokong saudara-saudara anda dengan setia. (Baca 2 Timotius 1:16-18.) Walaupun banyak orang Kristian meninggalkan Paulus semasa dia dipenjarakan, Onesiforus “tidak malu akan [Paulus] yang dibelenggu di dalam penjara.” Sebaliknya, dia sanggup menggadaikan nyawanya untuk mencari Paulus dan memikirkan jalan untuk menyokongnya. Apakah pengajarannya bagi kita? Janganlah takut akan manusia, dan janganlah berhenti menyokong saudara-saudara kita yang dianiaya. Sebaliknya, marilah kita membantu mereka dan mempertahankan mereka. (Ams. 17:17) Mereka perlukan kasih dan sokongan kita.

12. Apakah yang kita pelajari daripada saudara saudari kita di Rusia?

12 Perhatikan bagaimana saudara saudari kita di Rusia telah membantu rakan seiman mereka yang dipenjarakan. Apabila sesetengah saudara saudari dibawa ke mahkamah, rakan seiman mereka datang ke mahkamah untuk menunjukkan sokongan mereka. Apakah pengajarannya bagi kita? Apabila saudara-saudara yang mengambil pimpinan difitnah, ditangkap, dan dianiaya, janganlah berasa takut. Berdoalah untuk mereka, jagalah ahli keluarga mereka, dan carilah cara lain untuk menyokong mereka.​—Kis. 12:5; 2 Kor. 1:10, 11.

SEMASA KITA DIEJEK

13. Bagaimanakah ejekan orang lain mungkin merosakkan kepercayaan kita terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya?

13 Saudara-mara, rakan sekerja, atau rakan sekolah yang tidak seiman, mungkin mengejek kita kerana kita menginjil atau hidup menurut piawaian moral Yehuwa. (1 Ptr. 4:4) Mereka mungkin kata, “Kamu memang orang baik, tetapi agama kamu terlalu tegas dan ketinggalan zaman.” Oleh sebab kita tidak bergaul dengan orang yang disingkirkan, sesetengah orang mungkin mengkritik kita dan berkata, “Perbuatan kamu ini langsung tidak menunjukkan kasih!” Kata-kata sebegini boleh menimbulkan keraguan dalam minda kita dan membuat kita tertanya-tanya, “Adakah standard Yehuwa terlalu tinggi? Adakah organisasi-Nya membuat terlalu banyak peraturan?” Jika anda menghadapi situasi sebegini, apakah yang dapat anda lakukan supaya anda tetap mempercayai Yehuwa dan organisasi-Nya?

Ayub enggan mempercayai dusta daripada sahabat palsu yang mengejeknya. Sebaliknya, dia bertekad untuk mengekalkan kesetiaannya kepada Yehuwa (Lihat perenggan 14)

14. Apakah sepatutnya reaksi kita semasa diejek kerana mengikut standard Yehuwa? (Mazmur 119:50-52)

14 Bertekadlah untuk menjunjung standard Yehuwa. Ayub menjunjung standard Yehuwa biarpun dia diejek. Salah seorang sahabat palsu Ayub cuba meyakinkannya bahawa Tuhan tidak peduli sama ada Ayub berusaha untuk hidup mengikut standard Yehuwa atau tidak. (Ayb. 4:17, 18; 22:3) Namun Ayub tidak mempercayai dusta itu. Dia tahu bahawa standard Yehuwa memang benar, dan dia bertekad untuk mematuhinya. Dia tidak membiarkan kata-kata orang lain membuatnya meninggalkan Yehuwa. (Ayb. 27:5, 6) Apakah pengajarannya bagi kita? Jangan biarkan ejekan menyebabkan anda meragui standard Yehuwa. Fikir kembali pengalaman anda sendiri. Tidakkah anda melihat berulang kali bahawa standard Yehuwa memang betul dan bermanfaat? Maka bertekadlah untuk menyokong organisasi yang menjunjung standard Yehuwa. Dengan itu, tiada ejekan yang dapat memisahkan anda daripada Yehuwa.​—Baca Mazmur 119:50-52.

15. Mengapakah Brizit diejek?

15 Perhatikan pengalaman Brizit, seorang saudari di India, yang diejek oleh ahli keluarganya kerana imannya. Tidak lama selepas dia dibaptis pada tahun 1997, suaminya yang tidak seiman kehilangan kerja. Maka suami Brizit membuat keputusan untuk membawa keluarga mereka tinggal bersama ibu bapanya di kota yang lain. Di situ, Brizit menghadapi lebih banyak cabaran. Oleh sebab suaminya tiada kerja, dia terpaksa bekerja sepenuh masa untuk menyara keluarganya. Selain itu, sidang yang terdekat terletak kira-kira 350 kilometer dari rumah mereka. Sedih sekali, keluarga suaminya menentangnya kerana imannya. Situasinya menjadi begitu teruk sehingga keluarga Brizit terpaksa berpindah lagi. Selepas itu, suaminya meninggal secara tiba-tiba. Kemudian, salah seorang anak perempuannya mati akibat kanser pada umur 12 tahun. Untuk merumitkan lagi keadaan, saudara-mara Brizit menyalahkannya untuk semua malapetaka ini. Mereka mendakwa bahawa jika dia tidak menjadi seorang Saksi, semua tragedi ini tidak akan menimpa keluarganya. Biarpun menghadapi situasi yang sangat susah, Brizit tetap mempercayai Yehuwa dan organisasi-Nya.

16. Bagaimanakah Brizit diberkati kerana menghampiri Yehuwa dan organisasi-Nya?

16 Oleh sebab Brizit tinggal sangat jauh dari sidang, seorang penyelia litar menggalakkannya untuk menginjil di kawasan tempat tinggalnya dan mengadakan perjumpaan di rumahnya. Pada mulanya, Brizit berasa susah untuk melakukannya. Namun dia masih ikut nasihat yang diberikan. Dia mengongsi berita baik dengan orang lain, mengadakan perjumpaan di rumahnya, dan menetapkan masa untuk mengadakan penyembahan keluarga bersama anak-anak perempuannya. Apakah hasilnya? Dia diberkati kerana mempercayai Yehuwa dan tetap setia kepada organisasi-Nya. Brizit dapat memulakan dan mengadakan banyak pembelajaran Bible, dan ramai pelajarnya telah dibaptis. Pada tahun 2005, dia mula berkhidmat sebagai perintis biasa. Anak-anak perempuannya menyembah Yehuwa dengan setia, dan sekarang terdapat dua sidang di kawasan mereka! Brizit yakin bahawa Yehuwa telah menguatkannya untuk menghadapi kesusahan dan membantunya bertabah semasa diejek.

TETAP SETIA KEPADA YEHUWA DAN ORGANISASI-NYA

17. Apakah sepatutnya tekad kita?

17 Syaitan mahu kita percaya bahawa Yehuwa akan meninggalkan kita semasa kita dilanda masalah dan bahawa menyokong organisasi Yehuwa hanya akan menyebabkan hidup kita bertambah susah. Syaitan mahu kita berasa takut semasa saudara-saudara yang terlantik difitnah, dianiaya, atau dipenjarakan. Syaitan juga menggunakan orang yang suka mengejek untuk merosakkan kepercayaan kita terhadap organisasi Yehuwa dan standard-Nya. Namun kita tahu taktik Syaitan dan tidak akan tertipu. (2 Kor. 2:11) Jadi bertekadlah untuk menolak dusta Syaitan dan terus setia kepada Yehuwa dan organisasi-Nya. Ingatlah, Yehuwa tidak akan meninggalkan anda. (Mzm. 28:7) Oleh itu, jangan biarkan apa-apa pun untuk memisahkan anda daripada Yehuwa!​—Rm. 8:35-39.

18. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

18 Dalam rencana ini, kita telah membincangkan cabaran-cabaran yang mungkin kita hadapi dari luar sidang. Namun kepercayaan kita terhadap Yehuwa dan organisasi-Nya juga boleh diuji semasa timbulnya cabaran dari dalam sidang. Bagaimanakah kita dapat berjaya menghadapi cabaran ini? Kita akan membincangkannya dalam rencana seterusnya.

LAGU 118 “Berilah Kami Lebih Banyak Iman”

a Untuk tetap setia sepanjang hari-hari terakhir ini, kita mesti terus mempercayai Yehuwa dan organisasi-Nya. Namun Si Iblis cuba menggunakan cubaan yang kita hadapi untuk merosakkan kepercayaan kita. Rencana ini akan membincangkan tiga taktik yang digunakan oleh Iblis dan cara kita dapat mengatasinya.

b Sesetengah nama telah diubah.