Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 6

Apa yang Kita Belajar tentang Tuhan daripada Bible

Apa yang Kita Belajar tentang Tuhan daripada Bible

“Tulislah dalam sebuah kitab segala yang Aku firmankan kepadamu.”​—YER. 30:2.

LAGU 96 Kitab Tuhan yang Tak Ternilai

PENGENALAN a

1. Mengapakah anda bersyukur Tuhan telah memberi kita Bible?

 KITA sangat bersyukur kerana Tuhan Yehuwa telah memberi kita Bible. Dalam Bible, Tuhan memberi kita nasihat yang bijak yang membantu kita untuk menangani masalah dengan berjaya. Tuhan juga memberi kita harapan masa depan yang menakjubkan. Yang paling penting, Yehuwa telah menggunakan Bible untuk menyingkapkan sifat-sifat-Nya. Apabila kita merenungkan sifat-sifat-Nya, hati kita akan tersentuh dan kita akan terdorong untuk menghampiri Tuhan dan menjalin persahabatan dengan-Nya.​—Mzm. 25:14.

2. Apakah cara-cara yang digunakan oleh Yehuwa untuk membantu manusia mengenali-Nya?

2 Yehuwa ingin membantu manusia mengenali-Nya. Pada zaman dahulu, Dia berbuat demikian menerusi mimpi, penglihatan, dan perkhabaran daripada malaikat. (Bil. 12:6; Kis. 10:3, 4) Namun mimpi, penglihatan, atau perkhabaran daripada malaikat perlu dicatatkan supaya kita dapat mengkajinya. Maka Yehuwa menyuruh orang ‘menulis dalam sebuah kitab’ apa yang ingin disampaikan-Nya kepada kita. (Yer. 30:2) Oleh sebab “haluan Tuhan yang benar sungguh sempurna,” kita yakin bahawa inilah cara yang paling berkesan dan bermanfaat untuk menyampaikan perkhabaran-Nya kepada kita.​—Mzm. 18:30.

3. Bagaimanakah Yehuwa memastikan agar Firman-Nya terpelihara sampai hari ini? (Yesaya 40:8)

3 Baca Yesaya 40:8. Ayat-Ayat Suci ditulis ribuan tahun dahulu pada bahan yang mudah reput. Jadi tiada naskhah asal Bible yang wujud pada hari ini. Meskipun begitu, selama ribuan tahun, orang yang setia telah menerima banyak nasihat yang bijak daripada Bible. Bagaimanakah hal itu dapat berlaku? Yehuwa memastikan Firman-Nya disalin. Biarpun penyalin Firman Tuhan tidak sempurna, mereka sangat teliti. Mengenai Kitab Ibrani, seorang pakar Bible menulis, “Tiada karya kuno lain yang terpelihara dengan begitu tepat.” Jadi biarpun Bible ditulis ribuan tahun dahulu pada bahan yang mudah reput dan disalin oleh manusia yang tidak sempurna, kita boleh yakin bahawa Bible yang kita baca hari ini mengandungi fikiran Pengarangnya, iaitu Yehuwa.

4. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

4 Bible kata bahawa “setiap kurniaan yang baik dan setiap pemberian yang sempurna” datang daripada Yehuwa. (Yak. 1:17) Bible ialah salah satu kurniaan yang terbaik daripada Yehuwa. Apabila seseorang memberi kita hadiah, hadiah itu dapat menunjukkan sama ada orang itu betul-betul kenal kita dan tahu keperluan kita atau tidak. Halnya sama dengan Bible. Apabila kita meneliti Bible, ada banyak yang dapat kita belajar tentang Yehuwa. Kita belajar bahawa Yehuwa sangat mengenali kita dan keperluan kita. Dalam rencana ini, kita akan membincangkan bagaimana Bible menonjolkan tiga sifat Yehuwa, iaitu kebijaksanaan, keadilan, dan kasih-Nya. Mula-mula, mari kita lihat bagaimana Bible menyerlahkan kebijaksanaan Tuhan.

BIBLE MENONJOLKAN KEBIJAKSANAAN TUHAN

5. Bagaimanakah nasihat Bible menonjolkan kebijaksanaan Tuhan?

5 Yehuwa tahu bahawa kita memerlukan nasihat-Nya yang bijak. Maka Dia mengurniakan Bible, yang penuh dengan kebijaksanaan-Nya, kepada kita. Nasihat Bible dapat memberikan kesan yang baik kepada orang dan mengubah hidup mereka. Semasa beberapa buku Bible yang pertama ditulis, Musa memberitahu umat Tuhan, “Semua ajaran ini bukanlah kata-kata kosong, tetapi ajaran ini akan menjamin kehidupan kamu.” (Ul. 32:47) Orang yang mengikut nasihat Bible dapat hidup bahagia dan berjaya. (Mzm. 1:2, 3) Biarpun Bible ditulis ribuan tahun yang lalu, Bible masih mempunyai kuasa untuk mengubah hidup orang. Sebagai contoh, dalam siri “Bible Mengubah Hidup” di jw.org, terdapat sekitar 50 contoh zaman moden yang menunjukkan bagaimana Bible “sedang bekerja dalam diri [orang] yang percaya” dan membantu mereka menikmati kehidupan yang lebih bermakna.​—1 Tes. 2:13.

6. Mengapakah kita boleh berkata bahawa Bible ialah sebuah buku yang istimewa?

6 Bible tidak seperti buku-buku yang lain. Mengapa? Kerana Pengarangnya ialah Tuhan Yehuwa. Dia Tuhan yang maha kuasa, yang hidup selama-lamanya, dan yang paling bijaksana. Pengarang banyak buku sudah meninggal dan nasihat dalam buku-buku itu sudah ketinggalan zaman. Tetapi Pengarang Bible tidak akan mati, dan nasihat Bible bermanfaat kepada orang dari dahulu sehingga sekarang. Apabila kita membaca dan merenungkan apa yang kita belajar, Pengarang Bible akan menggunakan kuasa suci-Nya untuk membantu kita faham bagaimana kita dapat menerapkan nasihat Bible dalam kehidupan kita. (Mzm. 119:27; Mal. 3:16; Ibr. 4:12) Ya, Pengarang Bible sentiasa wujud dan bersedia untuk membantu anda! Tidakkah hal ini mendorong anda untuk membaca Bible secara tetap?

Bagaimanakah Bible menyatupadukan umat Tuhan pada masa dahulu dan pada masa sekarang? (Lihat perenggan 7-8)

7. Bagaimanakah Bible menyatupadukan umat Tuhan pada masa lalu?

7 Satu lagi cara Bible menyerlahkan kebijaksanaan Tuhan ialah Firman Tuhan dapat menyatupadukan umat-Nya. Semasa orang Israel masuk ke Tanah yang Dijanjikan, mereka tinggal di merata tempat. Ada yang menjadi nelayan, ada yang menjadi penternak, dan ada yang menjadi petani. Orang Israel yang tinggal di satu kawasan mungkin lupa dan tidak prihatin terhadap rakan seiman mereka yang tinggal di kawasan lain. Tetapi Yehuwa telah mengaturkan agar orang Israel berkumpul beberapa kali setahun untuk mendengar Firman-Nya dibaca dan dijelaskan. (Ul. 31:10-13; Neh. 8:2, 8, 18) Bayangkan perasaan orang Israel yang setia semasa mereka sampai di Yerusalem dan nampak jutaan rakan seiman daripada seluruh pelosok negara berkumpul di sana. Dengan berbuat demikian, Yehuwa telah membantu umat-Nya untuk tetap bersatu padu. Pada abad pertama, sidang Kristian ditubuhkan. Sidang Kristian terdiri daripada lelaki dan wanita daripada pelbagai latar belakang dan yang menuturkan banyak bahasa yang berlainan. Oleh sebab mereka mengasihi Bible, mereka menyembah Yehuwa dengan bersatu padu. Orang yang menjadi penyembah Tuhan pada masa itu hanya dapat memahami Firman Tuhan dengan bantuan rakan seiman dan dengan menghadiri perjumpaan.​—Kis. 2:42; 8:30, 31.

8. Bagaimanakah Bible menyatupadukan umat Yehuwa hari ini?

8 Tuhan kita yang bijaksana masih menggunakan Bible untuk mengajar dan menyatupadukan umat-Nya. Bible ialah sumber makanan rohani kita. Jadi kita sering berkumpul di perjumpaan, perhimpunan, dan konvensyen untuk mendengar ayat-ayat Bible dibacakan, dijelaskan, dan dibincangkan. Sesungguhnya, Bible merupakan alat penting yang digunakan oleh Yehuwa untuk membantu umat-Nya ‘berganding bahu untuk berkhidmat kepada-Nya.’​—Zef. 3:9.

9. Apakah sifat yang diperlukan untuk memahami mesej Bible? (Lukas 10:21)

9 Perhatikan satu lagi bukti yang menunjukkan bahawa Yehuwa bijaksana. Dia memastikan agar banyak bahagian Bible hanya boleh difahami oleh orang yang rendah hati. (Baca Lukas 10:21.) Fikirkan hal ini: Orang di serata dunia membaca Bible, dan seorang pakar berkata bahawa “Bible bukan sahaja buku yang paling banyak dibaca orang, tetapi juga buku yang dikaji dengan paling teliti.” Meskipun begitu, hanya orang yang benar-benar rendah hati dapat memahami dan menerapkan ajarannya.​—2 Kor. 3:15, 16.

10. Apakah satu lagi cara Bible menonjolkan kebijaksanaan Yehuwa?

10 Yehuwa bukan sahaja menggunakan Bible untuk mengajar kita sebagai sebuah kumpulan, tetapi juga untuk mengajar dan melegakan hati kita sebagai individu. Semasa membaca Bible, kita masing-masing dapat merasai minat peribadi Yehuwa terhadap kita. (Yes. 30:21) Apabila menghadapi masalah, sering kali kita membaca Bible dan berasa bahawa ayat tertentu ditulis khasnya untuk kita. Namun, Bible juga menyentuh hati jutaan orang. Jadi bagaimana mungkin Bible mengandungi maklumat yang terkini dan dapat memenuhi keperluan peribadi anda? Hal ini hanya dapat berlaku kerana Pengarangnya ialah Tuhan yang maha bijaksana.​—2 Tim. 3:16, 17.

BIBLE MENONJOLKAN KEADILAN TUHAN

11. Bagaimanakah cara Bible ditulis menunjukkan bahawa Tuhan tidak berat sebelah?

11 Yehuwa ialah Tuhan yang adil dan tidak berat sebelah. (Ul. 32:4; Kis. 10:34, 35; Rm. 2:11) Sifat itu ditonjolkan melalui cara Bible ditulis. Sebahagian besar daripada 39 buku Bible yang pertama ditulis dalam bahasa Ibrani, kerana itulah bahasa yang difahami oleh umat Tuhan pada zaman itu. Namun pada abad pertama Masihi, bahasa Yunani digunakan secara meluas. Jadi, sebahagian besar daripada 27 buku Bible yang terakhir ditulis dalam bahasa itu. Yehuwa tidak menentukan bahawa Firman-Nya hanya boleh ditulis dalam satu bahasa. Dewasa ini terdapat hampir lapan bilion orang di bumi yang menuturkan berbagai-bagai bahasa. Bagaimanakah mereka dapat mengenali Yehuwa?

12. Apakah salah satu cara nubuat di Daniel 12:4 menjadi kenyataan pada hari-hari terakhir?

12 Menerusi Nabi Daniel, Yehuwa berjanji bahawa pada akhir zaman, “pengetahuan yang benar” dalam Bible akan “berlimpah-limpah” dan banyak orang akan memahaminya. (Baca Daniel 12:4.) Salah satu cara pengetahuan Bible disebarkan secara meluas adalah melalui kerja terjemahan, penerbitan, dan pengedaran Bible dan bahan bacaan Bible. Bible ialah buku yang paling banyak diterjemahkan dan diedarkan di seluruh dunia. Bible yang dihasilkan oleh sesetengah syarikat dijual dengan harga yang sangat mahal. Tetapi umat Tuhan telah menterjemahkan sebahagian atau seluruh Firman Tuhan ke dalam lebih daripada 240 bahasa, dan mengedarkannya tanpa mengenakan bayaran. Hasilnya, orang di serata dunia dapat mendengar “berita baik tentang Kerajaan Tuhan” sebelum akhir tiba. (Mat. 24:14) Tuhan kita yang adil sangat mengasihi semua orang. Jadi Dia memberi peluang kepada seramai orang yang mungkin untuk membaca Firman-Nya dan mengenali-Nya.

BIBLE MENONJOLKAN KASIH TUHAN

13. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa Bible menonjolkan kasih Yehuwa? (Yohanes 21:25)

13 Bible menonjolkan sifat Tuhan yang paling unggul, iaitu kasih. (1 Yoh. 4:8) Oleh sebab Yehuwa mengasihi kita, Dia tidak membanjiri kita dengan terlalu banyak maklumat dalam Bible. Sebaliknya, Dia memberi kita maklumat yang kita perlukan untuk menjalin persahabatan yang erat dengan-Nya, menikmati hidup yang bahagia sekarang, dan mendapat kehidupan yang kekal pada masa depan.​—Baca Yohanes 21:25.

14. Apakah satu lagi cara Bible menonjolkan kasih Tuhan?

14 Cara Bible ditulis juga menonjolkan kasih Yehuwa. Dalam Bible, Dia tidak memberi kita banyak peraturan untuk mengawal setiap gerak-geri kita. Sebaliknya, Dia memberi kita kisah hidup, nubuat, dan nasihat yang praktikal kerana Dia percaya bahawa kita mampu menggunakan daya pemikiran untuk membuat keputusan yang baik. Cara Bible ditulis mendorong kita untuk mentaati Yehuwa kerana kita mengasihi-Nya.

Mengapakah kita patut merenungkan cara Yehuwa melayan umat-Nya pada masa lalu? (Lihat perenggan 15)

15. (a) Bagaimanakah Yehuwa menunjukkan bahawa Dia mengambil berat terhadap pembaca Firman-Nya? (b) Seperti yang ditunjukkan dalam gambar, budak perempuan, saudara muda, dan saudari tua itu merenungkan watak Bible yang mana? (Kej. 39:1, 10-12; 2 Raj. 5:1-3; Luk. 2:25-38)

15 Bible menunjukkan bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap kita. Bagaimanakah kita tahu? Firman-Nya mengandungi banyak kisah yang menunjukkan emosi yang biasa dialami oleh manusia. Kita dapat menyelami perasaan watak-watak Bible kerana mereka juga manusia biasa yang “mempunyai perasaan seperti kita.” (Yak. 5:17) Yang lebih penting, dengan memerhatikan bagaimana Yehuwa melayan orang seperti kita, kita dapat melihat dengan jelas bahawa “Yehuwa berbelas kasihan dan mempunyai kasih yang mendalam.”​—Yak. 5:11.

16. Apakah yang dapat kita belajar tentang Yehuwa semasa membaca tentang watak Bible yang berdosa? (Yesaya 55:7)

16 Perhatikan satu lagi cara Bible menunjukkan kasih Yehuwa terhadap kita. Bible memberi kita jaminan bahawa Tuhan tidak akan meninggalkan kita semasa kita berdosa. Orang Israel berulang kali berdosa terhadap Yehuwa. Namun apabila mereka bertaubat dengan ikhlas, Tuhan memaafkan mereka. (Baca Yesaya 55:7.) Hal yang sama berlaku dalam sidang Kristian pada abad pertama. Seorang lelaki telah melakukan dosa yang serius buat suatu jangka masa, tetapi dia kemudiannya bertaubat. Di bawah ilham Tuhan, Rasul Paulus menggalakkan rakan seiman untuk ‘mengampuni dia dan melegakan hatinya.’ (2 Kor. 2:6, 7; 1 Kor. 5:1-5) Ya, Yehuwa tidak akan menolak penyembah-Nya hanya kerana mereka telah berbuat dosa. Sebaliknya dengan penuh kasih, Yehuwa cuba untuk membantu mereka, membetulkan mereka, dan menjemput mereka untuk pulang ke pangkuan-Nya. Hari ini, Yehuwa berjanji untuk melakukan hal yang sama bagi semua pendosa yang bertaubat.​—Yak. 4:8-10.

HARGAI FIRMAN TUHAN

17. Mengapakah Bible merupakan kurniaan yang begitu istimewa?

17 Firman Tuhan memang kurniaan yang sangat istimewa daripada Yehuwa. Seperti yang telah kita pelajari, Bible menonjolkan kebijaksanaan, keadilan, dan kasih Tuhan. Kurniaan ini membuktikan bahawa Yehuwa mahu kita mengenali-Nya dan menjadi sahabat-Nya.

18. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai Bible?

18 Kita tidak mahu lupa bahawa Bible ialah “kurniaan yang baik” daripada Tuhan. (Yak. 1:17) Maka, marilah kita terus menunjukkan bahawa kita menghargai kurniaan ini dengan membaca dan merenungkan Firman Tuhan. Jika kita berbuat demikian, kita dapat yakin bahawa Pengarang Bible akan memberkati usaha kita, dan kita “akan memperoleh pengetahuan tentang Tuhan.”​—Ams. 2:5.

LAGU 98 Bible​—Diilhami oleh Tuhan

a Bible membantu kita menghampiri Yehuwa. Apakah hal-hal yang dapat kita belajar tentang kebijaksanaan, keadilan, dan kasih Tuhan daripada kitab suci itu? Hal-hal itu akan memperdalam penghargaan kita terhadap Firman Tuhan dan membantu kita memandang Bible sebagai pemberian daripada Bapa kita yang di syurga.