Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 9

Nyawa ialah Kurniaan Tuhan—Hargainya!

Nyawa ialah Kurniaan Tuhan—Hargainya!

“Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia.”​—KIS. 17:28.

LAGU 141 Mukjizat Kehidupan

PENGENALAN a

1. Apakah pandangan Yehuwa terhadap nyawa kita?

 BAYANGKAN seorang sahabat memberi anda sebuah lukisan antik yang sangat mahal, yang nilainya berjuta-juta ringgit. Lukisan itu sudah pudar dan mempunyai sedikit kotoran. Meskipun begitu, anda tentu menghargai dan melindungi lukisan itu. Begitu juga, Yehuwa telah memberi kita satu kurniaan yang sangat bernilai, iaitu nyawa. Dalam pandangan Yehuwa, nyawa kita begitu berharga sehingga Dia sanggup mengorbankan Anak-Nya sebagai tebusan bagi kita.​—Yoh. 3:16.

2. Menurut 2 Korintus 7:1, apakah yang Yehuwa mahu kita lakukan?

2 Yehuwa ialah Sumber kehidupan. (Mzm. 36:9) Rasul Paulus menulis, “Kita hidup, bergerak, dan wujud kerana Dia.” (Kis. 17:25, 28) Yehuwa bukan sahaja memberi kita nyawa, tetapi Dia juga menyediakan apa yang kita perlukan untuk terus hidup. (Kis. 14:15-17) Namun, Yehuwa tidak menggunakan mukjizat untuk memelihara nyawa kita. Dia mahu kita melakukan apa yang mampu untuk menjaga kesihatan fizikal dan rohani kita. (Baca 2 Korintus 7:1.) Mengapakah kita patut menjaga kesihatan dan nyawa kita, dan bagaimanakah kita dapat melakukannya?

MENGHARGAI NYAWA

3. Mengapakah kita patut menjaga kesihatan kita?

3 Salah satu sebab kita patut menjaga kesihatan kita adalah kerana kita ingin menyembah Yehuwa dengan sebaik yang mungkin. (Mrk. 12:30) Kita ingin “mempersembahkan tubuh [kita] sebagai korban yang hidup, suci, dan yang menyenangkan hati Tuhan.” Itulah sebabnya kita menghindari hal-hal yang dapat merosakkan kesihatan kita. (Rm. 12:1) Memang benar, kita tidak dapat mengelak daripada jatuh sakit. Namun kita berusaha menjaga kesihatan kerana kita ingin menunjukkan kepada Yehuwa bahawa kita menghargai nyawa yang dikurniakan-Nya.

4. Apakah yang ingin dilakukan oleh Raja Daud?

4 Raja Daud menjelaskan sebabnya dia menghargai nyawanya. Dia menulis, “Apa gunanya jika aku mati? Apa gunanya jika aku turun ke lubang kubur? Dapatkah orang di kuburan memuji-Mu? Dapatkah mereka menceritakan kesetiaan-Mu?” (Mzm. 30:9) Biarpun Daud mungkin sudah sangat tua semasa menulis kata-kata ini, dia masih ingin terus hidup dan mempunyai kesihatan yang baik supaya dia dapat memuji Yehuwa. Kita semua mempunyai keinginan yang sama, bukan?

5. Biarpun kita lanjut usia dan sakit, apakah yang masih dapat kita lakukan?

5 Jika kita tua dan sakit, kita mungkin tidak dapat melakukan banyak hal yang dapat kita lakukan dahulu. Akibatnya kita mungkin rasa kecewa dan geram. Namun, kita tidak mahu berputus asa atau mengabaikan kesihatan kita. Mengapa? Kerana biarpun kita lanjut usia dan sakit, kita masih dapat memuji Yehuwa, seperti yang dilakukan oleh Raja Daud. Ingatlah, Tuhan kita menghargai kita biarpun kita tidak sempurna! (Mat. 10:29-31) Tambahan lagi, biarpun kita meninggal, Dia akan merindui kita dan ingin membangkitkan kita. (Ayb. 14:14, 15) Bukankah ini sebab yang baik untuk berusaha menjaga kesihatan dan nyawa kita?

MENJAUHI TABIAT BURUK

6. Apakah yang Yehuwa mahu kita lakukan dalam soal makan dan minum?

6 Bible bukanlah buku panduan tentang pemakanan atau kesihatan. Tetapi Bible memberitahu kita fikiran Yehuwa tentang hal-hal ini. Sebagai contoh, Tuhan mahu kita ‘menghindari apa-apa yang merosakkan’ tubuh kita. (Pkh. 11:10) Bible juga mengutuk tabiat yang membahayakan nyawa, seperti makan dan minum berlebihan. (Ams. 23:20) Ya, Yehuwa mahu kita mempunyai kawalan diri dalam soal makan dan minum.​—1 Kor. 6:12; 9:25.

7. Bagaimanakah nasihat di Amsal 2:11 membantu kita menjaga kesihatan diri?

7 Jika kita menggunakan daya pemikiran dengan baik, kita akan membuat keputusan yang menunjukkan bahawa kita menghargai nyawa yang dikurniakan oleh Tuhan. (Mzm. 119:99, 100; baca Amsal 2:11.) Misalnya, kita akan memilih makanan dengan cermat. Jika kita suka makan sesuatu tetapi makanan itu akan membuat kita jatuh sakit, kita tidak akan memakannya. Kita juga menunjukkan bahawa kita mempunyai daya pemikiran yang baik apabila kita mendapatkan tidur yang cukup, bersenam secara kerap, dan mempunyai rutin yang baik untuk menjaga kebersihan diri dan tempat tinggal kita.

UTAMAKAN KESELAMATAN

8. Apakah pandangan Tuhan tentang pentingnya menjaga keselamatan?

8 Yehuwa memberi bangsa Israel hukum-hukum yang membantu mereka menghindari kemalangan yang serius di rumah dan di tempat kerja. (Kel. 21:28, 29; Ul. 22:8) Jika seseorang membunuh orang lain, biarpun hal itu berlaku dengan tidak sengaja, dia harus menanggung akibat yang serius. (Ul. 19:4, 5) Hukum Tuhan juga menyatakan bahawa seseorang yang mencederakan seorang bayi yang belum lahir harus dihukum. (Kel. 21:22, 23) Maka, Bible menunjukkan dengan jelas bahawa Yehuwa mahu kita mengutamakan keselamatan.

Dalam situasi-situasi ini, bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghormati nyawa? (Lihat perenggan 9)

9. Apakah yang perlu kita lakukan untuk mengelakkan kemalangan? (Lihat juga gambar.)

9 Kita menunjukkan bahawa kita menghargai nyawa dengan mengutamakan keselamatan di rumah dan di tempat kerja. Sebagai contoh, kita akan membuang benda yang tajam, bahan kimia yang toksik, atau ubat-ubatan, dengan cara yang selamat dan menjauhkan benda-benda ini daripada kanak-kanak. Kita akan berhati-hati semasa menyalakan api, mengendalikan cecair yang panas, dan menggunakan peralatan yang berkuasa tinggi, dan kita tidak akan meninggalkan benda-benda ini tanpa diawasi. Selain itu, kita tidak akan memandu semasa di bawah pengaruh alkohol, selepas mengambil ubat tertentu, atau semasa mengantuk. Kita juga tidak akan membiarkan alat elektronik untuk mengganggu perhatian kita semasa memandu.

SEMASA KRISIS MELANDA

10. Apakah yang dapat kita lakukan sebelum dan semasa krisis berlaku?

10 Sesetengah kejadian yang mengancam nyawa, seperti bencana alam, wabak penyakit, dan peperangan, tidak dapat dielakkan. Namun semasa krisis sebegini melanda, kita dapat mengurangkan risiko dan melindungi diri dengan mematuhi perintah berkurung, arahan untuk berpindah, dan sekatan lain. (Rm. 13:1, 5-7) Ada kalanya, kita diberi amaran sebelum krisis melanda, maka kita patut mengikut arahan pihak berkuasa dan membuat persiapan awal. Contohnya, kita boleh menyediakan bekalan air, makanan yang tahan lama, dan kit bekalan kecemasan.

11. Apakah yang patut kita lakukan semasa diancam wabak yang menular?

11 Apakah yang patut kita lakukan jika wabak penyakit menular di tempat tinggal kita? Kita harus mematuhi perintah pihak berkuasa dalam soal seperti mencuci tangan, mengamalkan penjarakan sosial, memakai pelitup muka, dan kuarantin. Jika kita menghargai nyawa, kita akan mematuhi perintah sebegini dengan teliti.

12. Bagaimanakah prinsip di Amsal 14:15 membantu kita agar tidak ditipu oleh maklumat palsu apabila krisis melanda?

12 Semasa krisis melanda, maklumat palsu mungkin tersebar dalam kalangan sahabat, jiran, dan di media massa. Kita tidak mahu mempercayai “setiap kata” yang kita dengar. Sebaliknya, kita mahu mendapatkan maklumat yang sahih daripada pihak kerajaan dan pakar perubatan. (Baca Amsal 14:15.) Badan Pimpinan dan pejabat cawangan berusaha keras untuk mendapatkan maklumat yang tepat sebelum memberikan arahan tentang perjumpaan dan kerja menginjil. (Ibr. 13:17) Dengan mematuhi arahan yang diberikan, kita sedang melindungi diri dan orang lain. Kita juga mungkin dapat membantu orang lain mempunyai pandangan yang positif tentang Saksi-Saksi Yehuwa.​—1 Ptr. 2:12.

BERSEDIA UNTUK MENJAUHI DARAH

13. Bagaimanakah kita menunjukkan bahawa kita menghargai nyawa yang dikurniakan oleh Tuhan semasa berdepan dengan isu darah?

13 Saksi-Saksi Yehuwa dikenali ramai kerana menganggap darah itu suci. Kita mematuhi hukum Yehuwa berkenaan darah dan enggan menerima transfusi darah, bahkan semasa kecemasan berlaku. (Kis. 15:28, 29) Namun, hal itu tidak bermaksud kita ingin mati. Sebaliknya, kita menghargai nyawa. Itulah sebabnya kita mencari doktor yang sudi memberikan rawatan yang berkualiti tinggi tanpa menggunakan transfusi darah.

14. Apakah yang dapat kita lakukan untuk mengelakkan masalah perubatan yang serius?

14 Jika kita menjaga kesihatan kita mengikut langkah-langkah yang disebutkan dalam rencana ini, kita dapat mengelakkan masalah perubatan yang serius. Biarpun kita perlu menjalani pembedahan, jika kita ada menjaga kesihatan, kita dapat sembuh dengan lebih cepat. Kita juga dapat mengurangkan risiko berlakunya kemalangan dengan menjaga keselamatan di rumah dan di tempat kerja serta mematuhi undang-undang jalan raya.

Oleh sebab kita menghargai nyawa, kita mengisi kad Arahan Penjagaan Kesihatan dan sentiasa membawa kad itu bersama kita (Lihat perenggan 15) c

15. (a) Mengapakah penting untuk sentiasa membawa kad Arahan Penjagaan Kesihatan? (Lihat juga gambar.) (b) Seperti yang ditunjukkan dalam video, bagaimanakah kita dapat membuat keputusan yang bijak dalam rawatan yang melibatkan darah?

15 Oleh sebab kita menghargai nyawa, kita akan mengisi dan sentiasa membawa kad Arahan Penjagaan Kesihatan bersama kita. Dalam kad ini, kita menyatakan keputusan kita tentang rawatan perubatan dan transfusi darah. Adakah kad Arahan Penjagaan Kesihatan anda sudah dikemaskinikan? Jika anda perlu mengisi atau mengemaskini maklumat dalam kad anda, lakukannya dengan segera. Apabila kita sudah menulis keputusan kita, masa yang diperlukan untuk berbincang dengan doktor dapat dipendekkan, dan kita dapat menerima rawatan dengan secepat yang mungkin. Kita juga dapat memastikan kita tidak diberi ubat atau rawatan yang dapat membahayakan kesihatan kita. b

16. Apakah yang dapat anda lakukan jika anda tidak pasti cara untuk mengisi arahan penjagaan kesihatan anda?

16 Meskipun anda muda dan sihat, ingatlah bahawa kita semua mungkin ditimpa kemalangan atau jatuh sakit pada bila-bila masa. (Pkh. 9:11) Oleh itu, adalah bijak jika kita memastikan kad Arahan Penjagaan Kesihatan kita telah diisi. Jika anda tidak pasti tentang cara untuk mengisi kad ini, dapatkanlah bantuan daripada para penatua di sidang anda. Mereka dapat membantu anda untuk memahami apa yang dinyatakan dalam kad itu dan pilihan-pilihan yang dapat anda buat, tetapi mereka tidak akan membuat keputusan perubatan untuk anda. Itu ialah tanggungjawab anda. (Gal. 6:4, 5) Namun, mereka dapat membantu anda untuk mengungkapkan keputusan anda dan menulisnya dengan jelas.

BERSIKAP MUNASABAH

17. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan sikap munasabah dalam soal kesihatan?

17 Dalam soal kesihatan dan rawatan perubatan, kita perlu buat banyak pilihan berdasarkan hati nurani yang telah dilatih oleh Bible. (Kis. 24:16; 1 Tim. 3:9) Semasa membuat keputusan dan membincangkannya dengan orang lain, kita digalakkan untuk menerapkan nasihat di Filipi 4:5 yang kata, “Hendaklah sikap munasabah kamu diketahui semua orang.” Jika kita bersikap munasabah, kita tidak akan terlampau risau dengan kesihatan kita. Kita juga tidak akan memaksa orang lain untuk mengikut pandangan kita. Sebaliknya, kita mengasihi dan menghormati saudara saudari kita, biarpun keputusan mereka berbeza daripada keputusan kita.​—Rm. 14:10-12.

18. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan bahawa kita menghargai nyawa?

18 Kita dapat menunjukkan penghargaan kita kepada Yehuwa, Sumber kehidupan, dengan menjaga nyawa kita dan berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati. (Why. 4:11) Sekarang kita mungkin menghidap penyakit dan menghadapi malapetaka lain. Tetapi ingatlah, Tuhan tidak menciptakan kita untuk menderita. Maka tidak lama lagi, Dia akan memberi kita kehidupan kekal tanpa kesakitan dan kematian. (Why. 21:4) Sementara menantikan masa itu tiba, semoga kita bersyukur kerana kita dapat hidup dan berkhidmat kepada Yehuwa, Bapa kita yang pengasih!

LAGU 140 Akhirnya Hidup Kekal Tiba!

a Rencana ini akan membantu kita lebih menghargai pemberian Tuhan, iaitu nyawa. Kita akan melihat langkah-langkah untuk melindungi kesihatan dan nyawa sendiri apabila krisis melanda. Kita juga akan membincangkan cara untuk mencegah kemalangan yang serius daripada berlaku. Selain itu, kita akan membincangkan bagaimana kita dapat bersedia untuk menghadapi kecemasan perubatan.

c KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara muda mengisi kad Arahan Penjagaan Kesihatan dan sentiasa membawa kad itu bersamanya.