Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 34

Belajarlah daripada Nubuat Bible

Belajarlah daripada Nubuat Bible

“Orang yang berpengertian akan memahaminya.”​—DAN. 12:10.

LAGU 98 Bible​—Diilhami oleh Tuhan

PENGENALAN a

1. Apakah yang dapat membantu kita menyukai nubuat Bible?

 “SAYA suka belajar nubuat Bible,” kata Ben, yang disebut dalam rencana sebelumnya. Adakah anda setuju dengannya? Atau adakah anda berasa nubuat Bible terlalu susah untuk difahami dan bahkan membosankan? Namun, apabila anda memahami mengapa Yehuwa memastikan nubuat dicatatkan dalam Bible, anda mungkin mula menyukai nubuat Bible.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Dalam rencana ini, kita akan membincangkan mengapa kita patut mengkaji nubuat Bible dan bagaimana kita dapat melakukannya. Kemudian, kita akan mengkaji dua nubuat dalam buku Daniel dan melihat manfaatnya untuk kita jika kita memahami nubuat-nubuat itu.

MENGAPAKAH KITA PATUT MENGKAJI NUBUAT BIBLE?

3. Apakah yang perlu kita lakukan jika kita ingin memahami nubuat Bible?

3 Kita perlu meminta bantuan jika kita ingin memahami nubuat Bible. Bayangkan anda melawat ke sebuah tempat buat kali pertama. Anda langsung tidak mengenali tempat itu, tetapi seorang kawan yang sangat mengenali tempat itu pergi bersama anda. Dia tahu semua jalan di situ dan ke mana hala tuju anda. Anda tentu bersyukur kerana ada kawan sebegitu, bukan? Begitu juga, Yehuwa tahu nubuat apa yang sedang berlaku sekarang dan apa yang bakal berlaku pada masa depan. Maka, untuk memahami nubuat Bible, kita mesti bersikap rendah hati dan meminta bantuan Yehuwa. Bak kata pepatah, “Malu bertanya, sesat jalan.”​—Dan. 2:28; 2 Ptr. 1:19, 20.

Jika kita mengkaji nubuat Bible, kita dapat bersedia menghadapi peristiwa yang bakal berlaku (Lihat perenggan 4)

4. Mengapakah Yehuwa memastikan agar nubuat dicatatkan dalam Firman-Nya? (Yeremia 29:11) (Lihat juga gambar.)

4 Seperti ibu atau bapa yang penyayang, Yehuwa mahu kita mempunyai masa depan yang baik. (Baca Yeremia 29:11.) Namun, tidak seperti ibu bapa manusia, Yehuwa dapat memberitahu kita secara tepat apa yang akan berlaku pada masa depan. Dia memastikan agar nubuat dicatatkan dalam Firman-Nya supaya kita dapat tahu peristiwa penting yang akan berlaku. (Yes. 46:10) Maka nubuat Bible sebenarnya ialah kurniaan daripada Bapa kita yang pengasih. Tetapi bagaimanakah anda dapat yakin bahawa nubuat Bible betul-betul akan menjadi kenyataan?

5. Apakah yang dapat orang muda belajar daripada pengalaman Max?

5 Di banyak negara, anak muda kita selalunya dikelilingi rakan sekolah yang tidak menghormati Bible. Kata-kata dan kelakuan mereka dapat menimbulkan keraguan dalam hati para Saksi muda. Perhatikan pengalaman Max. Dia berkata, “Semasa remaja, saya mula tertanya-tanya jika apa yang diajarkan oleh ibu bapa saya ialah ajaran yang benar, dan sama ada Bible diilhami oleh Tuhan atau tidak.” Apakah yang dilakukan oleh ibu bapa Max? Dia berkata, “Mereka tetap tenang biarpun mereka rasa risau.” Ibu bapa Max menjawab pertanyaannya dengan menggunakan Bible. Bagaimana pula dengan Max? Dia berkata, “Saya mengkaji nubuat-nubuat Bible dan mengongsi apa yang saya pelajari dengan orang muda lain di sidang. Hasilnya, saya diyakinkan bahawa Bible diilhami oleh Tuhan!”

6. Apakah yang perlu anda lakukan jika anda mempunyai keraguan? Mengapa?

6 Jika anda mula ragu-ragu sama ada ajaran Bible ialah kebenaran atau tidak, janganlah menyalahkan diri. Namun, anda juga perlu melakukan sesuatu. Mengapa? Keraguan adalah seperti karat yang dapat beransur-ansur merosakkan logam yang berharga. Untuk membuang “karat” daripada iman anda, tanyalah diri, “Adakah saya percaya apa yang dikatakan Bible tentang masa depan?” Jika anda ragu-ragu, kajilah nubuat-nubuat Bible yang sudah menjadi kenyataan. Bagaimanakah anda dapat melakukannya?

CARA UNTUK MENGKAJI NUBUAT BIBLE

Untuk percaya sepenuhnya kepada Yehuwa seperti Daniel, kita mesti mengkaji nubuat Bible dengan rendah hati, dengan teliti, dan dengan niat yang betul (Lihat perenggan 7)

7. Bagaimanakah Daniel menetapkan teladan yang baik dalam mengkaji nubuat Bible? (Daniel 12:10) (Lihat juga gambar.)

7 Daniel menetapkan teladan baik dalam mengkaji nubuat Bible. Dia mempunyai niat hati yang betul, iaitu untuk mengetahui kebenaran. Dia juga rendah hati. Dia sedar bahawa Yehuwa akan memberikan pengertian kepada orang yang mengenali dan mematuhi-Nya. (Dan. 2:27, 28; baca Daniel 12:10.) Daniel menunjukkan bahawa dia rendah hati dengan bergantung pada bantuan Yehuwa. (Dan. 2:18) Dia juga sangat teliti. Dia mengkaji Ayat-Ayat Suci yang tersedia. (Yer. 25:11, 12; Dan. 9:2) Bagaimanakah anda dapat meniru teladan Daniel?

8. Apakah tujuan sesetengah orang mengkaji nubuat Bible? Apakah sepatutnya tujuan kita?

8 Periksa niat hati anda. Adakah anda mengkaji nubuat Bible kerana mendahagakan kebenaran? Jika ya, Yehuwa akan membantu anda memahami nubuat Bible. (Yoh. 4:23, 24; 14:16, 17) Sesetengah orang mengkaji nubuat Bible untuk mencari bukti bahawa Bible tidak diilhami oleh Tuhan. Mereka ingin menggunakan hal itu sebagai alasan untuk menentukan bagi diri sendiri apa yang betul dan salah. Jadi, memiliki niat hati yang betul sangat penting. Kita juga memerlukan satu sifat supaya dapat memahami nubuat Bible.

9. Apakah sifat yang diperlukan untuk memahami nubuat Bible? Jelaskan.

9 Kerendahan hati. Yehuwa berjanji untuk membantu mereka yang rendah hati. (Yak. 4:6) Jadi kita harus berdoa meminta bantuan-Nya untuk memahami nubuat Bible. Kita juga harus sedar bahawa kita memerlukan bantuan daripada saluran yang digunakan oleh Yehuwa untuk memberi kita makanan rohani tepat pada waktunya. (Luk. 12:42) Memandangkan Yehuwa ialah Tuhan yang teratur, adalah masuk akal jika Dia menggunakan satu saluran sahaja untuk membantu kita memahami kebenaran yang terkandung dalam Firman-Nya.​—1 Kor. 14:33; Ef. 4:4-6.

10. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Esther?

10 Bersikap teliti. Pilihlah satu nubuat Bible yang anda minati dan kajilah nubuat itu dahulu. Itulah yang dilakukan oleh Saudari Esther, yang disebut dalam rencana sebelumnya. Dia sangat berminat tentang nubuat mengenai kedatangan Mesias. Dia berkata, “Semasa saya berumur 15 tahun, saya mula mencari bukti yang menunjukkan bahawa nubuat-nubuat itu ditulis sebelum zaman Yesus.” Apakah yang didapatinya setelah mengkaji maklumat tentang Gulungan Laut Mati? Dia berkata, “Sesetengah nubuat itu ditulis sebelum zaman Yesus. Jadi nubuat dalam Bible pasti berasal daripada Tuhan.” Esther mengaku, “Ada kalanya saya perlu membaca maklumat itu beberapa kali untuk memahaminya.” Tetapi dia berasa sangat gembira kerana dia telah berusaha untuk berbuat demikian. Selepas mengkaji beberapa nubuat Bible dengan teliti, dia berkata, “Saya betul-betul yakin bahawa Bible dapat dipercayai!”

11. Apakah manfaat yang kita raih jika kita sendiri mengkaji bukti bahawa Bible memang dapat dipercayai?

11 Setelah mengkaji bagaimana nubuat-nubuat Bible menjadi kenyataan, kita dapat memiliki keyakinan yang sepenuhnya terhadap Yehuwa dan bimbingan-Nya. Selain itu, kita dapat bersikap positif tidak kira apa masalah yang sedang kita hadapi. Sekarang, mari kita membincangkan dua nubuat dalam buku Daniel yang sedang terjadi pada zaman kita. Dengan memahami nubuat-nubuat itu, kita dapat membuat keputusan yang bijak dalam kehidupan kita.

KAKI YANG DIPERBUAT DARIPADA TANAH LIAT DAN BESI​—KAITANNYA DENGAN ANDA

12. Kaki yang diperbuat daripada “campuran tanah liat dan besi” itu melambangkan apa? (Daniel 2:41-43)

12 Baca Daniel 2:41-43. Dalam mimpinya, Raja Nebukadnezar nampak sebuah patung besar yang kakinya diperbuat daripada “campuran tanah liat dan besi.” Setelah membandingkan nubuat ini dengan nubuat lain dalam buku Daniel dan Wahyu, kita faham bahawa kaki itu melambangkan Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. Mengenai kuasa dunia ini, Daniel menulis, “Sebahagian daripada kerajaan itu kuat dan sebahagian lagi lemah.” Mengapakah kerajaan itu lemah? Kerana kerajaan itu dilemahkan oleh rakyatnya, yang dilambangkan oleh “tanah liat,” sehingga tidak dapat bertindak dengan kekuatan seperti besi. b

13. Apakah kebenaran penting yang dapat kita pelajari daripada nubuat ini?

13 Daripada catatan Daniel tentang patung besar dan kakinya, kita belajar dua kebenaran yang penting. Pertama, Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika pernah menunjukkan kekuatannya. Sebagai contoh, dua negara ini telah memainkan peranan utama dalam memenangi Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Namun, kuasanya telah dilemahkan dan akan terus dilemahkan kerana rakyatnya berpecah belah dan menentang kerajaan. Kedua, kuasa dunia ini akan menjadi kuasa dunia yang terakhir. Walaupun sesetengah negara nampaknya mampu mencabar Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika, mereka tidak akan menggantikan kuasa dunia ini. Kita tahu hal ini kerana nubuat Daniel menunjukkan bahawa kaki patung itu akan dihancurkan oleh “batu,” iaitu Kerajaan Tuhan, dan bukannya oleh kuasa dunia lain.​—Dan. 2:34, 35, 44, 45.

14. Bagaimanakah memahami nubuat tentang kaki yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan besi membantu kita membuat keputusan yang bijak?

14 Adakah anda yakin bahawa nubuat Daniel tentang kaki yang diperbuat daripada campuran tanah liat dan besi sedang berlaku? Jika ya, hal itu patut mempengaruhi kehidupan anda sekarang. Anda tidak akan mengejar kekayaan dalam dunia yang bakal dimusnahkan. (Luk. 12:16-21; 1 Yoh. 2:15-17) Anda juga akan sedar pentingnya melakukan kerja menginjil dan mengajar. (Mat. 6:33; 28:18-20) Selepas mengkaji nubuat ini, tanyalah diri, “Adakah keputusan yang saya buat menunjukkan bahawa saya yakin Kerajaan Tuhan akan menghancurkan semua kerajaan manusia tidak lama lagi?”

“RAJA UTARA” DAN “RAJA SELATAN”—KAITANNYA DENGAN ANDA

15. Hari ini, siapakah “raja utara” dan “raja selatan”? (Daniel 11:40)

15 Baca Daniel 11:40. Daniel bab 11 menyebut tentang dua raja, atau kuasa politik, yang bersaing untuk menjadi kerajaan yang paling berpengaruh di dunia. Setelah membandingkan nubuat ini dengan nubuat yang lain dalam Bible, kita tahu bahawa “raja utara” ialah Rusia dan sekutu-sekutunya, manakala “raja selatan” ialah Kuasa Dunia Inggeris dan Amerika. c

Kita dapat menguatkan iman kita dan tidak terlalu risau jika kita sedar bahawa tentangan daripada “raja utara” dan “raja selatan” sebenarnya memenuhi nubuat Bible (Lihat perenggan 16-18)

16. Apakah cabaran yang dihadapi oleh umat Tuhan yang hidup di bawah pemerintahan “raja utara”?

16 Umat Tuhan yang hidup di bawah pemerintahan “raja utara” menghadapi penganiayaan yang teruk. Ada antara mereka yang dipukul dan dipenjarakan kerana iman mereka. Namun, perbuatan “raja utara” bukan sahaja tidak menggertakkan mereka, malah menguatkan iman mereka. Mengapa? Kerana mereka tahu bahawa penganiayaan ini memenuhi nubuat Daniel. d (Dan. 11:41) Jika kita ingat akan hal ini, harapan kita akan tetap teguh dan kita dapat tetap setia kepada Tuhan.

17. Apakah cabaran yang dihadapi oleh umat Tuhan yang hidup di bawah pemerintahan “raja selatan”?

17 Pada masa lalu, “raja selatan” juga pernah menganiaya umat Yehuwa. Contohnya, semasa Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua, ramai saudara dipenjarakan dan sebilangan anak Saksi dibuang sekolah kerana berpendirian neutral. Meskipun umat Yehuwa yang hidup di bawah pemerintahan “raja selatan” tidak lagi menghadapi penganiayaan sebegini, kesetiaan mereka kepada Kerajaan Tuhan masih diuji dalam cara yang tidak begitu ketara. Misalnya, semasa musim pilihan raya, seorang Kristian tidak akan pergi mengundi, tetapi dalam hati dan mindanya, dia mungkin tergoda untuk menyokong satu parti atau calon politik. Maka amatlah penting untuk tetap neutral dalam hal politik, bukan sahaja dalam perbuatan kita, tetapi juga dalam fikiran dan perasaan kita!​—Yoh. 15:18, 19; 18:36.

18. Apakah reaksi kita apabila melihat “raja utara” dan “raja selatan” “saling berlawan”? (Lihat juga gambar.)

18 Mereka yang tidak beriman terhadap nubuat Bible mungkin sangat risau apabila melihat “raja selatan” dan “raja utara” “saling berlawan.” (Dan. 11:40) Kedua-dua raja ini mempunyai senjata nuklear yang mampu memusnahkan kehidupan di bumi. Namun kita tahu bahawa Yehuwa tidak akan membiarkan hal itu berlaku. (Yes. 45:18) Jadi, daripada membuat kita risau, permusuhan antara “raja utara” dan “raja selatan” menguatkan iman kita. Hal ini menunjukkan bahawa akhir sistem dunia ini sudah dekat.

TERUSLAH MENGKAJI NUBUAT BIBLE

19. Apakah yang harus kita sedar tentang nubuat Bible?

19 Kita tidak tahu bagaimana sesetengah nubuat Bible akan menjadi kenyataan. Bahkan Nabi Daniel pun tidak memahami semua hal yang dicatatkannya. (Dan. 12:8, 9) Namun, hanya kerana kita tidak tahu bagaimana suatu nubuat akan menjadi kenyataan tidak bermaksud nubuat itu tidak akan berlaku. Kita yakin bahawa Yehuwa akan menyingkapkan apa yang perlu kita tahu pada masa yang paling tepat, seperti yang dilakukan-Nya pada masa dahulu.​—Amo. 3:7.

20. Apakah nubuat-nubuat Bible yang akan menjadi kenyataan tidak lama lagi? Apakah yang perlu kita terus lakukan?

20 Tidak lama lagi, bangsa-bangsa akan mengumumkan bahawa “semuanya damai dan selamat.” (1 Tes. 5:3) Selepas itu, kuasa-kuasa politik dunia akan menyerang agama palsu dan membinasakannya. (Why. 17:16, 17) Kemudian mereka akan menyerang umat Tuhan. (Yeh. 38:18, 19) Akhirnya, perang Armagedon akan tercetus. (Why. 16:14, 16) Semua peristiwa ini pasti berlaku tidak lama lagi. Sementara menantikan masa itu tiba, marilah kita terus menunjukkan penghargaan kepada Yehuwa dengan mengkaji nubuat Bible dan membantu orang lain melakukan hal yang sama.

LAGU 95 Cahaya Rohani Kian Terang

a Tidak kira betapa teruknya keadaan dunia ini, kita yakin bahawa kita mempunyai masa depan yang cerah. Kita dapat yakin akan hal ini jika kita mengkaji nubuat Bible. Rencana ini akan membincangkan beberapa sebab mengapa kita patut mengkaji nubuat Bible. Kita juga akan mengkaji dua nubuat dalam buku Daniel dan melihat manfaat yang akan kita raih jika kita memahami nubuat-nubuat itu.

b Lihat rencana “Yehuwa Menyingkapkan Apa yang ‘Segera Harus Berlaku,’” per. 7-9, dalam Menara Pengawal terbitan 15 Jun 2012.

c Lihat rencana “Siapakah ‘Raja Utara’ pada Zaman Ini?,” per. 3-4, dalam Menara Pengawal terbitan Mei 2020.

d Lihat rencana “Siapakah ‘Raja Utara’ pada Zaman Ini?,” per. 7-9, dalam Menara Pengawal terbitan Mei 2020.