Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

1923​—Seratus Tahun yang Lalu

1923​—Seratus Tahun yang Lalu

“TAHUN 1923 dijangkakan menjadi tahun yang sangat menarik,” kata Menara Pengawal 1 Januari 1923. “Kita diberi penghormatan yang besar untuk memberitahu . . . orang yang tertindas bahawa masa yang lebih baik bakal tiba.” Sememangnya, tahun itu merupakan tahun yang sangat menggalakkan bagi para Pelajar Bible kerana mereka menjadi lebih bersatu padu semasa menjalankan ibadat dan menginjil.

PERJUMPAAN MENGGALAKKAN PERPADUAN

Kalendar dengan ayat Bible dan nombor lagu rohani

Pada tahun itu, organisasi kita membuat sesetengah perubahan yang membantu memupuk perpaduan dalam kalangan Pelajar Bible. Contohnya, Menara Pengawal mula menerbitkan penjelasan bagi ayat Bible yang akan dibincangkan semasa Perjumpaan Doa, Pujian, dan Testimoni. Selain itu, Pelajar Bible menghasilkan kalendar dengan ayat Bible untuk setiap minggu dan lagu rohani yang dapat dinyanyikan semasa pembelajaran peribadi dan penyembahan keluarga.

Di perjumpaan mereka, Pelajar Bible akan memberikan “testimoni,” contohnya mereka akan mengongsikan pengalaman mereka dalam kerja penyebaran, mengucapkan syukur kepada Yehuwa, bernyanyi, atau berdoa. Eva Barney, seorang saudari yang dibaptis pada tahun 1923 semasa berumur 15 tahun, berkata, “Jika anda mahu memberikan testimoni, anda harus berdiri dan mula berkata sesuatu seperti, ‘Saya mahu mengucapkan syukur kepada Tuhan atas segala kebaikan-Nya terhadap saya.’” Sesetengah saudara saudari sangat suka memberikan testimoni. Saudari Barney menambah, “Saudara Godwin yang sudah tua sangat suka memberikan testimoni kerana ada banyak hal yang ingin dia ucapkan syukur kepada Tuhan. Tetapi apabila isterinya nampak saudara yang mengambil pimpinan mula kelihatan resah kerana dia lama bercakap, isterinya akan menarik kotnya dengan lembut supaya dia berhenti bercakap dan duduk.”

Sekali sebulan, setiap sidang akan mengadakan Perjumpaan Doa, Pujian, dan Testimoni yang istimewa. Tentang perjumpaan itu, Menara Pengawal 1 April 1923 menyatakan, “Separuh daripada perjumpaan digunakan untuk memberikan testimoni berkaitan dengan kerja menginjil dan menggalakkan para penyiar. . . . Kami percaya hal ini akan menggalakkan perpaduan dan membantu saudara saudari menjadi semakin rapat.”

Charles Martin, seorang penyiar dari Vancouver, Kanada, yang berumur 19 tahun, telah meraih manfaat daripada perjumpaan sedemikian. Dia berkata, “Di sinilah kali pertama saya belajar apa yang harus dikatakan semasa menginjil. Sering kali, saudara saudari akan mengongsi pengalaman mereka semasa menginjil dari rumah ke rumah. Daripada pengalaman mereka, saya mendapat idea tentang apa yang harus dikatakan dan cara untuk menjawab pertanyaan penghuni rumah.”

KERJA PENYEBARAN MENGGALAKKAN PERPADUAN

Bulletin 1 Mei 1923

“Hari menginjil” juga menyumbang kepada perpaduan organisasi kita. Menara Pengawal 1 April 1923 mengumumkan, “Untuk menggalakkan perpaduan . . . , hari Selasa, 1 Mei 1923, dikhaskan sebagai hari menginjil. Begitu juga, hari Selasa yang pertama bagi bulan-bulan yang berikutnya dikhaskan untuk menginjil . . . Setiap ahli sidang harus mengambil bahagian dalam kerja ini.”

Bahkan Pelajar Bible yang muda menyertai kerja menginjil. Hazel Burford, yang berumur 16 tahun pada masa itu, berkata, “Bulletin a mempunyai cadangan perbualan yang boleh kita hafal. Saya mengambil bahagian dalam semua aktiviti ini dengan bersemangat bersama datuk saya.” Namun, Saudari Burford menerima tentangan daripada orang yang tidak dijangkakannya. Dia berkata, “Seorang saudara tua membantah saya keluar menginjil. Pada masa itu, sesetengah orang tidak faham bahawa semua Pelajar Bible, termasuk ‘pemuda dan pemudi,’ harus turut menyertai sidang untuk memuji Pencipta Agung kita.” (Mzm. 148:12, 13) Namun Saudari Burford tidak berputus asa. Pada kemudian hari, dia menghadiri Sekolah Gilead kelas kedua dan berkhidmat sebagai mubaligh di Panama. Secara beransur-ansur, saudara saudari itu telah mengubah pandangan mereka terhadap orang muda dalam kerja penyebaran.

PERHIMPUNAN MENGGALAKKAN PERPADUAN

Konvensyen tempatan dan serantau juga menggalakkan perpaduan dalam kalangan saudara saudari. Banyak konvensyen ini mengekhaskan satu hari konvensyen sebagai hari menginjil. Misalnya, pada 31 Mac, konvensyen di Winnipeg, Kanada, mengadakan hari menginjil dan semua hadirin dijemput untuk mengambil bahagian. Hari-hari menginjil seperti ini telah menjadi asas bagi memajukan kerja penyebaran pada masa depan. Pada 5 Ogos, sekitar 7,000 orang telah menghadiri sebuah konvensyen lain di Winnipeg. Pada masa itu, angka ini ialah angka tertinggi bagi jumlah hadirin konvensyen di Kanada.

Konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa yang paling penting pada tahun 1923 diadakan dari 18-26 Ogos, di Los Angeles, California. Berminggu-minggu sebelumnya, terdapat iklan dalam beberapa surat khabar mengenai konvensyen itu dan Pelajar Bible telah mengedarkan lebih daripada 500,000 jemputan. Kain rentang tentang konvensyen itu juga diletakkan pada kenderaan awam dan kenderaan peribadi.

Konvensyen Pelajar Bible pada tahun 1923 di Los Angeles

Pada hari Sabtu, 25 Ogos, Saudara Rutherford telah menyampaikan ceramahnya yang bertajuk “Biri-Biri dan Kambing.” Dia menjelaskan bahawa “biri-biri” ialah orang yang berhati jujur yang akan tinggal di bumi firdaus. Dia juga memperkenalkan resolusi yang bertajuk “Suatu Amaran.” Resolusi ini mendedahkan agama-agama Kristian palsu dan menggalakkan orang yang berhati jujur untuk mengasingkan diri daripada “Babilon Besar.” (Why. 18:2, 4) Pada kemudian hari, para Pelajar Bible di seluas dunia telah mengedarkan jutaan salinan resolusi itu dengan bersatu padu.

“Hal ini akan menggalakkan perpaduan dan membantu saudara saudari menjadi semakin rapat”

Pada hari terakhir konvensyen, terdapat lebih daripada 30,000 orang yang mendengar ceramah umum Saudara Rutherford yang bertajuk “Semua Bangsa Menuju ke Armagedon, tetapi Jutaan Orang yang Hidup Sekarang Tidak Akan Mati.” Para Pelajar Bible menjangkakan banyak orang akan datang, maka mereka menyewa stadium Los Angeles Coliseum yang baru siap dibina. Untuk memastikan semua hadirin dapat dengar, para saudara menggunakan sistem pembesar suara stadium, yang pada masa itu merupakan teknologi yang baharu. Ramai orang lain telah mendengar program itu melalui radio.

KERJA PENYEBARAN BERKEMBANG MAJU DI SERATA DUNIA

Pada tahun 1923, kerja penyebaran berkembang maju di Afrika, Amerika Selatan, Eropah, dan India. Di India, Saudara A. J. Joseph telah menjaga penghasilan bahan bacaan dalam bahasa Hindi, Tamil, Telugu, dan Urdu, sambil menyara kehidupan isteri dan enam orang anaknya.

William R. Brown bersama keluarganya

Di Sierra Leone, Alfred Joseph dan Leonard Blackman menulis kepada ibu pejabat sedunia di Brooklyn, New York, untuk meminta lebih banyak penyiar. Pada 14 April 1923, permintaan mereka dikabulkan. Alfred berkata, “Pada Sabtu lewat malam, saya menerima panggilan telefon yang tidak saya jangkakan.” Dia mendengar suara yang nyaring bertanya, “Adakah kamu yang menulis kepada Pertubuhan Watch Tower untuk meminta lebih banyak penyiar?” “Ya,” jawab Alfred. Kemudian suara itu menjawab, “Mereka telah menghantar saya.” Suara itu ialah suara Saudara William R. Brown. Hari itu, dia baru sampai dari Caribbean bersama isterinya Antonia, dan dua orang anak perempuan mereka yang kecil, iaitu Louise dan Lucy. Tidak lama kemudian, para saudara telah berjumpa dengan keluarga baharu ini.

Alfred menyambung, “Pada keesokan paginya, semasa saya dan Leonard sedang mengadakan pembelajaran Bible mingguan, seorang lelaki yang besar dan tinggi muncul di depan pintu. Dia ialah Saudara Brown. Dia sangat bersemangat dan mahu memberi ceramah umum pada keesokan hari.” Dalam masa kurang dari sebulan, Saudara Brown habis mengedarkan semua bahan bacaan yang dibawanya. Tidak lama kemudian, dia menerima 5,000 buah buku lagi, tetapi semua itu pun dia habis edarkan dengan cepat sekali. Namun Saudara Brown tidak dikenali sebagai penjual buku. Sepanjang khidmatnya sebagai penyembah Yehuwa yang bersemangat, dia selalu merujuk kepada ayat Bible semasa menyampaikan ceramah, dan itulah sebabnya dia digelar Bible Brown.

Bethel di Magdeburg pada tahun 1920-an

Di Jerman, para saudara memutuskan untuk memindahkan pejabat cawangan yang terletak di Barmen, kerana tempat itu terlalu kecil. Mereka juga mendapat berita bahawa tidak lama lagi, tentera Perancis akan menyerang kota itu. Mereka telah menjumpai kompleks bangunan di Magdeburg yang sesuai bagi mereka dan dapat memuatkan semua peralatan percetakan. Pada 19 Jun, para saudara siap membawa semua mesin percetakan dan benda-benda lain ke Bethel baharu di Magdeburg. Pada keesokan hari, selepas mereka telah memberitahu ibu pejabat sedunia bahawa mereka sudah siap berpindah, surat khabar mengumumkan bahawa tentera Perancis telah menyerang dan menakluki kota Barmen. Para saudara dapat lihat bukti bahawa Yehuwa sedang memberkati dan melindungi mereka.

George Young dengan Sarah Ferguson (kanan) dan kakaknya

Di Brazil, Saudara George Young, yang sering mengadakan perjalanan yang jauh untuk menginjil telah menubuhkan pejabat cawangan yang baharu dan mula menerbitkan majalah Menara Pengawal dalam bahasa Portugis. Dalam masa beberapa bulan sahaja, dia telah mengedarkan lebih daripada 7,000 bahan bacaan. Ketibaannya di Brazil juga membuka peluang bagi Saudari Sarah Ferguson untuk dibaptis. Saudari Ferguson sudah membaca majalah Menara Pengawal sejak tahun 1899. Biarpun dia telah membaktikan diri kepada Tuhan, dia tidak pernah dibaptis. Beberapa bulan kemudian, Saudari Ferguson dan empat orang anaknya telah dibaptis.

“TERUS BERKHIDMAT DENGAN BERSEMANGAT DAN SUKACITA”

Pada penghujung tahun itu, Menara Pengawal terbitan 15 Disember 1923 menggambarkan bagaimana perubahan terhadap perjumpaan, kerja penyebaran, dan konvensyen, telah mempengaruhi para Pelajar Bible. Majalah itu menyatakan, “Maka jelaslah bahawa sidang-sidang . . . ada iman yang kuat . . . Marilah kita mengenakan perlengkapan senjata rohani dan tidak berputus asa. Semoga kita bertekad untuk terus berkhidmat dengan bersemangat dan sukacita pada tahun yang berikutnya.”

Tahun berikutnya ialah tahun yang penting bagi para Pelajar Bible. Para saudara di Bethel telah bekerja keras di sebuah tapak pembinaan di Staten Island, yang terletak tidak jauh dari ibu pejabat di Brooklyn. Bangunan-bangunan di lokasi baharu itu siap pada awal tahun 1924, dan usaha mereka itu telah membantu untuk menyatupadukan persaudaraan kita serta mengembangkan kerja penyebaran dalam cara yang menakjubkan.

Kerja pembinaan di Staten Island

a Kini dikenali sebagai Kehidupan dan Kegiatan Kristian KitaLembaran Kerja.