Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 1

LAGU 38 Dia Akan Menguatkanmu

Atasi Rasa Takut dengan Berharap kepada Yehuwa

Atasi Rasa Takut dengan Berharap kepada Yehuwa

AYAT TAHUNAN 2024: “Apabila aku berasa takut, aku berharap kepada-Mu.”MZM. 56:3.

FOKUS

Belajarlah bagaimana kita dapat menguatkan keyakinan kita kepada Yehuwa dan mengatasi rasa takut.

1. Mengapakah ada kalanya kita berasa takut?

 SEMUA orang ada kalanya berasa takut. Selepas belajar Bible, kita tidak lagi takut akan orang mati, roh-roh jahat, dan masa depan. Namun, kita masih hidup pada masa yang penuh dengan “kejadian yang menakutkan,” seperti peperangan, jenayah, dan wabak penyakit. (Luk. 21:11) Kita juga mungkin takut terhadap orang, seperti pihak berkuasa atau ahli keluarga yang menentang kita. Ada yang risau bahawa mereka tidak dapat menangani cabaran yang sedang dihadapi atau cabaran yang mungkin timbul pada masa depan.

2. Jelaskan apa yang berlaku kepada Daud semasa di Gat.

2 Daud juga pernah berasa takut. Sebagai contoh, semasa Raja Saul memburu Daud, Daud melarikan diri ke Gat, sebuah kota orang Filistin. Raja Gat, iaitu Akhis, mendapat tahu bahawa Daud ialah pahlawan gagah yang disanjung kerana telah membunuh “berpuluh-puluh ribu” orang Filistin. Oleh itu, Daud “berasa sangat takut terhadap Raja Akhis.” (1 Sam. 21:​10-12) Apakah yang membantu Daud menjadi berani biarpun dia berasa takut?

3. Menurut Mazmur 56:​1-3, 11, bagaimanakah Daud mengatasi rasa takutnya?

3 Di Mazmur 56, Daud meluahkan perasaannya semasa berada di Gat. Namun, dia bukan sahaja menceritakan rasa takutnya, tetapi juga mencatatkan bagaimana dia mengatasinya. Semasa Daud berasa takut, dia berharap kepada Yehuwa. (Baca Mazmur 56:​1-3, 11.) Oleh sebab dia percaya kepada Tuhan, dia telah diberkati. Dengan bantuan Tuhan, Daud telah melaksanakan satu rancangan yang luar biasa tetapi sangat berkesan: Dia berpura-pura menjadi orang yang tidak siuman! Semasa melihat Daud, Akhis tidak menganggapnya sebagai ancaman, tetapi sebagai orang gila yang patut diusir. Hasilnya, Daud berjaya melarikan diri.—1 Sam. 21:13–22:1.

4. Bagaimanakah kita dapat menguatkan keyakinan kita kepada Yehuwa? Berikan contoh.

4 Kita juga dapat mengatasi rasa takut kita dengan mempercayai Yehuwa. Namun, bagaimanakah kita dapat menguatkan keyakinan kita kepada Tuhan, terutamanya semasa kita berasa takut? Fikirkan contoh ini: Jika anda mendapat tahu bahawa anda menghidap sesuatu penyakit, pada mulanya anda mungkin berasa takut. Namun, terdapat seorang doktor yang sudah berjaya merawat banyak orang yang menghidap penyakit yang sama. Dia juga mendengar dengan teliti semasa anda menceritakan situasi anda dan meyakinkan anda bahawa dia memang memahami perasaan anda. Selain itu, dia mencadangkan rawatan yang sudah membantu banyak pesakit. Anda pasti tidak rasa begitu takut lagi kerana anda yakin terhadap doktor itu. Begitu juga, keyakinan kita kepada Yehuwa akan bertambah kuat jika kita memikirkan apa yang sudah, sedang, dan akan dilakukan-Nya bagi kita. Mari kita lihat bagaimana Daud berbuat demikian menerusi kata-katanya di Mazmur 56. Kemudian, fikirkan bagaimana anda juga dapat menguatkan keyakinan anda kepada Yehuwa dan mengatasi rasa takut.

APA YANG SUDAH YEHUWA LAKUKAN

5. Apakah yang direnungkan oleh Daud untuk mengatasi rasa takutnya? (Mazmur 56:​12, 13)

5 Semasa nyawa Daud terancam, dia merenungkan apa yang sudah Yehuwa lakukan. (Baca Mazmur 56:​12, 13.) Itulah yang dilakukan oleh Daud sepanjang hidupnya. Contohnya, kadangkala Daud merenungkan ciptaan Yehuwa. Hal itu mengingatkannya bahawa Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Kuasa dan Dia sangat prihatin terhadap manusia. (Mzm. 65:​6-9) Daud juga merenungkan apa yang sudah Yehuwa lakukan untuk orang lain. (Mzm. 31:19; 37:​25, 26) Selain itu, dia merenungkan apa yang sudah Yehuwa lakukan untuknya secara peribadi. Yehuwa telah menyokong dan melindungi Daud sejak bayi lagi. (Mzm. 22:​9, 10) Sememangnya, perenungan sedemikian pasti menguatkan keyakinan Daud terhadap Yehuwa!

Daud menguatkan keyakinannya kepada Yehuwa dengan bertumpu kepada apa yang sudah, sedang, dan akan Yehuwa lakukan (Lihat perenggan 5, 8, 12) d


6. Apakah yang dapat membantu anda yakin kepada Yehuwa semasa anda berasa takut?

6 Semasa anda berasa takut, tanyalah diri, “Apakah yang sudah Yehuwa lakukan?” Anda boleh merenungkan ciptaan Yehuwa seperti burung dan bunga. Fikirkan: Burung dan bunga tidak diciptakan menurut gambaran Tuhan dan tidak menyembah-Nya. Namun begitu, Yehuwa masih menjaga burung dan bunga. Dengan merenungkan hal ini, kita akan bertambah yakin bahawa Yehuwa pasti menjaga keperluan kita. (Mat. 6:​25-32) Anda juga boleh merenungkan apa yang sudah Yehuwa lakukan untuk para penyembah-Nya. Anda boleh mengkaji kisah Bible tentang seorang penyembah Tuhan yang sangat beriman, atau membaca pengalaman hamba Tuhan pada zaman moden. a Tambahan lagi, anda boleh merenungkan apa yang telah Yehuwa lakukan untuk anda. Misalnya, bagaimanakah Yehuwa memimpin anda untuk menerima kebenaran? (Yoh. 6:44) Bagaimanakah Dia menjawab doa-doa anda? (1 Yoh. 5:14) Bagaimanakah korban tebusan Anak-Nya membawa manfaat kepada anda setiap hari?—Ef. 1:7; Ibr. 4:​14-16.

Kita menguatkan keyakinan kita kepada Yehuwa dengan bertumpu kepada apa yang sudah, sedang, dan akan Yehuwa lakukan (Lihat perenggan 6, 9-10, 13-14) e


7. Bagaimanakah pengalaman Nabi Daniel membantu Vanessa mengatasi rasa takutnya?

7 Vanessa, b seorang saudari di Haiti, menghadapi situasi yang menakutkan. Seorang lelaki menelefonnya dan menghantar mesej kepadanya setiap hari untuk mendesak Vanessa untuk mengadakan hubungan seks dengannya. Apabila Vanessa menolak, lelaki itu menjadi semakin agresif dan bahkan mengugutnya. Vanessa berkata, “Saya rasa takut.” Bagaimanakah dia mengatasi rasa takutnya? Dia mengambil langkah berjaga-jaga untuk melindungi diri, dan seorang penatua menggalakkannya menghubungi pihak berkuasa. Vanessa juga merenungkan bagaimana Yehuwa pernah melindungi hamba-hamba-Nya pada masa lalu. “Orang pertama yang terlintas dalam fikiran saya ialah Nabi Daniel,” kata Vanessa. “Dia tidak bersalah, tetapi dia dibuang ke dalam gua yang penuh dengan singa yang lapar. Meskipun begitu, Yehuwa telah melindunginya. Saya minta Yehuwa selesaikan masalah saya, dan saya tidak takut lagi selepas itu.”—Dan. 6:​12-22.

APA YANG SEDANG YEHUWA LAKUKAN

8. Daud yakin akan hal apa? (Mazmur 56:8)

8 Walaupun nyawa Daud terancam semasa dia berada di Gat, dia tidak bertumpu kepada hal-hal yang buat dia rasa takut. Sebaliknya, dia berfikir tentang apa yang sedang Yehuwa lakukan untuknya. Daud dapat merasai bimbingan dan perlindungan Yehuwa, dan dia yakin Yehuwa memahami perasaannya. (Baca Mazmur 56:8.) Daud juga yakin bahawa Yehuwa memberinya kawan seperti Yonatan dan Imam Agung Ahimelekh, yang menyokongnya dengan setia dan memberinya bantuan praktikal. (1 Sam. 20:​41, 42; 21:​6, 8, 9) Biarpun Raja Saul mahu membunuhnya, Daud berjaya melarikan diri. Maka, Daud yakin bahawa Yehuwa tahu apa yang sedang berlaku kepadanya dan bagaimana hal itu mempengaruhinya secara emosi.

9. Apakah yang diketahui Yehuwa tentang setiap seorang daripada kita?

9 Semasa menghadapi cubaan yang menakutkan, ingatlah bahawa Yehuwa tahu situasi anda dan perasaan anda. Sebagai contoh, Yehuwa bukan sahaja nampak bagaimana orang Israel di Mesir ditindas, tetapi juga memahami “kesakitan mereka.” (Kel. 3:7) Dalam lagu yang digubahnya, Daud menulis bahawa Yehuwa bukan sahaja melihat penderitaannya, tetapi juga tahu bahawa dia berasa sangat sengsara. (Mzm. 31:7) Selain itu, “semasa [umat Tuhan] menderita, Tuhan juga berasa sedih” biarpun mereka menderita akibat keputusan buruk mereka sendiri. (Yes. 63:9) Jadi, semasa anda takut, ingatlah bahawa Yehuwa memahami perasaan anda dan ingin sekali membantu anda mengatasi rasa takut anda.

10. Mengapakah anda yakin bahawa Yehuwa mengambil berat terhadap anda dan akan membantu anda menghadapi cubaan dengan tabah?

10 Semasa anda sedang mengharungi cubaan yang menakutkan, anda mungkin tidak dapat lihat bagaimana Yehuwa sedang membantu anda. Jadi, berdoalah dan mintalah Yehuwa membantu anda sedar bagaimana Dia sedang menyokong anda. (2 Raj. 6:​15-17) Kemudian, tanyalah diri, “Pernahkah saya dikuatkan oleh mana-mana ceramah atau komen di perjumpaan? Pernahkah saya digalakkan oleh bahan bacaan, video, atau lagu asal tertentu? Pernahkah seseorang mengongsi poin atau ayat Bible yang melegakan hati saya?” Kadangkala kita mungkin lupa bahawa rakan seiman yang penyayang dan makanan rohani yang melimpah ialah kurniaan daripada Yehuwa untuk membantu kita mengharungi cubaan dengan tabah. (Yes. 65:13; Mrk. 10:​29, 30) Kurniaan-kurniaan ini membuktikan bahawa Dia mengambil berat terhadap kita dan bahawa kita memang dapat yakin kepada-Nya.—Yes. 49:​14-16.

11. Apakah yang membantu Aida untuk mengatasi rasa takutnya?

11 Aida, yang tinggal di Senegal, merasai bantuan Yehuwa semasa dia menghadapi cabaran. Dia ialah anak sulung dan ibu bapanya mahu dia menyara hidup mereka. Tetapi selepas Aida menyederhanakan hidupnya untuk merintis, dia menghadapi masalah kewangan. Keluarganya marah dengannya dan mula mengutuknya. Dia berkata, “Saya takut saya tidak dapat membantu ibu bapa saya dan semua orang akan membenci saya. Saya bahkan menyalahkan Yehuwa kerana mengizinkan saya menderita.” Kemudian, semasa dia menghadiri perjumpaan, seorang penceramah mengingatkan para hadirin bahawa Yehuwa tahu semua keperitan dalam hati kita. Aida menyambung, “Secara beransur-ansur, selepas mendengar nasihat para penatua dan orang lain, saya yakin semula bahawa Yehuwa mengasihi saya. Saya mula berdoa kepada Yehuwa dengan penuh keyakinan dan merasai kedamaian sejati semasa melihat bagaimana doa saya dijawab.” Tidak lama kemudian, Aida mendapat kerja yang membantu dia untuk menyara hidupnya sebagai perintis dan memberikan bantuan kewangan kepada ibu bapanya dan orang lain. Dia kata, “Saya belajar untuk yakin kepada Yehuwa dengan sepenuhnya. Sekarang, selalunya selepas saya berdoa, rasa takut saya terus hilang.”

APA YANG AKAN YEHUWA LAKUKAN

12. Menurut Mazmur 56:​9, Daud yakin akan hal apa?

12 Baca Mazmur 56:9. Ayat ini menunjukkan satu lagi cara Daud mengatasi rasa takutnya. Semasa nyawanya terancam, dia merenungkan apa yang akan Yehuwa lakukan baginya. Daud tahu bahawa Yehuwa akan menyelamatkannya pada masa yang paling sesuai kerana Yehuwa pernah berjanji bahawa Daud akan menjadi raja Israel. (1 Sam. 16:​1, 13) Daud yakin sepenuhnya bahawa janji Yehuwa pasti ditunaikan.

13. Kita yakin Yehuwa akan melakukan apa?

13 Apakah yang sudah dijanjikan oleh Yehuwa kepada anda? Dia tidak berjanji bahawa kehidupan kita sekarang akan bebas daripada masalah. c Namun, tidak kira apa cubaan yang anda hadapi, Yehuwa akan melenyapkannya di dunia baharu. (Yes. 25:​7-9) Sebagai Pencipta Yang Maha Kuasa, sudah pasti Dia mampu membangkitkan orang mati, menyembuhkan segala penyakit kita, dan membinasakan semua penentang.—1 Yoh. 4:4.

14. Kita boleh merenungkan apa?

14 Apabila anda takut, renungkanlah harapan masa depan yang dijanjikan Yehuwa. Fikirkan perasaan anda semasa Syaitan dan orang jahat dilenyapkan dan bumi hanya ada orang baik yang beransur-ansur menjadi sempurna. Semasa konvensyen serantau 2014, kita telah melihat demonstrasi yang menunjukkan bagaimana seorang bapa membantu ahli keluarganya merenungkan harapan Bible. Dia membincangkan ayat 2 Timotius 3:​1-5 dan mengubah ayat-ayat itu untuk berbunyi, “Di dunia baharu nanti, akan ada hari-hari yang amat bahagia. Manusia akan mengasihi satu sama lain, mencintai hal-hal rohani, rendah hati, tidak angkuh, dan suka memuji Tuhan. Mereka akan mentaati ibu bapa, tahu berterima kasih, setia, menyayangi ahli keluarga, sudi dibawa berbincang, sentiasa bercakap baik tentang orang lain, mampu mengawal diri, lemah lembut, dan mencintai kebaikan. Mereka juga boleh dipercayai, tidak keras kepala, tidak sombong, dan mencintai Tuhan, bukannya kesenangan. Mereka juga berusaha untuk hidup selaras dengan ibadat mereka. Hampirilah orang sebegini.” Adakah anda bincang tentang kehidupan di dunia baharu bersama keluarga atau rakan seiman anda?

15. Apakah yang membantu Tanja mengatasi rasa takutnya?

15 Tanja, seorang saudari dari Macedonia Utara, mengatasi rasa takutnya dengan merenungkan berkat masa depan. Semasa dia belajar Bible, ibu bapanya menentangnya dengan kuat. Dia berkata, “Sesetengah hal yang saya risaukan benar-benar terjadi. Setiap kali selepas perjumpaan, ibu saya memukul saya. Ibu bapa saya mengugut akan membunuh saya jika saya menjadi Saksi.” Akhirnya, Tanja dihalau dari rumah. Apakah reaksinya? Dia berkata, “Saya selalu mengingatkan diri: Kalau saya setia kepada Yehuwa, saya akan bahagia buat selama-lamanya. Saya juga memikirkan bahawa tidak kira apa sahaja yang perlu saya korbankan di dunia sekarang, Yehuwa akan memberkati saya dengan melimpah di dunia baharu, dan semua kesusahan saya akan dilupakan.” Tanja telah menyembah Yehuwa dengan setia. Dengan bantuan Yehuwa, Tanja dapat mencari tempat tinggal. Kini Tanja menikmati khidmat sepenuh masa bersama-sama suaminya.

KUATKANLAH KEYAKINAN ANDA KEPADA YEHUWA SEKARANG JUGA

16. Apakah yang akan membantu kita tetap berani semasa peristiwa yang dinubuatkan di Lukas 21:​26-28 berlaku?

16 Semasa kesengsaraan besar berlaku, banyak orang akan “pengsan ketakutan.” Tetapi sebagai umat Tuhan, kita akan tetap teguh dan berani. (Baca Lukas 21:​26-28.) Mengapa? Kerana kita sudah belajar untuk yakin kepada Yehuwa. Tanja, yang disebut tadi, berkata bahawa apa yang dilaluinya telah membantunya menghadapi cabaran lain. Dia berkata, “Saya belajar bahawa tidak kira apa masalah yang kita hadapi, Yehuwa dapat mengubahnya menjadi berkat. Kita mungkin rasa situasi kita di bawah kawalan orang lain. Tetapi Yehuwa jauh lebih berkuasa daripada mereka. Tidak kira betapa susahnya suatu cubaan, cubaan itu akan berakhir.”

17. Bagaimanakah ayat tahunan 2024 membantu kita? (Lihat gambar pada muka depan majalah.)

17 Hari ini, kita semua ada kalanya akan berasa takut. Tetapi seperti Daud, kita tidak akan mengizinkan rasa takut untuk menguasai kita. Ayat tahunan 2024 ialah doa Daud kepada Yehuwa, yang berbunyi, “Apabila aku berasa takut, aku berharap kepada-Mu.” (Mzm. 56:3) Sebuah rujukan Bible menyatakan bahawa ayat ini bermaksud Daud “tidak bertumpu kepada rasa takutnya atau asyik memikirkan masalahnya. Sebaliknya Daud berharap kepada Tuhan untuk menyelamatkannya.” Renungkanlah ayat tahunan ini, terutamanya semasa anda berasa takut. Fikirkan perbuatan Yehuwa pada masa lampau, masa sekarang, dan pada masa depan. Dengan demikian, anda juga dapat berkata seperti Daud, “Ya Tuhan, aku tidak berasa takut kerana aku yakin kepada-Mu.”—Mzm. 56:4.

Seorang saudari yang berada di zon bencana merenungkan ayat tahunan (Lihat perenggan 17)

UNTUK MENGATASI RASA TAKUT, MENGAPAKAH ANDA PERLU MERENUNGKAN . . .

  • apa yang sudah Yehuwa lakukan?

  • apa yang sedang Yehuwa lakukan?

  • apa yang akan Yehuwa lakukan?

LAGU 33 Serahkan Bebanmu kepada Yehuwa

a Anda dapat mencari maklumat yang dapat menguatkan iman di jw.org dengan menaip “tirulah iman mereka” atau “pengalaman” dalam kotak carian. Dalam aplikasi JW Library®, lihat maklumat dalam siri rencana “Tirulah Iman Mereka” atau “Kisah Hidup Saksi-Saksi Yehuwa.”

b Sesetengah nama telah diubah.

d KETERANGAN GAMBAR: Daud merenungkan bagaimana Yehuwa pernah menguatkannya untuk membunuh seekor beruang, sedang membantunya menerusi Ahimelekh, dan akan menjadikannya raja.

e KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara yang dipenjarakan kerana imannya merenungkan bagaimana Yehuwa pernah membantunya untuk berhenti merokok, sedang menggalakkannya menerusi surat-surat daripada orang yang dikasihinya, dan akan memberinya kehidupan kekal di Firdaus.