Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 5

LAGU 27 Anak-Anak Tuhan Disingkapkan

“Aku Sama Sekali Tidak Akan Mengabaikan Engkau”!

“Aku Sama Sekali Tidak Akan Mengabaikan Engkau”!

“Tuhan telah berfirman, ‘Aku sama sekali tidak akan meninggalkan engkau, dan Aku sama sekali tidak akan mengabaikan engkau.’”​—IBR. 13:5b.

FOKUS

Untuk meyakinkan semua hamba Tuhan di bumi bahawa mereka tidak akan ditinggalkan semasa semua orang Kristian terurap dibawa ke syurga.

1. Bilakah semua orang Kristian terurap akan berada di syurga?

 BERTAHUN-TAHUN lalu, umat Yehuwa tertanya-tanya, “Bilakah kaum terurap yang terakhir akan dibawa ke syurga?” Dulu, kita fikir kaum terurap mungkin terus berada di bumi semasa perang Armagedon dan bahkan hidup di bumi Firdaus buat suatu ketika. Namun, Menara Pengawal terbitan 15 Julai 2013 menjelaskan bahawa semua orang Kristian terurap yang masih di bumi akan dibawa ke syurga sebelum perang Armagedon bermula.​—Mat. 24:31.

2. Apakah persoalan yang mungkin timbul, dan apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Namun, persoalan ini mungkin timbul: Apakah yang akan berlaku kepada “biri-biri lain” semasa “kesengsaraan besar”? (Yoh. 10:16; Mat. 24:21) Ada yang risau bahawa mereka akan diabaikan apabila saudara saudari terurap naik ke syurga. Sekarang, kita akan membincangkan dua kisah Bible yang mungkin membuat mereka berfikir begitu. Kemudian, kita akan membincangkan sebab-sebab kita tidak perlu risau akan hal itu.

APAKAH YANG TIDAK AKAN BERLAKU?

3-4. Apakah yang mungkin difikirkan oleh sesetengah orang, dan mengapa?

3 Sesetengah orang mungkin risau biri-biri lain akan meninggalkan kebenaran apabila Badan Pimpinan sudah tiada di bumi. Mereka mungkin berasa begitu kerana teringat beberapa kisah Bible. Perhatikan dua kisah Bible yang mungkin difikirkan oleh mereka. Kisah pertama adalah tentang Imam Agung Yehoyada. Dia penyembah Yehuwa yang sangat setia. Dia dan isterinya, Yehosyabet, telah melindungi Yehoas, membesarkannya, dan membantunya menjadi seorang raja yang baik dan setia. Semasa Yehoyada masih hidup, Yehoas tetap menyembah Yehuwa. Tetapi tidak lama selepas Yehoyada meninggal, Yehoas mendengar cakap pemimpin yang jahat lalu meninggalkan Yehuwa.​—2 Taw. 24:2, 15-19.

4 Kisah kedua adalah tentang orang Kristian pada abad kedua. Yohanes, iaitu rasul yang terakhir, telah membantu banyak orang Kristian untuk tetap setia kepada Yehuwa. (3 Yoh. 4) Sebenarnya, sudah agak lama Yohanes dan rasul-rasul lain melawan pengaruh golongan murtad. (1 Yoh. 2:18; 2 Tes. 2:7) Tetapi selepas kematian Yohanes, ajaran murtad tersebar luas bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan. Dalam puluhan tahun, sidang Kristian sudah tercemar.

5. Apakah kesimpulan yang tidak patut kita buat selepas membaca dua kisah itu?

5 Adakah dua kisah itu menunjukkan bahawa selepas kaum terurap naik ke syurga, biri-biri lain akan mula melakukan apa yang jahat seperti Yehoas, atau mula menjadi murtad seperti orang Kristian pada abad kedua? Tidak sama sekali! Kita dapat yakin bahawa selepas semua orang Kristian terurap naik ke syurga, Yehuwa akan terus menjaga biri-biri lain di bumi dan mereka akan menyembah-Nya dalam cara yang diperkenankan-Nya. Mengapakah kita dapat yakin akan hal itu?

IBADAT SEJATI TIDAK AKAN DICEMARI

6. Apakah tiga zaman yang akan kita kaji?

6 Mengapakah kita dapat yakin bahawa ibadat sejati tidak akan dicemari bahkan semasa kesengsaraan besar yang bakal tiba? Kerana Bible sudah menjelaskan apa yang akan berlaku pada zaman kita. Zaman kita sangat berbeza daripada zaman Israel kuno dan zaman orang Kristian pada abad kedua. Mari kita mengkaji tiga zaman ini dengan lebih teliti: (1) Zaman Israel kuno, (2) zaman orang Kristian pada abad kedua, iaitu selepas kematian para rasul, dan (3) zaman kita, iaitu zaman yang dipanggil ‘masa untuk memulihkan semua perkara.’​—Kis. 3:21.

7. Mengapakah orang Israel yang setia pada zaman kuno tidak hilang harapan apabila melihat raja dan bangsa mereka berbuat jahat?

7 Zaman Israel kuno. Tidak lama sebelum kematiannya, Musa memberitahu orang Israel, “Aku tahu bahawa setelah aku meninggal, [kamu] pasti akan berbuat jahat dan menyimpang daripada haluan yang telah aku ajarkan.” (Ul. 31:29) Musa juga mengingatkan mereka bahawa jika mereka memberontak terhadap Tuhan, mereka akan menjadi tawanan di negeri asing. (Ul. 28:35, 36) Adakah kata-kata Musa menjadi kenyataan? Ya. Selama ratusan tahun, banyak raja Israel memilih haluan yang jahat dan menyesatkan umat Tuhan. Akibatnya, Yehuwa menghukum bangsa Israel yang jahat dan tidak mengizinkan raja Israel untuk terus memerintah. (Yeh. 21:25-27) Semasa melihat hal ini terjadi, orang Israel yang setia tidak hilang harapan. Mereka terus menyembah Tuhan dengan setia, kerana mereka tahu apa yang berlaku sudah dinubuatkan oleh Tuhan.​—Yes. 55:10, 11.

8. Patutkah kita berasa hairan bahawa sidang Kristian pada abad kedua menjadi murtad? Jelaskan.

8 Zaman selepas kematian para rasul. Patutkah kita berasa hairan bahawa sidang Kristian pada abad kedua menjadi murtad? Tidak, kerana Yesus sudah menubuatkan bahawa hal ini akan berlaku. (Mat. 7:21-23; 13:24-30, 36-43) Pada abad pertama Masihi, Rasul Paulus, Petrus, dan Yohanes mengesahkan bahawa pengaruh murtad sudah mula mencemari sidang. (2 Tes. 2:3, 7; 2 Ptr. 2:1; 1 Yoh. 2:18) Pada abad kedua Masihi, tidak lama selepas rasul terakhir meninggal, pengaruh golongan murtad telah menyebabkan sidang Kristian dicemari dengan sepenuhnya. Maka, muncullah agama Kristian palsu yang menjadi bahagian utama Babilon Besar, iaitu empayar agama palsu sedunia. Sekali lagi, nubuat Bible telah menjadi kenyataan.

9. Apakah perbezaan antara zaman kita dengan zaman orang Israel kuno dan zaman orang Kristian pada abad kedua?

9 Zaman yang dipanggil ‘masa untuk memulihkan semua perkara.’ Zaman kita berbeza daripada zaman orang Israel kuno dan zaman orang Kristian pada abad kedua. Kita mungkin mengaitkan zaman kita dengan “hari-hari terakhir” dunia jahat ini, yang bermula pada tahun 1914. (2 Tim. 3:1) Namun, Bible menyatakan bahawa satu zaman yang lebih istimewa dan panjang juga telah bermula pada tahun itu. Zaman itu akan berakhir apabila Kerajaan Mesias membantu manusia menjadi sempurna dan memulihkan bumi menjadi Firdaus. Zaman itu dipanggil ‘masa untuk memulihkan semua perkara.’ (Kis. 3:21) Apakah yang telah dipulihkan sejak tahun 1914? Yesus telah menjadi raja di syurga. Sekali lagi, Yehuwa mempunyai seorang raja daripada keturunan Daud untuk mewakili-Nya. Namun, Yehuwa bukan sahaja memulihkan pemerintahan garis keturunan Daud. Tidak lama selepas Yesus menjadi raja, ibadat sejati mula dipulihkan. (Yes. 2:2-4; Yeh. 11:17-20) Adakah ibadat sejati akan dicemari lagi?

10. (a) Apakah yang dinubuatkan Bible tentang ibadat sejati pada zaman kita? (Yesaya 54:17) (b) Mengapakah nubuat-nubuat ini menggalakkan kita?

10 Baca Yesaya 54:17. Bible menubuatkan, “Semua senjata yang dihasilkan untuk melawanmu akan menjadi tidak berguna”! Nubuat tersebut sedang menjadi kenyataan dewasa ini. Nubuat berikut juga menggambarkan apa yang akan berlaku pada zaman kita: “Aku, Yehuwa, akan mengajar anak-anakmu, dan mereka akan mendapat kedamaian yang berlimpah-limpah. Keadilan akan menjadi asasmu yang kukuh. . . . Engkau tidak perlu takut akan apa-apa pun. Engkau akan dijauhkan daripada hal-hal yang mengerikan.” (Yes. 54:13, 14) Bahkan “tuhan sistem dunia ini,” iaitu Syaitan, tidak mampu menghentikan kerja pendidikan yang dijalankan oleh umat Yehuwa. (2 Kor. 4:4) Ibadat sejati telah dipulihkan buat selama-lamanya dan tidak akan dicemari lagi. Ya, semua senjata yang dihasilkan untuk melawan kita akan menjadi tidak berguna!

APAKAH YANG AKAN BERLAKU?

11. Apakah yang meyakinkan kita bahawa kumpulan besar manusia tidak akan diabaikan semasa orang Kristian terurap naik ke syurga?

11 Apakah yang akan berlaku selepas orang Kristian terurap dibawa ke syurga? Ingatlah, Yesus ialah Gembala kita. Dia juga ialah Kepala sidang Kristian. Yesus berkata, “Kamu hanya mempunyai seorang Pemimpin, iaitu Kristus.” (Mat. 23:10) Raja kita Yesus Kristus pasti melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik. Oleh itu, kita tidak perlu takut akan apa-apa. Memang, kita tidak mempunyai semua maklumat tentang bagaimana Yesus akan membimbing umat Tuhan pada masa itu. Namun, terdapat beberapa contoh Bible yang dapat menguatkan semangat kita.

12. Bagaimanakah Yehuwa menjaga umat-Nya selepas (a) kematian Musa? (b) Elia ditugaskan ke tempat lain? (Lihat juga gambar.)

12 Musa telah meninggal sebelum orang Israel memasuki Tanah yang Dijanjikan. Apakah yang berlaku kepada umat Tuhan selepas itu? Adakah Tuhan membiarkan mereka begitu sahaja? Tidak. Selagi mereka tetap setia kepada Yehuwa, Dia terus menjaga mereka. Sebelum Musa meninggal, Yehuwa menyuruhnya melantik Yosua untuk memimpin orang Israel, dan sebelum Yosua dilantik, dia sudah dilatih oleh Musa selama puluhan tahun. (Kel. 33:11; Ul. 34:9) Selain Yosua, ada banyak lelaki yang cekap, yang menjadi ketua atas 1,000 orang, 100 orang, 50 orang, dan bahkan 10 orang. (Ul. 1:15) Jadi walaupun Musa sudah tiada, umat Tuhan terus dijaga dengan baik. Fikirkan apa yang berlaku pada zaman Elia pula. Setelah dia mengambil pimpinan di negeri Israel di utara selama puluhan tahun, Yehuwa memberinya tugasan yang baharu di negeri Yehuda di selatan. (2 Raj. 2:1; 2 Taw. 21:12) Adakah umat Tuhan yang setia di negeri Israel diabaikan? Tidak. Elia telah melatih seorang pengganti, iaitu Elisa, selama bertahun-tahun. Selain itu, terdapat “anak-anak nabi” yang mungkin dilatih dalam sekolah tertentu. (2 Raj. 2:3, nota kaki) Jadi biarpun Elia ditugaskan ke tempat lain, masih ada banyak lelaki yang setia yang memimpin umat Tuhan. Yehuwa terus melaksanakan tujuan-Nya untuk menjaga penyembah-Nya yang setia.

Musa (gambar kiri) dan Elia (gambar kanan) melatih pengganti yang sesuai untuk memimpin umat Tuhan (Lihat perenggan 12)


13. Apakah jaminan yang terdapat di Ibrani 13:5b? (Lihat juga gambar.)

13 Setelah memikirkan contoh-contoh tadi, adakah anda rasa kita perlu risau tentang apa yang akan berlaku selepas kaum terurap yang terakhir naik ke syurga? Tidak. Bible memberikan jaminan ini: Yehuwa sama sekali tidak akan mengabaikan umat-Nya yang ada di bumi. (Baca Ibrani 13:5b.) Seperti Musa dan Elia, kumpulan kecil orang Kristian terurap yang mengambil pimpinan sedar betapa pentingnya melatih orang lain. Selama puluhan tahun, Badan Pimpinan telah melatih saudara-saudara yang merupakan biri-biri lain untuk mengambil pimpinan. Sebagai contoh, mereka mengaturkan banyak sekolah untuk melatih para penatua, penyelia lawatan, ahli Jawatankuasa Cawangan, penyelia di Bethel, dan saudara-saudara lain. Badan Pimpinan juga melatih para pembantu jawatankuasa Badan Pimpinan. Sekarang pun, para pembantu itu sudah memikul tanggungjawab yang berat. Kita yakin mereka sudah dilatih untuk menjaga bebiri Kristus pada masa depan.

Badan Pimpinan berusaha melatih pembantu mereka dan mengaturkan sekolah untuk melatih para penatua, penyelia lawatan, ahli Jawatankuasa Cawangan, penyelia di Bethel, dan mubaligh di seluas dunia (Lihat perenggan 13)


14. Apakah isi penting dalam perbincangan ini?

14 Apakah isi penting dalam perbincangan ini? Apabila orang Kristian terurap yang terakhir dibawa ke syurga pada penghujung kesengsaraan besar, umat Tuhan di bumi akan terus menjalankan ibadat sejati di bawah pimpinan Yesus Kristus. Memang benar, pada masa itu kita akan diserang oleh Gog dari tanah Magog, iaitu bangsa-bangsa bersekutu yang membenci kita. (Yeh. 38:18-20) Namun serangan itu tidak akan berpanjangan dan tentu akan gagal. Yehuwa pasti menyelamatkan umat-Nya dan mereka akan terus menyembah-Nya dengan setia! Dalam sebuah penglihatan, Rasul Yohanes nampak “kumpulan besar” biri-biri lain. Satu malaikat memberitahu Yohanes, “Merekalah yang selamat mengharungi kesengsaraan besar.” (Why. 7:9, 14) Ya, “kumpulan besar” ini akan terselamat!

15-16. Menurut Wahyu 17:​14, apakah yang akan dilakukan oleh kaum terurap semasa perang Armagedon, dan mengapakah hal itu menggalakkan?

15 Apakah yang akan dilakukan oleh kaum terurap selepas mereka naik ke syurga? Bible memberitahu kita bahawa kerajaan-kerajaan di dunia akan “berperang melawan Anak Bebiri.” Namun usaha mereka sia-sia sahaja kerana Bible kata bahawa “mereka akan dikalahkan.” Siapakah yang akan membantu Yesus? Mereka “yang dipanggil dan dipilih oleh Tuhan dan yang setia kepada-Nya.” (Baca Wahyu 17:14.) Siapakah mereka? Mereka ialah kaum terurap yang dibangkitkan ke syurga. Maka, apabila mereka dibawa ke syurga pada penghujung kesengsaraan besar, salah satu tugasan pertama mereka adalah untuk pergi berperang. Tugasan itu memang menakjubkan! Sebelum sesetengah orang Kristian terurap menjadi Saksi-Saksi Yehuwa, ada yang suka berlawan dengan orang lain, manakala yang lain pula berkhidmat sebagai askar. Tetapi kemudiannya mereka menjadi orang Kristian sejati, mempelajari haluan kedamaian, dan tidak lagi menyokong peperangan. (Gal. 5:22; 2 Tes. 3:16) Namun, selepas mereka naik ke syurga, mereka akan berperang melawan musuh Tuhan bersama Kristus dan malaikat-malaikat suci.

16 Fikirkan: Sebelum naik ke syurga, sesetengah orang Kristian terurap sudah lanjut usia dan bahkan mempunyai masalah kesihatan. Tetapi sebaik sahaja mereka dibangkitkan ke syurga, mereka akan menjadi makhluk roh yang perkasa dan yang tidak dapat mati. Mereka akan berjuang bersama-sama Yesus Kristus, raja mereka, dalam perang Armagedon. Selepas itu, mereka akan membantu manusia beransur-ansur menjadi sempurna. Pada masa itu, mereka akan membantu saudara saudari mereka di bumi dalam cara yang jauh lebih mengagumkan berbanding masanya mereka hidup sebagai manusia!

17. Bagaimanakah kita tahu bahawa semua hamba Tuhan akan terselamat semasa perang Armagedon?

17 Adakah anda sebahagian daripada biri-biri lain? Jika ya, apakah yang perlu anda lakukan semasa perang Armagedon bermula? Percayalah kepada Yehuwa dan patuhilah arahan-Nya. Contohnya kita mungkin perlu mengikut arahan ini: “Masuklah ke dalam bilik yang selamat dan tutuplah pintu. Bersembunyilah seketika sehingga kemurkaan-Ku berlalu.” (Yes. 26:20) Semua hamba Tuhan, tidak kira di syurga atau di bumi, akan selamat pada masa itu. Seperti Rasul Paulus, kita yakin bahawa tiada “kerajaan atau perkara yang ada sekarang atau perkara yang akan datang . . . [yang] dapat memisahkan kita daripada kasih Tuhan.” (Rm. 8:38, 39) Ingatlah, Yehuwa mengasihi anda, dan Dia sama sekali tidak akan mengabaikan anda!

SELEPAS KAUM TERURAP YANG TERAKHIR DIBAWA KE SYURGA,

  • apakah yang tidak akan berlaku?

  • mengapakah kita boleh yakin bahawa ibadat sejati tidak akan dicemari lagi?

  • mengapakah kita yakin bahawa Yehuwa akan menjaga umat-Nya?

LAGU 8 Yehuwa Pelindungku