Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 6

LAGU 10 Pujilah Yehuwa, Tuhan Kita!

“Pujilah Nama Yehuwa!”

“Pujilah Nama Yehuwa!”

“Hai hamba-hamba Yehuwa, pujilah Dia! Pujilah nama Yehuwa!”​—MZM. 113:1.

FOKUS

Menjelaskan apa yang mendorong kita untuk memuji nama suci Yehuwa pada setiap kesempatan.

1-2. Apakah perasaan Yehuwa semasa nama-Nya diburuk-burukkan? Jelaskan dengan menggunakan contoh.

 BAYANGKAN seseorang yang anda sayangi memburuk-burukkan nama anda. Anda tahu dia sedang memfitnah anda, tetapi sedihnya, sesetengah orang mempercayai dustanya. Lebih teruk lagi, mereka menyebarkan dusta itu, dan lebih banyak orang mempercayainya. Apakah perasaan anda? Jika anda mengambil berat tentang orang lain dan nama baik anda, anda tentu sakit hati, bukan?​—Ams. 22:1.

2 Itulah yang berlaku kepada Yehuwa semasa salah satu anak-Nya di syurga memfitnah-Nya di hadapan Hawa, iaitu wanita yang pertama. Hawa mempercayai dusta Syaitan, lalu dia dan suaminya memberontak terhadap Yehuwa. Akibatnya, semua manusia dijangkiti dosa dan kematian. (Kej. 3:1-6; Rm. 5:12) Semua masalah di dunia, seperti kematian, peperangan, dan penderitaan, bermula gara-gara dusta Syaitan di Taman Eden. Yehuwa tentu amat sakit hati semasa difitnah dan semasa melihat segala masalah yang timbul akibat dusta Syaitan. Namun, Dia tidak menjadi marah atau berdendam. Sebaliknya, Bible menggambarkan-Nya sebagai “Tuhan yang gembira.”​—1 Tim. 1:11.

3. Apakah penghormatan yang kita ada?

3 Kita dapat membuktikan Syaitan ialah pendusta dengan mengikut perintah ini: “Pujilah nama Yehuwa!” (Mzm. 113:1) Kita berbuat demikian dengan memberitahu orang lain kebenaran tentang Yehuwa. Adakah anda menghargai penghormatan untuk memuji nama Yehuwa? Sekarang, mari kita membincangkan tiga sebab kita mahu memuji nama Yehuwa dengan sepenuh hati.

KITA MENYENANGKAN HATI YEHUWA SEMASA KITA MEMUJI NAMA-NYA

4. Mengapakah pujian kita menyenangkan hati Yehuwa? Berikan contoh. (Lihat juga gambar.)

4 Kita menyenangkan hati Bapa kita yang di syurga semasa kita memuji nama-Nya. (Mzm. 69:​30, 31) Adakah hal ini bermaksud bahawa Tuhan Yang Maha Kuasa adalah seperti manusia tidak sempurna yang mendambakan pujian? Tidak. Fikirkan contoh berikut: Seorang gadis kecil tiba-tiba memeluk bapanya dan berkata, “Ayahlah bapa yang terbaik di dunia!” Sudah pasti bapanya sangat tersentuh dan gembira. Adakah kita akan fikir bapa itu kurang yakin dengan dirinya sendiri dan memerlukan pujian daripada anaknya? Tidak. Kita tahu dia mengasihi anak perempuannya dan berasa gembira semasa anak perempuannya menunjukkan kasih dan penghargaan. Bapa itu tahu bahawa anaknya akan menjadi seorang yang gembira kerana dia memiliki sifat-sifat baik itu. Begitu juga, Yehuwa, Bapa kita, pasti sangat gembira semasa kita memuji-Nya.

Seorang bapa sangat gembira semasa anaknya meluahkan kasih dan penghargaan kepadanya. Begitu juga, Yehuwa sangat gembira apabila kita memuji nama-Nya (Lihat perenggan 4)


5. Semasa kita memuji nama Tuhan, apakah yang dapat kita lakukan?

5 Semasa kita memuji nama Tuhan, kita dapat membuktikan bahawa tuduhan Syaitan terhadap kita salah sama sekali. Syaitan mendakwa bahawa tiada manusia akan mempertahankan nama Tuhan. Dia juga berkata bahawa kita semua tidak berintegriti dan akan meninggalkan Tuhan sebaik sahaja kita ditimpa masalah. (Ayb. 1:​9-11; 2:4) Tetapi Ayub telah membuktikan bahawa Syaitan itu pendusta. Adakah anda ingin menjadi seperti Ayub? Kita masing-masing mempunyai penghormatan untuk mempertahankan nama Bapa kita dan membuat-Nya gembira dengan menyembah-Nya dengan setia.—Ams. 27:11.

6. Bagaimanakah kita dapat meniru contoh Raja Daud dan orang Lewi? (Nehemia 9:5)

6 Nama Yehuwa melibatkan reputasi-Nya. Maka, apabila kita mendengar nama Yehuwa, kita berfikir tentang sifat-sifat-Nya yang indah dan perbuatan-Nya yang menakjubkan. Orang yang mengasihi Yehuwa mahu memuji nama-Nya dengan sepenuh hati. Raja Daud menulis, “Pujilah Yehuwa, hai jiwaku; pujilah nama-Nya yang suci, hai seluruh jiwaku.” (Mzm. 103:1) Daud tahu bahawa semasa dia memuji nama Yehuwa, hal itu sama dengan memuji Yehuwa sendiri. Itulah sebabnya dia mahu menyucikan dan memuji nama Bapa-Nya dengan ‘seluruh jiwanya.’ Begitu juga dengan orang Lewi yang mengambil pimpinan dalam kalangan orang Israel untuk memuji Yehuwa. Dengan rendah hati, mereka mengakui bahawa kata-kata yang dilaungkan oleh mereka tidak cukup untuk mengungkapkan pujian yang layak diterima oleh nama suci Yehuwa. (Baca Nehemia 9:5.) Orang Lewi yang rendah hati ini telah menggembirakan hati Yehuwa kerana memuji nama-Nya.

7. Bagaimanakah kita dapat memuji Yehuwa dalam kerja penyebaran dan kehidupan seharian?

7 Hari ini, kita dapat menyenangkan hati Yehuwa dengan memberitahu orang lain bahawa kita sangat menghargai dan mengasihi-Nya. Semasa menjalankan kerja penyebaran, kita mahu ingat bahawa tujuan utama kita adalah untuk membantu orang menghampiri Yehuwa dan mengasihi-Nya. (Yak. 4:8) Kita menggunakan Bible untuk menunjukkan bagaimana Yehuwa memperlihatkan sifat-sifat seperti kasih, keadilan, kebijaksanaan, kuasa, dan sifat-sifat lain. Kita juga memuji Yehuwa dan menyenangkan hati-Nya semasa kita meniru teladan-Nya. (Ef. 5:1) Apabila kita meniru teladan Yehuwa, orang mungkin memperhatikan bahawa kita sangat berbeza daripada orang di sekeliling kita dan ingin mengetahui sebabnya. (Mat. 5:14-16) Semasa kita berurusan dengan mereka dalam kehidupan seharian kita, kita dapat memberitahu mereka sebabnya kita berbeza daripada orang lain. Hal ini mungkin mendorong orang yang tulus hati untuk menghampiri Tuhan. Apabila kita memuji Yehuwa dalam cara-cara ini, kita menyenangkan hati-Nya.​—1 Tim. 2:3, 4.

KITA MENYENANGKAN HATI YESUS SEMASA KITA MEMUJI NAMA YEHUWA

8. Mengapakah Yesus teladan yang terbaik dalam memuji nama Yehuwa?

8 Antara semua makhluk di syurga dan di bumi, Yesuslah yang paling mengenali Yehuwa. (Mat. 11:27) Yesus mengasihi Bapanya dan menunjukkan teladan terbaik dalam memuji nama Yehuwa. (Yoh. 14:31) Pada malam sebelum kematiannya, Yesus berdoa kepada Yehuwa dan menyatakan hal terpenting yang sudah dilakukannya semasa di bumi. Dia berkata, “Aku sudah membuat nama-Mu nyata.” (Yoh. 17:26) Apakah maksudnya?

9. Apakah cerita yang digunakan oleh Yesus untuk mengajar kita tentang Yehuwa dengan lebih jelas?

9 Orang Yahudi sudah mengetahui nama Tuhan. Maka Yesus tidak sekadar memberitahu mereka bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa. Sebaliknya, dia “telah menyingkapkan,” atau mengajar mereka tentang keperibadian Yehuwa dengan lebih jelas. (Yoh. 1:17, 18) Sebagai contoh, Kitab Ibrani menyatakan bahawa Yehuwa ialah Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. (Kel. 34:5-7) Tetapi Yesus menjadikan kebenaran itu lebih nyata dengan memberitahu mereka cerita tentang anak yang sesat. Apabila bapa dalam cerita itu nampak anaknya yang sudah bertaubat itu dari jauh, bapanya berlari untuk menyambutnya, memeluknya, dan memaafkannya. Cerita ini membantu kita untuk memahami dengan lebih jelas mengapa Yehuwa dipanggil Tuhan yang penuh rahmat dan belas kasihan. (Luk. 15:11-32) Sememangnya, Yesus telah membantu orang lain untuk memahami keperibadian Yehuwa yang sebenar dengan lebih jelas.

10. (a) Bagaimanakah kita tahu Yesus menyebut nama peribadi Bapanya dan mahu orang lain melakukan hal yang sama? (Markus 5:19) (Lihat juga gambar.) (b) Apakah yang Yesus mahu kita lakukan hari ini?

10 Adakah Yesus juga mahu orang lain untuk menyebut nama peribadi Bapanya? Sudah pasti. Sesetengah pemimpin agama pada masa itu tidak menyebut nama peribadi Tuhan kerana berfikir bahawa nama Tuhan terlalu suci. Namun, Yesus tidak pernah membiarkan adat atau tradisi yang bukan ajaran Bible untuk menghalangnya daripada memuliakan nama Yehuwa. Fikirkan masanya Yesus mengusir roh-roh jahat yang merasuki seorang lelaki di Gerasa. Penduduk di sana menjadi takut dan merayu Yesus untuk meninggalkan tempat itu. (Mrk. 5:16, 17) Walaupun begitu, Yesus masih mahu orang yang tinggal di sana untuk mengetahui nama Yehuwa. Maka, dia menyuruh lelaki yang disembuhkan itu untuk memberitahu orang tentang perbuatan Yehuwa, dan bukannya perbuatannya sendiri. (Baca Markus 5:19.) a Hari ini, Yesus juga mahu kita memberitahu orang di seluas dunia tentang nama Bapanya. (Mat. 24:14; 28:19, 20) Apabila kita melakukan hal itu, kita menyenangkan hati Yesus, Raja kita.

Yesus menyuruh lelaki yang disembuhkannya itu untuk memberitahu orang bagaimana Yehuwa telah membantunya (Lihat perenggan 10)


11. Yesus mengajar pengikutnya untuk berdoa tentang apa? Mengapakah hal itu penting? (Yehezkiel 36:23)

11 Yesus tahu bahawa Yehuwa ingin menyucikan nama-Nya daripada segala dusta. Itulah sebabnya dia mengajar pengikutnya untuk berdoa, “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Mat. 6:9) Yesus tahu bahawa ini ialah isu terpenting di alam semesta. (Baca Yehezkiel 36:23.) Tiada makhluk hidup di syurga atau di bumi yang lebih ingin menyucikan nama Yehuwa daripada Yesus. Baginya, menghina nama Bapanya yang suci merupakan perbuatan yang paling terkutuk. Namun semasa Yesus ditangkap, apakah tuduhan yang dilontarkan oleh musuh-musuhnya? Mereka mendakwa bahawa Yesus telah menghina nama Tuhan. Barangkali, Yesus sangat susah hati sebelum dia ditangkap kerana dia tahu dia akan disabitkan atas kesalahan itu.​—Luk. 22:41-44.

12. Bagaimanakah Yesus menyucikan nama Bapanya?

12 Agar nama Bapanya disucikan, Yesus tetap tabah semasa diseksa, dihina, dan difitnah. Dia tidak menganggap semua itu memalukan kerana dia tahu dia telah mentaati Bapanya dalam segala perkara. (Ibr. 12:2) Yesus juga tahu bahawa semua itu merupakan serangan daripada Syaitan yang bertujuan untuk mematahkan integritinya. (Luk. 22:2-4; 23:33, 34) Muslihat Syaitan telah gagal sama sekali! Yesus membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta yang keji dan bahawa Yehuwa memiliki hamba yang akan tetap setia kepada-Nya, bahkan semasa menghadapi cabaran yang paling berat!

13. Bagaimanakah anda dapat menyenangkan hati Raja anda?

13 Inginkah anda menyenangkan hati Raja anda? Sudah tentu! Maka teruslah memuji nama Yehuwa dan membantu orang lain mengenali sifat-sifat-Nya yang agung. Dengan berbuat demikian, anda sedang mengikut jejak Yesus. (1 Ptr. 2:21) Seperti Yesus, usaha anda akan menggembirakan hati Yehuwa dan membuktikan bahawa Syaitan ialah pendusta!

KITA MEMBANTU MENYELAMATKAN NYAWA SEMASA KITA MEMUJI NAMA YEHUWA

14-15. Apakah hasil baik yang diraih semasa kita mengajar orang tentang Yehuwa?

14 Semasa kita memuji nama Yehuwa, kita membantu menyelamatkan nyawa orang. Bible kata, “Fikiran mereka yang tidak percaya telah dibutakan oleh tuhan sistem dunia ini.” (2 Kor. 4:4) Oleh itu, mereka mempercayai dusta-dusta Syaitan, seperti ajaran bahawa Tuhan tidak wujud, Tuhan jauh daripada manusia dan tidak mengambil berat tentang kita, atau Tuhan kejam dan menyeksa orang jahat untuk selama-lamanya. Syaitan mengucapkan dusta-dusta ini untuk mencemari nama Yehuwa agar orang tidak ingin menghampiri-Nya. Tetapi semasa kita menginjil, kita menghalang Syaitan daripada mencapai tujuannya. Apakah hasil baik yang diraih semasa kita mengajar orang kebenaran tentang Bapa kita dan memuji nama-Nya yang suci?

15 Dengan adanya kebenaran Bible yang sangat berkuasa, orang yang dibutakan oleh dusta Syaitan dapat beransur-ansur melihat sifat-sifat baik Bapa kita. Contohnya, mereka kagum melihat kuasa Yehuwa yang tidak terhingga. (Yes. 40:26) Mereka belajar untuk mempercayai-Nya kerana keadilan-Nya yang sempurna. (Ul. 32:4) Mereka meraih manfaat kerana mengikut nasihat-Nya yang bijak. (Yes. 55:9; Rm. 11:33) Selain itu, mereka dilegakan kerana tahu Tuhan itu kasih. (1 Yoh. 4:8) Seraya mereka menghampiri Yehuwa, mereka semakin yakin bahawa mereka mempunyai harapan untuk hidup selama-lamanya di bumi Firdaus. Sememangnya, kita berbesar hati kerana dapat membantu orang menghampiri Bapa kita! Dengan berbuat demikian, Yehuwa menganggap kita sebagai ‘rakan sekerja-Nya.’​—1 Kor. 3:5, 9.

16. Bagaimanakah kehidupan sesetengah orang berubah setelah mereka belajar tentang nama Tuhan? Berikan contoh.

16 Pada mulanya, kita mungkin memberitahu orang bahawa nama Tuhan ialah Yehuwa. Hal itu pun sudah cukup untuk mengubah hidup orang yang berhati jujur. Contohnya, seorang wanita muda yang bernama Aaliyah b dibesarkan oleh ibu bapa yang tidak beragama Kristian. Dia tidak puas dengan agamanya dan tidak berasa dekat dengan Tuhan. Namun, setelah belajar dengan Saksi, dia mula memandang Tuhan sebagai Sahabatnya. Dia hairan mengapa nama Tuhan telah dikeluarkan daripada banyak Bible dan digantikan dengan gelaran seperti Tuan. Kehidupannya berubah setelah mengenali nama Yehuwa. Dia berkata, “Sahabat terbaik saya ada nama!” Aaliyah menambah, “Sekarang, hati saya sangat tenang. Saya amat bersyukur kerana dapat kenal nama Tuhan.” Perhatikan contoh Steve pula. Dia seorang ahli muzik dan ibu bapanya berpegang teguh pada agama Yahudi. Namun, dia tidak mahu menyertai mana-mana agama kerana dia melihat banyak pemimpin agama yang bermuka dua. Meskipun begitu, setelah ibunya meninggal, dia setuju untuk melihat bagaimana Saksi-Saksi Yehuwa mengadakan pembelajaran Bible. Dia sangat tersentuh semasa mendapat tahu Tuhan ada nama. Dia berkata, “Saya tidak pernah diajar tentang nama Tuhan.” Dia menambah, “Buat kali pertama dalam hidup saya, saya belajar bahawa Tuhan benar-benar wujud dan boleh menjadi Sahabat saya.”

17. Mengapakah anda bertekad untuk terus memuji nama Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

17 Semasa menjalankan kerja penyebaran, adakah anda memberitahu orang tentang nama Yehuwa? Adakah anda membantu mereka untuk mengenali-Nya? Jika ya, anda sedang memuji nama Yehuwa. Maka, kuatkanlah tekad anda untuk terus memuji nama Yehuwa dan membantu orang mengenali-Nya. Dengan berbuat demikian, anda dapat menyelamatkan nyawa orang, meniru teladan Raja anda, Yesus Kristus, dan yang penting sekali, anda akan menyenangkan hati Yehuwa, Bapa anda yang pengasih. Semoga anda terus “memuji [nama-Nya] selama-lamanya”!​—Mzm. 145:2.

Kita memuji Yehuwa dengan mengajar orang tentang nama-Nya dan sifat-sifat-Nya (Lihat perenggan 17)

BAGAIMANAKAH USAHA KITA UNTUK MEMUJI NAMA TUHAN . . .

  • menyenangkan hati Yehuwa?

  • menyenangkan hati Kristus Yesus?

  • menyelamatkan nyawa orang?

LAGU 2 Yehuwalah Nama-Mu

a Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa Markus telah menggunakan nama Tuhan semasa mencatatkan kata-kata Yesus. Oleh itu, nama Yehuwa digunakan dalam ayat ini dalam Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Lihat nota pembelajaran dalam Alkitab Edisi Pelajaran bahasa Indonesia untuk ayat ini.

b Nama-nama telah diubah.