Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 7

LAGU 51 Membaktikan Diri kepada Tuhan!

Pengajaran daripada Orang Nazir

Pengajaran daripada Orang Nazir

“Aku, Yehuwa, akan menganggap dia suci selama dia menjadi orang Nazir.”BIL. 6:8.

FOKUS

Bagaimana teladan orang Nazir membantu kita menjadi berani dan menunjukkan sikap rela berkorban semasa menyembah Yehuwa.

1. Apakah sikap baik yang ditunjukkan oleh penyembah Yehuwa sejak dahulu lagi?

 ADAKAH anda menghargai hubungan anda dengan Yehuwa? Sudah tentu! Sebenarnya, sejak dahulu lagi, ada banyak orang yang mempunyai sikap seperti anda, yang rela membuat pengorbanan untuk menyembah Yehuwa. (Mzm. 104:33, 34) Antara mereka ialah orang Nazir pada zaman Israel kuno. Siapakah mereka, dan bagaimanakah kita dapat meniru teladan mereka?

2. (a) Siapakah orang Nazir? (Bilangan 6:1, 2) (b) Mengapakah sesetengah orang Israel berikrar untuk menjadi orang Nazir?

2 Perkataan “orang Nazir” berasal daripada perkataan Ibrani yang bermaksud “Orang yang Dikhaskan,” “Orang yang Dikhususkan,” atau “Orang yang Dibaktikan.” Perkataan ini sangat sesuai untuk menggambarkan orang Israel yang membuat pengorbanan khas demi Yehuwa. Hukum Musa menyatakan bahawa seorang lelaki atau wanita boleh memilih untuk menjadi orang Nazir buat suatu jangka masa. a (Baca Bilangan 6:​1, 2.) Seseorang yang berikrar untuk menjadi orang Nazir akan terikat kepada peraturan yang tidak perlu dipatuhi oleh orang Israel lain. Jadi, mengapakah seseorang memilih untuk menjadi orang Nazir? Kemungkinan besar kerana dia sangat mengasihi Yehuwa dan amat menghargai segala berkat yang dikurniakan-Nya.​—Ul. 6:5; 16:17.

3. Bagaimanakah umat Tuhan hari ini adalah seperti orang Nazir?

3 Apabila “hukum Kristus” menggantikan Hukum Musa, umat Tuhan tidak lagi dapat berikrar untuk menjadi orang Nazir. (Gal. 6:2; Rm. 10:4) Namun, seperti orang Nazir, umat Yehuwa hari ini juga ingin menyembah Yehuwa dengan sepenuh hati, jiwa, akal, dan kekuatan mereka. (Mrk. 12:30) Sebenarnya, kita sudah berikrar untuk berbuat demikian semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa. Untuk hidup selaras dengan ikrar itu, kita perlu melakukan kehendak Yehuwa dan rela membuat pengorbanan. Semasa mengkaji bagaimana orang Nazir hidup selaras dengan ikrar mereka, kita juga akan belajar bagaimana kita dapat hidup selaras dengan ikrar pembaktian kita. b (Mat. 16:24) Perhatikan beberapa contoh.

SUDI MEMBUAT PENGORBANAN

4. Menurut Bilangan 6:3, 4, apakah pengorbanan yang perlu dibuat oleh orang Nazir?

4 Baca Bilangan 6:​3, 4. Orang Nazir perlu menjauhi alkohol dan makanan seperti anggur dan kismis. Sebenarnya, makanan dan minuman sebegini tidak haram. Bible menyatakan bahawa wain ialah pemberian daripada Tuhan “yang membuat hati manusia gembira.” (Mzm. 104:14, 15) Meskipun begitu, orang Nazir sudi mengorbankan kebebasan mereka. Mereka sanggup menjauhi makanan dan minuman ini, yang sering dinikmati oleh orang di sekeliling mereka. c

Adakah anda sudi membuat pengorbanan seperti yang dilakukan oleh orang Nazir? (Lihat perenggan 4-6)


5. Apakah pengorbanan yang dibuat oleh Madián dan Marcela, dan mengapa?

5 Seperti orang Nazir, kita sudi membuat pengorbanan agar dapat melakukan lebih banyak untuk Yehuwa. Perhatikan contoh Madián dan Marcela, sepasang suami isteri. d Madián mempunyai kerja yang gajinya lumayan dan mereka tinggal dalam apartmen yang cantik. Namun, mereka ingin melakukan lebih banyak untuk Yehuwa. Untuk mencapai matlamat itu, mereka mengubah cara hidup mereka. Mereka berkata, “Kami mula mengurangkan perbelanjaan kami. Kami juga berpindah ke apartmen yang lebih kecil dan menjual kereta kami.” Sebenarnya, Madián dan Marcela tidak perlu mengorbankan cara hidup mereka yang selesa, tetapi mereka berbuat demikian supaya dapat meluaskan khidmat mereka kepada Yehuwa. Hasilnya, mereka berasa puas dan gembira.

6. Mengapakah orang Kristian hari ini sudi membuat pengorbanan? (Lihat juga gambar.)

6 Umat Yehuwa hari ini sudi membuat pengorbanan supaya mempunyai lebih banyak masa untuk aktiviti rohani. (1 Kor. 9:3-6) Sebenarnya, Yehuwa tidak mewajibkan kita untuk membuat pengorbanan sebegini, dan hal-hal yang dikorbankan pun bukanlah hal yang salah. Sebagai contoh, sesetengah orang sanggup mengorbankan kerjaya, tempat tinggal, atau haiwan peliharaan yang disukai mereka. Ada yang memutuskan untuk tidak berkahwin atau beranak buat sementara waktu. Yang lain pula memilih untuk berpindah ke tempat yang memerlukan lebih banyak penyiar, walaupun hal itu bermaksud mereka perlu tinggal berjauhan daripada kawan dan keluarga. Banyak antara kita sudi membuat pengorbanan sebegini kerana ingin memberikan yang terbaik kepada Yehuwa. Tidak kira pengorbanan anda kecil atau besar, yakinlah bahawa Yehuwa sangat menghargainya.​—Ibr. 6:10.

SUDI BERBEZA DARIPADA ORANG LAIN

7. Apakah cabaran yang mungkin dihadapi oleh orang Nazir yang ingin hidup selaras dengan ikrar mereka? (Bilangan 6:5) (Lihat juga gambar.)

7 Baca Bilangan 6:5. Orang Nazir berikrar untuk tidak menggunting rambut mereka. Inilah salah satu cara mereka menunjukkan bahawa mereka mentaati Yehuwa dengan sepenuhnya. Jika seseorang menjadi orang Nazir untuk masa yang lama, rambutnya akan bertumbuh panjang dan senang dilihat orang lain. Cara hidup yang berbeza ini tidaklah begitu susah baginya sekiranya orang di sekelilingnya menyokong usahanya untuk hidup selaras dengan ikrarnya. Sedihnya, orang Nazir tidak selalunya disokong atau dihormati. Contohnya, pada zaman Nabi Amos, orang Israel yang derhaka “terus memberi orang Nazir wain untuk diminum,” padahal mereka sudah berikrar untuk menjauhi wain. (Amo. 2:12) Pada masa sedemikian, orang Nazir pasti perlu sangat berani untuk hidup selaras dengan ikrar mereka dan menjadi berbeza daripada orang lain.

Orang Nazir yang bertekad untuk hidup selaras dengan ikrarnya sudi menjadi berbeza daripada orang lain (Lihat perenggan 7)


8. Bagaimanakah pengalaman Benjamin menggalakkan anda?

8 Dengan bantuan Yehuwa, kita juga dapat berani menjadi berbeza daripada orang di sekeliling kita biarpun kita pemalu. Perhatikan contoh Benjamin, seorang Saksi di Norway yang berumur 10 tahun. Sekolahnya mengadakan acara untuk menyokong Ukraine yang dilanda perang. Kanak-kanak disuruh untuk menyanyikan sebuah lagu sambil memakai pakaian yang mempunyai warna bendera Ukraine. Benjamin pergi jauh dari tempat acara itu diadakan agar tidak perlu mengambil bahagian. Tetapi, seorang guru ternampaknya dan memanggilnya dengan suara yang lantang, “Benjamin, datang sini sekarang! Kami semua sedang tunggu kamu.” Dengan berani, Benjamin menghampiri guru itu dan memberitahunya, “Cikgu, saya tidak mahu terlibat dalam hal-hal politik kerana saya neutral. Sebenarnya, banyak Saksi-Saksi Yehuwa dipenjarakan kerana mereka enggan menyokong peperangan.” Cikgu itu menerima penjelasan Benjamin dan memberitahunya bahawa dia tidak perlu mengambil bahagian dalam acara itu. Namun apabila rakan sekelasnya mula bertanya mengapa dia tidak menyertai mereka, Benjamin berasa begitu gementar sehingga hampir menangis. Biarpun begitu, dia memberitahu rakan sekelasnya apa yang dikatakannya kepada cikgu itu. Selepas itu, Benjamin memberitahu ibu bapanya bahawa dia berasa Yehuwa telah membantunya untuk mempertahankan kepercayaannya.

9. Bagaimanakah kita dapat menggembirakan hati Yehuwa?

9 Oleh sebab kita memilih untuk melakukan kehendak Yehuwa, kita menjadi berbeza daripada orang di sekeliling kita. Kita perlu berani untuk memperkenalkan diri sebagai Saksi-Saksi Yehuwa di tempat kerja atau di sekolah. Apabila sikap dan kelakuan orang di dunia ini menjadi semakin buruk, kita mungkin berasa lebih susah untuk hidup selaras dengan prinsip Bible dan mengongsi berita baik kepada orang lain. (2 Tim. 1:8; 3:13) Namun ingatlah, jika kita berani untuk menjadi berbeza daripada orang yang tidak menyembah Yehuwa, kita akan menggembirakan hati-Nya.​—Ams. 27:11; Mal. 3:18.

UTAMAKANLAH YEHUWA DALAM KEHIDUPAN ANDA

10. Mengapakah arahan di Bilangan 6:6, 7 mungkin susah dipatuhi oleh orang Nazir?

10 Baca Bilangan 6:6, 7. Orang Nazir tidak boleh mendekati mayat. Kita mungkin fikir mereka tidak perlu membuat pengorbanan yang besar untuk mematuhi arahan ini. Namun, pada zaman Bible, hal ini mencabar bagi orang Nazir, terutamanya semasa saudara-mara dekat mereka meninggal. Menurut adat pada masa itu, orang perlu berada dekat mayat ahli keluarga yang sudah meninggal. (Yoh. 19:39, 40; Kis. 9:​36-40) Jadi, biarpun seorang Nazir sangat bersedih atas kematian ahli keluarganya, dia menunjukkan bahawa dia memiliki iman yang kuat dengan tetap menjauhi mayat orang kesayangannya. Yehuwa pasti menguatkan mereka untuk menghadapi apa sahaja cabaran yang timbul pada waktu yang sedih itu.

11. Apakah tekad seorang Kristian semasa membuat keputusan yang melibatkan ahli keluarga? (Lihat juga gambar.)

11 Sebagai orang Kristian, kita memandang serius pembaktian kita kepada Yehuwa. Ikrar kita mempengaruhi keputusan dan tindakan kita yang melibatkan ahli keluarga kita. Kita bekerja keras untuk menjaga keperluan keluarga. Tetapi bagi kita, keinginan ahli keluarga tidak akan menjadi lebih penting daripada kehendak Yehuwa. (Mat. 10:​35-37; 1 Tim. 5:8) Oleh itu, kita bertekad untuk membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa, biarpun hal ini ada kalanya mengecewakan saudara-mara kita.

Adakah anda mengutamakan Yehuwa bahkan dalam situasi yang amat mencabar? (Lihat perenggan 11) e


12. Semasa timbulnya masalah dalam keluarga, apakah yang dilakukan oleh Alexandru, dan apakah yang tidak dilakukannya?

12 Perhatikan pengalaman Alexandru dan isterinya, Dorina. Selepas mereka berdua belajar Bible selama setahun, Dorina memutuskan untuk berhenti belajar dan dia juga mahu Alexandru berhenti. Walaupun begitu, Alexandru memberitahunya dengan tenang dan hormat bahawa dia mahu terus belajar. Dorina naik marah dan cuba memaksanya untuk berhenti belajar. Alexandru kata dia cuba memahami reaksi isterinya, tetapi hal itu susah baginya. Ada kalanya, semasa Dorina mengkritik dan menjawabnya dengan kasar, Alexandru berasa ingin berhenti belajar Bible. Meskipun begitu, dia tetap mengutamakan Yehuwa dan terus menunjukkan kasih dan hormat kepada isterinya. Akhirnya, teladan baik Alexandru telah menggerakkan hati isterinya untuk belajar Bible semula sehingga dibaptis.—Lihat video di jw.org yang bertajuk Alexandru dan Dorina Văcar: “Kasih Itu Sabar dan Baik Hati” dalam siri “Kebenaran Mengubah Hidup.”

13. Bagaimanakah kita dapat menunjukkan kasih kepada Yehuwa dan keluarga?

13 Yehuwalah yang mengasaskan aturan keluarga, dan Dia mahu keluarga kita bahagia. (Ef. 3:14, 15) Jika kita ingin bahagia, kita perlu melakukan apa yang disuruh oleh Yehuwa. Ingatlah, apabila anda membuat pengorbanan agar dapat menyembah Yehuwa, menjaga keluarga anda, dan menunjukkan kasih dan hormat kepada mereka, Yehuwa sangat menghargainya.​—Rm. 12:10.

GALAKKAN SATU SAMA LAIN UNTUK MENJADI SEPERTI ORANG NAZIR

14. Siapakah terutamanya memerlukan galakan kita?

14 Semua penyembah Yehuwa hari ini mengasihi-Nya dan rela membuat pengorbanan. Namun kadangkala hal ini tidak senang. Jadi, bagaimanakah kita dapat menggalakkan satu sama lain? Satu cara adalah melalui pertuturan kita. (Ayb. 16:5) Adakah sesetengah saudara saudari di sidang anda sedang menyederhanakan hidup untuk melakukan lebih banyak bagi Yehuwa? Adakah mana-mana orang muda di sidang anda yang berani menjadi berbeza daripada pelajar lain di sekolah biarpun hal itu susah bagi mereka? Bagaimana pula dengan pelajar Bible dan rakan seiman yang menghadapi tentangan daripada ahli keluarga? Mereka semua memerlukan galakan. Maka gunakanlah setiap kesempatan untuk melegakan hati mereka dan memberitahu mereka bahawa kita menghargai pengorbanan, kasih, dan keberanian mereka.​—Flm. 4, 5, 7.

15. Bagaimanakah sesetengah orang menyokong pekhidmat sepenuh masa?

15 Kadangkala, kita mungkin dapat menawarkan bantuan yang praktikal kepada rakan seiman yang berkhidmat sepenuh masa. (Ams. 19:17; Ibr. 13:16) Itulah yang ingin dilakukan oleh seorang saudari tua di Sri Lanka. Duit pencennya telah bertambah dan dia ingin membantu dua orang saudari muda yang merintis walaupun mereka menghadapi masalah kewangan. Jadi, dia memutuskan untuk memberi mereka sejumlah wang setiap bulan agar mereka dapat membayar bil telefon. Sikap saudari tua ini memang patut dipuji!

16. Apakah yang dapat kita pelajari daripada orang Nazir pada zaman kuno?

16 Kita telah belajar banyak cara untuk meniru teladan orang Nazir! Namun, aturan untuk menjadi orang Nazir juga mengajar kita sesuatu tentang Yehuwa. Kita belajar bahawa Yehuwa tahu kita ingin menyenangkan hati-Nya dan sudi membuat pengorbanan agar dapat hidup selaras dengan ikrar pembaktian kita. Kita juga belajar bahawa Yehuwa melihat dan menghargai pengorbanan yang kita buat demi-Nya, dan Dia memberi kita peluang istimewa untuk menunjukkan kasih kita kepada-Nya. (Ams. 23:15, 16; Mrk. 10:28-30; 1 Yoh. 4:19) Semoga kita bertekad untuk terus menyembah Yehuwa dan memberi-Nya yang terbaik!

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Bagaimanakah orang Nazir menunjukkan keberanian dan sikap rela berkorban?

  • Bagaimanakah kita dapat menggalakkan satu sama lain untuk menunjukkan sikap seperti orang Nazir?

  • Melalui aturan untuk menjadi orang Nazir, apakah yang kita belajar tentang pandangan Yehuwa terhadap para penyembah-Nya?

LAGU 124 Selalu Setia

a Segelintir orang Nazir dilantik oleh Yehuwa, tetapi biasanya orang Israel memilih untuk menjadi orang Nazir atas keputusan sendiri.—Lihat kotak “ Orang Nazir yang Dilantik Yehuwa.”

b Ada kalanya, bahan bacaan kita membandingkan orang Nazir dengan pekhidmat sepenuh masa. Namun, rencana ini akan membincangkan bagaimana semua penyembah Yehuwa yang sudah membaktikan diri kepada-Nya dapat meniru semangat orang Nazir.

c Nampaknya, orang Nazir tidak diberikan tugasan tambahan. Mereka hanya perlu mematuhi pantang larang yang disebut dalam Hukum Musa bagi orang Nazir.

e KETERANGAN GAMBAR: Seorang lelaki Nazir berada di bumbung rumah semasa mayat ahli keluarganya diusung keluar. Oleh sebab dia sudah berikrar untuk menjadi orang Nazir, dia hanya boleh melihat dari jauh.