Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Dua Orang Ahli Badan Pimpinan yang Baharu

Dua Orang Ahli Badan Pimpinan yang Baharu

PADA hari Rabu, 18 Januari 2023, pengumuman istimewa telah dibuat di jw.org bahawa Saudara Gage Fleegle dan Jeffrey Winder telah dilantik sebagai ahli Badan Pimpinan Saksi-Saksi Yehuwa. Kedua-dua saudara ini telah menyembah Yehuwa dengan setia untuk masa yang lama.

Gage Fleegle dan isterinya, Nadia

Saudara Fleegle dibesarkan dalam kebenaran di barat Pennsylvania, A.S. Semasa dia remaja, keluarganya berpindah ke sebuah pekan terpencil yang memerlukan lebih banyak penyiar. Tidak lama kemudian, dia dibaptis pada 20 November 1988.

Ibu bapa Saudara Fleegle selalu menggalakkannya untuk menceburi khidmat sepenuh masa. Mereka sering menjemput penyelia litar dan ahli Bethel untuk tinggal di rumah mereka, jadi Saudara Fleegle dapat melihat betapa gembiranya para pekhidmat sepenuh masa. Tidak lama selepas dibaptis, dia menjadi perintis biasa pada 1 September 1989. Dua tahun kemudian, dia mencapai matlamat yang ditetapkannya sejak umur 12 tahun, iaitu untuk berkhidmat di Bethel. Dia mula berkhidmat di Bethel Brooklyn pada Oktober 1991.

Di Bethel, Saudara Fleegle bekerja di Bahagian Penjilidan Buku selama lapan tahun. Kemudian dia ditugaskan ke Bahagian Kerja Penyebaran. Pada masa itu, dia berkhidmat di sidang bahasa Rusia untuk beberapa tahun. Pada tahun 2006, dia berkahwin dengan Nadia, dan Nadia juga mula berkhidmat di Bethel. Mereka berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa Portugis, dan untuk lebih daripada 10 tahun, mereka berkhidmat di kawasan penyebaran bahasa Sepanyol. Selepas bekerja bertahun-tahun di Bahagian Kerja Penyebaran, Saudara Fleegle ditugaskan ke Pejabat Jawatankuasa Mengajar dan kemudiannya ke Pejabat Jawatankuasa Penyebaran. Pada Mac 2022, dia dilantik sebagai pembantu kepada Jawatankuasa Penyebaran bagi Badan Pimpinan.

Jeffrey Winder dan isterinya, Angela

Saudara Winder dibesarkan dalam kebenaran di Murrieta, California, A.S, dan dibaptis pada 29 Mac 1986. Pada bulan berikutnya, dia menjadi perintis sokongan. Kerja itu membuatnya sangat gembira. Jadi dia terus menjadi perintis sokongan untuk beberapa bulan sehingga menjadi perintis biasa pada 1 Oktober 1986.

Semasa remaja, Saudara Winder melawat dua orang abangnya yang berkhidmat di Bethel. Lawatan itu menyemarakkan keinginannya untuk berkhidmat di Bethel. Dia telah memohon untuk khidmat Bethel dan dijemput untuk berkhidmat di Bethel di Wallkill pada Mei 1990.

Di Bethel, Saudara Winder bekerja di beberapa bahagian, termasuk Bahagian Pembersihan, Bahagian Ladang, dan Pejabat Bethel. Dia mengahwini Angela pada tahun 1997 dan mereka berkhidmat di Bethel bersama-sama sejak masa itu. Pada tahun 2014, mereka berpindah ke Warwick, dan Saudara Winder membantu dalam pembinaan bangunan ibu pejabat sedunia. Pada tahun 2016, mereka berpindah ke Pusat Pendidikan Watchtower di Paterson, dan Saudara Winder bekerja di Bahagian Khidmat Audio/Video. Empat tahun kemudian, mereka balik ke Warwick, dan Saudara Winder ditugaskan ke Pejabat Jawatankuasa Kakitangan. Pada Mac 2022, dia dilantik sebagai pembantu kepada Jawatankuasa Kakitangan bagi Badan Pimpinan.

Kita berdoa agar Yehuwa memberkati saudara-saudara ini yang merupakan “kurnia berupa manusia” seraya mereka terus bekerja keras untuk memajukan kerja penyebaran.​—Ef. 4:8.