Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

Pertanyaan Pembaca

Pertanyaan Pembaca

Apakah yang dinyatakan Bible tentang kebolehan Yehuwa untuk bernubuat tentang masa depan?

Bible menyatakan dengan jelas bahawa Yehuwa mampu mengetahui masa depan. (Yes. 45:21) Namun, Bible tidak menjelaskan semua butiran tentang bila atau bagaimana Yehuwa menggunakan kebolehan itu, atau sejauh mana Dia memilih untuk mengetahui masa depan. Walaupun begitu, terdapat beberapa hal yang dijelaskan dalam Bible.

Yehuwa tidak terikat kepada mana-mana peraturan kecuali peraturan yang ditetapkan-Nya bagi diri-Nya sendiri. Yehuwa ialah Tuhan Yang Maha Bijaksana, maka Dia boleh mengetahui apa sahaja yang diingini-Nya. (Rm. 11:33) Namun oleh sebab Dia dapat mengawal diri dengan sempurna, Dia juga boleh memilih untuk tidak mengetahui sesetengah perkara.—Bandingkan Yesaya 42:14.

Yehuwa menyebabkan kehendak-Nya terjadi. Apakah kaitannya dengan keputusan Yehuwa untuk mengetahui masa depan? Yesaya 46:10 kata, “Sejak permulaan, Aku telah bernubuat tentang hal yang akan berlaku. Sejak zaman dahulu, Aku telah menyatakan perkara yang belum terjadi. Aku berfirman, ‘Tujuan-Ku tidak akan gagal. Aku akan melakukan apa sahaja yang Aku kehendaki.’”

Satu sebab Yehuwa dapat menubuatkan masa depan adalah kerana Dia dapat menyebabkan apa yang dinubuatkan-Nya berlaku. Jika kita ingin tahu kesudahan suatu cerita, kita boleh baca halaman terakhir buku itu, tetapi kita tidak mampu mengubah jalan ceritanya. Namun, Yehuwa bukan sahaja dapat mengetahui masa depan. Dia juga boleh menentukan bila sesuatu akan berlaku dan menyebabkan hal itu berlaku tepat pada masa yang ditentukan-Nya.​—Kel. 9:5, 6; Mat. 24:36; Kis. 17:31.

Itulah sebabnya Bible menggunakan ungkapan seperti “ditentukan sejak dahulu lagi” dan istilah seperti “tujuan” untuk menggambarkan apa yang akan Yehuwa lakukan pada masa depan. (2 Raj. 19:25; Yes. 46:11) Dalam bahasa asal, ungkapan dan istilah ini ada kaitan dengan perkataan “tukang tembikar.” (Yer. 18:2-4) Sepertimana seorang tukang tembikar yang mahir dapat membentuk tanah liat menjadi pasu yang cantik, Yehuwa dapat mengubah sesuatu peristiwa agar kehendak-Nya terlaksana.​—Ef. 1:11.

Yehuwa memberi manusia kebebasan untuk memilih. Daripada mentakdirkan siapa yang akan membuat keputusan yang baik atau keputusan yang buruk, Dia mengizinkan semua orang untuk memilih haluan hidup masing-masing dan menggalakkan mereka untuk memilih haluan yang betul.

Perhatikan dua contoh berikut. Pertama: Yehuwa sudah menubuatkan bahawa kota Niniwe akan dimusnahkan kerana penduduknya jahat. Tetapi apabila mereka bertaubat, Yehuwa “mempertimbangkan semula keputusan-Nya dan tidak mendatangkan bencana yang telah difirmankan-Nya sebelum ini.” (Yun. 3:1-10) Yehuwa mengubah keputusan-Nya kerana penduduk Niniwe memilih untuk bertaubat selepas mendengar penghakiman Yehuwa.

Kedua: Bible menubuatkan bahawa seorang penakluk yang bernama Kores akan membebaskan orang Yahudi dari Babilon dan mengarahkan agar Rumah Tuhan dibina semula. (Yes. 44:26–45:4) Raja Kores dari Persia telah memenuhi nubuat itu. (Ezr. 1:​1-4) Biarpun Yehuwa menggunakan Kores untuk memenuhi nubuat-Nya, Dia mengizinkan Kores untuk membuat keputusan sendiri tentang siapa yang dia mahu sembah. Yehuwa tidak memaksa Kores untuk menyembah-Nya.​—Ams. 21:1.

Sudah tentu, Yehuwa mengambil kira faktor-faktor lain semasa menggunakan kebolehan-Nya untuk mengetahui masa depan. Kita tidak dapat memahami fikiran dan perbuatan Yehuwa dengan sepenuhnya. (Yes. 55:8, 9) Namun, apa yang kita tahu tentang Yehuwa daripada Bible sudah cukup untuk menguatkan iman kita bahawa Yehuwa sentiasa berbuat benar, termasuk semasa Dia menggunakan kebolehan-Nya untuk mengetahui masa depan.