Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 14

LAGU 56 Sebatikan Kebenaran dengan Hidupmu

“Marilah Kita . . . Menjadi Matang”

“Marilah Kita . . . Menjadi Matang”

“Marilah kita berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi matang.”​—IBR. 6:1.

FOKUS

Ketahui bagaimana orang Kristian yang matang berfikir dan bertindak selaras dengan kehendak Tuhan, serta membuat keputusan yang bijak.

1. Apakah yang Yehuwa mahu kita lakukan?

 KELAHIRAN seorang bayi ialah peristiwa yang amat menggembirakan. Namun, walaupun ibu bapa sangat menyayangi bayi mereka, mereka tidak mahunya kekal sebagai bayi buat selama-lamanya. Jika bayi mereka tidak membesar, mereka pasti sangat risau. Begitu juga, Yehuwa sangat gembira semasa kita mula mengikut Yesus, tetapi Dia tidak mahu kita terus menjadi bayi secara rohani. (1 Kor. 3:1) Sebaliknya, Dia mahu kita menjadi “orang [Kristian] yang matang.”​—1 Kor. 14:20.

2. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana ini?

2 Apakah maksud menjadi matang secara rohani? Bagaimanakah kita dapat menjadi matang secara rohani? Bagaimanakah makanan rohani yang keras membantu kita menjadi orang Kristian yang matang? Mengapakah kita tidak harus terlalu yakin pada diri sendiri? Dalam rencana ini, kita akan menjawab soalan-soalan tersebut.

APAKAH MAKSUD MENJADI MATANG SECARA ROHANI?

3. Apakah maksud menjadi orang Kristian yang matang?

3 Dalam Bible, perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “orang yang matang” juga bermaksud “dewasa,” “sempurna,” atau “lengkap.” a (Ef. 4:​13, nota kaki) Kita menjadi orang Kristian yang matang apabila hubungan kita dengan Yehuwa menjadi semakin akrab. Sudah tentu, selepas kita menjadi orang Kristian yang matang, kita perlu terus maju secara rohani. (1 Tim. 4:15) Kita semua, termasuk orang muda, dapat menjadi matang secara rohani. Namun, apakah ciri-ciri orang Kristian yang matang?

4. Apakah ciri-ciri orang Kristian yang matang?

4 Orang Kristian yang matang akan melakukan segala yang dikehendaki Tuhan dan bukannya memilih apa yang ingin dipatuhi mereka. Sudah tentu mereka tidak sempurna dan akan berbuat silap. Walaupun begitu, mereka menunjukkan dalam kehidupan seharian mereka bahawa fikiran dan perbuatan mereka selaras dengan kehendak Tuhan. Mereka juga mengenakan keperibadian baharu dan terus berusaha menyelaraskan fikiran mereka dengan fikiran Tuhan. (Ef. 4:​22-24) Mereka telah melatih diri untuk membuat keputusan berdasarkan hukum dan prinsip Yehuwa. Jadi mereka tidak perlu senarai peraturan yang panjang untuk membimbing kelakuan mereka. Mereka juga memiliki disiplin diri. Oleh itu, mereka dapat melaksanakan apa yang sudah mereka putuskan.​—1 Kor. 9:​26, 27.

5. Apakah yang mungkin berlaku kepada orang Kristian yang tidak matang? (Efesus 4:​14, 15)

5 Orang Kristian yang tidak matang pula mudah diperdaya oleh “tipu muslihat,” “ajaran palsu,” teori konspirasi, atau ajaran murtad. b (Baca Efesus 4:​14, 15.) Mereka mungkin cepat iri hati, suka bertengkar, cepat tersinggung, atau mudah terjerat dalam godaan.​—1 Kor. 3:3.

6. Berikan contoh untuk menjelaskan persamaan antara orang Kristian yang menjadi matang dengan kanak-kanak yang menjadi dewasa. (Lihat juga gambar.)

6 Seperti yang disebut tadi, Bible menyamakan pertumbuhan rohani dengan pertumbuhan fizikal kanak-kanak. Kanak-kanak perlu dijaga dan diawasi oleh orang dewasa. Fikirkan contoh ini: Seorang ibu akan memegang tangan anak perempuannya semasa melintasi jalan raya. Apabila anak perempuan itu lebih besar, ibunya mungkin membenarkannya untuk melintasi jalan raya seorang diri, tetapi ibunya masih akan mengingatkannya untuk melihat ke kiri dan ke kanan sebelum melintas. Apabila anak perempuan itu sudah dewasa, dia sendiri sudah tahu cara untuk mengelakkan bahaya di jalan raya. Sebagaimana kanak-kanak memerlukan bantuan daripada orang dewasa untuk mengelakkan bahaya, orang Kristian yang belum matang sering memerlukan bantuan daripada orang Kristian yang matang untuk mengelakkan bahaya rohani dan membuat keputusan yang bijak. Tetapi setelah menjadi matang, mereka sendiri dapat memikirkan prinsip Bible untuk mengetahui fikiran Yehuwa dan mengambil tindakan yang sewajarnya.

Orang Kristian yang belum matang perlu belajar menerapkan prinsip Bible supaya mereka dapat membuat keputusan yang bijak (Lihat perenggan 6)


7. Adakah orang Kristian yang matang memerlukan bantuan orang lain?

7 Adakah hal itu bermaksud orang Kristian yang matang langsung tidak memerlukan bantuan orang lain? Tidak. Orang yang matang pun ada kalanya perlu meminta bantuan. Namun, orang Kristian yang belum matang mungkin mengharapkan orang lain untuk membuat keputusan baginya atau memberitahunya apa yang harus dilakukan. Orang Kristian yang matang pula berbeza. Walaupun mereka meminta nasihat daripada orang yang lebih bijak dan berpengalaman, mereka sedar bahawa mereka perlu membuat keputusan sendiri, kerana Yehuwa menghendaki setiap orang “memikul tanggungan masing-masing.”​—Gal. 6:5.

8. Adakah semua orang Kristian yang matang mempunyai sifat dan fikiran yang sama? Jelaskan.

8 Sepertimana orang dewasa mempunyai rupa luaran yang berbeza-beza, orang Kristian yang matang juga mempunyai sifat yang berbeza-beza. Ada yang mungkin lebih bijaksana, berani, murah hati, atau empati. Selain itu, semasa dua orang Kristian yang matang menghadapi situasi yang serupa, mereka mungkin membuat keputusan yang berbeza, tetapi kedua-dua keputusan mereka masih selaras dengan prinsip Bible. Hal ini sering berlaku dalam keputusan yang melibatkan hati nurani. Oleh itu, mereka tidak akan menghakimi keputusan orang lain, tetapi akan mengutamakan perpaduan dalam sidang.​—Rm. 14:10; 1 Kor. 1:10.

BAGAIMANAKAH KITA DAPAT MENJADI MATANG SECARA ROHANI?

9. Adakah kita menjadi orang Kristian yang matang secara automatik? Jelaskan.

9 Seorang bayi akan menjadi dewasa seraya masa berlalu, tetapi orang Kristian tidak akan menjadi matang secara automatik. Sebagai contoh, saudara saudari di Korintus menyambut berita baik, dibaptis, menerima kuasa suci Tuhan, dan belajar banyak hal daripada Rasul Paulus. (Kis. 18:​8-11) Namun, bertahun-tahun kemudian, ramai antara mereka yang masih belum menjadi matang. (1 Kor. 3:2) Apakah yang perlu kita lakukan supaya hal ini tidak terjadi kepada kita?

10. Apakah yang mesti kita lakukan untuk menjadi matang? (Yudas 20)

10 Untuk menjadi matang, pertama-tamanya kita mesti memupuk keinginan untuk menjadi matang. Mereka yang “mencintai kebodohan,” iaitu mereka yang mahu terus menjadi bayi secara rohani, tidak akan dapat menjadi matang. (Ams. 1:22) Kita tidak mahu menjadi seperti mereka yang sudah dewasa tetapi masih perlu ibu bapa buat keputusan bagi mereka. Sebaliknya, kita sendiri harus memastikan agar kerohanian kita terus bertumbuh. (Baca Yudas 20.) Jika anda mendapati anda belum lagi matang secara rohani, berdoalah kepada Yehuwa untuk memberi anda “keinginan dan kekuatan untuk bertindak.”​—Flp. 2:13.

11. Apakah bantuan yang disediakan oleh Yehuwa untuk membantu kita menjadi matang? (Efesus 4:​11-13)

11 Yehuwa telah menyediakan bantuan supaya kita dapat menjadi matang secara rohani. Misalnya, terdapat gembala dan guru dalam sidang yang sudi membantu kita “menjadi orang yang matang dan mencapai tahap kematangan Kristus.” (Baca Efesus 4:​11-13.) Yehuwa juga memberi kita kuasa suci-Nya supaya kita dapat memiliki “fikiran Kristus.” (1 Kor. 2:​14-16) Tambahan lagi, Tuhan mengilhami Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes untuk mencatatkan bagaimana Yesus berfikir, bercakap, dan berkelakuan semasa di bumi. Apabila kita meniru fikiran dan perbuatan Yesus, kita dapat menjadi orang Kristian yang matang.

MAKANAN ROHANI YANG KERAS MEMBANTU KITA MENJADI MATANG

12. Apakah itu “ajaran asas tentang Kristus”?

12 Untuk menjadi matang, sekadar “mempelajari ajaran asas tentang Kristus” tidak cukup. Ajaran asas sebegini merupakan dasar kepada kepercayaan orang Kristian dan merangkumi hal seperti pertaubatan, iman, pembaptisan, dan pembangkitan. (Ibr. 6:​1, 2) Rasul Petrus telah menyebut ajaran-ajaran ini semasa memberikan kesaksian kepada orang ramai pada Pentakosta 33 M. (Kis. 2:​32-35, 38) Untuk menjadi pengikut Kristus, kita harus menerima ajaran-ajaran asas ini. Paulus berkata bahawa sesiapa yang tidak menerima ajaran pembangkitan bukanlah orang Kristian sejati. (1 Kor. 15:​12-14) Tetapi jika kita hanya mengetahui ajaran asas sebegini, kita tidak akan dapat menjadi matang.

13. Apakah yang harus kita lakukan untuk meraih manfaat daripada makanan rohani yang keras yang disebut di Ibrani 5:14? (Lihat juga gambar.)

13 Tidak seperti ajaran Bible yang asas, makanan rohani yang keras bukan hanya merangkumi hukum Tuhan, tetapi juga prinsip-Nya yang dapat membantu kita memahami fikiran-Nya. Untuk meraih manfaat daripada makanan sebegini, kita harus mengkaji dan merenungkan Bible, serta menerapkan apa yang kita pelajari dengan teliti. Dengan itu, kita dapat melatih diri kita untuk membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa. c​—Baca Ibrani 5:14.

Makanan rohani yang keras melatih kita untuk membuat keputusan yang menyenangkan hati Yehuwa (Lihat perenggan 13) d


14. Bagaimanakah Paulus membantu orang Kristian di Korintus menjadi matang?

14 Orang Kristian yang tidak matang biasanya susah membuat keputusan yang baik jika mereka tidak menjumpai hukum yang spesifik dalam Bible. Mereka mungkin berfikir bahawa mereka boleh bertindak sesuka hati, atau meminta orang lain membuat peraturan bagi mereka. Nampaknya, orang Kristian di Korintus telah menanya Paulus jika mereka boleh makan makanan yang telah dipersembahkan kepada berhala. Namun, daripada membuat peraturan bagi mereka, Paulus menjelaskan bahawa setiap orang mempunyai ‘hak untuk membuat pilihan’ berdasarkan hati nurani masing-masing. Dia juga menyebut beberapa prinsip Bible yang dapat membantu mereka membuat keputusan yang tidak mengganggu hati nurani sendiri dan pada masa yang sama tidak membuat orang lain tersandung. (1 Kor. 8:​4, 7-9) Dengan berbuat demikian, Paulus membantu orang Kristian di Korintus menjadi matang secara rohani. Dia berharap agar mereka dapat menggunakan daya penilaian sendiri untuk membuat keputusan tanpa memerlukan hukum yang spesifik atau bergantung pada orang lain.

15. Bagaimanakah Paulus membantu orang Kristian yang berbangsa Ibrani untuk membuat kemajuan rohani?

15 Kita dapat belajar satu lagi hal daripada surat Paulus kepada orang Kristian yang berbangsa Ibrani. Sesetengah antara mereka tidak lagi membuat kemajuan rohani, malah “sudah kembali menjadi seperti orang yang memerlukan susu dan bukannya makanan yang keras.” (Ibr. 5:12) Mereka tidak mempelajari dan menerima perkara baharu yang diajarkan oleh Yehuwa menerusi sidang. (Ams. 4:18) Sebagai contoh, banyak orang Kristian yang berbangsa Ibrani masih menggalakkan orang lain untuk mematuhi Hukum Musa biarpun hukum itu telah dimansuhkan 30 tahun yang lalu menerusi korban tebusan Kristus. (Rm. 10:4; Tit. 1:10) Bayangkan, fikiran mereka masih tidak dapat berubah selepas jangka masa yang begitu panjang! Maka Paulus mengongsi makanan rohani yang keras dalam suratnya untuk membantu mereka membuat kemajuan rohani. Suratnya telah menguatkan keyakinan mereka bahawa cara beribadat yang diasaskan oleh Yesus jauh lebih unggul daripada cara beribadat orang Yahudi, dan memberi mereka keberanian untuk terus menginjil meskipun ditentang.​—Ibr. 10:​19-23.

JANGAN TERLALU YAKIN

16. Selain berusaha untuk menjadi matang, apa lagi yang harus kita lakukan?

16 Selain berusaha untuk menjadi matang, kita perlu mengekalkan kematangan kita. Oleh itu, kita tidak boleh terlalu yakin pada diri sendiri. (1 Kor. 10:12) Sebaliknya, kita perlu ‘terus menguji’ diri sendiri untuk memastikan agar kita terus maju secara rohani.​—2 Kor. 13:5.

17. Bagaimanakah surat Paulus kepada sidang di Kolose menekankan bahawa kita perlu mengekalkan kematangan kita?

17 Dalam suratnya kepada sidang di Kolose, Paulus menekankan lagi bahawa orang Kristian perlu mengekalkan kematangan mereka. Biarpun rakan seimannya di situ sudah menjadi orang Kristian yang matang, Paulus mengingatkan mereka supaya berhati-hati agar tidak dijerat oleh fikiran duniawi. (Kol. 2:​6-10) Epafras, yang nampaknya sangat mengenali saudara saudari di Kolose, juga berdoa agar mereka “berdiri teguh sebagai orang yang matang.” (Kol. 4:12) Apakah pengajarannya bagi kita? Paulus dan Epafras faham bahawa untuk mengekalkan kematangan diri sendiri, seseorang memerlukan bantuan Tuhan, dan dia sendiri pun perlu berusaha. Mereka berharap agar orang Kristian di Kolose tetap menjadi matang tidak kira apa cabaran yang dihadapi.

18. Apakah yang mungkin berlaku kepada seorang Kristian yang matang? (Lihat juga gambar.)

18 Paulus mengingatkan orang Kristian yang berbangsa Ibrani bahawa seorang Kristian yang matang mungkin kehilangan perkenan Tuhan buat selama-lamanya. Hatinya mungkin menjadi begitu keras sehingga dia tidak mahu bertaubat dan menerima pengampunan daripada Tuhan. Namun, keadaan hati orang Kristian yang berbangsa Ibrani belum sampai tahap itu. (Ibr. 6:​4-9) Bagaimana pula dengan penyembah Yehuwa hari ini yang menjadi tidak aktif atau yang disingkirkan tetapi kemudian bertaubat? Oleh sebab mereka bertaubat dengan rendah hati, hal itu menunjukkan bahawa mereka tidak seperti orang yang keras hati, yang disebut oleh Paulus. Walaupun begitu, mereka masih memerlukan bantuan untuk kembali kepada Yehuwa. (Yeh. 34:​15, 16) Oleh itu, para penatua mungkin mengaturkan seorang Saksi yang matang untuk membantu mereka membina semula persahabatan mereka dengan Yehuwa.

Yehuwa menyediakan bantuan bagi mereka yang ingin membina semula persahabatan mereka dengan-Nya (Lihat perenggan 18)


19. Apakah sepatutnya matlamat kita?

19 Jika anda sedang berusaha untuk menjadi orang Kristian yang matang, yakinlah bahawa anda dapat mencapai matlamat anda! Teruslah menerima makanan rohani yang keras, dan teruslah menyelaraskan fikiran anda dengan fikiran Yehuwa. Jika anda sudah pun menjadi matang, semoga anda terus berusaha untuk mengekalkan kematangan rohani anda.

APAKAH JAWAPAN ANDA?

  • Apakah maksud menjadi orang Kristian yang matang?

  • Bagaimanakah kita dapat menjadi matang secara rohani?

  • Mengapakah kita tidak patut terlalu yakin pada diri sendiri?

LAGU 65 Maralah ke Depan!

a Walaupun Kitab Ibrani tidak menggunakan perkataan “matang” atau “tidak matang” untuk menggambarkan manusia, konsep ini memang wujud. Contohnya, buku Amsal membandingkan orang yang muda dan tidak berpengalaman dengan orang yang bijak dan berpengertian.​—Ams. 1:​4, 5.

b Lihat artikel “Lindungi Diri Anda daripada Maklumat Salah” dalam siri rencana “Topik-Topik Lain” di jw.org dan dalam aplikasi JW Library.®

c Lihat “Projek Pembelajaran” dalam majalah ini.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang saudara menerapkan prinsip Bible yang dipelajarinya semasa memilih hiburan.