Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 19

LAGU 22 Datanglah Kerajaan Tuhan!

Apakah yang Kita Tahu tentang Penghakiman Yehuwa pada Masa Depan?

Apakah yang Kita Tahu tentang Penghakiman Yehuwa pada Masa Depan?

“Yehuwa . . . tidak ingin seorang pun dibinasakan.”​—2 PTR. 3:9.

FOKUS

Kita dapat yakin bahawa semasa Yehuwa menghakimi orang pada masa depan, Dia pasti melakukannya dengan adil dan saksama.

1. Mengapakah kita boleh berkata bahawa kita sedang hidup pada masa yang mendebarkan?

 KITA sedang hidup pada masa yang mendebarkan! Setiap hari, nubuat Bible menjadi kenyataan di depan mata kita. Contohnya, kita melihat “raja utara” dan “raja selatan” bersaing untuk menjadi kuasa besar dunia. (Dan. 11:​40, nota kaki) Kita juga melihat berita baik tentang Kerajaan Tuhan disebarkan ke seluas dunia, dan jutaan orang memilih untuk menyembah Yehuwa. (Yes. 60:22; Mat. 24:14) Selain itu, kita menerima makanan rohani yang melimpah “pada masa yang sesuai.”​—Mat. 24:​45-47.

2. Kita dapat yakin akan hal apa? Apakah yang harus kita ingat?

2 Yehuwa terus membantu kita untuk memahami dengan lebih jelas peristiwa-peristiwa penting yang bakal berlaku. (Ams. 4:18; Dan. 2:28) Kita boleh yakin bahawa apabila kesengsaraan besar bermula, kita akan tahu semua maklumat yang diperlukan supaya kita dapat bertabah dan bahkan tetap bersatu pada masa yang mencabar itu. Namun, kita juga harus ingat bahawa terdapat sesetengah perkara pada masa depan yang kita tidak tahu. Dalam rencana ini, mula-mula kita akan bincang mengapa pemahaman kita tentang sesetengah perkara itu perlu dikemaskinikan. Kemudian kita akan membincangkan sesetengah perkara yang kita tahu tentang masa depan dan bagaimana Bapa kita yang di syurga akan bertindak.

APA YANG KITA TIDAK TAHU

3. Apakah pemahaman lama kita tentang bila orang tidak berpeluang lagi untuk beriman kepada Yehuwa, dan mengapakah kita membuat kesimpulan itu?

3 Dulu, kita percaya bahawa apabila kesengsaraan besar bermula, orang tidak lagi berpeluang untuk beriman kepada Yehuwa dan selamat mengharungi Armagedon. Kita membuat kesimpulan itu kerana kita fikir bahawa setiap orang dan setiap peristiwa semasa Banjir pada zaman Nuh melambangkan sesuatu yang akan berlaku pada masa kita. Sebagai contoh, kita fikir bahawa sepertimana Yehuwa menutup pintu bahtera sebelum Banjir Besar bermula, Yehuwa akan “menutup pintu” penyelamatan semasa kesengsaraan besar bermula. Selepas itu, tiada sesiapa pun dalam sistem dunia Syaitan yang dapat diselamatkan.​—Mat. 24:​37-39.

4. Adakah kita menganggap bahawa setiap orang dan setiap peristiwa semasa Banjir pada zaman Nuh melambangkan sesuatu pada masa depan? Jelaskan.

4 Patutkah kita menganggap bahawa setiap orang dan setiap peristiwa semasa Banjir pada zaman Nuh melambangkan sesuatu pada masa depan? Tidak. Mengapa? Kerana Bible tidak berkata demikian. a Memang benar, Yesus pernah berkata bahawa keadaan “pada zaman Nuh” adalah seperti keadaan semasa kehadirannya. Namun, dia tidak berkata bahawa setiap orang dan setiap peristiwa semasa Banjir pada zaman Nuh melambangkan sesuatu. Yesus juga tidak pernah berkata bahawa semasa Yehuwa menutup pintu bahtera, hal itu menggambarkan apa yang akan berlaku pada masa depan. Meskipun begitu, hal ini tidak bermaksud kita tidak dapat meraih manfaat daripada kisah tentang Nuh dan Banjir.

5. (a) Bagaimanakah Nuh menunjukkan imannya sebelum Banjir datang? (Ibrani 11:7; 1 Petrus 3:20) (b) Apakah persamaan antara kerja penyebaran pada zaman Nuh dengan zaman kita?

5 Semasa mendengar amaran daripada Yehuwa, Nuh membuktikan imannya dengan membina sebuah bahtera. (Baca Ibrani 11:7; 1 Petrus 3:20.) Begitu juga, orang yang mendengar berita baik tentang Kerajaan Tuhan harus membuktikan iman mereka dengan menerapkan apa yang mereka belajar. (Kis. 3:​17-20) Petrus memanggil Nuh sebagai “seorang lelaki yang menyebarkan apa yang benar.” (2 Ptr. 2:5) Namun, seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, kita tidak tahu jika Nuh telah menginjil kepada semua orang di bumi sebelum Banjir datang. Hari ini juga, kita cuba menginjil dengan bersemangat kepada semua orang. Walaupun begitu, kita tidak dapat mengongsikan berita baik kepada semua orang di bumi sebelum akhir datang. Mengapa?

6-7. Mengapakah kita menyimpulkan bahawa kita tidak dapat menyebarkan berita baik kepada semua orang di bumi sebelum akhir datang?

6 Perhatikan apa yang dikatakan oleh Yesus tentang skala kerja penyebaran kita. Dia menubuatkan bahawa berita baik akan disebarkan “ke seluruh bumi sebagai kesaksian kepada semua bangsa.” (Mat. 24:14) Nubuat ini sedang menjadi kenyataan hari ini. Mesej Kerajaan Tuhan diterbitkan dalam lebih daripada 1,000 bahasa. Melalui laman jw.org, kebanyakan orang di bumi dapat belajar tentang Kerajaan Tuhan.

7 Namun, Yesus juga memberitahu murid-muridnya bahawa mereka tidak akan “selesai mengunjungi semua kota dan pekan,” atau menginjil kepada semua orang sebelum dia datang. (Mat. 10:23; 25:​31-33) Hari ini, kata-kata Yesus masih terbukti benar. Jutaan orang tinggal di kawasan di mana kerja penyebaran kita disekat atau dilarang. Selain itu, ratusan bayi dilahirkan setiap minit. Kita berusaha untuk menginjil kepada orang daripada “setiap bangsa, suku, [dan] bahasa.” (Why. 14:6) Namun hakikatnya, kita tidak dapat mengongsi berita baik kepada setiap individu di bumi sebelum akhir datang.

8. Apakah soalan yang mungkin timbul? (Lihat juga gambar.)

8 Namun, soalan ini mungkin timbul: Bagaimana pula dengan mereka yang tidak berpeluang untuk mendengar berita baik sebelum kesengsaraan besar tiba? Bagaimanakah Yehuwa dan Anak-Nya, yang telah diberikan kuasa untuk menghakimi orang, mengadili mereka? (Yoh. 5:​19, 22, 27; Kis. 17:31) Ayat tema bagi rencana ini menyatakan bahawa Yehuwa “tidak ingin seorang pun dibinasakan.” Sebaliknya, Dia ingin “semua orang berpeluang untuk bertaubat.” (2 Ptr. 3:9; 1 Tim. 2:4) Namun, Yehuwa belum lagi memberitahu kita apa yang akan dilakukan-Nya pada masa itu. Sebenarnya, Yehuwa tidak wajib memberitahu kita segala yang telah dan akan dilakukan-Nya.

Bagaimanakah Yehuwa akan menghakimi mereka yang tidak berpeluang mendengar berita baik sebelum kesengsaraan besar bermula? (Lihat perenggan 8) c


9. Apakah yang telah Yehuwa beritahu kita menerusi Bible?

9 Menerusi Bible, Yehuwa memberitahu kita sesetengah hal yang akan dilakukan-Nya. Misalnya, Dia akan membangkitkan “orang yang tidak baik,” iaitu orang yang belum lagi berpeluang mendengar berita baik dan mengubah kehidupan mereka. (Kis. 24:15; Luk. 23:​42, 43) Namun, terdapat soalan lain yang timbul.

10. Apakah soalan lain yang timbul?

10 Adakah semua orang yang mati semasa kesengsaraan besar tidak akan dibangkitkan? Bible jelas menyatakan bahawa para penentang yang dihapuskan oleh Yehuwa dan bala tentera-Nya semasa Armagedon tidak akan dibangkitkan. (2 Tes. 1:​6-10) Bagaimana pula dengan mereka yang mati semasa kesengsaraan besar kerana penyakit, usia tua, kemalangan, atau dibunuh orang? (Pkh. 9:11; Za. 14:13) Mungkinkah ada antara mereka yang akan tergolong sebagai “orang yang tidak baik” dan dibangkitkan di dunia baharu? Kita tidak tahu.

APA YANG KITA TAHU

11. Semasa Armagedon, orang akan dihakimi berdasarkan apa?

11 Terdapat sesetengah peristiwa pada masa depan yang memang kita tahu. Contohnya, kita tahu bahawa semasa Armagedon, orang akan dihakimi berdasarkan cara mereka melayan saudara terurap Kristus. (Mat. 25:40) Jika mereka menyokong kaum terurap dan Kristus, mereka akan dianggap sebagai biri-biri. Kita juga tahu bahawa ada antara kaum terurap yang masih akan berada di bumi selepas kesengsaraan besar bermula. Mereka hanya akan dibawa ke syurga sejurus sebelum perang Armagedon tercetus. Selagi masih ada kaum terurap di bumi, orang yang berhati jujur berpeluang untuk menyokong mereka dan kerja yang dilakukan mereka. (Mat. 25:​31, 32; Why. 12:17) Mengapakah kita menyebut tentang hal ini?

12-13. Apakah mungkin reaksi sesetengah orang selepas melihat pembinasaan “Babilon Besar”? (Lihat juga gambar.)

12 Bahkan selepas kesengsaraan besar bermula, ada kemungkinan sesetengah orang yang melihat pembinasaan “Babilon Besar” akan teringat bahawa selama bertahun-tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah berkata bahawa hal ini akan berlaku. Adakah mereka akan berubah hati ketika melihat hal itu?​—Why. 17:5; Yeh. 33:33.

13 Jika ya, keadaannya akan mirip dengan apa yang berlaku pada zaman Musa. Semasa orang Israel keluar dari Mesir, “sekumpulan besar orang daripada bangsa-bangsa lain” telah menyertai mereka. Ada antara orang itu mungkin mula beriman setelah melihat amaran Musa tentang Sepuluh Tulah menjadi kenyataan. (Kel. 12:38) Jika orang masih sempat menyertai umat Tuhan selepas Babilon Besar dibinasakan, adakah kita akan kecewa? Pasti tidak! Sebaliknya, kita mahu meniru sifat Bapa kita yang di syurga yang ‘penuh rahmat dan belas kasihan, yang tidak cepat murka, yang berpegang pada kebenaran, dan yang menunjukkan kasih setia yang melimpah.’ b​—Kel. 34:6.

Sesetengah orang yang melihat pembinasaan “Babilon Besar” mungkin teringat bahawa selama bertahun-tahun, Saksi-Saksi Yehuwa telah berkata bahawa hal ini akan berlaku (Lihat perenggan 12-13) d


14-15. Adakah masa depan seseorang ditentukan berdasarkan bila dia meninggal atau di mana tempat tinggalnya? Jelaskan. (Mazmur 33:​4, 5)

14 Ada kalanya, kita mungkin mendengar orang berkata, “Kan bagus kalau ahli keluarga saya mati sebelum kesengsaraan besar bermula supaya dia ada harapan pembangkitan.” Motif mereka memang baik, tetapi masa depan seseorang tidak ditentukan berdasarkan bila dia meninggal. Ingatlah bahawa Yehuwa ialah Hakim yang sempurna, adil, dan saksama. (Baca Mazmur 33:​4, 5.) Jadi kita boleh yakin bahawa “Hakim bagi seluruh bumi” akan melakukan apa yang benar.​—Kej. 18:25.

15 Masa depan seseorang juga tidak ditentukan berdasarkan di mana dia tinggal. Di banyak negara, ada jutaan orang yang tidak berpeluang mendengar berita baik. Adakah Yehuwa akan menganggap mereka semua sebagai “kambing”? Hal itu tidak masuk akal. (Mat. 25:46) Jika kita pun risau tentang mereka, apatah lagi Hakim bagi seluruh bumi! Kita tidak tahu apa yang akan dilakukan oleh Yehuwa semasa kesengsaraan besar. Mungkin Dia akan membuka peluang bagi mereka supaya mereka dapat mengenali-Nya, beriman kepada-Nya, dan berpihak kepada-Nya semasa Dia menyucikan nama-Nya di hadapan bangsa-bangsa.​—Yeh. 38:16.

Selepas kesengsaraan besar bermula, . . . adakah mereka akan berubah hati?

16. Apakah yang sudah kita belajar tentang Yehuwa? (Lihat juga gambar.)

16 Setelah mengkaji Bible, kita tahu bahawa nyawa manusia sangat berharga bagi Yehuwa. Dia telah mengorbankan nyawa Anak-Nya supaya kita ada harapan untuk hidup selama-lamanya. (Yoh. 3:16) Kita semua pernah merasai belas kasihan Yehuwa. (Yes. 49:15) Dia tahu nama kita masing-masing. Sebenarnya, Dia begitu mengenali kita sehingga jika kita mati pun, Dia dapat membangkitkan kita kerana Dia ingat setiap perincian tentang kita dan setiap memori yang kita ada! (Mat. 10:​29-31) Sememangnya, kita yakin bahawa Bapa kita yang di syurga akan menghakimi setiap orang dengan sempurna, kerana Dia bijaksana, adil, pengasih, dan berbelas kasihan.​—Yak. 2:13.

Kita yakin bahawa Bapa kita yang di syurga akan menghakimi setiap orang dengan sempurna, kerana Dia bijaksana, adil, pengasih, dan berbelas kasihan (Lihat perenggan 16)


17. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana seterusnya?

17 Setelah mengetahui pemahaman yang dikemaskinikan dalam rencana ini, kita dapat rasa bahawa kerja penyebaran menjadi lebih mendesak lagi. Mengapakah kita dapat berkata demikian? Apakah yang mendorong kita untuk terus menginjil tanpa henti? Kita akan membincangkan jawapannya dalam rencana seterusnya.

LAGU 76 Riang Ria Hati Kita!

a Untuk penjelasan lanjut tentang mengapa perubahan ini dibuat, lihat rencana “Hal Ini Selaras dengan Kehendak-Mu” dalam Menara Pengawal terbitan 15 Mac 2015 ms. 7-11.

b Selepas Babilon Besar dimusnahkan, semua hamba Yehuwa akan diuji semasa serangan Gog dari tanah Magog. Mereka yang berpihak kepada umat Tuhan selepas pembinasaan Babilon Besar juga perlu melalui ujian yang sama.

c KETERANGAN GAMBAR: Tiga gambar yang menunjukkan mengapa sesetengah orang mungkin tidak berpeluang mendengar berita baik: (1) Disebabkan agama rasmi di negara wanita itu, tidak selamat bagi seseorang untuk mempelajari kebenaran, (2) disebabkan keadaan politik di negara pasangan itu, kerja penyebaran diharamkan dan nyawa seseorang mungkin terancam jika dia belajar kebenaran, dan (3) disebabkan tempat tinggal lelaki itu yang sangat terpencil, para penginjil tidak dapat menginjil kepadanya.

d KETERANGAN GAMBAR: Seorang wanita muda yang telah meninggalkan kebenaran teringat apa yang dipelajarinya tentang kemusnahan “Babilon Besar.” Dia berubah hati dan kembali kepada ibu bapanya yang merupakan Saksi. Jika hal sebegini berlaku, kita mahu meniru belas kasihan Tuhan kita dan bersukacita kerana seorang pendosa sudah kembali.