Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 20

LAGU 67 “Khabarkan Firman Tuhan”

Biarlah Kasih Mendorong Anda untuk Terus Menginjil!

Biarlah Kasih Mendorong Anda untuk Terus Menginjil!

“Berita baik harus disebarkan kepada semua bangsa terlebih dahulu.”​—MRK. 13:10.

FOKUS

Bagaimana kasih mendorong kita untuk menginjil dengan bersemangat dan sepenuh jiwa.

1. Apakah yang kita belajar semasa mesyuarat tahunan 2023?

 SEMASA mesyuarat tahunan 2023, a kita telah mendengar pemahaman yang dikemaskinikan dan pengumuman tentang kerja penyebaran. Contohnya, kita belajar bahawa sesetengah orang mungkin berpeluang untuk menyertai umat Yehuwa bahkan selepas Babilon Besar dimusnahkan. Kita juga mendengar bahawa mulai November 2023, cara para penyiar melaporkan kerja penyebaran mereka telah diringkaskan. Adakah perubahan sebegini bermaksud kerja penyebaran kita tidak begitu penting atau mendesak? Pasti tidak!

2. Mengapakah kerja penyebaran kita makin hari makin mendesak? (Markus 13:10)

2 Kerja penyebaran kita makin hari makin mendesak. Mengapa? Kerana kita sudah kesuntukan masa. Fikirkan apa yang dinubuatkan Yesus tentang kerja penyebaran pada hari-hari terakhir. (Baca Markus 13:10.) Menurut catatan Matius, Yesus berkata bahawa berita baik akan disebarkan ke seluruh bumi sebelum “akhir” tiba. (Mat. 24:14) “Akhir” itu merujuk kepada pembinasaan sistem dunia Syaitan. Yehuwa sudah menetapkan “hari atau waktunya” semua peristiwa ini berlaku, dan waktu itu sudah semakin dekat. (Mat. 24:36; 25:13; Kis. 1:7; Rm. 13:11) Sementara menantikan akhir tiba, kita mesti terus menginjil.

3. Apakah yang mendorong kita untuk menginjil?

3 Kita semua perlu memikirkan soalan yang penting ini: Mengapakah kita menginjil? Pendek kata, kasih mendorong kita untuk menginjil. Kita menginjil kerana kita mengasihi berita baik, mengasihi orang lain, dan yang terpenting, kita mengasihi Yehuwa dan nama-Nya. Mari kita membincangkan tiga hal ini satu demi satu.

KITA MENGINJIL KERANA KITA MENGASIHI BERITA BAIK

4. Apakah reaksi kita semasa mendengar berita yang baik?

4 Apakah perasaan anda semasa mendapat berita baik, contohnya seorang ahli keluarga anda mendapat anak, atau anda mendapat tawaran kerja yang amat diperlukan? Sudah pasti anda ingin mengongsikan berita baik itu dengan ahli keluarga yang lain dan sahabat anda. Adakah anda mempunyai perasaan yang sama semasa mendengar berita yang terbaik, iaitu berita baik tentang Kerajaan Tuhan?

5. Apakah perasaan anda semasa anda mula-mula belajar kebenaran daripada Firman Tuhan? (Lihat juga gambar.)

5 Fikir kembali perasaan anda semasa anda mula-mula belajar kebenaran daripada Firman Tuhan. Anda belajar bahawa Bapa anda yang di syurga mengasihi anda, ingin anda menjadi penyembah-Nya, berjanji untuk mengakhiri segala kesakitan dan penderitaan, memberi anda peluang berjumpa semula dengan orang kesayangan yang telah meninggal, dan banyak lagi. (Mrk. 10:​29, 30; Yoh. 5:​28, 29; Rm. 8:​38, 39; Why. 21:​3, 4) Kebenaran-kebenaran ini telah menyentuh hati anda. (Luk. 24:32) Oleh sebab anda mengasihi kebenaran Bible, anda tidak sabar untuk memberitahu semua orang tentangnya!​—Bandingkan Yeremia 20:9.

Semasa kita baru belajar tentang berita baik, kita sangat teruja dan ingin mengongsinya dengan semua orang! (Lihat perenggan 5)


6. Apakah yang anda pelajari daripada pengalaman Ernest dan Rose?

6 Perhatikan pengalaman ini. Seorang saudara yang bernama Ernest b telah kehilangan bapanya semasa berumur kira-kira 10 tahun. Mengenang kembali masa itu, Ernest berkata, “Saya tertanya-tanya, ‘Adakah ayah sudah pergi ke syurga? Atau adakah dia sudah mati buat selama-lamanya?’ Saya iri hati terhadap budak-budak lain yang masih ada bapa.” Ernest sering pergi ke kubur bapanya dan berlutut sambil berdoa, “Tuhan, tolonglah beritahu saya di mana bapa saya.” Kira-kira 17 tahun selepas bapanya meninggal, Ernest mula belajar Bible dengan para Saksi. Dia teruja semasa mendapat tahu bahawa orang mati tidak sedar akan apa-apa dan seperti tidur nyenyak, dan bahawa mereka akan dibangkitkan. (Pkh. 9:​5, 10; Kis. 24:15) Akhirnya, soalan-soalan yang membuatnya bingung selama ini telah dijawab, dan dia sangat suka apa yang dipelajarinya dalam Bible. Isterinya, Rose, mula belajar Bible dan dia juga mencintai kebenaran Bible. Mereka dibaptis pada tahun 1978. Dengan bersemangat, mereka mengongsi berita baik dengan ahli keluarga, sahabat, dan sesiapa sahaja yang sudi dengar. Hasilnya, Ernest dan Rose telah membantu lebih daripada 70 orang untuk dibaptis.

7. Apabila kasih terhadap kebenaran Bible berakar umbi dalam hati kita, kita akan terdorong untuk melakukan apa? (Lukas 6:45)

7 Apabila kasih terhadap kebenaran Bible berakar umbi dalam hati kita, kita terdorong untuk memberitahu orang lain tentangnya. (Baca Lukas 6:45.) Kita berasa seperti para rasul Yesus pada abad pertama yang kata, “Kami tidak dapat berhenti bercakap tentang apa yang sudah kami lihat dan dengar.” (Kis. 4:20) Kita begitu mengasihi kebenaran sehingga terdorong untuk mengongsikannya kepada seramai orang yang mungkin.

KITA MENGINJIL KERANA KITA MENGASIHI ORANG LAIN

8. Apakah yang mendorong kita untuk mengongsi berita baik dengan orang lain? (Lihat kotak  Kasihi Orang—Jadikanlah Mereka Pengikut Yesus.”) (Lihat juga gambar.)

8 Seperti Yehuwa dan Anak-Nya Yesus, kita mengasihi orang. (Ams. 8:31; Yoh. 3:16) Kita mengasihani orang yang hidup “tanpa Tuhan” dan “tanpa harapan.” (Ef. 2:12) Mereka ditenggelami masalah kehidupan, tetapi kita mempunyai pelampung keselamatan yang mereka perlukan, iaitu berita baik tentang Kerajaan Tuhan. Kasih dan belas kasihan untuk mereka mendorong kita untuk berusaha sedaya upaya untuk menginjil kepada mereka. Kebenaran Bible dapat memberi mereka harapan, membantu mereka menjalani kehidupan yang bermakna sekarang, dan memberi mereka peluang untuk menikmati “kehidupan yang sejati,” iaitu kehidupan kekal di dunia baharu.​—1 Tim. 6:19.

Kasih dan belas kasihan mendorong kita berusaha sedaya upaya untuk menyebarkan berita baik (Lihat perenggan 8)


9. Apakah amaran yang kita kongsikan tentang masa depan, dan mengapa? (Yehezkiel 33:​7, 8)

9 Kasih kita untuk orang lain juga mendorong kita untuk memberi mereka amaran bahawa akhir dunia jahat ini sudah dekat. (Baca Yehezkiel 33:​7, 8.) Kita berasa kasihan terhadap semua orang dan ahli keluarga kita yang tidak seiman. Ramai antara mereka tidak sedar bahawa masa penghakiman yang bakal tiba itu merupakan “kesengsaraan besar yang tidak pernah berlaku semenjak permulaan dunia sehingga sekarang, dan yang tidak akan berlaku lagi.” (Mat. 24:21) Kita mahu mereka tahu bahawa pada masa itu, agama palsu akan dihapuskan, dan semasa Armagedon, seluruh sistem dunia Syaitan akan dihancurkan. (Why. 16:​14, 16; 17:​16, 17; 19:​11, 19, 20) Kita berdoa agar ramai orang akan mendengarkan amaran itu dan menyertai ibadat sejati sekarang. Namun, apakah yang akan berlaku kepada ahli keluarga kita dan orang lain yang tidak mendengarkan amaran itu pada masa ini?

10. Mengapakah penting bagi kita untuk terus mengongsikan amaran Bible tentang masa depan?

10 Seperti yang dibincangkan dalam rencana sebelumnya, orang yang berubah hati selepas melihat Babilon Besar dimusnahkan mungkin akan diselamatkan. Jika demikian, adalah sangat penting bagi kita untuk terus mengongsikan amaran Bible tentang masa depan. Mengapa? Semasa kesengsaraan besar bermula, mereka mungkin ingat apa yang telah kita beritahu mereka. (Bandingkan Yehezkiel 33:33.) Barangkali, mereka akan tergerak untuk menyembah Yehuwa bersama kita sebelum terlambat. Sepertimana penjaga penjara di Filipi berubah hati selepas “gempa bumi yang dahsyat berlaku,” sesetengah orang yang tidak menyambut amaran kita sekarang mungkin berubah hati selepas digemparkan dengan berita kemusnahan Babilon Besar.​—Kis. 16:​25-34.

KITA MENGINJIL KERANA KITA MENGASIHI YEHUWA DAN NAMA-NYA

11. Bagaimanakah kita memberi Yehuwa kemuliaan, kehormatan, dan kuasa? (Wahyu 4:11) (Lihat juga gambar.)

11 Sebab terpenting kita menginjil adalah kerana kita mengasihi Yehuwa dan nama-Nya yang suci. Kita menganggap kerja penyebaran sebagai peluang untuk memuji Tuhan kita. (Baca Wahyu 4:11.) Kita pasti setuju dengan sepenuh hati bahawa Yehuwa layak menerima kemuliaan, kehormatan, dan kuasa daripada penyembah-Nya. Kita memberi-Nya kemuliaan dan kehormatan dengan meyakinkan orang bahawa Dia “menciptakan segala sesuatu” dan memberi kita nyawa. Kita memberi Yehuwa kuasa kita dengan menggunakan masa, tenaga, dan harta benda kita untuk menyokong kerja penyebaran. (Mat. 6:33; Luk. 13:24; Kol. 3:23) Pendek kata, kita suka memberitahu orang lain tentang Tuhan yang kita kasihi. Kita juga terdorong untuk memberitahu orang lain tentang nama-Nya dan sifat-sifat-Nya. Mengapa?

Kita memberi Yehuwa kuasa kita dengan menggunakan masa, tenaga, dan harta benda kita untuk menyokong kerja penyebaran (Lihat perenggan 11)


12. Bagaimanakah kita menyucikan nama Yehuwa dalam kerja penyebaran?

12 Kasih kita terhadap Yehuwa menggerakkan kita untuk menyucikan nama-Nya. (Mat. 6:9) Syaitan telah memfitnah dan memburuk-burukkan nama Yehuwa. (Kej. 3:​1-5; Ayb. 2:4; Yoh. 8:44) Jadi kita mahu menyucikan nama Tuhan kita semasa melakukan kerja penyebaran dan mengumumkan kebenaran tentang-Nya kepada semua orang yang sudi mendengar. Kita berharap semua orang akan tahu bahawa sifat utama-Nya ialah kasih, cara pemerintahan-Nya memang adil dan benar, dan bahawa Kerajaan-Nya akan melenyapkan segala penderitaan dan membawa kehidupan yang damai dan bahagia tidak lama lagi. (Mzm. 37:​10, 11, 29; 1 Yoh. 4:8) Apabila kita mempertahankan nama Yehuwa dan memberitahu orang kebenaran tentang-Nya, kita sedang menyucikan nama-Nya. Kita juga berasa puas kerana dapat hidup selaras dengan nama kita sebagai Saksi-Saksi Yehuwa. Apakah maksudnya?

13. Mengapakah kita bangga dipanggil Saksi-Saksi Yehuwa? (Yesaya 43:​10-12)

13 Yehuwa berfirman, “Kamu ialah saksi-saksi-Ku.” (Baca Yesaya 43:​10-12.) Beberapa tahun yang lalu, sepucuk surat daripada Badan Pimpinan menyatakan, “Digelar Saksi-Saksi Yehuwa ialah penghormatan terbesar yang diberikan kepada kita.” Mengapa? Fikirkan contoh berikut: Jika anda dituduh di mahkamah dan memerlukan seorang saksi untuk memberikan keterangan tentang diri anda, siapakah yang akan anda pilih? Sudah pasti anda akan pilih seseorang yang anda percayai dan kenali, dan yang mempunyai reputasi yang baik. Memandangkan Yehuwa telah memilih kita sebagai saksi-saksi-Nya, hal ini menunjukkan bahawa Dia mengenali kita dan yakin kita akan memberikan kesaksian bahawa Dialah satu-satunya Tuhan yang benar. Kita sangat berbesar hati untuk menjadi Saksi-Nya dan ingin menggunakan setiap kesempatan untuk memberitahu orang tentang nama-Nya dan menyangkal segala dusta yang disebarkan tentang-Nya. Dengan berbuat demikian, kita menunjukkan bahawa kita bangga dipanggil Saksi-Saksi Yehuwa dan mahu hidup selaras dengan nama kita!​—Mzm. 83:18; Rm. 10:​13-15.

KITA AKAN TERUS MENGINJIL SAMPAI AKHIR

14. Apakah hal-hal yang bakal berlaku?

14 Kita berharap bahawa sebelum kesengsaraan besar bermula, Yehuwa akan memberkati usaha kita dan ramai orang akan menerima kebenaran. Kita juga teruja kerana sedar bahawa bahkan semasa kesengsaraan besar, ramai orang mungkin akan keluar dari dunia Syaitan pada detik yang paling gelap itu dan memuji Yehuwa bersama kita!​—Kis. 13:48.

15-16. Kita akan terus melakukan apa, dan sehingga bila?

15 Sementara menunggu akhir datang, kita mempunyai banyak kerja untuk dilakukan. Kita diberikan peluang untuk melakukan kerja yang tidak akan diulangi lagi, iaitu menyebarkan berita baik tentang Kerajaan Tuhan ke seluas dunia. Pada masa yang sama, kita juga mahu mengongsikan amaran bahawa akhir sistem dunia yang jahat ini sudah sangat dekat. Dengan demikian, apabila masa penghakiman Tuhan tiba, orang ramai akan tahu bahawa mesej yang kita sebarkan berasal daripada Tuhan Yehuwa.​—Yeh. 38:23.

16 Maka apakah tekad kita? Semoga kita terus menginjil dengan semangat yang berkobar-kobar dan perasaan yang mendesak kerana didorong oleh kasih untuk berita baik, untuk orang lain, dan untuk Yehuwa dan nama-Nya. Kita akan terus melakukan kerja ini sehingga Yehuwa berkata, “Kerja menginjil sudah selesai!”

LAGU 54 “Inilah Jalannya”

a Mesyuarat tahunan diadakan pada 7 Oktober 2023 di Dewan Perhimpunan Saksi-Saksi Yehuwa di Newburgh, New York, A.S. Seluruh program itu kemudiannya disiarkan di Siaran JW. Bahagian 1 disiarkan pada bulan November 2023 dan Bahagian 2 pada Januari 2024.

b Lihat rencana “Bible Mengubah Hidup—Saya Kagum dengan Jawapan Bible yang Jelas dan Masuk Akal,” terbitan 1 Februari 2015 dalam majalah Menara Pengawal.