Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 23

LAGU 28 Menjadi Sahabat Yehuwa

Yehuwa Menjemput Kita untuk Menjadi Tetamu-Nya

Yehuwa Menjemput Kita untuk Menjadi Tetamu-Nya

“Khemah-Ku akan ada bersama mereka. Aku akan menjadi Tuhan mereka.”​—YEH. 37:27.

FOKUS

Membantu kita memahami maksudnya menjadi tetamu di khemah Yehuwa dan bagaimana Yehuwa menjaga para tetamu-Nya.

1-2. Apakah jemputan Yehuwa kepada para penyembah-Nya?

 BAGI anda, siapakah Yehuwa? Anda mungkin menjawab, “Yehuwa ialah Tuhanku, Bapaku, dan Sahabatku.” Anda juga mungkin menggambarkan Yehuwa dalam cara lain, tetapi pernahkah anda berkata, “Yehuwa ialah Tuan Rumahku?”

2 Raja Daud menulis bahawa hubungan antara Yehuwa dengan para penyembah-Nya adalah seperti hubungan antara tuan rumah dengan tetamu. Dia bertanya, “Ya Yehuwa, siapakah yang boleh menjadi tetamu di khemah-Mu? Siapakah yang boleh tinggal di gunung-Mu yang suci?” (Mzm. 15:1) Kata-kata ini menunjukkan bahawa kita diberi penghormatan yang amat besar untuk menjadi sahabat dan tetamu Yehuwa.

YEHUWA MAHU KITA MENJADI TETAMU-NYA

3. Siapakah tetamu pertama Yehuwa, dan apakah perasaan Yehuwa dan tetamu-Nya?

3 Sebelum menciptakan segala sesuatu, Yehuwa tinggal seorang diri. Tetapi selepas Dia menciptakan Yesus, iaitu Anak sulung-Nya, Yesus telah menjadi tetamu-Nya yang pertama. Yehuwa sangat gembira menjadi Tuan Rumah, kerana Bible kata Anak-Nya merupakan “sumber kebahagiaan-Nya.” Bagaimana pula dengan perasaan Yesus? Bible kata tetamu pertama Yehuwa “sentiasa bergembira di hadirat-Nya.”​—Ams. 8:30.

4. Siapa lagi yang dijemput untuk menjadi tetamu Yehuwa?

4 Kemudian, Yehuwa menciptakan malaikat-malaikat dan menjemput mereka untuk menjadi tetamu-Nya. Para malaikat digelar “anak Tuhan,” dan Bible menyatakan bahawa mereka bergembira di hadirat Yehuwa. (Ayb. 38:7; Dan. 7:10) Buat suatu jangka masa yang panjang, tetamu Yehuwa hanya terdiri daripada makhluk roh di syurga. Selepas itu, Dia mula menjemput manusia di bumi untuk menjadi tetamu-Nya. Antara mereka termasuk Henokh, Nuh, Abraham, dan Ayub. Bible menggambarkan mereka sebagai sahabat Tuhan, atau orang yang “hidup akrab dengan Tuhan yang benar.”​—Kej. 5:24; 6:9; Ayb. 29:4; Yes. 41:8.

5. Apakah yang kita pelajari daripada nubuat di Yehezkiel 37:​26, 27?

5 Sepanjang sejarah manusia, Yehuwa menjemput sahabat-Nya untuk menjadi tetamu-Nya. (Baca Yehezkiel 37:​26, 27.) Sebagai contoh, nubuat Yehezkiel mengajar kita bahawa Tuhan benar-benar ingin menjadi sahabat rapat para penyembah-Nya. Dia bernubuat bahawa Dia akan “membuat perjanjian damai dengan mereka.” Nubuat itu menggambarkan masanya mereka yang ada harapan untuk hidup di syurga dan mereka yang ada harapan untuk hidup di bumi menjadi “satu kawanan” di dalam khemah Yehuwa. (Yoh. 10:16) Itulah yang berlaku sekarang!

TUHAN MENJAGA KITA TIDAK KIRA DI MANA KITA BERADA

6. Bagaimanakah seseorang dapat menjadi tetamu di dalam khemah Yehuwa? Khemah Tuhan terletak di mana?

6 Pada zaman Bible, khemah merupakan tempat untuk berehat dan berlindung daripada cuaca buruk. Tetamu di dalam khemah juga tahu bahawa mereka akan dijaga dengan baik. Begitu juga, semasa kita membaktikan diri kepada Yehuwa, kita menjadi tetamu di dalam khemah-Nya. (Mzm. 61:4) Kita menikmati makanan rohani yang melimpah dan bersahabat dengan tetamu Yehuwa yang lain. Adakah khemah Yehuwa terletak di lokasi tertentu? Tidak. Fikirkan: Semasa anda melawat ke luar negara, contohnya di konvensyen istimewa, anda dapat berjumpa dengan tetamu Yehuwa yang lain. Maka, khemah Tuhan terletak di mana sahaja penyembah-Nya berada.​—Why. 21:3.

7. Mengapakah kita dapat mengatakan bahawa penyembah Yehuwa yang telah meninggal masih merupakan tetamu di khemah-Nya? (Lihat juga gambar.)

7 Bagaimana pula dengan penyembah Yehuwa yang telah meninggal? Adakah mereka masih merupakan tetamu di khemah Yehuwa? Ya! Mengapa? Kerana mereka masih hidup dalam ingatan Yehuwa. Yesus menjelaskan, “Dalam kisah tentang pokok kecil yang bernyala, Musa pernah menyebut tentang pembangkitan orang mati. Dia menggelar Yehuwa sebagai ‘Tuhan Abraham, Tuhan Ishak, dan Tuhan Yakub.’ Dia ialah Tuhan orang hidup, bukan Tuhan orang mati, kerana mereka semua masih hidup dalam pandangan-Nya.”​—Luk. 20:​37, 38.

Penyembah Tuhan yang telah meninggal pun masih merupakan tetamu di khemah-Nya (Lihat perenggan 7)


KITA MENERIMA MANFAAT DAN TANGGUNGJAWAB

8. Apakah manfaat yang diterima oleh tetamu Yehuwa?

8 Sebagaimana khemah dapat menjadi tempat berehat dan tempat perlindungan, khemah Yehuwa juga dapat melindungi tetamu-Nya daripada bahaya rohani dan memberi mereka masa depan yang cerah. Apabila kita tetap menghampiri Yehuwa, Syaitan tidak dapat mendatangkan kesan buruk yang berkekalan kepada kita. (Mzm. 31:23; 1 Yoh. 3:8) Di dunia baharu nanti, Yehuwa akan terus melindungi sahabat-Nya yang setia, supaya mereka bukan sahaja dijauhkan daripada bahaya rohani, tetapi juga daripada ancaman maut.​—Why. 21:4.

9. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada tetamu-Nya?

9 Kita sungguh berbesar hati untuk menjadi tetamu di khemah Yehuwa. Namun, jika kita mahu terus menjadi sahabat rapat Yehuwa, kita mesti menjaga kelakuan kita. Fikirkan contoh ini: Semasa menjadi tetamu di rumah orang lain, anda tentu akan menjaga kelakuan anda. Jika tuan rumah menghendaki tetamu menanggalkan kasut sebelum masuk ke rumah, anda pasti akan melakukannya. Begitu juga, kita mahu mengetahui apa yang dikehendaki oleh Yehuwa daripada tetamu-Nya. Oleh sebab kita mengasihi Yehuwa, kita berusaha sedaya upaya untuk “menyenangkan hati-Nya dengan sepenuhnya.” (Kol. 1:10) Selain itu, kita harus ingat bahawa Yehuwa bukan sahaja ialah Sahabat kita, tetapi juga merupakan Tuhan dan Bapa kita. Oleh itu, kita patut menghormati-Nya secara mendalam kerana kedudukan-Nya. (Mzm. 25:14) Sikap hormat ini akan membantu kita mengelakkan kelakuan yang tidak disukai-Nya, dan mendorong kita untuk ‘hidup dengan rendah hati di hadapan-Nya.’​—Mi. 6:8.

YEHUWA TIDAK BERAT SEBELAH DI PADANG BELANTARA

10-11. Bagaimanakah cara Yehuwa melayan orang Israel di padang belantara Sinai menunjukkan bahawa Dia tidak berat sebelah?

10 Yehuwa sentiasa adil terhadap tetamu-Nya. (Rm. 2:11) Kita dapat melihat hal ini daripada cara Yehuwa melayan orang Israel di padang belantara Sinai.

11 Selepas Dia membebaskan mereka daripada perhambaan di Mesir, Yehuwa melantik para imam untuk berkhidmat di khemah suci-Nya. Orang Lewi juga diberikan tugas di khemah suci. Adakah mereka yang berkhidmat di khemah suci atau yang tinggal dekat khemah suci menerima layanan istimewa daripada Yehuwa? Tidak, Yehuwa tidak berat sebelah!

12. Bagaimanakah cara Yehuwa mengaturkan umat-Nya menunjukkan bahawa Dia tidak berat sebelah? (Keluaran 40:38) (Lihat juga gambar.)

12 Setiap orang Israel dapat menghampiri Yehuwa tidak kira apa tugasan mereka di khemah suci atau sama ada mereka tinggal dekat atau jauh dari khemah suci. Contohnya, Yehuwa memastikan seluruh bangsa Israel dapat melihat tiang awan dan tiang api yang berada di atas khemah suci. (Baca Keluaran 40:38.) Apabila tiang awan itu mula bergerak, orang yang tinggal paling jauh dari khemah suci pun dapat melihatnya, lalu mengemaskan barang dan bersedia untuk berpindah bersama orang Israel yang lain. (Bil. 9:​15-23) Semasa dua buah trompet perak ditiup untuk menyuruh semua orang berpindah, semua orang juga dapat mendengarnya. (Bil. 10:2) Jelaslah, orang yang tinggal berdekatan khemah suci tidak semestinya menjadi lebih rapat dengan Yehuwa. Sebaliknya, semua orang Israel dapat menjadi tetamu Yehuwa dan menerima bimbingan dan perlindungan-Nya. Begitu juga hari ini, tidak kira di mana kita tinggal, kita dapat merasai kasih Yehuwa, jagaan-Nya, serta perlindungan-Nya.

Khemah suci yang terletak di tengah-tengah perkhemahan orang Israel menunjukkan bahawa Tuhan tidak berat sebelah (Lihat perenggan 12)


YEHUWA TIDAK BERAT SEBELAH PADA ZAMAN MODEN

13. Apakah salah satu cara Yehuwa menunjukkan bahawa Dia tidak berat sebelah?

13 Hari ini, ada antara umat Tuhan yang tinggal berdekatan ibu pejabat sedunia atau pejabat cawangan. Ada juga yang berkhidmat di situ. Oleh itu, mereka dapat menyertai banyak aktiviti rohani yang dijalankan di situ dan bergaul dengan saudara-saudara yang mengambil pimpinan. Sesetengah penyembah Yehuwa pula melakukan kerja lawatan atau menyertai khidmat khas sepenuh masa yang lain. Namun, kebanyakan daripada umat Yehuwa tidak berpeluang menjalankan tugas-tugas ini. Jika itulah situasi anda, percayalah bahawa Tuan Rumah kita, Yehuwa, mengenali, mengasihi, dan menjaga semua tetamu-Nya. (1 Ptr. 5:7) Mereka pasti menerima makanan rohani, bimbingan, dan perlindungan yang diperlukan.

14. Apakah satu lagi cara Yehuwa menunjukkan bahawa Dia tidak berat sebelah?

14 Satu lagi cara Yehuwa menunjukkan bahawa Dia tidak berat sebelah adalah dengan memastikan orang di serata dunia dapat membaca Bible. Pada asalnya, Bible ditulis dalam tiga bahasa, iaitu bahasa Ibrani, Aram, dan Yunani. Adakah orang yang dapat baca Bible dalam bahasa asal itu menikmati hubungan yang lebih rapat dengan Yehuwa? Tidak.​—Mat. 11:25.

15. Apakah yang membuktikan bahawa Yehuwa tidak berat sebelah? (Lihat juga gambar.)

15 Yehuwa tidak hanya menjemput orang yang terpelajar atau yang memahami bahasa asal Bible untuk menjadi tetamu-Nya. Sebaliknya, Dia memberikan kebijaksanaan-Nya kepada semua orang di serata dunia, tidak kira mereka terpelajar atau tidak. Firman-Nya, iaitu Bible, telah diterjemahkan ke dalam ribuan bahasa. Dengan itu, semua orang dapat meraih manfaat daripada Bible dan belajar cara untuk menjadi sahabat-Nya.​—2 Tim. 3:​16, 17.

Bible dapat dibaca oleh orang di serata dunia. Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan memang adil (Lihat perenggan 15)


TERUSLAH “DIPERKENANKAN-NYA”

16. Menurut Kisah 10:​34, 35, apakah yang perlu kita lakukan untuk terus diperkenankan Yehuwa?

16 Kita diberi penghormatan yang besar untuk menjadi tetamu di khemah Yehuwa. Dia ialah Tuan Rumah yang paling baik hati, pengasih, dan murah hati. Selain itu, Dia tidak berat sebelah. Jemputan-Nya diberikan kepada semua orang tanpa mengira lokasi, latar belakang, tahap pendidikan, bangsa, kaum, umur, atau jantina. Meskipun begitu, orang yang ingin mendapat perkenan-Nya dan terus menjadi tetamu-Nya mesti memenuhi syarat tertentu.—Baca Kisah 10:​34, 35.

17. Apakah yang akan kita bincangkan dalam rencana berikutnya?

17 Di Mazmur 15:​1, Daud bertanya, “Ya Yehuwa, siapakah yang boleh menjadi tetamu di khemah-Mu? Siapakah yang boleh tinggal di gunung-Mu yang suci?” Dia diilhami untuk menjawab soalan-soalan itu. Rencana berikutnya akan membincangkan beberapa syarat yang perlu kita penuhi agar kita terus diperkenankan oleh Yehuwa.

LAGU 32 Berpihak kepada Yehuwa!