Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

RENCANA PEMBELAJARAN 24

LAGU 24 Datanglah ke Gunung Yehuwa

Jadilah Tetamu Yehuwa buat Selama-Lamanya!

Jadilah Tetamu Yehuwa buat Selama-Lamanya!

“Ya Yehuwa, siapakah yang boleh menjadi tetamu di khemah-Mu?”​—MZM. 15:1.

FOKUS

Memahami apa yang perlu dilakukan untuk terus menjadi sahabat Yehuwa, dan mengetahui bagaimana Yehuwa mahu kita melayan sahabat-Nya.

1. Apakah manfaatnya mengkaji Mazmur 15:​1-5?

 DALAM rencana sebelumnya, kita belajar bahawa orang yang membaktikan diri kepada Yehuwa dan yang tetap akrab dengan-Nya dapat menjadi tetamu di khemah-Nya. Namun, apakah yang perlu kita lakukan agar layak menjadi tetamu Yehuwa? Mazmur 15 menjawab soalan itu dan menjelaskan apa yang mesti kita lakukan untuk terus menghampiri Tuhan.​—Baca Mazmur 15:​1-5.

2. Apakah yang mungkin difikirkan oleh Daud semasa menyebut tentang khemah Yehuwa?

2 Mazmur 15 bermula dengan kata-kata berikut: “Ya Yehuwa, siapakah yang boleh menjadi tetamu di khemah-Mu? Siapakah yang boleh tinggal di gunung-Mu yang suci?” (Mzm. 15:1) Semasa menyebut tentang “khemah” Yehuwa, Daud mungkin berfikir tentang khemah suci Yehuwa yang terletak di Gibeon. Daud juga menyebut tentang ‘gunung Yehuwa yang suci,’ yang mungkin merujuk kepada Gunung Sion di Yerusalem. Gunung itu terletak beberapa kilometer ke arah selatan Gibeon. Di situ, Daud mendirikan sebuah khemah untuk menyimpan tabut perjanjian sehingga Rumah Tuhan dibina.​—2 Sam. 6:17.

3. Mengapakah kita ingin mengkaji Mazmur 15? (Lihat juga gambar.)

3 Sudah pasti, kebanyakan orang Israel tidak berpeluang berkhidmat di khemah suci Tuhan, dan mereka tidak pernah memasuki khemah di mana tabut perjanjian disimpan. Namun semua penyembah Yehuwa yang setia dapat menjadi tetamu di khemah-Nya dengan menjadi sahabat-Nya dan tetap akrab dengan-Nya. Itulah yang kita semua ingini. Mazmur 15 menyebut beberapa sifat yang kita perlukan agar dapat tetap menjadi sahabat Yehuwa.

Orang Israel pada zaman Daud dapat membayangkan diri mereka sebagai tetamu di khemah Yehuwa (Lihat perenggan 3)


HIDUP TANPA CELA DAN MENGAMALKAN PERBUATAN BAIK

4. Bagaimanakah kita tahu bahawa sekadar dibaptis tidak cukup untuk menjadi tetamu Yehuwa? (Yesaya 48:1)

4 Di Mazmur 15:​2, sahabat Yehuwa digambarkan sebagai “orang yang hidup tanpa cela, yang mengamalkan perbuatan yang baik.” Ungkapan “hidup” dan “mengamalkan” menunjukkan bahawa kita perlu melakukan sesuatu secara berterusan. Namun, mungkinkah kita dapat “hidup tanpa cela”? Sudah tentu. Biarpun tiada manusia yang sempurna, jika kita berusaha sebaik-baiknya untuk mematuhi Yehuwa, Dia akan menganggap kita “hidup tanpa cela.” Semasa kita membaktikan diri kepada Tuhan dan dibaptis, persahabatan kita dengan-Nya baru sahaja bermula. Pada zaman Bible, seseorang yang berbangsa Israel tidak semestinya memenuhi syarat untuk menjadi tetamu Yehuwa. Sesetengah orang Israel berseru kepada Tuhan tetapi “tidak melakukannya berdasarkan kebenaran dan keadilan.” (Baca Yesaya 48:1.) Orang Israel yang benar-benar mahu menjadi tetamu Yehuwa mesti belajar tentang standard Yehuwa dan mematuhinya. Begitu juga, untuk mendapat perkenan Tuhan hari ini, sekadar dibaptis dan bergaul dengan sidang tidak cukup. Kita harus terus “mengamalkan perbuatan yang baik.” Apakah maksudnya?

5. Apakah maksud mentaati Yehuwa dalam segala sesuatu?

5 Bagi Yehuwa, untuk “hidup tanpa cela” dan “mengamalkan perbuatan yang baik,” sekadar menghadiri perjumpaan secara tetap tidak cukup. (1 Sam. 15:22) Kita harus berusaha mematuhi Tuhan dalam semua aspek kehidupan, bahkan semasa kita seorang diri. (Ams. 3:6; Pkh. 12:​13, 14) Kita juga patut mentaati Yehuwa dalam hal yang nampaknya kecil. Dengan itu, kita menunjukkan bahawa kita benar-benar mengasihi Yehuwa, dan Yehuwa pun akan semakin mengasihi kita.​—Yoh. 14:23; 1 Yoh. 5:3.

6. Menurut Ibrani 6:​10-12, apakah yang lebih penting daripada perbuatan baik yang pernah kita lakukan?

6 Yehuwa menghargai semua perbuatan baik yang pernah kita lakukan untuk-Nya. Tetapi hal itu tidak bermaksud kita layak untuk terus menjadi tetamu di khemah Yehuwa. Kita dapat melihat hal ini dijelaskan di Ibrani 6:​10-12. (Baca.) Biarpun Yehuwa tidak melupakan perbuatan baik kita pada masa lalu, Dia mahu kita terus berkhidmat kepada-Nya dengan sepenuh hati “sampai ke akhir.” Jika kita “tidak berputus asa,” Dia akan menjadi sahabat kita buat selama-lamanya.​—Gal. 6:9.

BERCAKAP BENAR DALAM HATI

7. Apakah maksud bercakap benar dalam hati?

7 Seseorang yang mahu menjadi tetamu di khemah Yehuwa haruslah “bercakap benar dalam hatinya.” (Mzm. 15:​2, nota kaki) Sekadar tidak berbohong tidak cukup. Yehuwa mahu kita jujur dalam segala yang kita katakan dan lakukan. (Ibr. 13:18) Hal ini penting “kerana Yehuwa membenci orang yang licik, tetapi Dia akrab dengan orang yang melakukan apa yang benar.”​—Ams. 3:32.

8. Apakah perbuatan yang perlu kita jauhi?

8 Orang yang “bercakap benar dalam hatinya” tidak akan mematuhi hukum Tuhan hanya semasa dilihat orang tetapi curi-curi melanggarnya. (Yes. 29:13) Mereka juga tidak bertindak dengan licik. Seseorang yang licik mungkin berfikir bahawa sesetengah hukum Yehuwa tidak bijak. (Yak. 1:​5-8) Dia mungkin mengingkari Yehuwa jika dia rasa apa yang dilakukannya tidak begitu serius. Kemudian, jika dia tidak perlu menanggung akibatnya, dia mungkin menjadi semakin berani untuk melakukan hal yang lebih jahat lagi. Akhirnya, ibadatnya tidak diterima oleh Yehuwa. (Pkh. 8:11) Maka, kita mahu jujur dalam segala hal.

9. Apakah yang dapat kita belajar daripada apa yang berlaku semasa Yesus berjumpa dengan Natanael buat kali pertama? (Lihat juga gambar.)

9 Kita dapat belajar tentang pentingnya mempunyai hati yang tulus daripada apa yang berlaku semasa Yesus berjumpa dengan Natanael buat kali pertama. Semasa Filipus membawa Natanael untuk berjumpa dengan Yesus, Yesus berkata, “Lihatlah, orang Israel sejati yang hatinya bebas daripada tipu daya.” (Yoh. 1:47) Biarpun murid-murid Yesus yang lain juga bersikap jujur, ketulusan Natanael amat luar biasa. Seperti kita, Natanael juga tidak sempurna. Namun Yesus memujinya kerana dia tidak berpura-pura atau bersikap muka dua. Sudah pasti kita semua mahu Yesus berkata demikian tentang diri kita!

Semasa Filipus memperkenalkan Natanael kepada Yesus, Yesus berkata bahawa Natanael ialah seorang yang hatinya bebas daripada tipu daya. Adakah kita juga seperti Natanael? (Lihat perenggan 9)


10. Mengapakah kita harus berhati-hati tentang apa yang kita katakan? (Yakobus 1:26)

10 Kebanyakan syarat bagi tetamu Yehuwa yang tersenarai di Mazmur 15 berkaitan dengan cara kita melayan orang lain. Contohnya, Mazmur 15:3 menyatakan bahawa tetamu Yehuwa haruslah “tidak memfitnah dengan kata-katanya,” “tidak berbuat jahat terhadap orang lain,” dan “tidak memburuk-burukkan nama sahabatnya.” Jika kita memfitnah orang lain, kita akan menyakiti mereka dan kita tidak dapat menjadi tetamu di khemah Yehuwa lagi.​—Baca Yakobus 1:26.

11. Apakah itu fitnah, dan apakah yang akan berlaku kepada pemfitnah yang enggan bertaubat?

11 Penulis mazmur menyatakan bahawa kita tidak patut memfitnah. Apakah itu fitnah? Fitnah ialah penyataan palsu yang bertujuan untuk merosakkan nama baik orang lain. Pemfitnah yang enggan bertaubat akan disingkirkan daripada sidang.​—Yer. 17:10.

12-13. Bilakah kita mungkin memburuk-burukkan nama sahabat kita tanpa menyedarinya? (Lihat juga gambar.)

12 Mazmur 15:3 juga mengingatkan kita bahawa tetamu Yehuwa tidak akan berbuat jahat atau memburuk-burukkan nama sahabat mereka. Namun bagaimanakah kita mungkin berbuat demikian tanpa menyedarinya?

13 Kita mungkin menyebarkan maklumat negatif tentang seseorang. Fikirkan beberapa situasi ini: (1) Seorang saudari tidak lagi menjadi perintis, (2) sepasang suami isteri tidak lagi berkhidmat di Bethel, atau (3) seorang saudara tidak lagi berkhidmat sebagai penatua atau pembantu sidang. Patutkah kita membuat andaian bahawa mereka telah melakukan sesuatu yang salah dan menyebarkan pandangan kita kepada orang lain? Barangkali, terdapat banyak sebab yang kita tidak tahu. Tidak kira apa sebabnya, ingatlah bahawa tetamu di khemah Yehuwa “tidak berbuat jahat terhadap orang lain” dan “tidak memburuk-burukkan nama sahabatnya.”

Amat mudah untuk menyebarkan maklumat negatif tentang orang lain, dan kata-kata kita mungkin menjadi fitnah (Lihat perenggan 12-13)


MULIAKAN ORANG YANG TAKUT AKAN YEHUWA

14. Bagaimanakah kita dapat tahu jika seseorang itu keji atau tidak?

14 Mazmur 15:4 menyatakan bahawa sahabat Yehuwa “tidak berkenan kepada orang yang keji.” Bagaimanakah kita dapat tahu jika seseorang itu keji atau tidak? Pandangan dan perasaan kita bukanlah kayu ukur yang tepat, kerana kita mungkin suka akan perangai sesetengah orang dan berasa jengkel dengan perangai orang lain. Jadi, kita hanya akan menjauhi “orang yang keji” di mata Yehuwa, seperti orang yang tidak bertaubat daripada perbuatan jahatnya, orang yang tidak menghormati kepercayaan kita, atau orang yang cuba melemahkan hubungan kita dengan Yehuwa.​—Ams. 13:20; 1 Kor. 5:11.

15. Bagaimanakah kita dapat “memuliakan orang yang takut akan Yehuwa”?

15 Mazmur 15:4 juga menggalakkan kita untuk “memuliakan orang yang takut akan Yehuwa.” Oleh itu, kita akan mencari peluang untuk menunjukkan hormat kepada sahabat-sahabat Yehuwa dan melayan mereka dengan baik. (Rm. 12:10) Mazmur 15:4 menyebut satu cara kita dapat berbuat demikian, iaitu dengan ‘sentiasa menepati janji kita, meskipun hal itu merugikan kita.’ Jika kita memungkiri janji, kita akan menyakiti orang lain. (Mat. 5:37) Itulah sebabnya Yehuwa mahu tetamu-Nya menunaikan janji mereka. Contohnya, Dia mahu suami isteri menepati ikrar perkahwinan, dan Dia mahu ibu bapa berusaha menunaikan janji kepada anak. Kasih untuk Tuhan dan orang lain akan mendorong kita untuk menepati janji kita.

16. Apakah satu lagi cara kita memuliakan sahabat Yehuwa?

16 Satu lagi cara kita memuliakan sahabat Yehuwa adalah dengan bersikap murah hati dan ramah. (Rm. 12:13) Selain menghadiri perjumpaan dan keluar menginjil, kita mahu cari masa lain untuk bergaul bersama saudara saudari. Hal ini dapat menguatkan hubungan kita dengan mereka dan Yehuwa. Tambahan lagi, dengan bersikap murah hati, kita sedang meniru teladan Yehuwa.

JAUHI SIKAP CINTA AKAN WANG

17. Mengapakah Mazmur 15 bercakap tentang wang?

17 Mazmur 15 menyatakan bahawa tetamu Yehuwa “meminjamkan wang tanpa menuntut faedah,” dan “tidak menerima rasuah untuk mencelakakan orang yang tidak bersalah.” (Mzm. 15:5) Mengapakah mazmur ini bercakap tentang wang? Kerana jika kita ada pandangan yang tidak seimbang tentang wang, kita akan menyakiti orang lain dan merosakkan hubungan kita dengan Tuhan. (1 Tim. 6:10) Pada zaman Bible, sesetengah orang mengambil kesempatan ke atas saudara mereka yang miskin. Mereka meminjamkan wang tetapi mengenakan faedah. Selain itu, sesetengah hakim menerima rasuah dan kemudian menghukum orang yang tidak bersalah. Perbuatan sebegini amat dibenci oleh Yehuwa.​—Yeh. 22:12.

18. Bagaimanakah kita dapat memeriksa sikap kita terhadap wang? (Ibrani 13:5)

18 Kita patut memeriksa sikap kita terhadap wang. Tanyalah diri, “Adakah saya sering berfikir tentang wang dan apa yang saya mahu beli? Jika saya pinjam wang daripada seseorang, adakah saya lambat membayarnya kerana fikir orang itu tidak memerlukan wang? Adakah saya anggap diri penting kerana memiliki wang? Adakah saya kedekut? Adakah saya fikir semua saudara dan saudari yang kaya mencintai wang? Adakah saya hanya mahu bersahabat dengan mereka yang kaya dan tidak mempedulikan orang yang miskin?” Kita telah dijemput untuk menjadi tetamu Yehuwa. Jika kita mahu terus memiliki penghormatan itu, kita mesti menjauhi sikap cinta akan wang. Dengan itu, Yehuwa tidak akan meninggalkan kita!​—Baca Ibrani 13:5.

YEHUWA MENGASIHI SAHABAT-SAHABAT-NYA

19. Mengapakah Yehuwa mahu kita melakukan hal-hal yang disebut di Mazmur 15?

19 Mazmur 15 berakhir dengan janji ini: “Orang yang melakukan semua itu tidak akan tergoyah.” (Mzm. 15:5) Daripada ayat ini, kita tahu bahawa Yehuwa mahu kita melakukan hal-hal itu kerana Dia mahu kita hidup bahagia serta menerima berkat dan perlindungan-Nya.​—Yes. 48:17.

20. Apakah masa depan yang menantikan tetamu Yehuwa?

20 Tetamu Yehuwa menantikan masa depan yang cerah. Bagi orang Kristian terurap yang setia, Yesus telah menyediakan “banyak tempat kediaman” bagi mereka di syurga. (Yoh. 14:2) Bagi mereka yang memiliki harapan untuk tinggal di bumi, mereka menanti-nantikan janji di Wahyu 21:3 ditunaikan. Tidakkah kita berbesar hati kerana dijemput oleh Yehuwa untuk menjadi sahabat dan tetamu-Nya buat selama-lamanya?

LAGU 39 Mengukir Nama Baik di Mata Tuhan