TERUSLAH BERJAGA-JAGA!

Krisis Pelarian—Jutaan Orang Melarikan Diri dari Ukraine

Krisis Pelarian—Jutaan Orang Melarikan Diri dari Ukraine

 Pada 24 Februari 2022, angkatan tentera Rusia telah menyerang Ukraine. Akibatnya, jutaan orang berada dalam bahaya dan terpaksa segera melarikan diri dari negara mereka. a

 “Kami dengar banyak letupan bom. Keadaan itu sangat menakutkan. Semasa kami tahu ada kereta api yang meninggalkan kawasan itu, kami pun buat keputusan untuk melarikan diri. Setiap orang boleh bawa sebuah beg kecil sahaja. Kami hanya bawa dokumen penting, ubat-ubatan, air, dan sedikit makanan. Kami tinggalkan semua barang dan pergi ke stesen kereta api. Pada masa itu, banyak letupan bom di sekeliling kami.”—Nataliia, dari Kharkiv, Ukraine.

 “Tidak sangka akan ada peperangan. Saya terdengar letupan bom di sekitar bandar sehingga tingkap-tingkap pun bergegar. Jadi saya memutuskan untuk melarikan diri dan hanya bawa barang-barang yang penting. Saya tinggalkan rumah pada pukul lapan pagi dan naik kereta api ke Lviv, lalu naik bas ke Poland.”—Nadija, dari Kharkiv, Ukraine.

Dalam rencana ini

 Apakah punca krisis pelarian?

 Krisis pelarian di Ukraine berlaku kerana angkatan tentera Rusia telah menyerang negara itu. Namun, Bible ada menjelaskan dengan lebih mendalam tentang punca krisis pelarian:

  •   Kerajaan manusia di seluas dunia gagal memenuhi keperluan manusia. Mereka sering menggunakan kuasa mereka untuk mengawal dan menindas rakyat.—Pengkhutbah 4:1; 8:9.

  •   Syaitan Si Iblis, yang merupakan “pemerintah dunia ini,” mempunyai pengaruh yang jahat terhadap manusia. Bible menyatakan, “Seluruh dunia berada di bawah kuasa Si Jahat.”—Yohanes 14:30; 1 Yohanes 5:19.

  •   Selama ratusan tahun, banyak masalah telah menimpa manusia. Tambahan lagi, kita sedang hidup pada zaman yang sudah dinubuatkan dalam Bible, iaitu “pada hari-hari terakhir, akan tiba masa genting yang sukar dihadapi.” (2 Timotius 3:1) Peristiwa yang berlaku pada zaman kita seperti peperangan, bencana alam, kebuluran, dan wabak menunjukkan bahawa kita sedang hidup pada hari-hari terakhir. Semua hal ini menyebabkan orang melarikan diri dari tempat kediaman mereka.—Lukas 21:10, 11.

 Dari manakah para pelarian dapat memperoleh harapan?

 Bible menunjukkan bahawa Pencipta kita, Yehuwa, b ialah Tuhan yang pengasih dan berbelas kasihan terhadap para pelarian dan orang yang terpaksa meninggalkan tempat kediaman mereka. (Ulangan 10:18) Menerusi Kerajaan Tuhan, Yehuwa berjanji untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi para pelarian. Kerajaan-Nya akan menggantikan semua kerajaan manusia. (Daniel 2:44; Matius 6:10) Yehuwa akan menggunakan Kerajaan-Nya untuk menghapuskan Syaitan Si Iblis. (Roma 16:20) Kemudian, Kerajaan Tuhan akan memerintah seluruh bumi dan menyingkirkan sempadan antara negara. Umat manusia akan menjadi sebuah keluarga yang bersatu padu. Tiada lagi yang akan melarikan diri dari tempat kediaman sendiri kerana Bible berjanji, “Setiap orang akan duduk di bawah pokok anggur dan di bawah pokok ara masing-masing. Tidak ada sesiapa yang akan membuat mereka berasa takut, kerana perkara ini telah difirmankan oleh Yehuwa, ketua angkatan syurga.”—Mikha 4:4.

 Hanya Kerajaan Tuhan dapat memberikan penyelesaian kekal bagi krisis pelarian yang sedang berlaku pada hari ini. Yehuwa akan menggunakan Kerajaan-Nya untuk menghapuskan semua masalah yang menyebabkan orang menjadi pelarian. Perhatikan beberapa contoh berikut:

  •   Peperangan. Yehuwa akan “menghentikan peperangan.” (Mazmur 46:9) Untuk mengetahui bagaimana Tuhan akan menghentikan peperangan, bacalah rencana “Bumi yang Aman—Bagaimanakah Hal Ini Akan Terjadi?”

  •   Keganasan dan penindasan. “[Yehuwa] akan menyelamatkan mereka daripada keganasan dan penindasan.” (Mazmur 72:14) Untuk mengetahui bagaimana orang boleh mengubah sikap buruk yang sudah berakar umbi, bacalah siri rencana yang bertajuk “Memutuskan Kitaran Kebencian.”

  •   Kemiskinan. “[Yehuwa] akan menyelamatkan orang miskin yang berseru meminta tolong.” (Mazmur 72:12) Untuk mengetahui bagaimana Tuhan akan melenyapkan punca kemiskinan, bacalah rencana “Dapatkah Sistem Ekonomi yang Adil Wujud?”

  •   Kebuluran. “Bumi akan melimpah dengan biji-bijian.” (Mazmur 72:16) Untuk mengetahui bagaimana Tuhan akan memastikan tiada sesiapa pun yang kelaparan, bacalah rencana Dunia tanpa Kelaparan? dalam bahasa Indonesia.

 Dapatkah Bible membantu para pelarian hari ini?

 Ya. Selain daripada memberikan harapan pada masa depan, Bible dapat membantu para pelarian untuk menangani cabaran yang dihadapi mereka sekarang.

 Prinsip Bible: “Orang yang tidak berpengalaman percaya kepada setiap kata orang, tetapi orang yang bijak merenungkan setiap langkahnya.”—Amsal 14:15.

 Maksud: Fikirkan bahaya yang mungkin berlaku dan langkah-langkah yang boleh diambil untuk melindungi diri. Berhati-hati dengan orang yang cuba mengambil kesempatan ke atas para pelarian yang tidak berpengalaman dan berasa tidak selamat di tempat yang baharu.

 Prinsip Bible: “Jika kita mempunyai makanan dan pakaian, kita akan berpuas hati.”—1 Timotius 6:8.

 Maksud: Elakkan daripada bertumpu kepada harta benda. Anda akan berasa lebih gembira jika anda berpuas hati dengan keperluan asas hidup yang anda miliki.

 Prinsip Bible: “Semua hal yang kamu ingin orang lain lakukan untuk kamu, kamu juga mesti melakukannya untuk mereka.”—Matius 7:12.

 Maksud: Pupuklah kesabaran dan kebaikan hati. Dengan memupuk sifat-sifat ini, anda akan lebih mudah dihormati dan diterima oleh masyarakat setempat.

 Prinsip Bible: “Janganlah membalas kejahatan dengan kejahatan terhadap sesiapa pun.”—Roma 12:17.

 Maksud: Apabila anda dilayan dengan tidak adil, janganlah membiarkan kemarahan menyebabkan anda membalas dendam supaya keadaan tidak menjadi lebih teruk.

 Prinsip Bible: “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”—Filipi 4:13.

 Maksud: Utamakan Tuhan dalam hidup anda dan berdoa kepada-Nya. Dia dapat menguatkan anda untuk menghadapi situasi yang mencabar.

 Prinsip Bible: “Janganlah khuatir akan apa-apa pun. Dalam segala hal, nyatakanlah permohonan kamu kepada Tuhan melalui doa dan rayuan yang disertai ucapan syukur. Dengan demikian kesejahteraan daripada Tuhan, yang jauh lebih unggul daripada apa yang dapat difahami oleh manusia, akan menjaga hati dan fikiran kamu.”—Filipi 4:6, 7.

 Maksud: Tidak kira dalam apa jua situasi, mohonlah ketenangan daripada Tuhan. Lihatlah rencana “Filipi 4:6, 7—‘Janganlah Khuatir akan Apa Pun.’”

a Pada hari selepas serangan dilancarkan, Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) menyatakan bahawa peristiwa itu merupakan tahap kecemasan yang paling tinggi. Dalam 12 hari sahaja, lebih daripada dua juta orang dari Ukraine melarikan diri ke negara-negara jiran, manakala satu juta orang lagi perlu meninggalkan rumah mereka dan berpindah ke kawasan lain di Ukraine.

b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana, “Siapakah Yehuwa?”