Lompat ke kandungan

Menara Pengawal—Tiada Majalah yang Setanding Dengannya

Menara Pengawal—Tiada Majalah yang Setanding Dengannya

Majalah Menara Pengawal ialah majalah yang paling banyak diedarkan di dunia. Terdapat lebih daripada 42 juta naskhah dicetak bagi setiap terbitan majalah ini. Majalah Sedarlah! pula menduduki tempat kedua dengan jumlah cetakan sebanyak 41 juta naskhah bagi setiap terbitan. Kedua-dua majalah ini diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa dan diedarkan di 236 negara.

Bagaimana pula dengan majalah yang lain? Menurut The Association of Magazine Media, majalah yang diterbitkan oleh organisasi AARP ialah majalah yang paling laris di Amerika Syarikat. Majalah ini diterbitkan khas untuk golongan yang berusia lebih daripada 50 tahun. Jumlah cetakan bagi majalah ini adalah lebih daripada 22.4 juta naskhah. Secara purata, majalah ADAC Motorwelt dalam bahasa Jerman mempunyai jumlah cetakan sekitar 14 juta naskhah. Majalah Gushi Hui (cerita) dalam bahasa Cina pula mempunyai jumlah cetakan sekitar 5.4 juta naskhah.

Bagi kategori surat khabar, Yomiuri Shimbun (bahasa Jepun) merupakan surat khabar yang paling laris. Lebih daripada 10 juta naskhah surat khabar ini dicetak setiap hari.

Bahan bacaan para Saksi juga diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Majalah Menara Pengawal diterjemahkan ke dalam lebih daripada 190 bahasa, dan Sedarlah! pula ke dalam lebih daripada 80 bahasa. Jika dibandingkan dengan majalah-majalah para Saksi, Reader’s Digest hanya diterbitkan dalam 21 bahasa dan kandungannya berbeza dari negara ke negara.

Majalah Menara Pengawal dan Sedarlah! tidak seperti majalah yang lain. Kedua-dua majalah ini adalah percuma, disokong oleh derma sukarela, dan tidak mengandungi iklan.

Majalah Menara Pengawal telah diterbitkan sejak tahun 1879. Majalah ini menjelaskan ajaran Bible, terutamanya tentang Kerajaan Tuhan. Majalah Sedarlah! pula membincangkan topik lain, misalnya alam semula jadi dan sains, agar dapat membantu para pembaca membina iman terhadap Pencipta. Majalah ini juga membantu mereka melihat bagaimana Bible dapat membawa manfaat kepada mereka.