Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimana jika Saya Malas Pergi ke Sekolah?

Bagaimana jika Saya Malas Pergi ke Sekolah?

 Cikgu yang tegas, tekanan rakan sebaya, peperiksaan yang menyebabkan stres, dan kerja rumah yang bertimbun. Kamu mungkin ada sebab yang baik mengapa kamu tidak suka pergi ke sekolah. a Seorang remaja yang bernama Rachel b berkata,

 “Saya lebih sanggup pergi ke mana sahaja daripada pergi sekolah. Saya lebih rela pergi ke pantai, keluar dengan kawan, atau bahkan membantu ibu bapa saya memasak atau membersih!”

 Jika kamu rasa seperti Rachel, zaman persekolahan kamu mungkin seperti hukuman penjara dan kamu harus bertahan sehingga kamu dibebaskan pada majlis tamat sekolah. Adakah terdapat cara yang lebih baik untuk memandang zaman persekolahan kamu?

 Tahukah kamu? Apabila kamu memupuk pandangan yang lebih baik terhadap sekolah, kamu dapat lebih mengawal situasi kamu dan berhenti menganggap sekolah kamu sebagai sesuatu yang kamu terpaksa bertahan sahaja. Sebenarnya, sekolah dapat menjadi tempat untuk mengasah kemahiran yang kamu perlukan apabila dewasa nanti.

 Untuk memupuk pandangan yang lebih baik terhadap sekolah, cubalah berfokus kepada hal-hal berikut:

 Pendidikan kamu. Semakin banyak kamu belajar, semakin baik kamu dapat menyelesaikan masalah kamu pada masa depan semasa di tempat kerja dan bagi aspek lain dalam kehidupan kamu, dan bukannya selalu bergantung pada orang lain. Tanyalah diri, “Biarpun ada perkara tentang sekolah yang saya tidak suka, apakah manfaat yang saya terima daripada pendidikan saya?”

 Prinsip Bible: “Janganlah lepaskan hikmat dan pengertian.”—Amsal 3:21.

 Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Apakah yang Dapat Saya Lakukan jika Saya Gagal dalam Peperiksaan?

 Tabiat kamu. Tabiat baik yang kamu pupuk di sekolah dapat mengajar kamu cara untuk mengurus masa, menjadi seorang yang berdisiplin, dan belajar cara menjadi pekerja yang rajin. Kamu memerlukan sifat-sifat ini apabila dewasa nanti. Tanyalah diri, “Bagaimanakah rutin sekolah membantu saya menjadi seorang yang berdisiplin dan seorang pekerja yang baik? Apakah yang dapat saya lakukan untuk tingkatkan aspek-aspek ini?”

 Prinsip Bible: “Setiap kerja keras membawa kebaikan.”—Amsal 14:23.

 Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Menggunakan Masa dengan Bijak?

 Hubungan kamu dengan orang lain. Berinteraksi dengan rakan kelas kamu di sekolah dapat membantu kamu memupuk sifat empati dan hormat terhadap orang lain. “Belajar cara untuk berkomunikasi dengan orang lain adalah sama pentingnya dengan belajar sejarah dan sains,” kata seorang pemuda yang bernama Joshua. “Ini suatu kemahiran yang kamu perlukan seumur hidup kamu.” Tanyalah diri, “Apakah yang telah saya belajar di sekolah tentang mempunyai hubungan yang baik dengan orang lain, bahkan dengan mereka yang mempunyai latar belakang atau kepercayaan yang berbeza daripada saya?”

 Prinsip Bible: “Berusahalah untuk berdamai dengan semua orang.”—Ibrani 12:14.

 Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Bagaimanakah Saya Dapat Meningkatkan Kemahiran Berbual?

 Masa depan kamu. Sekolah dapat membantu kamu mengenal pasti kebolehan kamu dan menetapkan matlamat berdasarkan kebolehan itu. Seorang gadis yang bernama Brooke berkata, “Seperti saya, kamu mungkin akan menerima latihan dalam bidang tertentu. Jadi, selepas tamat sekolah, kamu dapat cari kerja.” Tanyalah diri, “Bagaimanakah saya dapat menyara diri selepas saya tamat sekolah? Bagaimanakah saya dapat pastikan saya belajar apa yang saya perlukan untuk kerja sebegitu?”

 Prinsip Bible: “Buatlah rancanganmu dengan teliti.”—Amsal 4:26, Alkitab Berita Baik.

a Banyak prinsip yang dibincangkan dalam rencana ini juga akan membantu anak muda yang belajar dari rumah (homeschool).

b Sesetengah nama telah diubah.