Lompat ke kandungan

Projek di Wallkill dan Warwick Terus Maju

Projek di Wallkill dan Warwick Terus Maju

Dengan adanya kerja keras para pekerja sukarela dari seluruh Amerika Syarikat, dua projek pembinaan besar Saksi-Saksi Yehuwa di negara itu sedang berkembang maju.

Wallkill, New York: Kompleks ini didiami oleh lebih daripada 1,600 orang Saksi, dan digunakan untuk menghasilkan bahan bacaan bagi Saksi-Saksi Yehuwa di Amerika Syarikat. Untuk memajukan kerja di Wallkill, para pekerja pembinaan, yang sebahagian besarnya terdiri daripada pekerja sukarela, sedang membina sebuah bangunan pejabat baru yang mempunyai tiga tingkat, sebuah garaj untuk kenderaan, dan sebuah bangunan kediaman kakitangan yang mempunyai tiga tingkat. Pada tahun 2012, sebuah bangunan yang menjadi pusat peralatan elektrik dan komputer telah disiapkan, dan ruang makan telah diluaskan supaya dapat memuatkan 200 orang lagi.

Saksi-Saksi Yehuwa mempunyai kompleks pentadbiran yang dikenali sebagai pejabat cawangan di banyak negara, termasuk Brazil, Jerman, dan Mexico. Di Amerika Syarikat, kemudahan-kemudahan yang dimiliki Saksi-Saksi Yehuwa merangkumi pusat pendidikan di Paterson, New York, dan pejabat-pejabat di Brooklyn, New York. Apabila kerja ubah suai ini selesai, Wallkill akan menjadi kompleks terbesar yang digunakan oleh Saksi-Saksi Yehuwa di serata dunia.

Warwick, New York: Kompleks ini akan menjadi ibu pejabat sedunia yang baru untuk Saksi-Saksi Yehuwa. Bangunan-bangunan lama yang sedia ada di situ sudah pun dirobohkan. Saksi-Saksi telah membeli sebidang tanah yang terletak 10 kilometer dari situ, di Tuxedo, New York, untuk menyimpan mesin dan bahan binaan. Pihak berkuasa tempatan telah menerima penyata kesan alam sekitar untuk projek tersebut. Sebaik sahaja pelan tapak diluluskan, permohonan untuk permit bangunan akan dibuat. Sementara itu, ibu pejabat sedunia Saksi-Saksi Yehuwa akan terus beroperasi dari Brooklyn, New York.