Lompat ke kandungan

KAUM MUDA BERTANYA

Bagaimanakah Saya Dapat Menjelaskan Pendirian Saya tentang Seks?

Bagaimanakah Saya Dapat Menjelaskan Pendirian Saya tentang Seks?

“Apa​—kamu masih dara?”

Bagaimanakah kamu dapat menjawab ya dengan yakin? Rencana ini dapat membantu kamu!

 Apakah maksud istilah anak dara atau teruna?

 Anak dara atau teruna ialah orang yang belum pernah bersetubuh.

 Namun, sesetengah orang menganggap diri mereka masih dara atau teruna padahal mereka telah melakukan aktiviti seksual yang lain.

 Sebenarnya, perkataan “seks” merangkumi hal-hal seperti seks oral, seks dubur, atau perbuatan merangsang alat kelamin orang lain.

 Kesimpulan: Orang yang telah melakukan hubungan seks, termasuk seks oral, seks dubur, atau perbuatan merangsang alat kelamin orang lain, tidak dapat berkata bahawa dia masih dara atau teruna.

 Apakah yang dinyatakan dalam Bible tentang seks?

 Bible menyatakan bahawa hubungan seks hanya boleh dinikmati antara suami dengan isteri. (Amsal 5:​18) Oleh itu, seseorang yang ingin menyenangkan hati Tuhan tidak patut melakukan hubungan seks sebelum berkahwin.​—1 Tesalonika 4:​3-5.

 Ada orang yang berpendapat bahawa nasihat dalam Bible tentang seks sudah lapuk ditelan zaman dan tidak sesuai diamalkan dalam dunia moden kita. Tetapi ingatlah, dunia ini sarat dengan kes perceraian, kehamilan yang tidak dikehendaki, dan penyakit kelamin yang semakin berleluasa. Jelaslah, dunia ini tidak layak dan tidak dapat memberi kita nasihat moral yang baik!​—1 Yohanes 2:​15-​17.

 Sebenarnya, prinsip moral Bible sangat masuk akal. Sebagai contoh: Katakan seseorang memberi kamu RM1,000, adakah kamu akan membuang wang itu dari bumbung rumah agar sesiapa yang lalu di sana dapat mengutipnya?

 Kamu pun menghadapi keputusan yang serupa dalam soal seks. “Saya tidak mahu menyerahkan keperawanan saya kepada orang yang bahkan namanya tidak akan saya ingat nanti,” kata Sierra yang berumur 14 tahun. Tammy yang berumur 17 tahun pun bersetuju dengan kata-kata Sierra. “Seks itu hadiah yang terlalu berharga untuk disia-siakan begitu saja,” katanya.

 Kesimpulan: Bible menyatakan bahawa orang yang belum berkahwin harus menjaga keperawanan mereka dan bertingkah laku murni.​—1 Korintus 6:​18; 7:​8, 9.

 Apakah pendirian kamu?

  •   Adakah kamu berasa bahawa pandangan Bible tentang seks adalah munasabah?

  •   Adakah kamu berasa bahawa lelaki dan wanita yang belum berkahwin boleh mengadakan hubungan seks asalkan mereka saling mencintai?

 Setelah merenungkan hal ini, banyak anak muda membuat keputusan untuk menjaga keperawanan mereka dan bertingkah laku murni. Mereka tidak pernah menyesali keputusan mereka ataupun berasa rugi. Perhatikan apa yang dikatakan oleh sebilangan antara mereka:

  •  “Saya sangat gembira saya masih dara! Saya dapat mengelakkan masalah mental, fizikal, dan emosi gara-gara melakukan hubungan seks sebelum berkahwin.”​—Emily.

  •  “Saya sangat lega kerana saya tidak melakukan hubungan seks rambang, dan saya sangat pasti bahawa saya tidak menghidap penyakit kelamin.”​—Elaine.

  •  “Beberapa gadis yang seumur dengan saya dan yang lebih tua daripada saya memberitahu saya bahawa mereka menyesal kerana telah mengadakan hubungan seks. Saya tidak mahu menjadi seperti mereka.”​—Vera.

  •  “Saya kenal banyak orang yang mempunyai luka emosi kerana telah kehilangan keperawanan mereka atau telah mengadakan seks rambang. Saya rasa kasihan terhadap mereka.”​—Deanne.

 Kesimpulan: Kamu harus mempunyai pendirian yang teguh tentang seks sebelum kamu menghadapi tekanan atau godaan untuk melakukan hubungan seks.​—Yakobus 1:​14, 15.

 Bagaimanakah kamu dapat menjelaskan pendirian kamu kepada orang lain?

 Apakah yang dapat kamu katakan jika orang mempersoalkan pendirian kamu dalam soal seks? Jawapannya bergantung pada keadaan.

 “Jika tujuannya hanya untuk mempersendakan saya, saya akan berkata, ‘Itu bukan urusanmu,’ lalu saya akan beredar dari situ.”​—Corinne.

 “Malangnya, sesetengah orang suka membuli. Jika itu tujuan mereka bertanya, saya tidak akan melayan mereka.”​—David.

 Tahukah kamu? Kadangkala Yesus juga berdiam diri semasa dicela.​—Matius 26:62, 63.

 Tetapi bagaimana pula jika seseorang betul-betul ingin mengetahui sebabnya kamu masih dara? Jika orang itu menghormati Bible, kamu dapat menunjukkan ayat Bible, contohnya ayat di 1 Korintus 6:​18, yang menyatakan bahawa orang yang mengadakan hubungan seks sebelum berkahwin telah berdosa atau mencemari tubuhnya sendiri.

 Tidak kira sama ada kamu membuat keputusan untuk menunjukkan ayat Bible atau tidak, yang penting kamu harus menjawab dengan penuh keyakinan. Ingatlah, kamu patut berasa bangga dengan pendirian kamu untuk tetap murni secara moral.​—1 Petrus 3:​16.

 “Jika kamu menjawab dengan penuh keyakinan, hal itu menunjukkan bahawa kamu tidak berasa ragu-ragu terhadap pendirian kamu. Kamu melakukannya kerana hal itu benar, dan bukannya kerana ada orang yang memaksa kamu berbuat demikian.”​—Jill.

 Kesimpulan: Jika kamu yakin dengan pendirian kamu, kamu pasti dapat menjelaskannya kepada orang lain. Mereka bahkan mungkin bersetuju dengan kamu. “Rakan sekerja saya telah memuji saya kerana saya masih dara,” kata Melinda yang berumur 21 tahun. “Mereka tidak berasa hal itu sesuatu yang pelik. Mereka bahkan mengatakan bahawa saya mempunyai kawalan diri dan nilai moral yang tinggi.”

 Tip! Jika kamu memerlukan bantuan untuk menguatkan pendirian kamu dalam hal ini, muat turun lembaran kerja yang bertajuk “Cara Menjelaskan Pendirianmu tentang Seks” dalam bahasa Indonesia. Selain itu, bacalah buku Pertanyaan Kaum Muda​—Jawaban yang Praktis dalam bahasa Indonesia.

 “Saya sangat menyukai kedua-dua jilid buku ‘Pertanyaan Kaum Muda.’ Sebagai contoh, pada muka surat 187 Jilid 1, terdapat gambar yang menunjukkan bahawa melakukan hubungan seks sebelum berkahwin adalah seperti memberikan rantai yang mahal dengan percuma. Kamu merendahkan harga diri sendiri. Muka surat 177 menunjukkan bahawa melakukan hubungan seks sebelum berkahwin adalah seperti menggunakan lukisan yang cantik sebagai alas kaki. Tetapi saya paling menyukai gambar pada muka surat 54 Jilid 2. Di bawah gambar itu, ada kata-kata berikut: ‘Melakukan hubungan seks sebelum berkahwin adalah seperti membuka hadiah yang belum diberikan kepada kamu.’ Sebenarnya hal itu sama seperti mencuri sesuatu yang merupakan milik orang lain. Dalam soal ini, keperawananmu sepatutnya merupakan milik bakal teman hidupmu.”​—Victoria.