Lompat ke kandungan

Lompat ke Senarai Kandungan

BAGAIMANA SUMBANGAN ANDA DIGUNAKAN

Kerja Terjemahan untuk Konvensyen Serantau Saksi-Saksi Yehuwa 2020 “Sentiasa Bersukacita”!

Kerja Terjemahan untuk Konvensyen Serantau Saksi-Saksi Yehuwa 2020 “Sentiasa Bersukacita”!

10 JULAI 2020

 Pada Julai dan Ogos 2020, saudara saudari di serata bumi akan menonton program konvensyen serantau yang sama dan pada masa yang sama buat kali pertama. Untuk menjayakan aturan ini, rakaman program perlu diterjemahkan ke dalam lebih daripada 500 bahasa. Biasanya, projek sedemikian akan mengambil masa lebih daripada setahun. Namun disebabkan pandemik yang berlaku, para penterjemah mempunyai kurang daripada empat bulan untuk menyiapkan seluruh program Konvensyen Serantau Saksi-Saksi Yehuwa 2020 “Sentiasa Bersukacita”!

 Bahagian Khidmat Penterjemahan dan Bahagian Pembelian Global di Ibu Pejabat Sedunia Saksi-Saksi Yehuwa telah membantu untuk menjayakan projek ini. Bahagian Khidmat Penterjemahan mendapati bahawa kumpulan penterjemah memerlukan peralatan yang lebih lengkap, terutamanya mikrofon yang lebih canggih. Maka, Bahagian Pembelian Global telah membeli 1,000 mikrofon dan menghantarnya ke sekitar 200 lokasi.

 Untuk menjimatkan kos, mereka membeli semua mikrofon itu sekali gus, membungkusnya semula, lalu menghantarnya. Dengan membuat pembelian secara borong, organisasi kita dapat jimat lebih daripada 20 peratus untuk setiap unit mikrofon. Maka, harga setiap mikrofon ialah sekitar $170 dolar Amerika, termasuk kos penghantaran.

 Bahagian Pembelian Global telah membuat aturan untuk membeli dan menghantarnya antara bulan April dan Mei 2020. Walaupun pandemik COVID-19 telah mempengaruhi perniagaan di seluas dunia, semua peralatan itu dapat dihantar ke hampir kebanyakan pejabat penterjemahan, pejabat cawangan, dan lokasi lain pada akhir bulan Mei.

 Saudara Jay Swinney, penyelia Bahagian Pembelian Global, berkata, “Sepanjang projek ini, terdapat kerjasama daripada bahagian Bethel dan ahli bisnes lain. Hanya kuasa suci Yehuwa yang dapat menjayakan semua usaha ini. Hasilnya, kami dapat menjimatkan wang organisasi dan melakukannya dengan cepat sekali.”

 Saudara Nicholas Ahladis yang bekerja di Bahagian Khidmat Penterjemahan berkata, “Walaupun para penterjemah harus bekerja secara berasingan di lokasi yang lain, mereka masih dapat bekerjasama dan menjalankan kerja penterjemahan dengan adanya semua peralatan ini. Mereka sangat gembira kerana dapat menterjemahkan ceramah, wayang, dan lagu dalam lebih daripada 500 bahasa.”

 Projek ini hanyalah sebahagian daripada kerja yang perlu dilakukan untuk menghasilkan seluruh Konvensyen Serantau 2020 “Sentiasa Bersukacita”! Kami amat menghargai sumbangan anda yang murah hati melalui donate.pr418.com dan cara lain. Sokongan anda telah membantu menjayakan projek ini.