Lompat ke kandungan

29 OKTOBER 2019
AZERBAIJAN

Keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Berpihak kepada Lima Saksi yang Menolak Khidmat Tentera di Azerbaijan

Keputusan Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah Berpihak kepada Lima Saksi yang Menolak Khidmat Tentera di Azerbaijan

Pada 17 Oktober 2019, Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah (ECHR) telah memutuskan bahawa saudara-saudara kita yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani di Azerbaijan seharusnya tidak dijatuhkan hukuman sebagai penjenayah. Keputusan ini mengesahkan bahawa tindakan untuk menghukum mereka yang menolak khidmat tentera atas dasar hati nurani adalah melanggar hak asasi manusia untuk berfikir, berhati nurani, dan beragama dengan bebas. Keputusan ECHR ini merupakan keputusan pertama yang berpihak kepada Saksi-Saksi Yehuwa di Azerbaijan.

Keputusan ini turut sah bagi keempat-empat permohonan yang dibuat kepada ECHR antara tahun 2008 hingga 2015. Permohonan-permohonan itu melibatkan lima orang saudara yang bernama Mushfig Mammadov, Samir Huseynov, Farid Mammadov, Fakhraddin Mirzayev, dan Kamran Mirzayev. Mereka semua disabit bersalah dan dipenjarakan di Azerbaijan kerana menolak khidmat tentera. Mahkamah mendapati bahawa pendirian mereka adalah berdasarkan “kepercayaan agama yang ikhlas.” Jadi, tindakan kerajaan Azerbaijan untuk menghukum mereka sebenarnya melanggar Konvensyen Hak Asasi Manusia Eropah. Mahkamah ECHR menyatakan bahawa khidmat alternatif tidak patut dihadkan kepada golongan paderi dan pelajar institusi agama sahaja. Selain itu, ECHR juga menuntut agar kerajaan Azerbaijan membayar pampasan kepada saudara-saudara tersebut.

Menurut penjelasan keputusan ECHR, kerajaan Azerbaijan telah bersetuju untuk menggubal undang-undang tentang khidmat komuniti yang tidak melibatkan khidmat tentera ketika Azerbaijan menyertai Majlis Eropah pada 2001. Sebenarnya, menurut Perlembagaan Azerbaijan, seseorang boleh mengikut khidmat komuniti jika dia menolak khidmat tentera atas dasar kepercayaan agamanya. Tetapi sehingga kini, kerajaan Azerbaijan masih belum menggubal undang-undang tentang khidmat komuniti itu, dan saudara-saudara kita masih disabit bersalah.

Kami berharap agar keputusan ECHR akan mendorong kerajaan Azerbaijan untuk menyediakan khidmat komuniti yang tidak bersifat ketenteraan. Sambil menantikan saat itu, kami berdoa semoga saudara saudari di Azerbaijan akan terus menyembah Yehuwa dengan berani.—Mazmur 27:14.