Lompat ke kandungan

24 FEBRUARI 2020
THAILAND

Kempen Istimewa untuk Menginjil kepada Ribuan Orang di Thailand

Kempen Istimewa untuk Menginjil kepada Ribuan Orang di Thailand

Bermula 1 Disember 2019 hingga 31 Januari 2020, sebuah kempen istimewa telah diadakan di Thailand. Saudara saudari yang berkhidmat di sidang dan kumpulan bahasa Thailand dari 11 buah negara telah menyertai kempen ini. Kempen ini diadakan untuk membantu kira-kira 4,800 penyiar tempatan menginjil di ibu kota Thailand, iaitu Bangkok, dan kawasan di sekitarnya. Lebih daripada 600 orang penyiar telah menyertai kempen ini. Mereka menggunakan 34,625 jam untuk menginjil di sana, mengedarkan 32,718 bahan bacaan, menunjukkan 6,637 video, dan memulakan 310 pembelajaran Bible.

Inilah kempen kedua yang diadakan di Thailand dalam masa dua tahun. Kempen pertama diadakan dari Disember 2018 hingga Januari 2019. Mengenai kempen itu, Saudara Plakorn Pestanyee, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Thailand, berkata, “Kami dapat mulakan banyak pembelajaran Bible dan sidang-sidang tempatan sangat digalakkan selepas kempen ini. Hasil ini memang di luar jangkaan kami.” Setelah melihat manfaat kempen istimewa itu, pejabat cawangan telah mengaturkan kempen yang kedua.

Semasa kempen kedua ini, sesetengah penyiar dari negara lain sudi tinggal lebih lama di Thailand untuk membantu lebih banyak orang belajar tentang Yehuwa. Contohnya, satu pasangan dari Korea merancang untuk tinggal di Thailand selama sebulan. Namun setelah mendapati bahawa banyak orang berminat untuk belajar Bible, mereka memutuskan untuk tinggal selama dua minggu lagi. Seorang saudari dari Korea juga telah berhenti kerja untuk menyertai kempen ini, dan dia kemudiannya memutuskan untuk berpindah ke Thailand.

Usaha para penyiar yang menyertai kempen ini tidak sia-sia. Seorang ibu dan anak perempuannya telah menginjil kepada seorang wanita di tempat kerjanya. Mereka memberinya majalah Sedarlah! No. 2, 2019, yang bertajuk “Enam Pelajaran Penting bagi Kanak-Kanak.” Apabila mereka mengunjunginya semula, dia menyambut mereka dengan gembira sambil menunjukkan majalah yang ditinggalkan mereka. Dia berkata, “Maklumat dalam majalah ini sangat bagus! Saya mahu tahu lebih banyak lagi.” Saudari itu kemudiannya mengadakan pembelajaran Bible dengannya seminggu sekali semasa rehat tengah hari di pejabatnya. Mereka juga membantunya untuk memuat turun aplikasi JW Library. Kini, wanita itu belajar Bible dua kali seminggu dan dia juga suka menunjukkan video seperti video animasi papan putih kepada anak-anaknya.

Seorang lagi penyiar telah menginjil kepada seorang wanita. Wanita itu kagum dengan para Saksi kerana mereka ramah dan berpakaian sopan. Wanita itu berkata bahawa dia telah pergi ke beberapa gereja untuk mencari kawan baharu, tetapi usahanya gagal. Maka penyiar itu menjemputnya untuk datang ke perjumpaan yang diadakan pada hari itu juga. Wanita itu setuju dan dia gembira dapat berkenalan dengan saudara saudari daripada pelbagai budaya dan latar belakang. Dia mula belajar Bible menggunakan brosur Berita Baik daripada Tuhan! dan terus menghadiri perjumpaan.

Seorang lagi saudari telah berjumpa dengan seorang wanita di Bang Na, salah sebuah daerah di Bangkok. Wanita itu pernah pergi ke gereja, tetapi dia tidak memiliki Bible sendiri. Saudari itu membantu wanita itu untuk memuat turun aplikasi JW Library dan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu. Semasa kunjungan seterusnya, wanita itu berkata bahawa dia telah menggunakan aplikasi JW Library untuk membaca Bible. Saudari itu menunjukkan dan membacakan soalan-soalan pada muka belakang brosur Berita Baik. Wanita itu berkata bahawa dia ingin mengetahui jawapan bagi semua soalan itu. Saudari itu memulakan pembelajaran Bible dengannya, dan kemudian meminta saudari tempatan untuk meneruskan pembelajaran itu. Wanita itu sangat suka pembelajaran Biblenya kerana inilah pertama kali dia sendiri dapat mengkaji ajaran Bible dan mengenali Tuhan.

Semasa menginjil dari rumah ke rumah, seorang saudari telah berjumpa dengan seorang lelaki tempatan dan isterinya yang berasal dari Laos. Saudari itu tanya mereka apakah perkara yang paling penting dalam hidup mereka. Pasangan itu menjawab, “Keluarga.” Selepas itu, saudari itu menunjukkan topik tentang keluarga dalam brosur Berita Baik daripada Tuhan! Pasangan itu berasa bahawa nasihat dalam brosur itu memang bagus dan mereka sudi menerima pembelajaran Bible. Tidak lama kemudian, mereka mula menghadiri perjumpaan dan berkata bahawa mereka ingin terus menghadirinya kerana mereka suka suasana yang ramah di situ.

Semua pengalaman semasa kempen ini menunjukkan bahawa sepanjang hari-hari terakhir, umat Yehuwa “sentiasa sibuk dalam khidmat Tuan kita.”—1 Korintus 15:58.