Lompat ke kandungan

Apex, sebuah komuniti di Iqaluit yang terletak di Pulau Baffin di Nunavut, Kanada

17 APRIL 2020
KANADA

Sambutan Peringatan 2020—Kanada

Sambutan Peringatan di Bahagian Paling Utara di Dunia

Sambutan Peringatan 2020—Kanada

Sidang Iqaluit terletak di Kepulauan Artik Kanada dan mempunyai 27 orang penyiar. Mereka menyambut Peringatan tahun ini melalui persidangan video (videoconference). Mereka mempunyai 55 orang pelajar Bible dan 12 orang daripada mereka telah menghadiri sambutan Peringatan.

Sebenarnya, kebanyakan pelajar Bible langsung tidak dapat menghadiri sambutan Peringatan di Dewan Perjumpaan kerana mereka masing-masing tinggal sangat jauh. Kawasan penyebaran sidang ini sangat besar dan merangkumi keluasan dua juta kilometer persegi dari Kimmirut ke Grise Fiord, iaitu komuniti paling utara di Kanada.

“Tahun ini, buat julung kalinya pelajar Bible kami dapat menghadiri sambutan Peringatan. Seorang pelajar Bible di Grise Fiord menjemput empat orang yang lain untuk menyertainya. Maka sejumlah lima orang di bahagian paling utara Kanada telah menghadiri Peringatan ini dengan kami,” kata Saudara Isaac Demeester, seorang penatua di Sidang Iqaluit.

Sekatan akibat wabak COVID-19 telah membantu saudara saudari di sana sedar bahawa terdapat banyak manfaat yang dapat diraih apabila mereka berusaha menyesuaikan diri.

Saudari Kathy Burechailo berkata, “Kami menginjil melalui telefon kepada orang di bahagian timur Artik. Saya dapat memulakan beberapa perbualan yang menarik dengan orang yang tinggal di kawasan yang terpencil. Mereka semua duduk di rumah dan memerlukan kelegaan hati.”

“Bagi orang di Iqaluit, wabak ini membawa banyak masalah kewangan. Lagipun mereka sangat risau tentang masa depan,” kata Saudari Laura McGregor. “Ini kali pertama kami membuat roti Peringatan untuk keluarga kami. Kami sangat seronok membuatnya bersama. Sekarang kami faham dan menghargai mengapa sambutan ini begitu ringkas. Kami rasa gembira kerana roti dan wain senang didapati.”

Saudara Demeester menambah, “Wabak COVID-19 membuat kami terpaksa berjauhan secara fizikal, namun musim Peringatan ini membuat kami lebih rapat sebagai sebuah sidang. Sememangnya, Peringatan tahun ini sangat istimewa!”

Jika keadaan mengizinkan, Sidang Iqaluit berharap akan mempunyai Dewan Perjumpaan sendiri pada masa depan. Buat masa sekarang, kami yakin Yehuwa akan terus memberkati usaha mereka untuk menginjil di bahagian paling utara di Kanada.—Kisah 1:8.