Lompat ke kandungan

3 SEPTEMBER 2020
BERITA GLOBAL

Konvensyen 2020—Konvensyen Dalam Talian yang Pertama

Konvensyen 2020—Konvensyen Dalam Talian yang Pertama

Sepanjang bulan Julai dan Ogos 2020, jutaan orang dapat menikmati konvensyen Saksi-Saksi Yehuwa bersama dalam talian.

Konvensyen “Sentiasa Bersukacita”! sepatutnya diadakan di Dewan Perhimpunan, pusat konvensyen, stadium, dan dewan besar di sekitar 240 negara. Tetapi, Badan Pimpinan telah memutuskan untuk mengadakan konvensyen ini dalam talian demi keselamatan semua orang. Inilah kali pertama sejak tahun 1897 organisasi kita tidak mengadakan konvensyen yang disampaikan secara langsung.

Kenneth Cook, Jr., seorang ahli Badan Pimpinan berkata, “Semasa kami membuat keputusan untuk membatalkan konvensyen serantau, kami merancang untuk mengadakan satu konvensyen antarabangsa supaya semua orang boleh menghadirinya pada masa yang sama. Biasanya, acara seperti ini mengambil masa setahun lebih untuk dirancang dan disediakan. Tetapi kali ini, program konvensyen perlu diterjemahkan ke dalam ratusan bahasa dalam masa kurang daripada empat bulan. Kami sangat gembira apabila melihat bahagian pertama program dikeluarkan pada 6 Julai 2020 dalam kira-kira 400 bahasa! Kami jangka program ini akan disediakan ke dalam 511 bahasa.”

Seorang ibu tunggal yang mempunyai tiga anak sangat menikmati program konvensyen. Dia kata, “Kami memang sedih kerana tidak dapat bersama kawan-kawan di konvensyen. Tetapi, saya rasa anak-anak saya mendapat lebih banyak manfaat daripada program ini. Kami dapat menontonnya sedikit demi sedikit. Jika kami perlu rehat sekejap, saya boleh hentikan video dan sambung kemudian. Sesi konvensyen hari Jumaat mengingatkan saya bahawa anak-anak adalah seperti anak panah. Kita perlu membimbing mereka supaya mendapat kehidupan yang gembira dan berkhidmat kepada Yehuwa. Program konvensyen dalam talian telah membantu saya untuk mencapai matlamat ini.”—Mazmur 127:4.

Konvensyen tahun ini juga telah menarik perhatian pihak media antarabangsa. Sebagai contoh, Saudara Robert Hendriks yang menyelia Bahagian Maklumat Umum di Amerika Syarikat kata, “Banyak wartawan telah membuat laporan tentang konvensyen kita. Mereka memuji organisasi kita kerana menggunakan teknologi dengan baik demi manfaat dan keselamatan semua orang.”

Sememangnya, Konvensyen “Sentiasa Bersukacita”! merupakan satu lagi cara istimewa Yehuwa mendidik umat-Nya.—Yesaya 30:20.