Lompat ke kandungan

30 OKTOBER 2020
INDIA

Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Tiga Bahasa India

Terjemahan Dunia Baharu Dikeluarkan dalam Tiga Bahasa India

Pada hari Ahad, 25 Oktober 2020, Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dikeluarkan dalam tiga bahasa India, iaitu bahasa Gujarat, Kannada, dan Punjabi. Terjemahan Bible ini dikeluarkan dalam bentuk elektronik semasa sebuah ceramah istimewa. Ceramah ini telah dirakamkan terlebih dahulu dan para penyiar menyertai program ini melalui Internet. Mereka dapat memuat turun salinan Bible ini dalam bahasa mereka sejurus selepas ceramah itu.

Bahasa Gujarat

Dianggarkan sebanyak 61 juta orang di seluas dunia menuturkan bahasa Gujarat.

Seramai enam orang penterjemah yang bekerja dalam dua buah kumpulan telah mengambil masa tujuh tahun untuk menterjemahkan seluruh Bible. Seorang ahli kumpulan penterjemah berkata, “Terjemahan ini buat hati kami melimpah dengan sukacita. Bible ini menggunakan bahasa yang mudah difahami, bahkan anak-anak muda pun boleh faham.”

Seorang lagi penterjemah berkata, “Nama Yehuwa telah dikembalikan ke dalam Bible ini seperti dalam teks asal. Kami yakin bahawa iman saudara saudari akan dikuatkan sewaktu mereka menggunakan Bible ini untuk pembelajaran peribadi.”

Kami yakin bahawa terjemahan yang mudah difahami ini akan meninggalkan kesan yang besar dalam hati pembaca dan membantu “orang yang rendah hati” mengenal Yehuwa.—Mazmur 25:9.

Bahasa Kannada

Ada perbezaan yang besar antara bahasa Kannada yang dituturkan dengan yang ditulis. Bahasa pertuturan biasanya berbeza dari satu wilayah ke wilayah yang lain. Maka, para penterjemah perlu menggunakan perkataan yang mudah difahami dan biasa digunakan. Tetapi pada masa yang sama, mereka juga harus memastikan agar mesej Bible disampaikan dengan tepat.

Seramai 10 orang penterjemah mengambil masa tujuh tahun untuk menterjemahkan Bible. Seorang penterjemah berkata, “Saya fikir Bible ini tidak akan dikeluarkan sehingga tahun 2021 kerana pandemik COVID-19. Tetapi apabila Bible ini dikeluarkan, terbuktilah bahawa tiada apa-apa yang dapat menghalang kerja Yehuwa.”

Seorang lagi penterjemah menambah, “Apabila saya membayangkan orang berbahasa Kannada dapat membaca firman Yehuwa dan melihat nama-Nya dalam bahasa mereka sendiri, saya amat teruja!”

Kami yakin bahawa terjemahan Bible ini akan membantu lebih daripada 2,800 orang penyiar berbahasa Kannada yang tinggal di dalam kawasan pejabat cawangan India. Bible ini juga pasti dapat membantu hampir 46 juta orang yang berbahasa Kannada di seluas dunia untuk mengetahui betapa hebatnya “kekayaan, kebijaksanaan, dan pengetahuan Tuhan!”—Roma 11:33.

Bahasa Punjabi

Seramai enam orang penterjemah telah bekerja selama 12 tahun untuk menterjemahkan Bible Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Punjabi. Terjemahan ini akan membantu lebih daripada 100 juta orang berbahasa Punjabi yang tinggal di India dan seluruh dunia.

“Kami berusaha untuk menyiapkan terjemahan Bible ini biarpun keadaan kami terhad. Yehuwa sememangnya telah membantu kami. Bible ini akan menguatkan iman saudara saudari, melegakan hati mereka yang sarat dengan kerisauan, dan membantu mereka mengharungi cabaran pada masa depan,” kata seorang penterjemah.

Seorang lagi penterjemah berkata, “Orang yang berhati jujur pasti suka membaca Bible ini, terutamanya sajak-sajak yang ada di dalamnya. Ciri-ciri penyelidikan dalam Bible ini pasti akan membantu mereka.”

Kami melantangkan suara bersama rakan seiman untuk meluahkan rasa syukur kepada Yehuwa kerana Dia telah “melakukan banyak perkara yang menakjubkan bagi kami” sehingga “jumlahnya tidak dapat dihitung.”—Mazmur 40:5.