Lompat ke kandungan

Dari kiri ke kanan: Saudara Arsen Avanesov, Vilen Avanesov, dan Aleksandr Parkov

12 MEI 2021
RUSIA

TERKINI | Tiga Saudara Tabah Mengharungi Tahanan sebelum Perbicaraan yang Berlanjutan

TERKINI | Tiga Saudara Tabah Mengharungi Tahanan sebelum Perbicaraan yang Berlanjutan

Pada 23 Jun 2022, Mahkamah Kasasi Bidang Kuasa Am yang Keempat menolak rayuan Saudara Vilen Avanesov dan Saudara Aleksandr Parkov. Atas permintaan pihak pendakwa, mahkamah mengembalikan kes Saudara Arsen Avanesov ke peringkat rayuan pertama. Hal ini dapat menyebabkan Arsen menerima hukuman yang lebih berat. Ketiga-tiga saudara itu masih dipenjarakan.

Pada 6 Disember 2021, Mahkamah Wilayah Rostov menolak rayuan Arsen, Vilen, dan Aleksandr. Mereka akan terus berada di penjara.

Pada 29 Julai 2021, Mahkamah Daerah Leninskiy di Rostov-on-Don menjatuhkan hukuman penjara selama enam tahun setengah atas Arsen dan Aleksandr, sementara Vilen dijatuhkan hukuman penjara enam tahun. Ketiga-tiga saudara ini telah dipenjarakan selama lebih daripada dua tahun sebelum kes mereka dibicarakan dan mereka akan terus dipenjarakan.

Profil

Arsen Avanesov

  • Tahun Lahir: 1983 (Baku, Azerbaijan)

  • Biografi: Belajar bidang kejuruteraan dan bekerja di tapak pembinaan. Semasa kanak-kanak, gemar main ragbi. Pernah belajar bahasa Inggeris dan Perancis

    Dia pupuk penghargaan terhadap Bible dengan bimbingan daripada ibu bapanya. Dibaptis sebagai seorang Saksi Yehuwa pada 2005

Vilen Avanesov

  • Tahun Lahir: 1952 (Baku, Azerbaijan)

  • Biografi: Bekerja sebagai juruelektrik dan jurubina. Suka memasak, membuat roti, dan membaca. Bible ialah salah sebuah buku kegemarannya sejak muda

    Berkahwin dengan Stella pada 1980. Mereka mempunyai seorang anak lelaki, Arsen, dan seorang anak perempuan, Elina. Pada 1988, Vilen sekeluarga terpaksa berpindah ke Armenia sebagai pelarian. Pada tahun yang sama, satu gempa bumi di Yerevan, Armenia, serta keadaan ekonomi yang meruncing memaksa mereka berpindah ke Rostov-on-Don, Rusia. Vilen dibaptis pada 2006

Aleksandr Parkov

  • Tahun Lahir: 1967 (Spassk, Wilayah Kemerovo)

  • Biografi: Sejak kecil lagi, belajar untuk bekerja keras dengan menjaga ladang dan ternakan. Bekerja sebagai pemandu traktor dan tukang tembaga yang artistik

    Berkahwin dengan Galina pada 1990. Mereka mula belajar Bible bersama-sama. Aleksandr dibaptis pada 1992. Mereka mempunyai tiga anak perempuan dan dua cucu

Sejarah Kes

Pada 22 Mei 2019, pihak berkuasa menjalankan satu siri serbuan rumah Saksi-Saksi Yehuwa di Rostov-on-Don. Saudara Vilen Avanesov dan anak lelakinya, Arsen, serta Saudara  Aleksandr Parkov ditangkap dan ditempatkan di tahanan sebelum perbicaraan selama hampir dua tahun. Pada bulan Mac 2021, ketiga-tiga saudara ini dipindahkan ke pusat tahanan yang lain.

Isteri Vilen, iaitu Stella, tidak dapat selalu berjumpa dengan suami dan anak lelakinya kerana dikenakan sekatan. Selain itu, dia hilang sumber pendapatan. Isteri Aleksandr, iaitu Galina, juga dituduh kerana imannya. Mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara tertangguh selama dua tahun dan tiga bulan ke atasnya.

Seluruh persaudaraan Kristian tumpang bersedih dengan tahanan yang tidak adil ini. Semoga kita semua terus ‘ingat akan orang yang dipenjarakan, seolah-olah kita juga dipenjarakan bersama-sama mereka.’—Ibrani 13:3.