Lompat ke kandungan

4 NOVEMBER 2021
GREENLAND

Kitab Yunani Kristian Dikeluarkan dalam Bahasa Greenland

Kitab Yunani Kristian Dikeluarkan dalam Bahasa Greenland

Pada 30 Oktober 2021, Saudara Peter Gewitz, seorang ahli Jawatankuasa Cawangan Skandinavia telah mengeluarkan Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Greenland. Peristiwa ini berlangsung semasa program istimewa yang disiarkan secara langsung melalui JW Stream. Seramai 413 penonton, termasuk 164 orang di Greenland telah menikmati programnya. Bible ini dikeluarkan dalam bentuk digital dan akan disediakan dalam bentuk tercetak pada masa depan.

Sejak 1973, majalah Menara Pengawal telah diterjemahkan ke dalam bahasa Greenland. Bahasa ini tergolong dalam keluarga bahasa Inuit yang dituturkan di kawasan Artik. Kira-kira 57,000 orang menuturkan bahasa Greenland. Maka, pengeluaran Bible ialah kurniaan istimewa bagi 134 penyiar yang berkhidmat di kawasan bahasa Greenland.

Orang di kawasan itu amat menghormati Bible. Pada 1766, anak lelaki seorang mubaligh dari Norway telah menghasilkan terjemahan pertama Kitab Yunani Kristian dalam bahasa Greenland. Pada 1822, seorang mubaligh dari Denmark menterjemahkan buku Kejadian dan menggunakan nama Tuhan Yehuwa dalam teks utamanya. Pada 1900, barulah seluruh Bible tersedia dalam bahasa Greenland. Tetapi hanya pada tahun 2000, jilid-jilid Bible digabungkan menjadi satu buku.

Dalam ceramahnya, Saudara Gewitz kata, “Sekarang, anda boleh baca Firman Tuhan dalam bahasa Greenland yang moden dan anda boleh yakin bahawa kandungannya memang tepat.” Salah satu contoh ketepatan Bible ini terdapat di Yohanes 11:38. Sesetengah Bible bahasa Greenland menyatakan bahawa Yesus “berasa marah” atau “tersinggung” ketika di kuburan Lazarus. Tetapi, Kitab Yunani Kristian Terjemahan Dunia Baharu menggambarkan perasaan Yesus dengan tepat, iaitu bahawa dia “berasa pilu.”

Kita yakin bahawa terjemahan yang jelas dan tepat ini akan membantu penutur bahasa Greenland memahami Firman Tuhan dengan lebih baik.—Matius 13:51.