Lompat ke kandungan

Saya Menerima Pandangan Tuhan tentang Darah

Saya Menerima Pandangan Tuhan tentang Darah

Saya Menerima Pandangan Tuhan tentang Darah

Seorang Doktor Menceritakan Kisahnya

SAYA sedang membentangkan laporan autopsi di hadapan sekumpulan doktor tentang seorang pesakit yang mempunyai tumor (ketumbuhan). Semasa menjelaskan sebab pesakit itu telah meninggal, saya kata, “Kami boleh menyimpulkan bahawa pesakit ini mati kerana mengalami hemolisis [pemusnahan sel darah merah] dan kegagalan fungsi buah pinggang akibat kadar transfusi darah yang tinggi.”

Salah seorang profesor berdiri dan menjerit dengan marah, “Maksudnya kami beri pesakit darah yang salah?” Saya pun jawab, “Itu bukan maksud saya,” lalu saya menunjukkan slaid gambar sebahagian kecil buah pinggang pesakit. Saya kata, “Kami dapat lihat lisis [penguraian] banyak sel darah merah dalam buah pinggang dan dapat membuat kesimpulan bahawa itulah yang menyebabkan buah pinggangnya gagal berfungsi.” * Keadaan menjadi tegang dan saya sangat gementar. Walaupun saya seorang doktor yang muda dan dia profesor, saya enggan mengalah.

Semasa kejadian itu berlaku, saya belum lagi menjadi Saksi-Saksi Yehuwa. Biar saya ceritakan latar belakang saya. Saya lahir pada 1943 di Sendai, sebuah bandar di utara Jepun. Bapa saya seorang ahli patologi dan pakar psikiatri, jadi saya pun memilih untuk menceburi bidang perubatan. Pada 1970, iaitu semasa tahun kedua di sekolah perubatan, saya berkahwin dengan seorang wanita yang bernama Masuko.

Menceburi Bidang Patologi

Masuko bekerja untuk menyara kami sementara saya menghabiskan pengajian dalam bidang perubatan. Saya sangat suka bidang ini. Cara tubuh manusia diciptakan sangat mengagumkan! Tapi, saya tidak pernah terfikir tentang kewujudan Pencipta. Saya hanya bertumpu untuk menimba ilmu dan membuat kajian perubatan. Selepas menjadi doktor, saya pilih untuk melanjutkan pendidikan dalam bidang patologi. Saya belajar tentang sebab, ciri, dan kesan penyakit.

Apabila menjalankan autopsi bagi pesakit yang mati akibat kanser, saya mula meragui keberkesanan transfusi darah. Pesakit yang mempunyai kanser parah mungkin mengalami anemia kerana pendarahan yang teruk. Memandangkan kemoterapi meningkatkan kebarangkalian pesakit mengalami anemia, doktor selalunya memberi mereka transfusi darah. Tetapi, saya rasa transfusi darah mungkin menyebabkan kanser semakin merebak. Sebenarnya, kini sudah terbukti bahawa transfusi darah melemahkan sistem ketahanan tubuh, meningkatkan risiko tumor tumbuh kembali, dan meningkatkan kadar kematian. *

Kes yang saya sebut tadi telah berlaku pada 1975. Memandangkan profesor yang bertanggungjawab ialah pakar dalam bidang hematologi, tidak hairanlah dia begitu marah apabila saya kata bahawa transfusi darah telah menyebabkan pesakit mati. Tetapi saya teruskan penyampaian saya, dan dia beransur-ansur menjadi tenang.

Penyakit dan Kematian Akan Lenyap

Sekitar masa itu, isteri saya dikunjungi oleh seorang wanita tua yang merupakan Saksi-Saksi Yehuwa. Wanita itu menggunakan perkataan “Yehuwa” dan isteri saya ingin tahu apa maksudnya. Wanita itu kata, “Yehuwa ialah nama Tuhan yang benar.” Sejak kecil, Masuko telah membaca Bible tapi nama Tuhan dalam Biblenya telah digantikan dengan perkataan “TUAN.” Akhirnya dia sedar Tuhan ada nama peribadi!

Sejak itu, Masuko mula belajar Bible dengan wanita tua itu. Pada suatu hari, saya pulang dari hospital pada jam 1:00 pagi. Masuko kata kepada saya dengan teruja, “Bible kata di masa depan, penyakit dan kematian akan tiada lagi!” Saya kata, “Wah, bagusnya!” Dia sambung lagi, “Dunia baru akan tiba. Jadi saya tidak mahu kamu buang masa.” Kata-katanya buat saya marah sebab saya fikir dia mahu saya berhenti menjadi doktor. Akibatnya, hubungan kami menjadi renggang.

Syukurlah Masuko tidak putus asa. Dia berdoa bersungguh-sungguh dan mencari ayat yang sesuai untuk membantu saya. Satu ayat yang telah menyentuh hati saya ialah Pengkhutbah 2:22, 23. Ayat itu kata, ‘Manusia membanting tulang di bawah matahari dan berusaha untuk mencapai impiannya, tetapi semua itu untuk apa? Pada waktu malam hatinya tidak tenteram. Semua itu juga sia-sia.’ Saya sedar inilah yang sedang saya lakukan. Saya membanting tulang siang dan malam demi hal perubatan, tetapi saya masih tidak dapat mencari kepuasan sejati.

Pada suatu pagi Ahad, bulan Julai 1975, semasa isteri saya pergi ke Dewan Perjumpaan Saksi-Saksi Yehuwa, saya pun teringin mahu pergi. Isteri saya terkejut bila nampak saya di Dewan Perjumpaan. Semua orang menyambut saya dengan ramah. Sejak hari itu, saya menghadiri setiap perjumpaan hari Ahad. Sebulan kemudian, saya mula belajar Bible dengan seorang Saksi. Isteri saya pula dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa tiga bulan selepas menerima kunjungan pertama.

Menerima Pandangan Tuhan tentang Darah

Saya belajar bahawa Bible menggesa orang Kristian untuk “menjauhi darah.” (Kisah 15:28, 29; Kejadian 9:4) Oleh sebab saya sendiri pun meragui keberkesanan transfusi darah, saya senang menerima pandangan Tuhan tentang darah. Saya fikir, “Jika ada Pencipta dan itulah perintah-Nya, pasti itu betul.”

Ketika itu, saya juga sedang menyelidiki topik arteriosklerosis. Saya mendapati semakin umur kita meningkat, dinding arteri menjadi keras dan tebal, dan ini membuat kita cenderung menghidap penyakit jantung, penyakit serebrovaskular, dan penyakit buah pinggang. Bible menjelaskan bahawa manusia jatuh sakit dan mati kerana mewarisi dosa dan ketidaksempurnaan daripada Adam. (Roma 5:12) Hal ini memang masuk akal. Sejak itu, minat saya terhadap bidang perubatan telah berkurang. Saya sedar hanya Tuhan Yehuwa yang dapat melenyapkan penyakit dan kematian.

Pada Mac 1976, tujuh bulan selepas mula belajar Bible, saya memutuskan untuk berhenti pengajian di hospital universiti. Saya risau saya tidak dapat menjadi doktor lagi. Mujurlah saya masih dapat cari kerja di hospital yang lain. Pada Mei 1976, saya telah dibaptis. Saya ingin menggunakan kehidupan saya untuk berkhidmat sebagai penginjil sepenuh masa, jadi saya mula merintis pada Julai 1977.

Mempertahankan Pandangan Tuhan tentang Darah

Pada November 1979, saya dan Masuko berpindah ke sebuah sidang yang memerlukan penyiar di kawasan Chiba. Saya bekerja separuh masa di sebuah hospital. Pada hari pertama saya bekerja, sekumpulan pakar bedah mengelilingi saya dan tanya, “Kamu seorang Saksi. Apa yang akan kamu buat jika ada pesakit yang perlukan transfusi darah?”

Saya dengan hormat menjelaskan bahawa saya akan ikut perintah Tuhan tentang darah. Saya juga menjelaskan bahawa terdapat kaedah alternatif yang tidak memerlukan transfusi darah, dan saya akan berusaha merawat pesakit saya. Selepas kira-kira satu jam, ketua bahagian bedah kata, “Saya faham. Jika ada pesakit yang mengalami pendarahan yang teruk, kami akan menanganinya.” Walaupun banyak orang rasa susah berurusan dengannya, saya mempunyai hubungan yang baik dengannya selepas perbincangan itu. Dia selalu menghormati kepercayaan saya.

Pendirian tentang Darah Diuji

Semasa kami di Chiba, pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa (atau Bethel) yang baharu sedang dibina di Ebina. Kami memandu ke sana seminggu sekali untuk membantu menjaga kesihatan para Saksi yang bekerja di tapak pembinaan. Selepas beberapa bulan, kami dijemput untuk berkhidmat sepenuh masa di Bethel Ebina. Kami menerimanya dan pada Mac 1981, kami mula tinggal di bangunan sementara bagi sekitar lebih daripada 500 pekerja sukarela. Pada waktu pagi, saya bantu membersihkan bilik mandi dan tandas di tapak pembinaan. Pada sebelah petang pula, saya buat pemeriksaan kesihatan.

Salah seorang pesakit saya ialah seorang mubaligh dari Australia yang berkhidmat di Jepun sejak 1949. Namanya Ilma Iszlaub. Saudari Ilma menghidap leukemia dan doktor kata dia hanya dapat bertahan beberapa bulan. Ilma enggan menerima transfusi darah dan mahu tinggal di Bethel sehingga akhir hayatnya. Pada masa itu, ubat yang dapat merangsang penghasilan sel darah merah, seperti eritropoietin, belum ada. Kadangkala, jumlah hemoglobinnya turun sampai 3 atau 4 gram! (Jumlah normal ialah 12 hingga 15.) Saya berusaha sedaya upaya untuk merawatnya. Walaupun doktor kata Saudari Ilma hanya ada beberapa bulan untuk hidup, dia berjaya bertahan sekitar tujuh tahun! Dia menunjukkan iman yang teguh sehingga saat dia meninggal pada Januari 1988.

Terdapat juga beberapa saudara saudari yang berkhidmat di pejabat cawangan Saksi-Saksi Yehuwa yang perlu menjalani pembedahan. Saya bersyukur doktor di hospital-hospital berdekatan sudi bekerjasama dengan para Saksi dan melakukan pembedahan tanpa darah. Saya sering dijemput untuk memerhatikan pembedahan yang dijalankan, dan ada kalanya saya juga dapat membantu. Saya berbesar hati dapat mengongsi kepercayaan saya dengan doktor-doktor lain. Salah seorang doktor juga telah dibaptis sebagai Saksi.

Sebenarnya, usaha doktor untuk merawat Saksi-Saksi Yehuwa tanpa darah telah memberikan sumbangan yang besar dalam bidang perubatan. Kini, terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa pembedahan tanpa darah adalah lebih baik, dan pesakit pulih lebih cepat tanpa banyak komplikasi.

Terus Belajar daripada Pencipta Kita

Saya masih berusaha mengikuti perkembangan dalam bidang perubatan. Tetapi, pada masa yang sama, saya juga terus belajar daripada Yehuwa, Pencipta kita yang maha agung. Dia bukan hanya dapat melihat luaran kita, tetapi juga batin kita. (1 Samuel 16:7) Sebagai seorang doktor, saya juga tidak hanya melihat penyakit pesakit, tetapi saya cuba bertumpu kepada individu itu. Hal ini membantu saya untuk memberi pesakit rawatan yang lebih baik.

Sekarang, saya masih berkhidmat di Bethel. Perkara yang membuat saya paling bersukacita adalah untuk membantu orang mengenali Yehuwa termasuk pandangan-Nya terhadap darah. Saya menantikan masanya Pencipta kita menyembuhkan segala penyakit dan melenyapkan kematian.—Diceritakan oleh Yasushi Aizawa.

[Nota kaki]

^ per. 4 Menurut buku teks Modern Blood Banking and Transfusion Practices oleh Dr. Denise M. Harmening, “reaksi transfusi hemolitik yang lambat” boleh berlaku “dalam tubuh pesakit yang sudah menjadi sensitif akibat transfusi darah, kehamilan, atau pemindahan organ pada masa lalu.” Jadi, antibodi yang dapat menyebabkan tubuh pesakit bereaksi secara negatif terhadap darah “tidak dapat dikesan melalui kaedah pra-transfusi yang biasa.” Menurut Dailey’s Notes on Blood, hemolisis ‘dapat berlaku jika darah yang diberi hanya sedikit tidak serasi. Apabila buah pinggangnya tidak lagi berfungsi, tubuh pesakit akan keracunan kerana kotoran tidak dapat disingkirkan daripada darah.’

^ per. 8 Menurut Journal of Clinical Oncology, terbitan Ogos 1988, “pesakit kanser yang menjalani pembedahan dengan transfusi darah dijangka lebih lambat pulih berbanding pesakit yang dibedah tanpa transfusi darah.”

[Petikan pada muka surat 14]

“Saya juga menjelaskan bahawa terdapat kaedah alternatif yang tidak memerlukan transfusi darah, dan saya akan berusaha merawat pesakit saya”

[Petikan pada muka surat 15]

“Terdapat banyak bukti yang menunjukkan bahawa pembedahan tanpa darah adalah lebih baik”

[Petikan pada muka surat 15]

Atas: Menyampaikan ceramah Bible

Kanan: Bersama isteri saya Masuko