Lompat ke kandungan

Bagaimanakah Bible Terpelihara sehingga Hari Ini?

Bagaimanakah Bible Terpelihara sehingga Hari Ini?

Bagaimanakah Bible Terpelihara sehingga Hari Ini?

Hakikat bahawa Bible terpelihara sampai hari ini merupakan suatu mukjizat. Mengapa? Manuskrip kuno ini yang dihasilkan sekitar 2,000 tahun lalu ditulis pada bahan yang mudah rosak seperti papirus dan kulit binatang. Bible juga ditulis dalam bahasa yang jarang digunakan hari ini. Bukan itu sahaja, terdapat banyak orang yang berkuasa dalam sejarah telah berusaha untuk melenyapkan Bible.

BAGAIMANAKAH karya ini dapat sampai ke tangan anda? Mari kita lihat dua faktor yang berikut.

Banyak Salinan Dihasilkan

Tuhan mengamanahkan firman-Nya kepada orang Israel. Untuk memastikan firman Tuhan terpelihara, mereka menyimpan gulungan asal dengan baik dan membuat banyak salinan. Contohnya, Bible kata bahawa raja Israel “diberi kitab Hukum Tuhan yang disimpan oleh para imam Lewi, dan dia harus menyalin Hukum itu dalam sebuah buku.”​—Ulangan 17:18.

Selain itu, para jurutulis yang ditugaskan untuk menyalin Firman Tuhan melakukannya dengan sangat teliti. Bible menyebut tentang Ezra, iaitu “seorang jurutulis yang sangat mahir dalam Hukum Musa.” (Ezra 7:6) Terdapat juga golongan Masoret yang menyalin Kitab Ibrani, atau “Perjanjian Lama,” antara abad ke-6 dan ke-10 Masihi. Mereka begitu berhati-hati sehingga bahkan mengira jumlah huruf yang disalin. Dengan itu, mereka dapat elakkan kesalahan. Semua usaha ini telah membantu memastikan manuskrip kuno terpelihara biarpun menghadapi tentangan daripada musuh.

Contohnya, pada 168 SM, Raja Antiokhus IV dari Siria memerintahkan agar semua Kitab Ibrani di Palestin dihapuskan. Menurut catatan sejarah Yahudi, mereka “mengoyak dan membakar gulungan-gulungan Kitab Ibrani yang dijumpai.” The Jewish Encyclopedia menambah, ‘Para pegawainya melakukan tugas mereka dengan bersungguh-sungguh. Mereka juga membunuh orang yang memiliki kitab suci.’ Biarpun begitu, banyak salinan Firman Tuhan tetap terpelihara di Palestin dan kawasan lain.

Selain itu, Kitab Yunani Kristian, atau “Perjanjian Baharu,” yang mengandungi surat, nubuat-nubuat, dan catatan sejarah, turut terpelihara. Contohnya, Rasul Yohanes telah menulis salah satu bukunya di Efesus atau berdekatannya. Namun cebisan manuskrip Yohanes yang telah disalin ditemui di Mesir, ratusan kilometer dari Efesus. Menurut para pakar, salinan itu dibuat kurang daripada 50 tahun selepas Yohanes menyiapkan catatannya. Hal ini membuktikan bahawa salinan-salinan telah dihasilkan tidak lama selepas teks asal ditulis, dan orang Kristian di negeri lain sudah memiliki salinan-salinan itu.

Memandangkan banyak salinan dihasilkan, Firman Tuhan dapat disebarkan biarpun menghadapi tentangan. Sebagai contoh, pada 23 Februari 303 Masihi, maharaja Roma yang bernama Diocletian mengarahkan askar-askarnya untuk membakar semua salinan Bible yang ditemui di gereja. Pada keesokan hari, dia juga memerintahkan semua Bible di seluruh Empayar Roma dibakar di hadapan umum. Walaupun begitu, dia tidak berjaya menghapuskan semua salinan Bible. Sebenarnya, salinan-salinan Bible bahasa Yunani terus dibuat tidak lama selepas peristiwa itu. Pada kemudian hari, dua salinan dari zaman itu telah ditemui dan sebahagian besar salinan-salinan itu masih terpelihara. Kini, satu salinan disimpan di Rom dan yang satu lagi di Perpustakaan British di London, England.

Setakat ini, teks asal Bible belum ditemui. Namun ribuan salinan masih terpelihara sampai zaman sekarang dan ada antaranya sangat tua. Adakah kandungannya berubah selepas begitu banyak salinan dibuat? Berkenaan Kitab Ibrani, seorang pakar yang bernama W. H. Green berkata, “Saya yakin bahawa tiada satu karya kuno pun yang telah disampaikan dengan begitu tepat.” Berkenaan Kitab Yunani Kristian, Sir Frederic Kenyon menulis, “Jangka masa antara teks asal ditulis dan salinan tertua yang ditemui begitu kecil sehingga boleh diabaikan. Jadi, kita tiada alasan untuk ragu-ragu tentang mesej yang terkandung dalam Ayat-Ayat Suci. Secara keseluruhan, kandungan buku-buku dalam Perjanjian Baharu tepat dan boleh dipercayai.Dia juga menulis, “Saya ingin menegaskan lagi bahawa kandungan dan mesej Bible tidak berubah. . . . Hal ini tidak dapat dikatakan tentang mana-mana karya lain di dunia.”

Terjemahan Bible

Faktor kedua yang menjadikan Bible buku yang paling terkenal di dunia ialah kerana Bible didapati dalam banyak bahasa. Hal ini selaras dengan tujuan Tuhan. Dia ingin orang daripada semua bangsa dan bahasa mengenali dan menyembah-Nya “dengan bimbingan kuasa suci-Nya dan kebenaran.”​—Yohanes 4:23, 24; Mikha 4:2.

Sekitar 200 tahun sebelum Yesus datang ke bumi, banyak orang Yahudi di luar Palestin tidak lagi menggunakan bahasa Ibrani. Jadi, Kitab Ibrani telah diterjemahkan ke dalam bahasa Yunani. Maka terhasillah Septuagint bahasa Yunani. Seraya masa berlalu, seluruh Bible, termasuk Kitab Yunani Kristian diterjemahkan ke dalam banyak bahasa. Malangnya, raja dan pemimpin agama yang sepatutnya memelihara Bible telah menghalang orang daripada memiliki dan membacanya. Mereka juga tidak membenarkan Bible diterjemahkan ke dalam bahasa seharian agar orang ramai diperhamba dan dibiarkan dalam kegelapan rohani.

Meskipun demikian, terdapat beberapa lelaki yang sanggup mempertaruhkan nyawa mereka untuk menterjemahkan Bible ke dalam bahasa rakyat biasa. Contohnya, pada tahun 1530, seorang lulusan Oxford yang bernama William Tyndale telah menghasilkan terjemahan untuk lima buku pertama dalam Kitab Ibrani. Walaupun usahanya membawa banyak tentangan, dia tidak berputus asa. Hasilnya, dia menjadi orang pertama yang menterjemahkan Bible daripada bahasa Ibrani ke dalam bahasa Inggeris dan menggunakan nama Yehuwa dalam terjemahannya. Selain dia, terdapat pakar Bible yang bernama Casiodoro de Reina yang turut menghadapi banyak penganiayaan. Semasa dia menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Sepanyol, nyawanya diancam oleh gereja Katolik. Akibatnya, dia terpaksa melarikan diri ke England, Jerman, Perancis, Belanda, dan Switzerland untuk menyiapkan terjemahannya. *

Hari ini, Bible terus diterjemahkan ke dalam semakin banyak bahasa, dan berjuta-juta naskhah telah diterbitkan. Sememangnya, tiada apa-apa yang dapat melenyapkan Bible daripada muka bumi. Bible kata, “Rumput akan layu, dan bunga akan gugur, tetapi firman Yehuwa akan kekal buat selama-lamanya.”​—1 Petrus 1:24, 25.

[Nota kaki]

^ per. 14 Terjemahan Reina diterbitkan pada 1569 dan dikemaskinikan oleh Cipriano de Valera pada 1602.

[Kotak/​Gambar pada muka surat 14]

TERJEMAHAN BIBLE MANAKAH PATUT SAYA GUNA?

Banyak bahasa mempunyai beberapa terjemahan Bible. Sesetengah terjemahan menggunakan bahasa kuno yang jarang dipakai hari ini. Yang lain menterjemah secara bebas. Akibatnya, terjemahan itu mungkin senang difahami tetapi kurang tepat. Ada Bible pula yang diterjemahkan kata demi kata.

Bagaimana pula dengan Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu dalam bahasa Inggeris yang diterbitkan oleh Saksi-Saksi Yehuwa? Bible ini diterjemahkan berdasarkan teks bahasa asal dan kemudiannya digunakan untuk menghasilkan terjemahan Bible dalam kira-kira 60 bahasa yang lain. Semasa Bible diterjemahkan ke dalam bahasa-bahasa lain, para penterjemah menggunakan Bible bahasa Inggeris sebagai teks utama tetapi mereka juga sering merujuk teks bahasa asal. Matlamat Terjemahan Dunia Baharu adalah untuk menghasilkan Bible yang kandungannya mirip dengan teks bahasa asal. Hasilnya, para pembaca hari ini akan mendapat mesej yang sama seperti pembaca pada zaman Bible.

Sesetengah pakar bahasa telah mengkaji terjemahan Bible moden, termasuk Terjemahan Dunia Baharu, untuk melihat ketepatannya. Salah seorang pakar itu ialah Jason David BeDuhn, profesor bidang agama di Northern Arizona University, Amerika Syarikat. Pada 2003, dia menerbitkan kajian setebal 200 muka surat tentang sembilan “Bible bahasa Inggeris yang paling banyak digunakan.” * Kajiannya bertumpu pada terjemahan ayat-ayat Bible yang “sering dipengaruhi oleh pandangan penterjemah.” Semasa mengkaji ayat-ayat itu, dia membandingkan terjemahan Inggeris yang dihasilkan dengan teks Yunani. Apakah yang didapatinya?

Menurut BeDuhn, sesetengah orang fikir bahawa Bible Terjemahan Dunia Baharu (NW) berbeza kerana para penterjemahnya dipengaruhi oleh kepercayaan mereka. Tetapi dia menjelaskan, “Kebanyakan perbezaan adalah kerana NW diterjemahkan secara harfiah.” Walaupun BeDuhn tidak setuju dengan sesetengah ungkapan dalam Bible Terjemahan Dunia Baharu, inilah kesimpulannya: Antara sembilan Bible yang dikajinya, Terjemahan Dunia Baharu “ialah yang paling tepat.” Dia menambah bahawa terjemahan Bible ini “sangat bagus.”

Dr. Benjamin Kedar, seorang profesor bahasa Ibrani di Israel, menyatakan hal yang serupa tentang Terjemahan Dunia Baharu. Pada tahun 1989, dia berkata, “Karya ini mencerminkan usaha yang tulus untuk memahami teks yang asal sedekat yang mungkin. . . . Saya tidak pernah menemui ayat dalam Terjemahan Dunia Baharu yang sengaja ditukar maksudnya untuk menyokong pemahaman sendiri.”

Maka tanyalah diri, “Mengapakah saya ingin membaca Bible? Adakah saya mahu Bible yang senang dibaca tetapi tidak tepat? Atau adakah saya mahu membaca Bible yang menyampaikan mesej asalnya?” (2 Petrus 1:20, 21) Keputusannya dalam tangan anda.

[Nota kaki]

^ per. 22 Selain daripada Terjemahan Dunia Baharu, lapan terjemahan bahasa Inggeris yang lain adalah seperti berikut: The Amplified New Testament, The Living Bible, The New American Bible With Revised New Testament, New American Standard Bible, The Holy BibleNew International Version, The New Revised Standard Version, The Bible in Today’s English Version, dan King James Version.

[Gambar]

“Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu” didapati dalam banyak bahasa

[Gambar pada muka surat 12, 13]

Manuskrip Masoret

[Gambar pada muka surat 13]

Cebisan manuskrip yang mengandungi ayat Lukas 12:7, “. . . janganlah takut. Kamu lebih berharga daripada banyak burung pipit”

[Sumber Gambar pada muka surat 13]

Foreground page: National Library of Russia, St. Petersburg; second and third: Bibelmuseum, Münster; background: © The Trustees of the Chester Beatty Library, Dublin