Lompat ke kandungan

TEMU RAMAH | ANTONIO DELLA GATTA

Mengapa Seorang Paderi Meninggalkan Gerejanya

Mengapa Seorang Paderi Meninggalkan Gerejanya

SELEPAS belajar kursus agama di Rom selama sembilan tahun, Antonio Della Gatta telah dilantik sebagai paderi pada 1969. Kemudian, dia bertugas sebagai ketua seminari berdekatan Naples, Itali. Semasa di sana, Antonio banyak belajar dan berfikir tentang agamanya. Dia mencapai kesimpulan bahawa agama Katolik tidak berdasarkan Bible. Majalah Sedarlah! menemu ramahnya tentang usahanya untuk mencari Tuhan.

Boleh beritahu kami tentang zaman kanak-kanak kamu?

Saya lahir di Itali pada 1943. Saya dan adik-beradik membesar di sebuah kampung kecil. Bapa saya ialah seorang petani dan tukang kayu. Ibu bapa saya membesarkan saya untuk menjadi orang Katolik yang baik.

Mengapakah kamu mahu menjadi paderi?

Masa kecil, saya suka dengar paderi mengajar di gereja. Suara mereka dan upacara gereja membuat saya sangat terpesona. Jadi saya memutuskan untuk menjadi seorang paderi. Semasa berumur 13 tahun, saya masuk sekolah asrama yang melatih budak lelaki menjadi paderi.

Adakah kamu belajar Bible di sana?

Tidak. Semasa saya berumur 15 tahun, seorang guru memberi saya senaskhah Gospel yang menyebut tentang kisah hidup dan kerja penyebaran Yesus. Saya baca buku itu berulang kali. Semasa berumur 18 tahun, saya pergi ke Rom untuk melanjutkan pengajian dalam universiti agama yang dipantau oleh paus. Saya belajar bahasa Latin, bahasa Yunani, sejarah, falsafah, psikologi, dan teologi. Walaupun kami sering mengulangi ayat-ayat Bible dan mendengar Bible dibacakan, kami tidak belajar Bible.

Kamu telah menjadi ketua seminari. Adakah kamu mengajar juga?

Sebenarnya, saya bekerja di bahagian pentadbiran. Tapi, saya juga ajar kelas yang berkaitan dengan Majlis Vatikan Kedua.

Apakah yang buat kamu mula meragui gereja?

Ada tiga perkara: Pertama, gereja terlibat dalam hal politik. Kedua, gereja tutup mata terhadap salah laku pemimpin dan ahli gereja. Ketiga, saya rasa sesetengah ajaran Katolik tidak betul. Contohnya, bagaimana mungkin Tuhan yang pengasih menghukum orang selama-lamanya selepas mereka mati? Dan adakah Tuhan benar-benar mahu kita mengulangi doa beratus-ratus kali dengan menggunakan rosary? *

Apakah yang berlaku selepas itu?

Saya menangis sambil memohon bimbingan Tuhan. Saya juga membeli dan membaca Bible Katolik versi Jerusalem Bible yang baru diterbitkan dalam bahasa Itali. Pada suatu Ahad pagi, dua lelaki datang ke seminari selepas upacara Misa. Mereka kata mereka ialah Saksi-Saksi Yehuwa. Kami bercakap tentang Bible dan tanda pengenal agama yang benar untuk lebih daripada sejam.

Apakah perasaan kamu selepas bertemu dengan mereka?

Saya kagum sebab mereka mahir menggunakan Bible Katolik saya. Mereka juga bercakap dengan yakin. Selepas itu, seorang lagi Saksi yang bernama Mario mula melawat saya setiap Sabtu. Tidak kira panas atau hujan, dia tetap berada di seminari tepat pada jam 9:00 pagi.

Apakah perasaan paderi lain tentang lawatan para Saksi?

Saya jemput mereka untuk belajar bersama, tapi mereka tidak mahu. Saya pula sangat menikmatinya. Saya belajar hal yang menarik seperti mengapa Tuhan mengizinkan kejahatan dan penderitaan berlaku. Soalan ini telah lama bermain dalam fikiran saya.

Apakah pandangan pemimpin gereja?

Pada 1975, saya melawat Rom beberapa kali untuk menjelaskan pandangan saya. Pemimpin gereja cuba membetulkan saya, tapi tiada seorang pun yang menggunakan Bible. Akhirnya, pada 9 Januari 1976, saya menulis surat ke Rom untuk menarik diri dari gereja Katolik. Dua hari kemudian, saya meninggalkan seminari itu dan menaiki kereta api untuk menghadiri perjumpaan pertama saya di sidang Saksi-Saksi Yehuwa. Perjumpaan itu sebenarnya sebuah perhimpunan besar yang dihadiri oleh banyak sidang. Semuanya sangat berbeza dari gereja. Setiap Saksi membuka Bible sendiri dan melihat ayat Bible semasa penceramah membincangkan topik-topik yang menarik.

Apakah reaksi keluarga kamu?

Mereka menentang saya dengan teruk. Tapi saya mendapat tahu bahawa salah seorang adik saya sedang belajar Bible dengan para Saksi di Lombardy, utara Itali. Saya pun pergi cari dia, dan para Saksi di sana membantu saya cari kerja dan tempat tinggal. Pada tahun itu juga, saya dibaptis sebagai Saksi-Saksi Yehuwa.

Akhirnya, saya ada hubungan yang erat dengan Tuhan

Adakah kamu menyesal dengan pilihan kamu?

Langsung tidak! Akhirnya, saya ada hubungan yang erat dengan Tuhan. Saya tahu apa yang saya belajar tentang-Nya adalah daripada Bible dan bukannya berdasarkan falsafah atau tradisi gereja. Sekarang, saya dapat ajar orang lain tentang Tuhan dengan penuh keyakinan.

^ per. 13 Bible menjawab soalan-soalan ini dan banyak soalan lain. Sila klik AJARAN BIBLE > JAWAPAN KEPADA SOALAN BIBLE.