AYAT BIBLE DIJELASKAN
1 Korintus 10:13—“[Tuhan] Setia kepada Janji-Nya”
“Semua godaan yang kamu hadapi merupakan godaan yang biasa dialami oleh manusia. Tuhan yang setia tidak akan membiarkan kamu menghadapi godaan yang tidak dapat kamu tanggung. Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.”—1 Korintus 10:13, Terjemahan Dunia Baharu.
“Tiap-tiap cubaan yang kamu alami itu cubaan yang biasa dialami orang. Tetapi [Tuhan] setia kepada janji-Nya. Dia tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung. Pada waktu kamu ditimpa cubaan, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu mendapat kekuatan untuk menanggungnya.”—1 Korintus 10:13, Alkitab Berita Baik.
Maksud 1 Korintus 10:13
Ayat ini menyebut satu sifat Tuhan yang menyentuh hati kita, iaitu kesetiaan-Nya. Para penyembah Tuhan dapat yakin bahawa Tuhan yang setia akan membantu mereka, terutamanya semasa mereka menghadapi cubaan atau godaan.
“Semua godaan yang kamu hadapi merupakan godaan yang biasa dialami oleh manusia.” Penyembah Tuhan mungkin digoda untuk melakukan sesuatu yang tidak disukai-Nya. Godaan sebegini memang mencabar, tetapi banyak orang sudah mengalaminya dan berjaya mengatasinya. a Oleh itu, penyembah Tuhan dapat yakin bahawa mereka pun dapat mengatasi godaan sebegini.
“Tuhan yang setia.” Tuhan Yehuwa b dapat dipercayai dan diharapkan. Dia telah berjanji bahawa Dia tidak akan meninggalkan orang yang mengasihi-Nya, mentaati-Nya, dan yang tetap setia kepada-Nya. Sejak dahulu lagi, Dia sentiasa menepati janji ini. (Ulangan 7:9; Mazmur 9:10; 37:28) Jadi, para penyembah-Nya dapat yakin bahawa Dia juga akan menunaikan dua janji yang disebut di ayat 13.
“[Dia] tidak akan membiarkan kamu dicubai lebih daripada yang dapat kamu tanggung.” Tuhan yang setia tidak akan membiarkan cubaan menjadi begitu berat sehingga mustahil untuk menanggungnya. Dia tahu keterbatasan semua penyembah-Nya.—Mazmur 94:14.
“Semasa kamu digoda, Dia akan memberikan jalan keluar supaya kamu dapat menanggungnya dengan tabah.” Tuhan dapat menghilangkan masalah kita atau membantu kita untuk menghadapinya dengan tabah. Sebagai contoh, Dia dapat memberi kita bimbingan menerusi kuasa suci-Nya, kelegaan menerusi Bible, atau bantuan praktikal menerusi rakan seiman kita.—Yohanes 14:26; 2 Korintus 1:3, 4; Kolose 4:11.
Konteks 1 Korintus 10:13
Ayat ini terdapat dalam surat yang ditulis oleh Rasul Paulus kepada sidang Kristian di Korintus. Dalam suratnya, Paulus menggunakan kisah orang Israel kuno sebagai peringatan bagi orang Kristian di Korintus. (1 Korintus 10:11) Dia menyebut beberapa cubaan dan godaan yang dihadapi mereka, seperti godaan untuk menyembah berhala dan melakukan perbuatan seks yang tidak bermoral. (1 Korintus 10:6-10) Sedihnya, ada antara mereka yang tunduk kepada godaan itu. Setelah menulis tentang apa yang berlaku kepada orang Israel kuno, Paulus mengingatkan orang Kristian agar tidak terlalu yakin pada diri sendiri dan berfikir bahawa mereka tidak akan menyerah kepada godaan. (1 Korintus 10:12) Kemudian, dia menulis kata-kata di 1 Korintus 10:13 untuk meyakinkan mereka bahawa penyembah Tuhan yang setia dapat menghadapi apa sahaja cubaan dengan tabah.
Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku 1 Korintus.
a Perkataan Yunani yang diterjemahkan sebagai “godaan” juga membawa maksud cubaan.
b Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?”