AYAT BIBLE DIJELASKAN
2 Korintus 12:9—“Cukuplah Kasih Kurnia-Ku Bagimu”
“Kebaikan hati-Ku yang unggul sudah cukup untukmu, kerana kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.”—2 Korintus 12:9, Terjemahan Dunia Baharu.
“Cukuplah kasih kurnia-Ku bagimu, kerana kekuatan-Ku menjadi sempurna dalam kelemahan.”—2 Korintus 12:9, Alkitab Versi Borneo.
Maksud 2 Korintus 12:9
Tuhan berjanji untuk memberi Rasul Paulus kekuatan yang diperlukan untuk menghadapi cabaran dan kelemahannya.
“Kebaikan hati-Ku yang unggul sudah cukup untukmu.” Itulah jawapan Tuhan setelah Paulus berdoa berulang-kali agar Tuhan menghilangkan masalahnya. Maksudnya kebaikan hati Tuhan yang unggul sudah cukup untuk membantu Paulus menangani masalahnya. Istilah “kebaikan hati yang unggul” atau “kasih kurnia” menggambarkan anugerah Tuhan yang diberikan dengan murah hati biarpun seseorang tidak layak menerimanya. Walaupun Paulus dahulunya menganiaya umat Tuhan, Tuhan memberinya kekuatan yang diperlukan untuk mengubah sikapnya dan membantu orang lain menjadi pengikut Kristus. (1 Korintus 15:9, 10; 1 Timotius 1:12-14) Maka Paulus yakin bahawa jika dia bergantung pada bantuan Tuhan, dia dapat mengatasi apa saja cabaran atau masalah.
“Kerana kuasa-Ku menjadi nyata sekali semasa engkau lemah.” Tuhan Yehuwa a mengingatkan Paulus bahawa kuasa-Nya paling jelas kelihatan semasa digunakan untuk membantu manusia yang lemah dan tidak sempurna. (2 Korintus 4:7; 12:8) Apabila orang Kristian menyedari keterbatasan mereka dan meminta bantuan Yehuwa, mereka mengizinkan kuasa Yehuwa untuk bekerja sepenuhnya dalam diri mereka. (Efesus 3:16; Filipi 4:13) Dengan demikian, kuasa Tuhan menjadi nyata dalam manusia yang lemah.
Konteks 2 Korintus 12:9
Paulus menulis sepucuk surat kepada orang Kristian di Korintus sekitar tahun 55 Masihi. Pada penghujung suratnya itu, dia menjelaskan mengapa dia layak menjadi seorang rasul. Dia berbuat demikian kerana sesetengah orang yang menggelar diri sebagai guru telah mengkritiknya. Mereka mungkin menghakimi penampilannya atau kebolehannya untuk berucap.—2 Korintus 10:7-10; 11:5, 6, 13; 12:11.
Semasa membela diri, Paulus menjelaskan bahawa dia tidak mungkin dapat melaksanakan tugas sucinya dan menghadapi pelbagai cubaan dengan kekuatan sendiri. (2 Korintus 6:4; 11:23-27; 12:12) Di bab 12, dia berkata bahawa dia menderita akibat “sesuatu seperti duri dalam daging.” Nampaknya, hal itu merujuk kepada masalah berterusan yang menyebabkannya menderita secara fizikal atau emosi. (2 Korintus 12:7) Walaupun Paulus tidak memberitahu kita apa masalahnya, dia yakin bahawa Tuhan akan membantunya bertabah.
Dewasa ini, orang Kristian juga menghadapi kesusahan dan penganiayaan. Namun, mereka berasa lega kerana tahu bahawa kuasa daripada Tuhan dapat membantu mereka menghadapi apa sahaja cabaran dengan berjaya. Seperti Paulus, mereka juga dapat berkata dengan yakin, “Apabila aku lemah, aku menjadi kuat.”—2 Korintus 12:10.
Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku 2 Korintus.
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihatlah rencana “Siapakah Yehuwa?”