AYAT BIBLE DIJELASKAN
Amsal 17:17—“Seorang Sahabat Menaruh Kasih Setiap Waktu”
“Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih; sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.”—Amsal 17:17, Terjemahan Dunia Baharu.
“Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan seorang saudara lahir untuk masa menghadapi kesukaran.”—Amsal 17:17, Alkitab Versi Borneo.
Maksud Amsal 17:17
Sahabat yang sejati sentiasa dapat diharapkan. Seperti adik-beradik kandung yang rapat, mereka setia dan prihatin, terutamanya pada masa kesusahan.
“Sahabat sejati sentiasa menunjukkan kasih.” Perkataan Ibrani bagi “kasih” dalam ayat ini bukan sekadar emosi atau perasaan. Kasih ini ialah kasih yang tidak mementingkan diri, yang ditunjukkan melalui perbuatan. (1 Korintus 13:4-7) Sahabat yang menunjukkan kasih sebegini akan tetap setia kepada satu sama lain bahkan semasa menghadapi masalah, contohnya perselisihan faham atau tekanan akibat cabaran hidup. Mereka juga saling mengampuni dengan rela hati. (Amsal 10:12) Sahabat yang sejati tidak akan cemburu kerana kejayaan atau hasil baik yang diraih satu sama lain, tetapi akan bersukacita.—Roma 12:15.
“Sahabat sejati bagaikan saudara kandung yang dapat diharapkan pada masa kesusahan.” Idea bagi ayat ini adalah berdasarkan hubungan adik-beradik kandung yang sangat akrab. Jadi, apabila kita melakukan apa yang mampu untuk membantu seorang sahabat yang ditimpa kesusahan, kita menjadi seperti adik-beradik kandungnya. Tambahan lagi, persahabatan sebegini tidak menjadi semakin lemah apabila cabaran timbul. Sebaliknya, cabaran itu akan membuat mereka lebih menghormati satu sama lain, justeru menguatkan hubungan mereka.
Konteks Amsal 17:17
Buku Amsal mengandungi kata-kata hikmat yang padat dan merangsang fikiran. Sebahagian besar buku Amsal ditulis oleh Raja Salomo dengan menggunakan gaya penulisan puisi Ibrani. Gaya penulisan ini tidak menggunakan perkataan yang berima, iaitu perkataan yang berakhir dengan bunyi yang sama. Sebaliknya, gaya penulisan ini menggunakan idea yang sama maksud atau bertentangan maksud. Contoh idea yang sama maksud terdapat di Amsal 17:17, di mana frasa yang kedua mengembangkan idea yang terdapat dalam frasa yang pertama. Contoh idea yang bertentangan pula terdapat di Amsal 18:24: “Ada sahabat-sahabat yang cenderung menghancurkan satu sama lain, namun ada sahabat yang lebih karib daripada saudara kandung.”
Semasa menulis Amsal 17:17, Salomo mungkin terfikir tentang persahabatan antara bapanya Daud dengan Yonatan, anak Raja Saul. (1 Samuel 13:16; 18:1; 19:1-3; 20:30-34, 41, 42; 23:16-18) Walaupun Daud jauh lebih muda daripada Yonatan dan tidak mempunyai pertalian darah dengannya, hubungan mereka lebih rapat daripada adik-beradik kandung. Yonatan bahkan sanggup membahayakan nyawanya untuk melindungi Daud. a
Amsal 17:17 dalam Terjemahan Lain
“Seorang sahabat akan mengasihi engkau pada segala waktu, seorang saudara dilahirkan bagimu untuk saat-saat engkau mendapat perlawanan.”—Kitab Suci Komunitas Kristiani.
“Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan menjadi seorang saudara dalam kesukaran.”—Terjemahan Baru.
Tonton video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Amsal.
a Lihat juga rencana “Menjalin Persahabatan yang Erat.”