Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Bilangan 6:24-26—“Semoga TUHAN Memberkati dan Memelihara Kamu”

Bilangan 6:24-26—“Semoga TUHAN Memberkati dan Memelihara Kamu”

 “Semoga Yehuwa memberkati dan melindungi kamu. Semoga Yehuwa memancarkan cahaya-Nya ke atas kamu, dan semoga Dia merahmati kamu. Semoga Yehuwa berkenan kepada kamu dan mengurniai kamu kedamaian.”—Bilangan 6:24-26, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Semoga TUHAN memberkati dan memelihara kamu. Semoga TUHAN baik hati dan murah hati terhadap kamu. Semoga TUHAN berkenan kepada kamu dan memberi kamu kesejahteraan.”—Bilangan 6:24-26, Alkitab Berita Baik.

Maksud Bilangan 6:24-26

 Kata-kata ini dikenali sebagai Doa Berkat Harun, iaitu imam agung pertama di Israel. (Keluaran 28:1) Namun, pada asalnya kata-kata itu diucapkan oleh Tuhan. (Bilangan 6:22, 23) Tuhan berfirman kepada Musa, “Beritahulah Harun dan anak-anak lelakinya, ‘Inilah caranya kamu harus memberkati orang Israel,’” kemudian Tuhan menyebut kata-kata yang terdapat di Bilangan 6:24-26. Para imam yang setia mematuhi arahan itu. Mereka juga memuliakan nama Tuhan, iaitu Yehuwa. a Ayat 27 menyatakan, “Mereka [para imam] harus mengucapkan nama-Ku sebagai berkat kepada umat Israel supaya Aku memberkati umat Israel.”

 “Semoga Yehuwa memberkati dan melindungi kamu.” Yehuwa memberkati penyembah-Nya dengan melindungi mereka, membimbing mereka, dan memberi mereka kejayaan. (Amsal 10:22) Di Bilangan 6:24-26, semua perkataan “kamu” adalah dalam bentuk tunggal. Hal ini menunjukkan bahawa Tuhan bukan sahaja ingin memberkati seluruh bangsa Israel, tetapi Dia juga mahu memberkati setiap orang Israel.

 “Semoga Yehuwa memancarkan cahaya-Nya ke atas kamu, dan semoga Dia merahmati kamu.” Dalam Alkitab Versi Borneo, ungkapan “memancarkan cahaya-Nya ke atas kamu” diterjemahkan sebagai “menyinari kamu dengan wajah-Nya,” dan merupakan permintaan agar Tuhan menunjukkan perkenan-Nya terhadap seseorang. b Yehuwa akan baik hati dan berbelas kasihan terhadap orang yang diperkenankan-Nya.—Yesaya 30:18.

 “Semoga Yehuwa c berkenan kepada kamu dan mengurniai kamu kedamaian.” Yehuwa berkenan kepada penyembah-Nya dengan memperhatikan mereka dan memberi mereka kesejahteraan. Menurut sebuah buku rujukan, “perkataan Ibrani yang diterjemahkan sebagai kedamaian (shalom) bukan sahaja bermaksud tiada persengketaan atau perselisihan. Perkataan ini juga menggambarkan seseorang yang hidup sejahtera dan tidak kekurangan apa-apa, baik dari segi fizikal mahupun rohani.”

 Untuk menerima berkat yang disebut dalam ayat-ayat itu, orang Israel harus mematuhi Yehuwa. (Imamat 26:3-6, 9) Apabila mereka patuh, Tuhan menunaikan janji-Nya untuk memberkati mereka, seperti yang berlaku semasa pemerintahan Salomo dan Hizkia.—1 Raja-Raja 4:20, 25; 2 Tawarikh 31:9, 10.

 Walaupun orang Kristian tidak perlu menghafal kata-kata berkat ini, mereka boleh memohon perkara yang sama semasa berdoa kepada Tuhan bagi pihak orang lain atau menggunakan kata-kata ini untuk menggalakkan rakan seiman mereka. (1 Tesalonika 5:11, 25) Yehuwa tidak berubah. Dia sentiasa ingin memberkati dan melindungi umat-Nya. Orang Kristian sejati dapat menikmati kedamaian kerana mereka tahu Yehuwa berkenan kepada mereka.

Konteks Bilangan 6:24-26

 Sepuluh bab pertama buku Bilangan mengandungi arahan Tuhan kepada orang Israel semasa mereka dalam perjalanan ke Tanah yang Dijanjikan. Mereka berkhemah dekat Gunung Sinai selama kira-kira setahun. Pada masa itu, Yehuwa mengaturkan umat-Nya menjadi sebuah bangsa dan memberi mereka undang-undang yang dikenali sebagai Hukum Musa.

 Yehuwa juga memberitahu Musa bagaimana Harun dan anak-anak lelakinya, yang dilantik sebagai imam, harus memberkati orang Israel. (Bilangan 6:22, 23) Sejak itu, Harun dan keturunannya menggunakan kata-kata di Bilangan 6:24-26 untuk memberkati bangsa Israel. Beberapa waktu kemudian, seorang imam akan mengucapkan kata-kata itu setiap hari selepas korban yang terakhir dipersembahkan di Rumah Tuhan.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Bilangan.

a Dalam bahasa Melayu, Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan yang diterjemahkan daripada bahasa Ibrani. Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?” untuk mengetahui sebabnya banyak terjemahan Bible menggunakan gelaran TUHAN dan bukannya nama Tuhan.

b Bible juga mengatakan bahawa Tuhan “memalingkan muka-Nya” daripada orang Israel apabila Dia tidak memperkenankan perbuatan mereka.—Mikha 3:4; Yesaya 59:2.

c Ada orang mendakwa bahawa nama Tuhan diulangi tiga kali untuk menyokong ajaran bahawa Tuhan ialah Tritunggal. Namun ini tidak benar. Sebuah buku rujukan Bible yang menyokong ajaran Tritunggal mengaku bahawa biarpun nama Tuhan diulangi tiga kali, hal itu “langsung tidak memberi idea sedemikian kepada imam yang mengucapkan berkat itu atau rakyat yang mendengar kata-kata itu. Bagi mereka, pengulangan itu hanya membuat kata-kata berkat tersebut lebih indah dan lengkap.” (The Pulpit Commentary, Jilid 2, muka surat 52) Menurut Bible edisi pembelajaran New International Version, nama Tuhan diulangi tiga kali dalam ayat-ayat ini “untuk penekanan dan untuk menegaskan pentingnya kata-kata di [ayat 27].” Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Adakah Tuhan Suatu Tritunggal?