Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Efesus 3:20—“Tuhan dapat Melakukan Jauh Lebih Banyak Daripada Apa yang Kita Minta atau Fikirkan”

Efesus 3:20—“Tuhan dapat Melakukan Jauh Lebih Banyak Daripada Apa yang Kita Minta atau Fikirkan”

 “Melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diri kita, Tuhan dapat melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan. Semoga Dia diberi kemuliaan.”—Efesus 3:20, 21, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Dengan kuasa [Tuhan] yang bekerja dalam diri kita, [Tuhan] dapat melakukan perkara yang jauh lebih banyak daripada yang kita minta atau fikirkan. Hendaklah [Tuhan] dimuliakan.”—Efesus 3:20, 21, Alkitab Berita Baik.

Maksud Efesus 3:20

 Rasul Paulus menyatakan keyakinannya bahawa Tuhan mampu menjawab doa penyembah-Nya dan menunaikan permintaan mereka dalam cara yang tidak mereka jangkakan atau bayangkan. Malah, Dia mungkin melakukan sesuatu yang jauh lebih hebat.

 “Melalui kuasa-Nya yang bekerja dalam diri kita.” Melalui kuasa-Nya, Tuhan Yehuwa a dapat memberi kita kekuatan yang kita perlukan untuk melakukan kehendak-Nya.—Filipi 4:13.

 Di ayat 20, Rasul Paulus menyebut bahawa Yehuwa dapat membantu para penyembah-Nya. Mengenai ungkapan “Tuhan dapat melakukan,” sebuah buku rujukan menyatakan, “Ungkapan ini tidak bermaksud Tuhan sekadar mampu atau mungkin melakukan sesuatu, tetapi bermaksud Tuhan mempunyai kuasa untuk melakukannya.” Tidak seperti sahabat manusia yang berniat baik tetapi tidak berdaya membantu, Yehuwa sentiasa mempunyai kuasa untuk melakukan apa sahaja yang diperlukan untuk menjaga para penyembah-Nya dan menjawab doa mereka. Dia sahajalah yang memiliki kuasa yang tidak terbatas.—Yesaya 40:26.

 “Tuhan dapat melakukan jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan.” Penyembah Yehuwa mungkin berfikir bahawa jika Yehuwa membantu mereka dalam cara tertentu, bantuan itu sudah sangat besar dan hebat. Tetapi Yehuwa dapat “melakukan jauh lebih banyak” daripada apa yang mereka bayangkan.

 Dengan menggunakan ungkapan “jauh lebih banyak daripada apa yang kita minta atau fikirkan,” Rasul Paulus mengingatkan semua orang Kristian bahawa Tuhan dapat membantu mereka dalam cara yang menjangkaui apa yang mereka bayangkan. Ayat 20 dalam Alkitab Versi Borneo berbunyi, “[Tuhan] yang berkuasa melakukan segala-galanya dengan limpah kurnia melebihi permintaan dan sangkaan kita.” Ada kalanya, orang Kristian mungkin berasa bahawa masalah mereka terlalu besar atau rumit, dan mereka tidak tahu apa yang harus mereka minta dalam doa. Namun, hal itu tidak menghalang Yehuwa daripada memahami situasi mereka dan memberikan bantuan. Pada masa yang sesuai, Dia dapat menyelesaikan masalah mereka dalam cara yang tidak pernah mereka bayangkan atau cara yang mereka anggap mustahil. (Ayub 42:2; Yeremia 32:17) Sebelum masa itu tiba, Dia memberi mereka kekuatan untuk menghadapi masalah, bukan sahaja dengan tabah, malah dengan sukacita!—Yakobus 1:2, 3.

Konteks Efesus 3:20

 Buku Efesus ialah surat daripada Rasul Paulus kepada orang Kristian yang tinggal di kota Efesus. Kota itu terletak di Asia Kecil, iaitu sebahagian daripada Turki zaman moden. Dalam surat itu, Paulus memberitahu mereka doa yang diucapkannya bagi pihak mereka. (Efesus 3:14-21) Dia berdoa agar mereka akan berusaha meniru kasih Kristus dalam fikiran dan perbuatan mereka. Dengan itu, mereka akan lebih mengenali kasih Kristus. Doa Paulus juga sesuai untuk semua orang Kristian hari ini. Pada akhir doanya, Paulus memuji Tuhan dan mengucapkan kata-kata di Efesus 3:20, 21.

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Efesus.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?