Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Filipi 4:13​—“Dengan Kuasa yang Diberikan oleh Kristus, Aku Berdaya Menghadapi Segala Macam Keadaan”

Filipi 4:13​—“Dengan Kuasa yang Diberikan oleh Kristus, Aku Berdaya Menghadapi Segala Macam Keadaan”

 “Melalui Dia yang memberikan kuasa kepadaku, aku berdaya menghadapi segala keadaan.”—Filipi 4:13, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Dengan kuasa yang diberikan oleh Kristus, aku berdaya menghadapi segala macam keadaan.”—Filipi 4:13, Alkitab Berita Baik.

Maksud Filipi 4:13

 Kata-kata ini, yang ditulis oleh Rasul Paulus, meyakinkan orang yang menyembah Tuhan bahawa mereka akan diberikan kuasa untuk melaksanakan kehendak-Nya.

 Sesetengah terjemahan Bible mengatakan bahawa Kristuslah yang memberikan kuasa kepada Paulus. Namun, dalam manuskrip Yunani yang tertua, perkataan “Kristus” tidak muncul dalam ayat ini. Oleh itu, banyak terjemahan moden menggunakan ungkapan seperti “Dia yang memberikan kuasa kepadaku” (Terjemahan Dunia Baharu), “Dia yang memberiku kekuatan” (New International Version dalam bahasa Inggeris), dan “Dia yang memberi kekuatan kepadaku” (Terjemahan Baru dalam bahasa Indonesia). Jadi, siapakah yang dimaksudkan Paulus?

 Kata-kata Paulus sebelumnya menunjukkan bahawa dia merujuk kepada Tuhan. (Filipi 4:6, 7, 10) Di bahagian awal surat itu yang ditujukan kepada orang Filipi, Paulus menulis, “Tuhan menguatkan kamu . . . Dia memberi kamu . . . kekuatan untuk bertindak.” (Filipi 2:13) Di 2 Korintus 4:7, Paulus menulis bahawa Tuhanlah yang memberinya kuasa untuk melaksanakan tugasnya. (Bandingkan 2 Timotius 1:8.) Maka, kita ada sebab yang kukuh untuk menyimpulkan bahawa Paulus sedang merujuk kepada Tuhan sebagai “Dia yang memberikan kuasa.”

 Apakah yang dimaksudkan Paulus apabila dia berkata bahawa dia akan diberikan kuasa untuk “menghadapi segala keadaan”? Nampaknya, Paulus sedang merujuk kepada bermacam-macam keadaan yang dihadapinya semasa melakukan kehendak Tuhan. Tidak kira dia hidup selesa atau serba kekurangan, dia bergantung pada Tuhan untuk menjaganya. Dengan itu, Paulus belajar untuk berpuas hati dalam apa jua keadaan.—2 Korintus 11:23-27; Filipi 4:11.

 Kata-kata Paulus dapat meyakinkan penyembah Tuhan pada hari ini. Tuhan akan memberi mereka kekuatan yang diperlukan untuk bertabah menghadapi cabaran dan untuk melakukan kehendak-Nya. Tuhan akan menggunakan kuasa suci-Nya, Firman-Nya, iaitu Bible, dan rakan seiman untuk menguatkan penyembah-Nya.—Lukas 11:13; Kisah 14:21, 22; Ibrani 4:12.

Konteks Filipi 4:13

 Kata-kata ini merupakan sebahagian daripada kata-kata penutup surat Paulus kepada orang Kristian di Filipi. Dia telah menulis surat ini pada kira-kira 60-61 M, semasa dia dipenjarakan buat kali pertama di Roma. Buat suatu jangka masa, orang Kristian di Filipi tidak dapat menyokong Rasul Paulus dari segi kewangan. Namun kemudian, mereka dapat mengirim bantuan untuk memenuhi keperluan Paulus.—Filipi 4:10, 14.

 Paulus memuji orang Kristian di Filipi atas kemurahan hati mereka dan meyakinkan mereka bahawa dia sudah mempunyai segala yang diperlukan. (Filipi 4:18) Dia juga menggunakan peluang itu untuk mengongsi dengan mereka suatu kebenaran penting tentang kehidupan orang Kristian: Tidak kira miskin atau kaya, semua orang Kristian dapat mencari kepuasan sejati sekiranya mereka bergantung pada bantuan Tuhan.—Filipi 4:12.