Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Kejadian 1:26​—“Marilah Kita Membuat Manusia seperti Kita”

Kejadian 1:26​—“Marilah Kita Membuat Manusia seperti Kita”

 “Kemudian Tuhan berfirman, ‘Marilah kita membuat manusia seperti kita, menurut gambaran kita. Hendaklah mereka menguasai ikan di laut, makhluk yang berterbangan di langit, binatang jinak, dan semua binatang yang menjalar di bumi. Hendaklah mereka menguasai seluruh bumi.’”—Kejadian 1:26, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Kemudian Tuhan berfirman, “Sekarang Kita akan mencipta manusia yang akan menjadi seperti Kita dan menyerupai Kita. Mereka akan menguasai semua ikan, burung, serta binatang lain: binatang jinak, dan binatang liar yang besar mahupun yang kecil.”’—Kejadian 1:26, Alkitab Berita Baik.

Maksud Kejadian 1:26

 Manusia diciptakan menurut gambaran Tuhan. Maksudnya, mereka mampu memupuk dan memperlihatkan sifat-sifat yang dimiliki Tuhan, seperti kasih, empati, dan keadilan. Hal ini menjelaskan mengapa manusia dapat meniru keperibadian Tuhan.

 “Tuhan berfirman, ‘Marilah kita membuat manusia seperti kita.’” Sebelum Tuhan Yehuwa a menciptakan segala sesuatu, Dia menciptakan satu makhluk roh yang berkuasa, yang kemudiannya dikenali sebagai Yesus. Bible berkata, “Segala sesuatu yang lain diciptakan melalui [Yesus], baik yang di syurga mahupun yang di bumi.” (Kolose 1:16) Yesus mencerminkan keperibadian Yehuwa. Dia “merupakan gambaran kepada Tuhan yang tidak kelihatan.” (Kolose 1:15) Itulah sebabnya Tuhan dapat berkata kepada Yesus, “Marilah kita membuat manusia seperti kita.”

 “Hendaklah mereka menguasai . . . binatang jinak dan . . . seluruh bumi.” Binatang tidak diciptakan menurut gambaran Tuhan. Tidak seperti manusia, binatang tidak diciptakan untuk memperlihatkan sifat-sifat seperti kasih atau memiliki hati nurani. Namun begitu, Tuhan masih mengambil berat tentang keadaan binatang dan menjaga binatang. Itulah sebabnya Dia memberikan perintah kepada manusia untuk “menguasai” binatang. Maka, Yehuwa mengamanahkan tanggungjawab untuk menjaga binatang kepada manusia. (Mazmur 8:6-8; Amsal 12:10) Yehuwa mengharapkan manusia untuk menjaga bumi dan semua benda hidup dengan baik.

Konteks Kejadian 1:26

 Dua bab pertama dalam buku Kejadian memberikan gambaran keseluruhan tentang penciptaan alam semesta, planet kita, dan kehidupan di bumi. Segala sesuatu yang diciptakan Yehuwa sememangnya mengagumkan, namun manusia ialah ciptaan-Nya yang paling menakjubkan. Setelah menyelesaikan karya ciptaan-Nya, Tuhan “melihat semua ciptaan-Nya dan Dia sangat berpuas hati.”—Kejadian 1:31.

 Tontonlah video pendek ini untuk belajar lebih banyak tentang kisah penciptaan dalam buku Kejadian.

Tanggapan yang Salah tentang Kejadian 1:26

 Tanggapan yang Salah: Tuhan mempunyai tubuh seperti kita.

 Fakta: “Tuhan ialah Roh.” (Yohanes 4:24) Maksudnya, Tuhan tidak memiliki tubuh fizikal seperti kita dan Dia tinggal di syurga sebagai makhluk roh. Walaupun Bible ada kalanya menyebut tentang muka, tangan, hati, dan bahagian tubuh-Nya yang lain, kata-kata ini digunakan untuk mengajar kita tentang Tuhan dalam cara yang difahami manusia.—Keluaran 15:6; 1 Petrus 3:12.

 Tanggapan yang Salah: Kejadian 1:26 membuktikan bahawa Yesus ialah Tuhan.

 Fakta: Tuhan dan Yesus mempunyai hubungan yang rapat sebagai bapa dan anak, tetapi mereka bukan individu yang sama. Yesus mengajarkan bahawa kedudukan Tuhan adalah lebih tinggi daripadanya. (Yohanes 14:28) Untuk maklumat lanjut, tontonlah video Adakah Yesus Tuhan? atau bacalah rencana “Mengapakah Yesus Dipanggil Anak Tuhan?

 Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Kejadian.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Sila lihat rencana “Siapakah Yehuwa?