Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Keluaran 20:12​—“Hormatilah Ibu Bapa Kamu”

Keluaran 20:12​—“Hormatilah Ibu Bapa Kamu”

 “Hormatilah ibu bapa kamu, supaya kamu panjang umur di tanah yang akan Aku, Yehuwa, Tuhan kamu, berikan kepada kamu.”—Keluaran 20:12, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Hormatilah ibu bapamu, supaya lanjut usiamu di bumi yang Yehuwa, Tuhanmu, kurniakan kepadamu.’—Keluaran 20:12, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Keluaran 20:12

 Tuhan memerintahkan orang Israel untuk menghormati ibu bapa mereka, dan berjanji untuk memberkati mereka apabila mereka berbuat demikian. Maka, hal itu pasti mendorong umat-Nya untuk mematuhi hukum itu. Walaupun orang Kristian hari ini tidak lagi perlu mematuhi Hukum Musa, iaitu hukum Tuhan kepada orang Israel, piawaian-Nya tidak berubah. Prinsip di sebalik Hukum Musa masih penting dan harus dititikberatkan.—Kolose 3:20.

 Anak-anak menunjukkan hormat kepada ibu bapa dengan mentaati mereka. (Imamat 19:3; Amsal 1:8) Walaupun anak dewasa akhirnya memiliki keluarga sendiri, mereka akan terus menunjukkan kasih dan keprihatinan kepada ibu bapa. Contohnya, mereka akan menjaga ibu bapa yang tua. Jika perlu, mereka akan membantu ibu bapa secara kewangan.—Matius 15:4-6; 1 Timotius 5:4, 8.

 Perhatikan bahawa orang Israel harus menghormati kedua-dua ibu bapa mereka. Maka para ibu juga memainkan peranan yang penting dalam keluarga. (Amsal 6:20; 19:26) Anak-anak hari ini juga patut memiliki pandangan yang sama.

 Namun, orang Israel tidak wajib mentaati ibu bapa mereka, atau manusia mana pun, jika mereka disuruh melakukan sesuatu yang melanggar hukum Tuhan. (Ulangan 13:6-8) Orang Kristian hari ini juga “mesti patuh kepada Tuhan sebagai pemerintah dan bukannya kepada manusia.”—Kisah 5:29.

 Dalam Hukum Musa, Tuhan berjanji bahawa anak yang menghormati ibu bapa akan “panjang umur dan hidup makmur” di tanah yang diberikan-Nya. (Ulangan 5:16) Selain itu, anak-anak yang melanggar hukum Tuhan dan yang memberontak terhadap ibu bapa akan dihukum Tuhan. (Ulangan 21:18-21) Dengan menunjukkan hormat kepada ibu bapa, anak-anak tidak akan mengalami hukuman sedemikian. Hari ini, prinsip di sebalik hukum itu tidak berubah. (Efesus 6:1-3) Tidak kira tua atau muda, kita masih perlu menjawab kepada Tuhan atas cara kita melayani ibu bapa kita. Seperti yang dijanjikan Tuhan, kita akan panjang umur jika kita mentaati-Nya dan ibu bapa kita, dan kita bahkan memiliki harapan untuk hidup selama-lamanya.—1 Timotius 4:8; 6:18, 19.

Konteks Keluaran 20:12

 Terdapat satu aspek menarik tentang urutan Sepuluh Hukum yang diberikan Tuhan. (Keluaran 20:1-17) Hukum-hukum yang dicatatkan sebelum hukum di Keluaran 20:12 menjelaskan kewajipan orang Israel terhadap Tuhan, contohnya, mereka hanya patut menyembah-Nya sahaja. Hukum-hukum berikutnya pula menjelaskan kewajipan mereka terhadap manusia lain, contohnya, jangan curi dan jangan curang. Maka, perintah untuk ‘menghormati ibu bapa’ boleh dikatakan seperti sebuah jambatan yang menghubungkan kewajipan kita kepada Tuhan dan kepada manusia lain.

Baca Keluaran bab 20, termasuk semua nota kaki dan rujukan silang.