AYAT BIBLE DIJELASKAN
Lukas 1:37—“Bagi [Tuhan] Tiada Perkara yang Mustahil”
“Semua yang diisytiharkan oleh Tuhan pasti terjadi.”—Lukas 1:37, Terjemahan Dunia Baharu.
“Bagi [Tuhan] tiada perkara yang mustahil.”—Lukas 1:37, Alkitab Berita Baik.
Maksud Lukas 1:37
Tuhan Yang Maha Kuasa dapat melakukan hal yang dianggap mustahil bagi manusia. Tiada apa-apa yang dapat menghalang-Nya daripada melaksanakan apa yang diisytiharkan atau dijanjikan-Nya.
Dalam ayat ini, perkataan asal bagi “diisytiharkan” juga bermaksud “firman” atau “kata-kata” Tuhan. Perkataan ini juga boleh merujuk kepada hasil daripada apa yang telah diisytiharkan oleh Tuhan. a Oleh sebab firman Tuhan selalu menjadi kenyataan, sesetengah Bible menterjemahkan kata-kata di Lukas 1:37 sebagai “Janji Tuhan pasti ditunaikan” atau “Tiada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.” Semua terjemahan ini menyampaikan kebenaran yang sama, iaitu: Segala yang diisytiharkan atau dijanjikan oleh Tuhan pasti menjadi kenyataan kerana tiada apa-apa yang mustahil bagi-Nya.—Yesaya 55:10, 11.
Bible mengandungi banyak jaminan bahawa semua janji Tuhan pasti ditunaikan-Nya. Contohnya, Yehuwa mengutus malaikat-Nya untuk menubuatkan bahawa Sara, iaitu isteri Abraham yang mandul, akan mengandung pada usia yang tua. Tuhan menambah, “Adakah apa-apa yang mustahil bagi Yehuwa?” (Kejadian 18:13, 14) Setelah merenungkan ciptaan Tuhan, Ayub mengaku, “Tidak ada apa-apa yang dapat menghalang Engkau daripada melaksanakan kehendak-Mu.” (Ayub 42:2) Semasa murid-murid Yesus risau mereka tidak dapat memenuhi syarat untuk diselamatkan, Yesus mengingatkan mereka bahawa “tidak ada apa-apa yang mustahil bagi Tuhan.”—Matius 19:25, 26. b
Konteks Lukas 1:37
Malaikat yang bernama Gabriel mengucapkan kata-kata di Lukas 1:37 kepada seorang anak dara berbangsa Yahudi yang bernama Maria. Gabriel memberitahunya bahawa dia akan melahirkan “Anak Tuhan Yang Maha Tinggi” dan harus “menamakannya Yesus.” Yesus akan menjadi Raja Kerajaan Tuhan dan akan memerintah buat selama-lamanya.—Lukas 1:26-33; Wahyu 11:15.
Maria memberitahu Gabriel bahawa hal itu mustahil kerana dia belum berkahwin dan “masih dara.” (Lukas 1:34, 35) Gabriel menjawab bahawa Tuhan akan menggunakan kuasa suci, atau daya aktif-Nya, untuk melaksanakan mukjizat itu. Yesus ialah makhluk roh di syurga, jadi Yehuwa menggunakan kuasa suci-Nya untuk memindahkan nyawa Anak-Nya dari syurga ke dalam rahim Maria. (Yohanes 1:14; Filipi 2:5-7) Untuk menguatkan iman Maria bahawa Tuhan mempunyai kuasa untuk berbuat demikian, Gabriel memberitahu Maria bahawa baru-baru ini, saudara-maranya, Elisabet, telah mengandung “walaupun dia sudah tua.” Sebelum itu, Elisabet dan suaminya, Zakharia, tiada anak kerana Elisabet mandul. (Lukas 1:36) Anak mereka ialah Yohanes Pembaptis, dan Yehuwa telah menubuatkan bahawa dia akan diberi tugas yang istimewa.—Lukas 1:10-16; 3:1-6.
Semasa mengucapkan kata-kata di Lukas 1:37, malaikat Gabriel mungkin berfikir tentang Maria dan Elisabet. Kata-katanya itu juga meyakinkan umat Tuhan hari ini bahawa Tuhan akan terus menunaikan semua janji-Nya. Janji Tuhan termasuklah menggantikan kerajaan manusia dengan Kerajaan Tuhan di syurga, yang akan diperintah oleh Anak-Nya, Yesus Kristus.—Daniel 2:44; 7:13, 14.
Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Lukas.
a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?”
b Pernyataan yang hampir sama juga terdapat di Bilangan 23:19; Yosua 21:45; 1 Raja-Raja 8:56; Ayub 37:5; Mazmur 135:6; Yeremia 32:17; Daniel 4:35.