Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Lukas 2:14—“Sejahteralah Manusia yang Menyenangkan Hati-Nya”

Lukas 2:14—“Sejahteralah Manusia yang Menyenangkan Hati-Nya”

 “Semoga Tuhan yang di syurga dimuliakan, dan semoga orang di bumi yang diperkenankan-Nya mendapat kedamaian.”—Lukas 2:14, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Termulialah [Tuhan] di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati-Nya!”—Lukas 2:14, Alkitab Berita Baik.

Maksud Lukas 2:14

 Kata-kata pujian ini, yang diucapkan oleh para malaikat semasa Yesus lahir, menunjukkan bahawa orang yang beriman kepada Yesus dapat diperkenankan Tuhan dan menikmati kedamaian.

 “Semoga Tuhan yang di syurga dimuliakan.” Ungkapan ini menunjukkan bahawa Tuhan memang layak menerima segala kemuliaan. Kata-kata para malaikat juga bermaksud bahawa kelahiran Yesus dan kerja penyebarannya di bumi akan membawa kemuliaan yang besar kepada Tuhan Yehuwa. a Sebagai contoh, semasa Yesus mengajar, dia selalu memuliakan Tuhan. Dia berkata, “Apa yang aku ajarkan bukanlah ajaranku, tetapi ajaran Dia yang mengutus aku.” (Yohanes 7:16-18) Mukjizat yang dilakukan Yesus juga sering mendorong ramai orang untuk “mula memuliakan Tuhan.” (Lukas 5:18, 24-26; Yohanes 5:19) Bahkan kematian Yesus pun membawa kemuliaan kepada Yehuwa. Menerusi kematian Yesus, Tuhan dapat melaksanakan tujuan-Nya, iaitu memenuhi bumi dengan manusia yang baik dan mencintai kedamaian.—Kejadian 1:28.

 “Semoga orang di bumi . . . mendapat kedamaian” Kedamaian ini tidak sekadar bermaksud tiada peperangan. Kedamaian ini merangkumi ketenangan yang hanya dapat dirasai apabila seseorang mendapat perkenan Yehuwa. Yesus telah membolehkan manusia untuk menikmati hubungan yang damai dengan Tuhan. (Yakobus 4:8) Selaku Raja Kerajaan Tuhan, Yesus juga akan membawa kedamaian yang berkekalan ke seluruh bumi.—Mazmur 37:11; Lukas 1:32, 33.

 “Orang . . . yang diperkenankan-Nya” Ungkapan ini merujuk kepada orang yang diperkenankan, atau disenangi Tuhan, kerana mereka menunjukkan iman kepada-Nya dan Anak-Nya Yesus. Ungkapan ini tidak bermaksud Tuhan akan memperkenankan semua manusia tidak kira apa sikap dan kelakuan mereka, dan juga tidak menggambarkan perkenan manusia terhadap Tuhan. Sesetengah Bible, seperti Alkitab Terjemahan Baru, menggunakan ungkapan “manusia yang berkenan kepada-Nya.” Namun, teks dalam manuskrip bahasa Yunani yang lebih lama membawa maksud yang sama dengan Terjemahan Dunia Baharu dan banyak terjemahan moden, iaitu orang yang mendapat perkenan Tuhan akan menikmati kedamaian.—Lihat “ Lukas 2:14 dalam Terjemahan Lain.”

Konteks Lukas 2:14

 Lukas bab 2 mengisahkan kehidupan Yesus semasa dia masih kecil. Tidak lama selepas Yesus lahir, satu malaikat menampakkan diri kepada para gembala yang “berada di padang terbuka untuk menjaga kawanan biri-biri mereka.” b (Lukas 2:4-8) Malaikat itu mengisytiharkan “berita baik yang akan membawa sukacita yang besar” dan memberitahu para gembala, “Hari ini, seorang Penyelamat, iaitu Tuan Kristus, telah dilahirkan di kota Daud.” (Lukas 2:9-11) Setelah diberitahu di mana mereka dapat menemui Yesus, para gembala nampak sepasukan besar malaikat di langit memuji-muji Tuhan. Setibanya di Betlehem, mereka menjumpai Maria, Yusuf, dan Yesus yang masih bayi. (Lukas 2:12-16) Selepas menceritakan pengalaman mereka kepada orang di situ, gembala-gembala itu “pulang sambil memuliakan dan memuji Tuhan, kerana segala yang telah didengari dan dilihat oleh mereka.”—Lukas 2:17-20.

 Lukas 2:14 dalam Terjemahan Lain

 “Segala kemuliaan bagi [Tuhan] di tempat Yang Mahatinggi, dan sejahtera di atas bumi di antara orang yang diperkenan-Nya.”—Lukas 2:14, Alkitab Terjemahan Lama.

 “Terpujilah [Tuhan] di langit yang tertinggi! Dan di atas bumi, sejahteralah manusia yang menyenangkan hati Tuhan!”—Lukas 2:14, Alkitab Kabar Baik Bahasa Indonesia Sehari-hari.

 “Kemuliaan bagi [Tuhan] di tempat yang mahatinggi, sejahtera di bumi bagi orang yang berkenan di hati [Tuhan].”—Lukas 2:14, Alkitab Terjemahan Shellabear.

 Tonton video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Lukas.

a Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan. (Mazmur 83:18) Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?

b Para gembala berada di luar pada waktu malam. Hal ini menunjukkan bahawa masa itu bukanlah musim sejuk. Untuk maklumat lanjut, baca rencana “Bilakah Yesus Lahir?