Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Markus 1:15—‘Kerajaan Tuhan Hampir Tiba’

Markus 1:15—‘Kerajaan Tuhan Hampir Tiba’

 “Masa yang ditetapkan telah tiba dan Kerajaan Tuhan sudah dekat. Bertaubatlah dan percayalah kepada berita baik daripada Tuhan.”—Markus 1:15, Terjemahan Dunia Baharu.

 ‘Sudah genap masanya dan kerajaan Tuhan hampir tiba. Bertaubatlah dan percayalah akan Injil ini.’—Markus 1:15, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Markus 1:15

 Yesus Kristus berkata bahawa Kerajaan Tuhan a “hampir tiba” atau “sudah dekat” kerana dia ada bersama mereka dan dia bakal menjadi Raja Kerajaan itu.

 Yesus tidak bermaksud bahawa Kerajaan Tuhan sudah mula memerintah. Pada kemudian hari, dia menunjukkan bahawa Kerajaan Tuhan akan datang pada masa depan. (Kisah 1:6, 7) Kedatangannya sebagai Mesias berlaku tepat seperti yang dinubuatkan Bible. b Oleh itu, dia dapat berkata, “Masa yang ditetapkan telah tiba.” Apakah “masa” itu? Itulah masanya bagi dia untuk mula menginjil tentang berita baik Kerajaan Tuhan.—Lukas 4:16-21, 43.

 Orang yang ingin mendapat berkat daripada Kerajaan Tuhan perlu bertaubat. Ertinya, mereka harus insaf atas dosa lampau mereka dan berusaha untuk hidup menurut standard Tuhan. Mereka yang bertaubat membuktikan bahawa mereka percaya kepada berita baik tentang Kerajaan Tuhan.

Konteks Markus 1:15

 Yesus telah mengucapkan kata-kata itu semasa dia mula menginjil di Galilea. Di Matius 4:17, terdapat catatan mengenai kisah yang serupa. Ayat itu menyatakan bahawa “sejak masa itu,” Yesus mula menginjil tentang Kerajaan Tuhan. Yesus selalu bercakap tentang Kerajaan Tuhan. Antara semua topik yang diajarkan Yesus, topik inilah yang paling kerap disebutkannya. Sebenarnya, Kerajaan ini disebut lebih daripada 100 kali dalam buku Matius, Markus, Lukas, dan Yohanes c, dan kebanyakannya merupakan kata-kata Yesus sendiri.

Baca Markus bab 1, termasuk semua nota kaki dan rujukan silang.

a Kerajaan Tuhan ialah sebuah pemerintahan di syurga yang ditubuhkan oleh Tuhan agar kehendak-Nya terjadi di bumi. (Daniel 2:44; Matius 6:10) Untuk maklumat lanjut, lihat rencana “Apakah Itu Kerajaan Tuhan?

b Sebagai Mesias, atau wakil yang istimewa bagi Tuhan, Yesus akan menjadi raja. Untuk maklumat lanjut tentang nubuat Bible yang membuktikan bahawa Yesus ialah Mesias, lihat rencana “Adakah Yesus Mesias yang Dinubuatkan?

c Buku-buku ini ialah empat buku pertama dalam Kitab Yunani Kristian, atau Perjanjian Baharu. Buku-buku ini mengisahkan kehidupan dan kerja penyebaran Yesus.