Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Mazmur 23:4​—“Meskipun Aku Berjalan di Lembah yang Gelap-Gelita”

Mazmur 23:4​—“Meskipun Aku Berjalan di Lembah yang Gelap-Gelita”

 “Meskipun aku berjalan di lembah yang gelap-gelita, aku tidak berasa takut, kerana Engkau berada di sampingku; tongkat-Mu membuat aku berasa selamat.”—Mazmur 23:4, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Ya, meski aku melangkah di lembah bayangan maut, aku tidak akan takut kepada kejahatan, kerana Engkau ada bersamaku; gada dan tongkat-Mu menetapkan hatiku.”​—Mazmur 23:4, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Mazmur 23:4 a

 Orang yang menyembah Tuhan dilindungi oleh-Nya walaupun mereka menghadapi keadaan yang sulit. Ayat ini menggunakan metafora seekor biri-biri di bawah jagaan gembalanya untuk menggambarkan bagaimana Tuhan menjaga penyembah-Nya. b Mereka tidak rasa keseorangan apabila menghadapi keadaan yang susah, yang digambarkan dalam ayat ini sebagai tempat yang gelap-gelita atau bayangan maut. Mereka berasa selamat, seolah-olah Tuhan di sisi mereka.

 Pada zaman Bible, seorang gembala akan menggunakan gada untuk melindungi biri-birinya daripada pemangsa. Dia juga akan menggunakan tongkatnya, iaitu sebatang kayu panjang yang berbentuk cangkuk pada salah satu hujungnya, untuk membimbing biri-birinya atau menarik biri-birinya dari tempat yang berbahaya. Begitu juga dengan Tuhan Yehuwa. Dia seperti Gembala pengasih yang melindungi dan membimbing orang yang menyembah-Nya. Walaupun mereka mengalami detik hidup yang paling susah, Yehuwa menjaga mereka dalam pelbagai cara.

  •   Dia mengajar dan melegakan hati mereka melalui Firman-Nya, Bible.—Roma 15:4.

  •   Dia mendengar doa mereka dan memberi mereka ketenangan hati dan fikiran.—Filipi 4:6, 7.

  •   Dia menggunakan rakan seiman untuk menggalakkan mereka.—Ibrani 10:24, 25.

  •   Dia menjanjikan harapan masa depan yang lebih baik dan Dia juga akan melenyapkan semua penderitaan yang mereka alami sekarang.—Mazmur 37:29; Wahyu 21:3-5.

Konteks Mazmur 23:4

 Mazmur 23 ditulis oleh Daud. Daud ialah seorang gembala pada zaman mudanya, dan kemudian dia menjadi raja bangsa Israel kuno. (1 Samuel 17:34, 35; 2 Samuel 7:8) Mazmur ini bermula dengan menggambarkan Yehuwa sebagai Gembala yang membimbing, memberi makan, dan menyegarkan penyembah-Nya, sebagaimana seorang gembala menjaga biri-birinya.—Mazmur 23:1-3.

 Di mazmur ini, Daud menggunakan kata ganti diri nama yang kedua (Engkau) untuk merujuk kepada Yehuwa. Hal ini menunjukkan bahawa Daud mempunyai hubungan yang rapat dengan Yehuwa. Dia tahu bahawa Tuhan mengambil berat terhadapnya dan tahu cabaran yang dihadapinya. Oleh itu, dia tidak berasa takut.

 Di Mazmur 23, ayat 5 dan 6, metafora berubah daripada seorang gembala dan biri-birinya kepada seorang tuan rumah dan tetamunya. Selaku tuan rumah yang murah hati, Yehuwa melayan Daud seperti seorang tetamu yang terhormat. Musuh-musuh Daud pun tidak dapat menghalang Tuhan daripada menjaga Daud. Daud mengakhiri mazmur ini dengan mengungkapkan keyakinannya bahawa Tuhan akan terus menunjukkan kebaikan dan kasih kepadanya.

 Perumpamaan di Mazmur 23 menggambarkan bagaimana Tuhan akan terus mengasihi dan menjaga umat-Nya.—1 Petrus 2:25.

a Ada Bible yang menomborkan mazmur ini sebagai Mazmur 22. Meskipun ada 150 mazmur, sesetengah Bible menomborkan mazmur-mazmur ini mengikut teks Masoret Ibrani, manakala yang lain menomborkannya mengikut Septuagint Yunani. (Septuagint Yunani ialah terjemahan teks Ibrani yang dilengkapkan pada abad kedua SM.)

b Tuhan, yang nama-Nya Yehuwa, sering digambarkan dalam Bible sebagai Gembala yang pengasih. Umat-Nya yang digambarkan sebagai biri-biri bergantung pada-Nya untuk perlindungan dan sokongan.—Mazmur 100:3; Yesaya 40:10, 11; Yeremia 31:10; Yehezkiel 34:11-16.