AYAT BIBLE DIJELASKAN
Mazmur 37:4—“Cari Kebahagiaan daripada TUHAN”
“Carilah kebahagiaan yang datang daripada Yehuwa, lalu Dia akan mengabulkan segala keinginan hatimu.”—Mazmur 37:4, Terjemahan Dunia Baharu.
“Cari kebahagiaan daripada TUHAN maka Dia akan menunaikan hasrat hatimu.”—Mazmur 37:4, Alkitab Versi Borneo.
Maksud Mazmur 37:4
Penulis mazmur menggalakkan penyembah Tuhan untuk bersukacita kerana memiliki hubungan yang rapat dengan-Nya. Semua sahabat rapat Tuhan Yehuwa a dapat yakin bahawa Dia akan memenuhi segala keinginan mereka yang betul.
“Carilah kebahagiaan yang datang daripada Yehuwa.” Ungkapan ini juga boleh diterjemahkan sebagai “carilah kebahagiaan yang terbesar daripada Yehuwa,” “bersukacitalah kerana kamu melayani TUHAN,” atau “bersukacitalah kerana apa yang dijanjikan TUHAN kepadamu.” Dalam kata lain, kita patut meraih “sukacita yang melimpah” kerana menyembah Tuhan yang benar. (Mazmur 37:4, nota kaki) Mengapa?
Orang yang menyembah Yehuwa mengkaji Bible dan berusaha memupuk pandangan-Nya. Mereka bukan sahaja mengenali Tuhan tetapi juga tahu bahawa mematuhi Tuhan ialah tindakan yang bijak. Hasilnya, mereka memiliki hati nurani yang murni dan dapat mengelakkan banyak masalah. (Amsal 3:5, 6) Sebagai contoh, semasa melihat orang yang tamak dan tidak jujur hidup makmur, mereka tidak akan terlalu marah atau iri hati. (Mazmur 37:1, 7-9) Umat Tuhan gembira kerana mereka tahu bahawa tidak lama lagi, Dia akan mengakhiri segala ketidakadilan dan memberikan ganjaran kepada orang yang setia dan berkelakuan baik. (Mazmur 37:34) Mereka juga sangat gembira kerana tahu mereka menyenangkan hati Bapa mereka yang di syurga.—Mazmur 5:12; Amsal 27:11.
“Dia akan mengabulkan segala keinginan hatimu.” Kata-kata ini juga boleh diterjemahkan sebagai “Dia akan menjawab doamu,” atau “Dia akan memberikan apa yang paling kamu inginkan.” Sudah tentu, Yehuwa tidak akan menunaikan apa sahaja yang kita minta. Seperti ibu bapa yang bijak dan pengasih, Yehuwa tahu apa yang terbaik bagi anak-anak-Nya. Selain itu, permohonan dan gaya hidup kita mesti selaras dengan standard dan kehendak-Nya. (Amsal 28:9; Yakobus 4:3; 1 Yohanes 5:14) Jika kita memenuhi syarat-syarat itu, kita dapat yakin bahawa “Pendengar doa” akan mengabulkan permintaan kita.—Mazmur 65:2; Matius 21:22.
Konteks Mazmur 37:4
Mazmur 37 digubah oleh Daud, raja Israel kuno. Mazmur itu digubah dalam gaya akrostik, iaitu mengikut susunan abjad. b
Sepanjang hidupnya, Daud sering dilayan dengan tidak adil. Dia perlu melarikan diri daripada Raja Saul dan orang lain yang ingin membunuhnya. (2 Samuel 22:1) Namun, Daud sentiasa yakin sepenuhnya kepada Yehuwa. Dia tahu bahawa pada akhirnya orang jahat pasti dihukum. (Mazmur 37:10, 11) Biarpun orang jahat nampaknya hidup makmur, akhirnya mereka akan “lenyap seperti rumput.”—Mazmur 37:2, 20, 35, 36.
Mazmur 37 membandingkan kesudahan orang yang mematuhi Tuhan dengan kesudahan orang yang mengingkari-Nya. (Mazmur 37:16, 17, 21, 22, 27, 28) Nasihat dalam mazmur ini membantu kita menjadi orang yang bijak dan yang diperkenankan Tuhan.
Tontonlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Mazmur.
a Dalam bahasa Melayu, Yehuwa ialah nama peribadi Tuhan yang diterjemahkan daripada bahasa Ibrani. Lihat rencana “Siapakah Yehuwa?” untuk mengetahui sebabnya banyak terjemahan Bible menggunakan gelaran TUHAN dan bukannya nama Tuhan.
b Dalam puisi yang digubah mengikut gaya akrostik, rangkap pertama atau semua ayat dalam rangkap pertama akan bermula dengan huruf pertama dalam abjad Ibrani, rangkap kedua bermula dengan huruf kedua, dan seterusnya. Gaya ini mungkin bertujuan membantu pembaca mengingati seluruh mazmur.