AYAT BIBLE DIJELASKAN
Mikha 6:8—‘Dengan Rendah Hati Hidup Bersatu dengan Tuhan Kita’
“Hai manusia, Tuhan telah memberitahu engkau apa yang baik. Apakah yang dikehendaki oleh Yehuwa daripadamu? Dia ingin engkau berlaku adil, mencintai kesetiaan, dan hidup dengan rendah hati di hadapan Tuhan.”—Mikha 6:8, Terjemahan Dunia Baharu.
‘Sekali-kali tidak! TUHAN telah memberitahu kita apa yang baik. Perkara yang dituntut oleh TUHAN daripada kita adalah supaya kita berlaku adil, selalu mengamalkan kasih, dan dengan rendah hati hidup bersatu dengan Tuhan kita.’—Mikha 6:8, Alkitab Berita Baik.
Maksud Mikha 6:8
Nabi Mikha menjelaskan bahawa manusia dapat menyenangkan hati Tuhan Yehuwa, a hal ini tidak terlalu susah. (1 Yohanes 5:3) Apa yang dikehendaki Tuhan daripada kita dapat disimpulkan dalam tiga ungkapan berikut. Ungkapan pertama dan kedua merangkumi cara seseorang melayan orang lain. Ungkapan yang ketiga pula melibatkan hubungan kita dengan Tuhan.
“Berlaku adil.” Tuhan menghendaki penyembahnya untuk berlaku adil dan saksama. Hal ini bermaksud kita harus berfikir dan bertindak selaras dengan piawaian Tuhan tentang apa yang betul dan salah. (Ulangan 32:4) Contohnya, orang yang mengikuti piawaian Tuhan akan berusaha sedaya upaya untuk melayan semua orang dengan jujur dan tanpa berat sebelah, tidak kira latar belakang, bangsa atau kedudukan sosial mereka.—Imamat 19:15; Yesaya 1:17; Ibrani 13:18.
“Mencintai kesetiaan.” Ungkapan ini juga boleh membawa maksud “menunjukkan kebaikan hati, kasih, dan kesetiaan.” (Mikha 6:8, nota kaki) Perkataan kesetiaan yang digunakan dalam kitab Ibrani bukan hanya membawa erti setia dalam hubungan tertentu. Orang itu juga akan menunjukkan belas kasihan dan kebaikan hati kepada orang lain, dan rela melakukan lebih daripada apa yang diperlukan demi mereka. Mereka yang ingin menyenangkan hati Tuhan tidak hanya menunjukkan kebaikan hati dan belas kasihan. Sebaliknya, Tuhan menghendaki orang sedemikian untuk menghargai dan mencintai sifat-sifat tersebut. Hal ini bermaksud bahawa penyembah-Nya akan menolong orang yang memerlukan bantuan dengan senang hati. Kita bersukacita apabila kita memberi.—Kisah 20:35.
“Hidup dengan Rendah Hati di Hadapan Tuhan.” Dalam Bible, perkataan “hidup” boleh merujuk kepada haluan hidup seseorang. Orang yang hidup mengikut haluan Tuhan akan menjalani kehidupan yang menyenangkan hati-Nya. Nuh merupakan contoh yang baik dalam perkara ini. Dia “hidup akrab dengan Tuhan yang benar” kerana dia seorang yang baik di mata Tuhan dan “hidup tanpa cela dalam kalangan orang yang sezaman dengannya.” (Kejadian 6:9) Hari ini, kita ‘hidup di hadapan Tuhan’ dengan menjalani kehidupan yang selaras dengan ajaran Firman-Nya, iaitu Bible. Untuk melakukannya, kita haruslah dengan rendah hati mengakui keterbatasan kita dan sedar bahawa kita harus bergantung kepada Yehuwa dalam segala hal.—Yohanes 17:3; Kisah 17:28; Wahyu 4:11.
Konteks Mikha 6:8
Mikha ialah seorang nabi Israel zaman kuno yang hidup pada abad kelapan SM. Pada masa itu, kawasan Israel dipenuhi dengan penyembahan berhala, penindasan, dan perompakan. (Mikha 1:7; 3:1-3, 9-11; 6:10-12) Kebanyakan orang Israel mengabaikan piawaian Tuhan yang telah diberikan melalui Hukum Musa. Ramai juga yang percaya bahawa mereka hanya perlu mengamalkan upacara keagamaan dan mempersembahkan korban untuk mendapatkan perkenan Tuhan. Namun, hal ini merupakan kepercayaan yang tidak benar.—Amsal 21:3; Hosea 6:6; Mikha 6:6, 7.
Berabad-abad selepas zaman Mikha, Yesus sekali lagi menegaskan bahawa orang yang menunjukkan sifat kasih, keadilan, dan belas kasihan akan menyenangkan hati Bapa-Nya. Manakala, orang yang melakukan sesuatu semata-mata untuk menampakkan diri mereka alim di hadapan orang lain, tidak akan mendapat perkenan Tuhan. (Matius 9:13; 22:37-39; 23:23) Kata-kata Yesus membantu kita memahami apa yang dikehendaki oleh Tuhan daripada penyembah-Nya hari ini.
Lihatlah video pendek ini untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang buku Mikha.
a Yehuwa ialah nama Tuhan dalam bahasa Melayu. Nama ini berasal daripada bahasa Ibrani yang ditulis dalam empat huruf Tetragrammaton iaitu יהוה (YHWH). Alkitab Berita Baik telah menggantikan nama ini dengan gelaran “TUHAN.” Untuk maklumat lanjut mengenai Yehuwa dan mengapa sesetengah penterjemahan Bible tidak menggunakan nama tersebut, lihatlah rencana “Siapakah Yehuwa?”