Lompat ke kandungan

AYAT BIBLE DIJELASKAN

Roma 10:13—“Menyeru Nama Tuhan”

Roma 10:13—“Menyeru Nama Tuhan”

 “Semua orang yang menyeru nama Yehuwa akan diselamatkan.”—Roma 10:13, Terjemahan Dunia Baharu.

 “Sesiapa yang menyeru nama Tuhan akan diselamatkan.”—Roma 10:13, Alkitab Versi Borneo.

Maksud Roma 10:13

 Tuhan tidak berat sebelah. Dia memberi semua orang peluang untuk diselamatkan dan memperoleh kehidupan kekal. Dia adil kepada semua orang tidak kira bangsa, kaum, atau kedudukan mereka. Namun, untuk diselamatkan, kita mesti menyeru nama Yehuwa, iaitu nama peribadi Tuhan Yang Maha Kuasa. aMazmur 83:18.

 Dalam Bible, ungkapan “menyeru nama Yehuwa” bukan sekadar bermaksud mengetahui nama-Nya dan menggunakannya dalam ibadat. (Mazmur 116:12-14) Hal itu juga bermaksud kita mempercayai Tuhan dan bergantung pada-Nya.—Mazmur 20:7; 99:6.

 Bagi Yesus Kristus, nama Tuhan sangat penting. Contoh doa yang disebutkan oleh Yesus bermula dengan kata-kata berikut: “Bapa kami yang di syurga, semoga nama-Mu disucikan.” (Matius 6:9) Yesus juga menunjukkan bahawa kita harus mengenali, mematuhi, dan mengasihi Yehuwa untuk mendapat kehidupan kekal.—Yohanes 17:3, 6, 26.

 Mengapakah kita dapat menyimpulkan bahawa Tuhan yang disebut di Roma 10:13 dalam Alkitab Versi Borneo merujuk kepada Yehuwa? Hal ini demikian kerana ayat itu dipetik daripada Yoel 2:32. Dalam bahasa Ibrani asal, ayat itu tidak menggunakan gelaran “Tuhan” tetapi mengandungi nama Yehuwa. b

Konteks Roma 10:13

 Roma bab 10 menunjukkan bahawa kita harus beriman kepada Yesus Kristus untuk mendapat perkenan Tuhan. (Roma 10:9) Hal ini disokong oleh sebilangan petikan daripada Perjanjian Lama. Kita memperlihatkan iman dengan “mengisytiharkan perkhabaran itu [berita baik tentang penyelamatan] di hadapan umum.” Hasilnya, orang lain juga berpeluang untuk memupuk iman dan memperoleh kehidupan kekal.—Roma 10:10, 14, 15, 17.

Baca Roma bab 10, termasuk semua nota kaki dan rujukan silang.

a Dalam naskhah kuno Bible, nama Tuhan muncul kira-kira 7,000 kali. Dalam bahasa Ibrani, nama Tuhan ditulis dengan menggunakan empat huruf yang dikenali sebagai Tetragrammaton. Dalam bahasa Inggeris, nama Tuhan sering diterjemahkan sebagai “Jehovah,” tetapi sesetengah cendekiawan menggunakan nama “Yahweh.”

b Ada kemungkinan besar penulis Bible menggunakan nama Tuhan semasa mereka memetik ayat daripada “Perjanjian Lama” yang mengandungi nama Tuhan. The Anchor Bible Dictionary menyatakan, “Terdapat bukti yang menunjukkan bahawa Tetragrammaton, iaitu nama Ilahi, Yahweh, muncul dalam sesetengah ayat atau semua ayat dalam Perjanjian Baharu yang dipetik daripada Perjanjian Lama.” (Jilid 6, muka surat 392) Untuk maklumat lanjut, sila lihat “Nama Tuhan dalam Kitab Yunani Kristian” di Lampiran A5 dalam Bible Kitab Suci Terjemahan Dunia Baharu.